PPPM PT : Hala Tuju Baharu Negara




PPPM(PT) HALA TUJU BAHARU NEGARA
08 April 2015

 NAJIB TUN RAZAK beramah mesra bersama Timbalan, Tan Sri Muhyiddin Yassin Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Mary Yap Kain Ching sejurus melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 di Kuala Lumpur di sini hari ini.

Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau PPPM(PT) 2015-2025 di Kuala Lumpur

Assalamualaikum, salam sejahtera, salam 1Malaysia.

Alhamdulillah, pada tengah hari ini de­ngan izin Allah jua, maka kita dapat berkumpul dalam dewan ini. Minat masyarakat terhadap bidang pendidikan negara kita tentu sekali manifestasinya adalah kehadiran dan komitmen kita bersama dan pandangan-pandangan yang kita berikan untuk menjayakan bidang pendidikan negara.

Walaupun sebagai bekas Menteri Perdidikan, saya amat sedar bagaimana ‘everybody thinks that he or she is the expert in education’ (Semua orang berfikir yang mereka adalah pakar dalam pendidikan). Itu cabarannya apabila menerajui Kementerian Pendidikan.

Saya berasa amat gembira hari ini kerana saya diundang untuk menjadi sebahagian daripada satu peristiwa yang amat bersejarah lagi bermakna kepada negara.

Hari ini kita melancarkan pelan pendidikan tingi untuk negara tetapi ini bukan sekadar pelan pendidik­an. Apa yang kita lancarkan adalah satu hala tuju baharu yang akan menentukan masa depan negara kita yang tercinta.

Sebab itu saya terharu apabila dijemput dan saya ucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri sebagai Menteri Pendidikan kerana memberi penghormatan kepada saya dan ucapkan tahniah kepada beliau dan kementerian atas inisiatif membentangkan pelan pendidikan ini.

Saya telah semak dan teliti kandungannya dan presentation (persembahannya) pun menarik, mata rabun pun senang nampak. Jadi tolong baca laporan ini kerana ia mengandungi hala tuju bidang pendidikan tinggi negara kita.

Saya amat tertarik dengan perkara utama dan pokok yang dihuraikan Timbalan Perdana Menteri sebentar tadi dan disertakan dengan persembahan visual.

Amat jelas 10 lonjakan yang hendak dicapai dan lima aspirasi sistem yang hendak dijadikan objektif. Dan tumpuan kepada ciri-ciri pelajar yang lahir daripada sistem ini.

Saya tanya dan cuba rumuskan apa sebenarnya objektif sistem pendidikan tingi negara? Saya dapat rumuskan dengan mudah iaitu ada tiga perkara atau tiga ‘B’, kebetulannya ia bermula dengan huruf B.

Yang pertamanya, bakat, kita hendak bangunkan bakat agar negara kita dapat bersaing. Jadi sistem pendidikan tinggi kita mesti mampu menjana bakat.

Bakat macam mana? Itu adalah B yang kedua. Bakat yang bertaraf global. “You are benchmarking international if you want to be among the best, at least the top of one third among the nations of the world.”

Ini bererti apa kita nak lakukan ini akan sentiasa mencapai ‘benchmark’ (penanda aras) secara global supaya kedudukan Malaysia bertambah baik dari semasa ke semasa.

Dan ketiganya adalah berteraskan nilai atau ‘value driven’. Timbalan Perdana Menteri menyebut ‘well rounded, in every sense’. Maknanya seimbang. Wasatiyyah juga tentu sekali. Memahami mengenai dunia, memahami dari mana kita datang. Mempunyai jati diri sebagai Malaysia. Identitinya Malaysia tetapi menerima kepelbagaian.

Saya juga tertarik kepada ciri-ciri yang mana penekanan juga diberi pada aspek spiritual (kerohanian) dan morality based (bermoral). Sebab pandai sahaja tapi tiada nilai spiritual akhlak pun tidak berguna.

Dia boleh menggunakan kepandaiannya merosakkan negara kita. Contoh paling ekstrem, ada kelulusan tinggi tetapi guna ilmu itu buat bom, ini tidak mustahil.

Inilah sebab kita hendak bangunkan ciri-ciri positif kepimpinan dalam apa jua situasi. Ini semua dalam buku PPPM(PT). Saya cuma bacakan apa dalam buku.

Soal identiti, soal bahasa Malaysia. Ini wajib. Ini sebahagian ciri-ciri identiti nasional. Kita mesti fasih dalam bahasa kebangsaan, bahasa Malaysia di samping itu mengakui bahasa Inggeris merupakan bahasa global dan (menguasai) bahasa ketiga.

