5 Apr 2015

warisan : rumah serambi pahang

Rumah Serambi Pahang tonjol kreativiti Melayu
04 April 2015



KEUNIKAN seni bina rumah Melayu tradisional merupakan suatu gambaran yang memperlihatkan kreativiti dan kehalusan pertukangan atau kerja tangan masyarakat Melayu yang dipengaruhi oleh pelbagai faktor meliputi alam sekitar, iklim, acuan corak budaya dan agama Islam.

Elemen-elemen yang terdapat di dalam reka bentuk seperti bahan binaan, struktur, ruang dan dekorasi menggambarkan kehidupan dan satu bentuk budaya pemilik rumah tersebut.

Justeru, seni bina Melayu bukan sahaja dilihat sebagai satu bentuk pengetahuan atau kemahiran seni kreatif yang mempunyai simbol dan nilai estetika tersendiri, sebaliknya ia memiliki makna dan falsafah.


Menurut Pengarah Muzium Warisan Melayu Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Muhammad Pauzi Abd. Latif, struktur Rumah Serambi Pahang dikaitkan dengan binaan yang mempunyai maksud dan tujuan tertentu. Rumah yang dibina dengan kayu cengal dan merbau itu memperlihatkan sifat kreatif masyarakat Melayu yang tinggi di dalam menampilkan ciri-ciri kediaman yang unik.

“Keunikan Rumah Serambi Pahang dapat dilihat menerusi teknik pembinaan kediaman yang berdasarkan tradisi seni bina Melayu iaitu dibina dengan kayu tanpa menggunakan sebarang paku pada dinding dan lantai.

“Selain mempunyai tiga ruang utama iaitu serambi hadapan, rumah ibu atau induk serta serambi dapur, keunikan rumah itu juga terletak pada bahagian ‘geta’ atau lantai yang ditinggikan untuk tujuan tertentu termasuk sebagai tempat berehat dan tidur.

“Kedudukannya yang lebih tinggi daripada lantai dan strukturnya yang kuat membolehkan penghuni mendiaminya dengan selamat. Jadi, boleh dikatakan rumah tersebut mempunyai ciri-ciri keselamatan yang bertujuan mengelakkan serangan musuh dari bahagian bawah.

“Biasanya, pada zaman dahulu musuh yang cuba menganiaya pemimpin akan bertindak menjolok lembing ke arah lantai dari bawah rumah bagi mendatangkan kecederaan ke atas pemimpin berkenaan. Justeru dengan adanya ‘geta’, ia dapat menghindari kejadian tersebut daripada berlaku.

Keistimewaan Rumah Serambi Pahang juga terletak pada lebihan rasuk atau bahan binaan rumah kayu yang berfungsi sebagai pengikat rangka rumah bagi tujuan penambahan ruang.

“Melihat pada bahagian tersebut, ia jelas menunjukkan bahawa masyarakat Melayu pada masa itu sudah memikirkan perancangan untuk meluaskan rumah sekiranya terdapat penambahan ahli keluarga.


“Jadi, kerja-kerja membuat atau menambah ruang baharu kediaman menjadi lebih mudah dengan hanya memasang pasak kayu pada bahagian lebihan rasuk sedia ada.

“Selain itu, kewujudan tingkap labuh sedia ada di bahagian dinding turut memudahkan 
kerja-kerja pertukangan ketika proses penambahan keluasan kediaman dilakukan kerana jurubina tidak perlu lagi 
bersusah payah membina laluan baharu ke ruang tambahan,” katanya.

Rumah Serambi Pahang juga mempunyai penghadang (dikenali bendul bagi rumah tradisional lain) setinggi kira-kira 0.4 meter yang berfungsi sebagai pintu masuk dari rumah ibu ke serambi.

“Penghadang tersebut menepati ciri-ciri keselamatan yang berfungsi melengahkan atau melambatkan tindakan individu yang membuat serangan bagi membolehkan tuan rumah mengambil langkah menyelamatkan diri atau bersiap siaga mempertahankan diri,”ujarnya.

