perkasakan jawi


Usaha perkasakan semula tulisan jawi
20 April 2015

 RAZALI IBRAHIM melihat seorang penulis khat melakarkan kemahirannya di atas kertas semasa hadir menyampaikan hadiah bagi Pertandingan Semarak Jawi pada Karnival Johor Corporation sempena Hari Pemahkotaan Sultan Johor di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor, semalam. Utusan/Ishak Rahmad

MUAR 19 April – Penggunaan tulisan jawi perlu diperkasakan dengan mewujudkan instrumen atau aplikasi digital yang boleh memartabatkan tulisan itu yang pernah digunakan sebagai bahasa persuratan dan perhubungan dalam tamadun Melayu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, sebagai contoh satu perisian berkenaan tulisan jawi perlu diwujudkan supaya khazanah Melayu yang tidak ternilai itu terus relevan dalam abad ke-21.

“Pakar-pakar dalam bidang kejuruteraan kita perlu mencipta satu aplikasi menggunakan tulisan jawi, contohnya jika kita ingin tahu perkataan Melayu dalam tulisan jawi, pautan itu boleh didapati di internet atau melalui perisian tertentu.

“Tulisan jawi tidak seharusnya digunakan oleh murid sekolah agama sahaja. Usaha memartabatkan tulisan ini adalah tanggungjawab bersama supaya kembali diminati dan digunakan secara meluas oleh generasi muda,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Jalinan Ukhuwah An-nur Semarak Jawi di Dataran Tanjung Emas di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Waqaf An-nur Corporation Berhad, Norishah Mohd. Seth.

Razali berkata, usaha mengangkat semula martabat tulisan jawi tidak harus dipersenda atau diperlekehkan kerana jika tidak dilakukan, warisan Melayu itu akan pupus ditelan zaman seperti mana tulisan lama lain.

Malah katanya, keadaan masa kini adalah menyedihkan kerana ramai generasi muda yang ‘buta jawi’.

Jelasnya, usaha ‘menyegarkan’ semula tulisan itu tidak seharusnya dilihat dalam konteks perkauman sempit kerana tulisan itu merupakan warisan negara.

“Rakyat perlu tahu bahawa tulisan jawi bukan perkara kecil, tetapi merupakan lambang kehalusan bangsa menerusi kesenian yang wujud padanya dan pernah digunakan secara meluas.

“Tulisan jawi pernah mencapai zaman kegemilangannya pada abad ke-18 hingga penjajah Inggeris di Tanah Melayu ketika itu perlu belajar dan membaca tulisan jawi. Ini dibuktikan melalui koleksi warkah Francis Light yang tersimpan di Muzium Perpustakaan British antara 1786 hingga 1794,” katanya.

“Begitu juga perjanjian antara Sir Stamford Raffles dengan pihak Sultan Johor selain Perjanjian Pangkor 1874 dan Pemasyhuran Kemerdekaan 1957. Tulisan merupakan satu lambang kesenian dan ketinggian serta kehalusan jiwa bangsa,” ujarnya.

Tulisan katanya, tidak boleh dianggap perkara kecil dan usaha JCorp mengembalikan semula akhbar jawi Utusan Melayu dalam edisi cetak bermula 16 Februari lalu merupakan satu langkah awal menghidupkan semula khazanah itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, usaha tersebut perlu diperluaskan dan syarikat milik kerajaan (GLC) di negeri lain harus mencontohi usaha JCorp dalam menerbitkan dan mengedarkan akhbar jawi itu.

utusan online


Cari kaedah baharu perkasa Jawi
Wartawan Sinar Harian
21 April 2015



MUAR - Pendekatan lebih segar dan kreatif perlu digunakan untuk memperkasakan tulisan Jawi dalam kalangan generasi muda supaya golongan berkenaan mampu menguasai dengan baik tulisan itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, pendekatan melalui pembacaan surat khabar dan pembelajaran dalam kelas bagi tulisan Jawi masih relevan tetapi dengan menggunakan kaedah baharu yang lebih segar mampu menarik lebih minat golongan sasar itu untuk mempelajarinya.

“Program Semarak Jawi menerusi aktiviti pencarian harta karun bertujuan menguji kemahiran peserta untuk memahami tulisan Jawi merupakan salah satu pendekatan yang dikehendaki dalam menyubur dan membudayakan tulisan tersebut.

“Kejuruteraan komputer boleh digunakan untuk membangunkan aplikasi tulisan itu dalam komputer yang terhad penggunaannya,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan hadiah Pertandingan Semarak Jawi di Dataran Tanjung Emas, di sini kelmarin.

Hadir sama, Pengurus Besar Waqaf An Nur Corporation Berhad, Norishah Mohd Seth dan wakil rasmi Pegawai Pendidikan Agama Daerah Muar, Sanusi Ahmad.

Razali yang juga Ahli Parlimen Muar itu berkata, beliau memuji usaha Johor Corporation (Jcorp) menganjurkan program berkenaan, selain menaja pengeluaran akhbar Jawi yang diedarkan ke sekolah terpilih di seluruh Johor setiap minggu.

Katanya, Jcorp mendahului badan korporat lain sebagai perintis dalam membudaya dan menyuburkan tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat.

“Walaupun pengedarannya terhad di negeri ini sahaja tetapi saya percaya jika ada usaha berterusan daripada semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC), maka ia (edaran) boleh diperluaskan ke seluruh negara.

“Ini bukan soal penggunaan satu kaum tetapi sejarah negara kita sebelum merdeka telah menggunakan tulisan Jawi sebagai tulisan rasmi dalam dokumen rasmi kerajaan,” katanya.

Katanya, tulisan itu perlu dipulihara sebagai lambang kebanggaan negara ini seperti mana di negara Eropah yang cukup terkenal dengan bahasa Latin dan Greek. Meskipun bahasa itu hampir pupus tetapi menjadi kebanggaan mereka.

sinar harian


Comments