Perkara komunikasi ini diberi perhatian dan tentu sekali ilmu berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik (STEM). Inilah antara subjek amat penting yang boleh menentukan daya saing kita atau daya saing negara.

Saya juga tertarik soal akses pendidikan tingi. Kalau hari ini akses dalam lingkungan 36 peratus, menjelang 2025, 36 peratus itu akan melonjak 53 peratus. Ini satu pe­ningkatan yang meletakkan Malaysia dalam kalangan negara OECD (Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan).

Saya juga tertarik kepada cadang­an diberi autonomi lebih kepada universiti. Universiti sepatutnya diberi autonomi lebih. Ini termasuk kuasa-kuasa Kementerian Kewang­an diturunkan kepada universiti. Kuasa JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) juga mungkin.

Saya tertarik konsep universiti mesti cari sumber kewangan yang bertambah. Jangan asyik nak bentang peruntukan tambahan kepada Kabinet sahaja. Saya tengok dalam pelan ini, misalnya menjelang tahun 2025, RM17 bilion sumbangan kerajaan, RM4 bilion universiti kena cari tetapi tidak sebut pembahagian setiap universiti.

Tapi umumnya, RM4 bilion kena datang daripada universiti. Saya tidak fikir ini susah. Ada universiti yang mempunyai bank tanah 2,000 ekar (809.3 hektar). Takkan daripada 2,000 ekar tidak boleh cari beberapa ratus juta. You can monetize your asset (Awak boleh menggunakan aset untuk menjanakan wang).


Keduanya, endownment boleh cari minta alumni. Minta dia, haruk dia, kokah dia, takkan dia tidak sa­yang alma mater. Tambah wakaf lagi, ini semua kita boleh usahakan. Kalau ada endownment, monetized asset dan R&D (penyelidikan dan pembangunan), tentu sekali universiti boleh cari punca yang lebih besar.

Soal pembiayaan. Ini kita kena uar-uarkan kerana kalau lihat dari segi peruntukan pendidikan tinggi, secara relatifnya, bajet diluluskan kerajaan untuk pendidikan tinggi peratusannya adalah 7.7 peratus, menjadikan Malaysia antara negara tertinggi dari segi perbelanjaan pendidikan tinggi.

Perbandingannya, negara Korea Selatan 3.9 peratus, Jepun 1 peratus, Indonesia 3.1 peratus, Thailand 3 peratus dan Singapura 6.4 peratus tetapi Malaysia di bawah kerajaan yang ada sekarang ini, 7.7 peratus.

Kita punya komitmen dari segi pembiayaan pelajar. Purata kos untuk kita menjana seorang pelajar dari IPTA adalah RM18,000, puratanya, kalau masuk semua kos, jadi angkanya, RM20,7000. Yang dikenakan bayaran pada pelajar puratanya adalah RM2,000. Maknanya dari segi pendidikan tinggi, 90 peratus ditanggung kerajaan, cuma 10 peratus dikenakan ke atas pelajar. Ini kita kena uar-uarkan, baik tak baik kerajaan, kenakan bayaran RM2,000 sahaja dan tidak dikenakan GST (cukai barang dan perkhidmatan).


Ini untuk pelajar kita dan beri akses pendidikan.

Saya juga tertarik dengan pelan ini kerana ditekankan soal produktiviti dan efisien. Maknanya, kalau hendak bajet tambahan, kena tunjukkan produktiviti dan efisien le­bih baik, baru EPU (Unit Perancang Ekonomi) lulus, baru Kementerian Kewangan bagi dana tambahan.

Bukannya bajet tahun lepas RM300 juta, tahun ini RM330 juta juga. Tak boleh, kita kena ada pe­ningkatan dalam produktiviti dan kerja yang efisien, baru peruntukan akan bertambah. Ini bermakna universiti mesti diurus tadbir dengan lebih efisien.

Misalnya kebolehpasaran gra­duan. Berapa? Apa peratusnya untuk mendapat pekerjaan? Ini mesti kita ambil kira. Berapa banyak kos bagi seorang pelajar? Saya dapat tahu universiti yang paling mahal, yang saya tidak hendak sebut nama, RM38,0000 bagi seorang pelajar. IPT yang paling murah, saya tidak hendak sebut nama, RM8,000 bagi seorang pelajar. Jadi ada banyak variasi daripada RM38,000 kepada RM8,000. Universiti-universiti me­sti lebih produktif dan efisien. Ini prinsip-prinsip yang dicadangkan dalam PPPM(PT).