Sementara itu, menurut Kurator Muzium Warisan Melayu UPM, Khairulnisa Haron, kelainan turut dapat dilihat dari segi kesederhanaan dalam hiasan rumah yang tidak terlalu sarat dengan ukiran.

utusan online

Dari Jerantut Ke Muzium UPM
Oleh FARID AHMAD TARMIJI



DALAM kerelaan, hatinya diragut rasa sayu tatkala struktur binaan teratak warisan peninggalan ayahnya dibuka satu persatu. Sebahagian besar sejarah hidupnya terlakar di rumah itu namun, Zaharah Ismail, 69, merelakan rumah itu dipindahkan dari tapak asalnya.

“Biarpun sayu rasa di hati, saya yakin rumah ini akan dijaga dan dipelihara dengan lebih baik selepas ini.

“Selama 91 tahun rumah ini berdiri di sini ia menyimpan pelbagai kenangan buat keluarga saya,” ujarnya.

Menurutnya, di rumah pusaka itulah tempat dia dilahir dan dibesarkan bersama enam adik-beradik lain.

Zaharah merupakan waris kepada Rumah Penghulu Mukim Kelola, Allahyarham Ismail Khatib Abu Bakar yang membina rumah tersebut di Kampung Kelola, Jerantut, Pahang.

Ia dibina sendiri oleh Ismail pada tahun 1924. Beliau dikatakan mempunyai pertalian darah dengan Tok Pahlawan Gendut iaitu antara pejuang Pahang yang menentang penjajahan Inggeris di Tanah Melayu.

Rumah tradisional Pahang itu dibuka semula dan akan dipindahkan untuk dipamerkan di Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.

Sementara itu, Zaharah begitu berbesar hati menyerahkan rumah berkenaan kepada pihak muzium untuk dijadikan tatapan kepada generasi muda.

Anak bongsu kepada pemilik asal rumah tersebut berkata, rumah itu masih kukuh berdiri walaupun sudah tiga kali ditenggelami banjir besar pada tahun 1926, 1971 dan 2014.

“Rumah ini terletak berhampiran tebing Sungai Pahang dan sudah tiga kali ia ditenggelami banjir besar yang melanda kawasan ini,” ujarnya.

Walaupun dia sekeluarga sudah tidak menghuni kediaman tersebut, rumah itu masih sempurna dari segi fizikalnya.

“Kali terakhir saya tinggal di sini pada tahun 1989 sebelum berpindah kerana kawasan ini mudah dilanda banjir. Bagaimanapun sehingga kini, saya bersama suami dan anak-anak sering menjenguk rumah ini.

“Bagi orang kampung, rumah ini dahulu dikenali sebagai rumah besar. Arwah ayah menjalankan tugas sebagai penghulu sepanjang hayatnya di rumah ini,” katanya.

Zaharah yang kini menetap di Kampung Bukit Nikmat yang terletak berhampiran Kampung Kelola berkata, rumah itu menjadi saksi pelbagai rentetan sejarah termasuk pertemuan antara Ismail Khatib dengan tentera Jepun dan komunis.

“Menurut cerita ayah, pegawai tertinggi askar Jepun dan komunis telah datang ke rumah ini untuk mengadakan rundingan,” ujarnya.


RUMAH yang berusia 91 tahun dibuka untuk dipindahkan ke Muzium Warisan Melayu UPM.

Seni bina

Masyarakat Melayu tradisional Pahang memang kaya dengan seni bina unik yang diwarisi sejak zaman silam.

Kebiasaannya seni bina yang kreatif dan imaginatif dijelmakan menerusi reka bentuk istana, rumah, surau dan peralatan tertentu yang digunakan dalam kehidupan harian.

Rumah tradisional Pahang merupakan salah satu seni bina yang unik dan halus rekaannya.

Begitu juga rumah yang pernah didiami oleh Penghulu Mukim Kelola.

Pengarah Muzium Warisan Melayu, UPM, Dr. Muhammad Pauzi Abd. Latif berkata, rumah tersebut disifatkan sebagai sebuah rumah lama yang unik dan istimewa.

Menurut beliau, nilai sejarah yang tinggi dan keunikan seni bina rumah itu menjadikannya sebagai sebahagian daripada koleksi Muzium Warisan Melayu. Muzium tersebut terletak di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), UPM.

“Rumah ini dipilih kerana ia memenuhi kriteria muzium. Ia rumah lama yang asli dan mempunyai ciri-ciri kediaman tradisional Pahang.

“Rumah ini juga mempunyai nilai sejarah tersendiri yang menyingkap 1,001 rahsia ketika zaman penjajahan Tanah Melayu yang boleh diceritakan kepada pengunjung muzium,” katanya.

Tambah Muhammad Pauzi, pemindahan rumah tersebut dari tapak asalnya bertujuan untuk pemuliharaan semula warisan seni bina Melayu.


MUHAMMAD Pauzi menunjukkan bahagian dinding yang disambungkan tanpa menggunakan paku.

Tanpa paku

“Daripada membiarkan rumah ini rebah menyembah bumi, lebih baik ia dipelihara,” jelasnya.

Pemilihan rumah milik Ismail Khatib Abu Bakar itu dibuat berdasarkan keunikan seni binanya yang didirikan tanpa menggunakan paku. Rumah itu hanya dipasak.

Rumah yang juga dikenali dengan nama Rumah Serambi Pahang itu dibina tanpa paku pada dinding dan lantai. Sejenis alat yang dipanggil tanggam digunakan bagi menyambung bahagian tertentu.

“Rumah ini cukup istimewa, selama saya terlibat dengan pencarian rumah lama, inilah satu-satunya rumah yang mempunyai balai dan struktur kayunya masih utuh berdiri walaupun ia sudah berusia hampir 91 tahun.

“Rumah ini dibina menggunakan kayu hutan jenis cengal dan merbau. Kedua-dua jenis kayu ini tahan sehingga lebih satu abad dan tidak mudah dimakan anai-anai,” ujarnya.

Beliau turut melahirkan rasa kagum dengan ketahanan rumah itu yang tidak rosak atau beralih kedudukan meskipun diuji dengan tiga kali banjir besar di Pahang iaitu pada tahun 1926, 1971 dan 2014.

Menurut Muhammad Pauzi, idea untuk menempatkan rumah tradisional Pahang itu timbul selepas Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkunjung ke Muzium Warisan Melayu UPM.

“Selepas Ahmad Nazlan dibawa melihat seni bina rumah tradisional Terengganu, Perak dan Negeri Sembilan yang berada di muzium tersebut, beliau mencadangkan agar rumah tradisional Pahang juga ditempatkan di situ untuk dijadikan sebahagian daripada koleksi muzium.

“Misi pencarian rumah ini bermula sejak bulan November tahun lalu. Hasil bantuan Ahmad Nazlan yang berunding dengan pemilik asal rumah ini membolehkan ia dibawa ke Muzium Warisan.

“Selepas berbincang dengan waris, kami mengambil keputusan untuk memindahkan rumah tersebut pada bulan Disember tahun lalu tetapi banjir besar yang melanda kawasan itu telah membantutkan usaha tersebut,” ujarnya.

Kerja-kerja pemindahan dan proses membuka semula rumah tersebut berjalan lancar baru-baru ini.

“Proses pemindahan rumah itu mengambil masa lima hari kerana ia dimulakan dengan kerja-kerja penandaan sebelum boleh dibuka bermula.

Proses bermula daripada bahagian zink dan tulang bumbung manakala dengan kerja-kerja memasang semula dijangka mengambil masa dua bulan,” ungkap beliau.

Selain rumah tradisi Pahang, muzium itu juga menempatkan rumah tradisi Negeri Sembilan, Terengganu, Perak dan dijangka dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada bulan April atau Mei depan.

kosmo online

 Syiling dalam tiang seri
Oleh Hartini Mohd Nawi


Pembinaan semula Rumah Serambi Pahang milik peng­hulu Kampung Kelola, Jerantut di Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor mula menarik perhatian ramai.

Selasa lalu menyaksikan Majlis Menegakkan Tiang Seri rumah berkenaan yang disempurnakan Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan.

Majlis turut membabitkan proses memasukkan semula emas dan syiling perak yang ditemui dalam lubang kuku tiang seri itu ketika kerja membuka semula rumah berkenaan awal Februari lalu.

Syiling 2014 juga dimasukkan sebagai simbolik pembinaan semula rumah berkenaan. Keseluruhannya terdapat 16 tiang termasuk dua tiang seri.