Saya tertarik dengan pelan ini dan saya hendak sebut kemajuan pendidikan tinggi semakin hari semakin mantap kedudukannya dan pagi ini dalam akhbar tempatan, saya hendak bacakan berita, ‘Penyelidik Malaysia mengatasi penyelidik Thailand dan Singapura’.

Akhbar ini petik daripada suratkhabar The Nation di Thailand.

Satu ketika dahulu, kita bermula lebih rendah, sekarang kita ini memotong Thailand dan Singapura dari segi penerbitan ilmiah. Jadi tahniah saya ucapkan. Ini yang dikatakan penanda aras global. Bila kita ada usaha-usaha seperti ini dan saya sokong sangat apa Timbalan Perdana Menteri sebut tadi dalam analisis terakhir, semuanya adalah mengenai pelaksanaan, pelaksa­naan dan pelaksanaan.

Mudah-mudahan dengan penekanan soal pelaksanaan dan jawatankuasa khas diketuai Timbalan Perdana Menteri dan sokongan semua pihak, saya hendak menyatakan secara peribadinya saya menyokong pelan ini.

Saya ucapkan tahniah kepada semua pihak. Saya tahu banyak usaha dilakukan untuk menjayakan pelan ini. Ia bukan mudah tapi saya ya­kin dan percaya, “this could be very transformative for the nation” (Ini boleh mengubah negara).

Pelan ini boleh menentukan masa depan yang lebih cemerlang untuk negara Malaysia. Saya ucapkan terima kasih kepada CEO-CEO (ketua-ketua pegawai eksekutif) yang meluangkan masa. Saya difahamkan janjinya 15 jam setahun tetapi sekarang sudah tambah jadi 30 jam. Mereka tidak complaint, sebaliknya mereka sanggup menyumbang kepakaran dan pengalaman kepada pelajar.

Saya doakan pelan ini berjaya sepenuhnya. Dengan lafaz Bismillahirahmanirahim, saya dengan sukacitanya melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

Sekian, terima kasih.


utusan online

Najib lancar 
PPPM (PT) hari ini
07 April 2015


KUALA LUMPUR 6 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT) 2015-2025 di The Royale Chulan Hotel di sini, esok.

Pelan tersebut mengandungi 10 lonjakan setelah melalui tiga fasa yang melibatkan semua pihak berkepentingan demi membawa sistem pendidikan tinggi Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi dan bertaraf dunia.

Fasa I adalah semakan semula Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) pada tahun 2013 yang melibatkan pelbagai pihak yang berkaitan dengan pendidikan tinggi dari dalam dan luar negeri melalui kajian soal selidik, perbincangan kumpulan terfokus dan juga sesi pendengaran umum.

Input yang diperoleh daripada Fasa I telah digunakan sebagai baseline untuk proses membentuk konsep PPPM (PT) atau Fasa II yang melibatkan ahli akademik serta pendidik di kalangan sektor awam dan swasta.

Seterusnya, dalam Fasa III, pelan yang telah ditulis ini sekali lagi, mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak, sama ada secara bersemuka atau dalam talian, merangkumi 5,000 peserta yang terdiri daripada wakil institusi pengajian tinggi, badan profesional, persatuan pekerja, pihak industri, pelajar dan alumni, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG).

Pelan ini merupakan kesinambungan PPPM (sekolah) yang fokus untuk membangunkan kemahiran khusus dan atribut yang boleh diterapkan kepada murid dan mahasiswa bagi membolehkan mereka menerajui pembangunan ekonomi dan dunia global pada masa hadapan.

Menerusi PPPM (PT), Kementerian Pendidikan akan memastikan bahawa akses dan kualiti pendidikan akan terus ditingkatkan untuk semua warganegara secara saksama.

utusan online

PPPM-PT Jadi Pemangkin Masa Depan Cemerlang Untuk Malaysia


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama para pelajar melihat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi)


KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi)(PPPM-PT) bakal menjadi pemangkin kepada transformasi negara untuk bersaing di peringkat global.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pelan yang menggariskan 10 lonjakan itu mampu mewujudkan modal insan yang dikategorikan sebagai 3B iaitu berbakat, bertaraf global dan berteraskan nilai positif.

"Saya yakin pelan ini akan memangkin transformasi dan ia boleh menentukan masa depan yang lebih cemerlang untuk negara Malaysia," katanya ketika berucap melancarkan PPPM PT di sini hari ini.

Turut hadir timbalannya merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.

Najib berkata PPPM-PT menumpukan kepada penjanaan pelajar berbakat yang penting bagi sesebuah negara dalam mengekalkan kejayaannya.