Menurut Pengarah Muzium Warisan Melayu, Dr Muhammad Pauzi Abd Latif, selepas berjaya dipindahkan awal bulan lalu ke Muzium Seni Warisan itu kerja mencuci semua bahagian kayu termasuk tiang, dinding dan lantainya dilakukan sepenuhnya.

“Apabila betul-betul kering, semua bahan binaan itu disembur kawalan perosak untuk menghalang pembiakan anai-anai.

“Semua proses ini membabit­kan enam tenaga kerja, sementara proses menegakkan tiang pula me­nyaksikan empat lagi tenaga kerja diperlukan,” katanya yang terbabit secara langsung dari proses menjadi rumah warisan itu hingga memastikan ia siap dipasang semula sepenuhnya.

Beliau juga tidak menafikan pel­bagai cabaran dihadapi ketika memindahkan rumah itu kerana kayu cengal yang digunakan adalah bahagian teras dan terkenal dengan ketahanan serta berat.

Menceritakan proses pembinaan semula rumah itu, beliau berkata ia bermula dengan pemasangan dua tiang seri diikuti tiang yang lain.

“Seterusnya binaan tulang bumbung juga dilakukan, kemudian barulah lantai

rumah dipasang.

“Disusuli dengan proses meletakkan bumbung sebelum pemasangan tingkap, pintu dan dinding,” katanya yang begitu mengagumi seni bina Melayu apabila binaannya mengambil kira situasi jangka panjang.

Dalam usaha terus mempertahankan keunikan rumah berkenaan, pada bahagian kayu yang sudah rosak, ia diganti dengan material jenis sama.

“Penggunaan kayu cengal menjadi keutamaan dalam memulihara keaslian rumah ini,” katanya.

Dijangka siap sepenuhnya pada April nanti, rumah tradisional Pahang itu bakal menjadi salah satu khazanah unik di Muzium Warisan Melayu selepas Rumah Negeri Sembilan, Rumah Perak, Rumah Tereng­ganu.

Rumah Serambi Pahang

Tiga kali dilanda banjir besar iaitu pada 1926, 1971 dan tahun lalu cukup menguji ketahanan rumah tradisional berusia 91 tahun ini untuk diangkat antara kediaman paling unik dan sarat dengan nilai keindahan. Inilah antara satu-satunya yang mempunyai balai dan struktur kayunya kukuh.

Ia dimiliki Penghulu Mukim Kelola, Ismail Khatib Bakar dan isterinya, Tijah Dolah.

Dibina sendiri Ismail pada 1924 dan beliau dikatakan ada pertalian darah dengan Tok Pahlawan Gendut iaitu antara pejuang Pahang yang menentang pendudukan Inggeris di Tanah Melayu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015

DUA tiang seri ditegakkan.
 
MyMetro


Rumah Melayu Pahang terabai

Oleh HARIS FADILAH AHMAD



Rumah yang menggunakan kulit pelupuh pada dinding dan kayu hutan memaparkan kemahiran tukang rumah mengadaptasi sumber hutan dalam seni bina Rumah Pahang di Kampung Pagi, Hulu Tembeling, Jerantut.

KUALA LIPIS 25 Julai - Masyarakat Melayu tradisional Pahang memang kaya dengan seni bina yang diwarisi sejak zaman silam.

Kebiasaannya seni bina yang kreatif dan imaginatif dijelmakan menerusi reka bentuk istana, rumah, surau, perahu, reban ayam dan peralatan tertentu yang digunakan dalam kehidupan harian.

Salah satu seni bina dikagumi dengan kehalusan reka bentuknya ialah rumah tradisional Melayu Pahang.

Keunikan rumah tradisional Pahang dibina tanpa menggunakan walaupun sebatang paku, apabila sejenis alat yang dinamakan tanggam diguna atau diperkuatkan bagi menyambung bahagian tertentu.

Sesuai dengan penempatan orang Melayu di persisiran sungai, kebanyakan rumah berkenaan masih boleh ditemui di kampung berdekatan Sungai Jelai, Sungai Pahang dan Sungai Tembeling di daerah Lipis, Jerantut, Temerloh, Maran dan Pekan.