Perdana Menteri berkata usaha melahirkan pelajar bertaraf global pula akan menempatkan Malaysia sebagai antara sebuah negara terbaik di dunia.

Beliau menegaskan bahawa pelajar yang berteraskan nilai positif dari segi rohaniah, moral, etika dan kekuatan akan menonjolkan identiti nasional selari dengan kemajuan negara.

Sebaliknya, Perdana Menteri menegaskan apa yang perlu dijauhi ialah ilmu yang dipelajari tidak digunakan untuk kebaikan.

"Contoh yang paling ekstrem, ada dalam kalangan masyarakat yang mempunyai kelulusan tinggi tetapi menggunakan ilmu yang ada untuk membuat bom," katanya sambil menambah negara perlu mempunyai pelajar yang berciri positif.

Dalam pada itu, Najib berkata menerusi lonjakan kemampanan kewangan, pihak universiti di negara ini perlu mencari sumber kewangannya sendiri dan tidak terlalu mengharapkan peruntukan tambahan daripada kerajaan. Bagaimanapun, Najib berkata kerajaan akan menimbangkan pemberian bajet tambahan kepada universiti yang menunjukkan prestasi tinggi.

Beliau seterusnya berkata pihak universiti perlu meningkatkan produktiviti dan kecekapan terutama dalam memastikan kebolehpasaran graduan mereka.

"Kerajaan menyediakan peruntukan sewajarnya untuk perbelanjaan pendidikan tinggi dan latihan, antara yang tertinggi dalam kalangan negara ASEAN dan beberapa negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan, katanya. -- BERNAMA

bernama


3 rumusan mustahak


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merumuskan tiga perkara utama (3B) hasil penelitiannya terhadap Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT) iaitu bakat berkualiti, penanda aras bertaraf global dan berteraskan nilai.

Menurut Najib, ketiga-tiga rumusan 3B ini apabila dicapai membolehkan Malaysia melangkah lebih jauh dalam pelbagai bidang termasuk bidang pendidikan tinggi.

“Kita perlu bangunkan bakat kerana mana-mana negara yang hendak bersaing di dalam dunia perlu untuk membangunkannya.

“Pada masa depan, semuanya berkaitan dengan bakat. Oleh itu, sistem pendidikan tinggi Malaysia perlu mampu membangunkan bakat bagi merealisasikan hasrat negara,” katanya ketika berucap merasmikan Pelancaran PPPM (PT) di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa.

Menurut Najib, seterusnya, ia berkaitan perkembangan bakat yang terbaik untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

“Bakat yang dibangunkan perlu bertaraf global. Kita juga mesti ada sasaran di peringkat antarabangsa seperti mahu jadi antara yang terbaik.

“Ini bererti, apa saja yang kita mahu lakukan, kita perlu sentiasa menggunakan tanda aras global supaya kedudukan Malaysia akan bertambah baik dari semasa semasa,” katanya.

Menurut Najib, hasil keluaran PPPM (PT) juga perlu berteraskan kepada nilai diri individu berkaitan di mana individu berkenaan mesti seimbang, wasatiyah, faham mengenai hal sekeliling serta faham dari mana asalnya.

Najib berkata, individu berkenaan juga perlu mempunyai jati diri sebagai rakyat Malaysia, tetapi pada masa sama mampu menerima kepelbagaian.

“Saya juga tertarik dengan ciri-ciri pelajar seperti etika, kerohanian, moral selain pendidikan. Jika seseorang pelajar itu hanya pandai tetapi tiada akhlak, itu juga tidak bermakna. Dia boleh gunakan kepandaiannya untuk merosakkan negara.

“Contoh, dia ada kelulusan tinggi tetapi menggunakan ilmu dipelajari untuk menghasilkan bom. Ia tidak mustahil dalam konteks ini,” katanya.

Najib turut menekankan kepentingan Malaysia untuk membangunkan pelajar yang penuh dengan ciri positif serta mempunyai sikap kepemimpinan dalam apa jua situasi dihadapi.

Pada masa sama, Najib berkata, jati diri nasional serta soal Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan juga perlu ditekankan.

“Bahasa Malaysia adalah sebahagian daripada identiti nasional kita, mesti fasih dalam bahasa kebangsaan selain mengakui Bahasa Inggeris sebagai bahasa global serta bahasa ketiga (di Malaysia). Ini bererti, kemahiran komunikasi perlu diberi perhatian dalam PPPM (PT).

“Selain itu, untuk makluman, bajet dikeluarkan oleh kerajaan untuk pendidikan pula ialah 7.7 peratus dan ia yang tertinggi berbanding negara maju seperti Korea Selatan yang mengeluarkan 3.9 peratus, satu peratus bagi Jepun, tiga peratus bagi Thailand manakala Singapura pula 6.4 peratus,” katanya.

Menurut Najib, daripada segi pembiayaan, kos purata dikenakan untuk semua perbelanjaan di universiti membabitkan seorang mahasiswa ialah RM20,700 namun kerajaan menanggung 90 peratus daripada jumlah itu manakala mahasiswa hanya perlu membayar RM2,000 saja.

Selain itu, Najib turut tertarik pada konsep universiti mencari sumber kewangannya yang bertambah dan tidak hanya membentangkan mengenai peruntukan tambahan kepada kerajaan.

“Saya lihat dalam PPPM (PT), contohnya, menjelang 2025, daripada segi perbelanjaan operasi, RM17 bilion disumbang kerajaan manakala universiti perlu mencari sendiri RM4 bilion.

“Saya tidak fikir ia susah sangat untuk universiti perlu cari sendiri (sumber kewangan) kerana ada universiti yang pemilikan tanahnya lebih 500 hektar. Takkan daripada 500 hektar tak boleh cari beberapa ratus juta daripadanya. Anda (pengurusan universiti) boleh menjana kewangan daripada aset dimiliki selain boleh juga minta sumbangan daripada alumni,” katanya.

Menurut Najib, ditambah hasil daripada wakaf, pembiayaan daripada yayasan serta hasil kajian dan penyelidikan (R&D), ia boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan universiti.

Najib turut mengatakan tambahan dana akan diberi kepada universiti yang diurus tadbir dengan baik serta efisyen.

“Kalau mahu bajet tambahan, pengurusan universiti mesti tunjukkan hasil produktiviti serta efisiensi. Contoh, apa peratusan kebolehpasaran mahasiswa dan ia perlu diambil kira,” katanya.

Pada masa sama, dengan penekanan pelaksanaan PPPM (PT) yang diketuai sendiri oleh Muhyiddin serta sokongan semua pihak, Najib secara peribadi mengatakan beliau memberi sokongan penuh kepada pelan berkenaan.

hmetro online

Graduan berciri keusahawanan diutama


KUALA LUMPUR: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025, PPPM (PT), dirangka selaras aspirasi Kementerian Pendidikan untuk mewujudkan sistem pendidikan tinggi terbaik bagi membolehkan negara bersaing dalam ekonomi dunia.

Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaannya, perubahan besar turut membabitkan peranan kementerian yang antara lain bertujuan mewujudkan sistem pendidikan tinggi yang berupaya melahirkan graduan berciri keusahawanan yang mencipta pekerjaan, bukan sekadar makan gaji.

Kemahiran selaras keperluan industri

Pembangunan sistem baharu ini bukan hanya tertumpu kepada laluan akademik biasa, sebaliknya menekankan laluan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memperkasa kebolehpasaran graduan menerusi peningkatan kemahiran mengikut permintaan industri.

Tumpuan turut diberikan kepada keberhasilan berbanding input, selain penggunaan teknologi dan inovasi bagi memenuhi keperluan serta meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar.

Pembangunan sistem inovasi berteraskan beberapa bidang strategik akan menyokong penyelidikan universiti, model pembangunan dan pengkomersialan hasil kajian.

Kawal selia antara universiti awam dan swasta juga akan diperkukuhkan, selain peralihan daripada sistem tadbir urus berpusat masa kini kepada model yang lebih autonomi dalam rangka kerja perundangan yang ditetapkan.

Justeru, universiti awam dan swasta akan beroperasi secara bebas dalam lingkungan kerja pengawal seliaan yang diwujudkan kerajaan, seiring struktur tadbir urus yang mantap, hak membuat keputusan serta keberkesanan dalam pengurusan pihak berkepentingan.

Jimat sumber kerajaan

Aspek lain ialah memastikan kemapanan kewangan dengan cara mengurangkan kebergantungan pada sumber kerajaan dan pemegang taruh, selain penyaluran sumbangan oleh pihak berkepentingan.

Sementara itu, universiti awam dan swasta akan mempelbagaikan sumber pendapatan untuk meningkatkan kualiti program secara berterusan, lebih berhemat dan inovatif dalam penggunaan sumber.

Kementerian juga menyasarkan peningkatan pendidikan tinggi ke tahap antara tertinggi di ASEAN menjelang tahun 2025.

Bagaimanapun, bentuk sebenar peningkatan berdasarkan bilangan tempat dan profil program akan ditentukan secara kerjasama dengan industri bagi memastikan penawaran sepadan dengan permintaan.

bh online





Comments