Zaman telah berubah apabila nilai seni bina berciri moden kini lebih kontras dan mendominasi kehidupan masyarakat Melayu hari ini sehingga menenggelamkan bentuk kediaman tradisional yang sepatutnya dihargai oleh semua pihak.

Rumah tradisional Melayu Pahang yang juga dikenali dengan nama Rumah Serambi Pahang, biasanya berbumbung panjang manakala di tepi dinding dipasang tabir layar dan terdapat ukiran di pinggirnya.

Pembahagian ruang rumah tersebut terdiri daripada rumah ibu dan dapur yang dipisahkan dengan ruang yang dipanggil selang.

Seni bina itu juga mengandungi ruang tertentu di bahagian hadapan iaitu ruang serambi diikuti oleh ruang ibu yang terdiri daripada ruang pentas dan 'perbalai.'

Di belakang pula ialah ruang kelek anak atau serambi belakang. Bagi ruang dapur, ia terdiri daripada ruang pelantar yang digunakan untuk memasak dan membasuh.

Faktor cuaca banyak mempengaruhi seni bina rumah tradisional Pahang dan ia terbukti apabila reka bentuk atap yang lebih cerun dan bertiang untuk mengelak banjir.

Reka bentuk yang lebih terbuka iaitu kehadiran tingkap yang banyak, beranda dan tiang itu sendiri memberi laluan angin di bahagian bawah rumah, tingkap dan bumbung.

Bentuk berkenaan banyak diasosiasikan dengan pertembungan budaya dan pengaruh binaan Minangkabau, Aceh, Bugis, Jawa dan Siam selain mempamerkan hasil kemahiran tukang rumah tempatan.

Seni bina rumah Pahang juga dibina bercirikan reka bentuk seni bina Melayu 'Palladian,' berbumbung tradisional Melayu manakala ukiran pada pintu dan dinding memaparkan motif Barat seperti yang boleh dilihat di kediaman rasmi bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, iaitu rumah kelahiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di Bukit Bius di sini yang dibina pada 1922.

Kediaman itu dilengkapi beberapa bilik yang dibina menggunakan kayu hutan bermutu tinggi dan tahan lama tanpa boleh dirosakkan oleh anai-anai dan haiwan pemusnah lain.

Pada zaman awal, kayu menjadi tunjang kepada struktur rumah berkenaan, manakala rotan dan akar menjadi pengikat, kayu atau batang pinang menjadi lantai, buluh serta daun rumbia atau nipah menjadi dinding dan atap.

Kebiasaannya, rumah tradisional Pahang diperkukuhkan oleh penggunaan kayu hutan yang dibelah dan dijadikan papan iaitu kayu meranti, merbau, cengal dan beberapa jenis kayu hutan lain yang mampu bertahan sehingga lebih satu abad.

Ciri binaan yang kreatif berunsurkan motif tumbuhan iaitu daun, bunga, dan haiwan terutama burung masih boleh dilihat pada ukiran di tingkap, pintu, dinding, bumbung dan rasuk.

Tanggam dibuat untuk mencantum bahagian rasuk dengan tiang, alang, lantai, anak tangga dan kekuda bumbung mempamerkan kesenian binaan kediaman tanpa menggunakan sebatang paku.

Rumah Melayu tradisional Pahang merupakan warisan seni bina yang cukup unik dan sangat bernilai.

Reka bentuknya dibina oleh tukang rumah yang menampakkan kemahiran dan kreatif dalam bidang seni bina zaman silam.

Ia memaparkan kebijaksanaan dalam penggunaan dan perluasan ruang mengikut keperluan semasa, mengadaptasi cuaca dan penggunaan bahan binaan.

Rumah tradisional Melayu Pahang melambangkan cara hidup masyarakat zaman silam di pesisiran sungai yang menjadi nadi sumber rezeki dan pengangkutan yang sangat penting pada zaman berkenaan.

Bagaimanapun, rumah Pahang atau dikenali rumah pusaka kini semakin dilupakan.

Jika ada pun, rumah tradisional itu akan dibiarkan usang, dimakan anai-anai dan bersemak samun, malah hampir ranap menyembah bumi apabila generasi masa kini lebih gemar membina rumah batu serba moden di kampung masing-masing.

utusan online



info







foto sumber : rumah klasik pahang


1 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena