artis dan puisi

Artis popular bangga sertai acara baca puisi
06 April 2015



KUALA LUMPUR 5 April – Biarpun kali pertama mendeklamasi puisi di hadapan khalayak ramai, namun pelakon Johan As’ari berjaya menarik perhatian penonton di Persada Canselori. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan persembahan bertenaganya.

Semangat aktor muda itu begitu berkobar-kobar ketika membaca puisi bertajuk Aku tulisan Chairil Anwar pada majlis Bintang-Bintang Berpuisi anjuran akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia dengan kerjasama UKM.

Kata Johan, undangan penganjur untuk membaca puisi pada acara itu adalah satu penghormatan buatnya kerana selama ini, dia tidak pernah terfikir untuk menyertai mana-mana acara sedemikian.

“Pada mulanya saya agak gemuruh kerana bimbang tidak mampu untuk membaca puisi memandangkan ini penyertaan kali pertama saya. Tetapi, sebaik berada di pentas ada semangat yang berkobar-kobar untuk saya membuktikan kemampuan mendeklamasi puisi,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui sejurus menyampaikan puisi Aku.

Johan juga tidak menolak untuk melibatkan diri dengan lebih aktif di gelanggang kesusasteraan terutamanya dalam aktiviti membaca puisi pada masa depan seandainya diberi peluang untuk berbuat demikian.

Bagi pelakon wanita ternama, Rita Rudaini, beliau tidak mampu menyembunyikan rasa terharu dan sebak ketika mendeklamasikan puisi Ketika Cinta Telah Pergi nukilan Pengarang Hiburan Utusan Malaysia, Tengku Khalidah Tengku Bidin pada acara Bintang-Bintang Berpuisi itu.

Ada getar pada suara Rita ketika menyampaikan bait-bait puisi yang menggambarkan kekecewaan yang dialami selepas kehidupan peribadinya diuji dengan kegagalan dalam perkahwinan.


“Tentu sekali puisi yang saya sampaikan ada kaitan dengan kehidupan saya yang tidak lekang diduga dengan ujian,” katanya.

Rita yang menyifatkan pengalaman membaca puisi dalam acara anjuran akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia itu sebagai kenangan paling bermakna dalam hidupnya.

Rita mengakui, sebagai selebriti bukan mudah untuk dia berkongsi dan bercerita dengan terbuka mengenai kepayahan yang dilaluinya dengan masyarakat, namun, puisi membuka ruang ekspresi dalam laras bahasa yang sarat terkandung makna.

Pada acara Bintang-Bintang Berpuisi itu juga, penyanyi terkenal, Datuk Hattan mengajak khalayak kembali menghayati erti sebenar kehidupan menerusi persembahan nyanyian lagu Engkau Yang Satu dan Kepadamu Kekasih.

Kata Hattan, beliau sengaja memilih untuk menyanyikan kedua-dua lagu itu pada acara tersebut kerana karya berkenaan merupakan manifestasi perasaan beliau terhadap kisah-kisah duka yang melanda negara termasuk yang terbaharu nahas helikopter semalam yang mengorbankan enam mangsa termasuk kenalan rapatnya, Tan Sri Jamaludin Jarjis.

Hattan mengakui, beliau berasa amat terkesan dengan pemergian Jamaludin yang bukan sekadar seorang sahabat, sebaliknya, sudah seperti saudara kandungnya.

“Kedua-dua lagu yang dinyanyikan itu benar-benar menginsafkan saya dan saya memilih lagu-lagu itu sebagai ingatan pada diri saya sendiri bahawa kita harus menyedari dalam hidup ini, kematian sangat dekat, tanpa ada sesaat pun waktu akan berundur atau cepat seandainya sudah sampai masa untuk kita dipanggil oleh Allah,” ujar Hattan dalam nada sebak.


Sementara itu, pelakon Yana Samsudin yang juga kali pertama mendeklamasi puisi tidak menafikan, tugas itu bukan mudah untuk dilaksanakannya.

Menurut Yana, dia berasa amat gemuruh sebelum naik ke pentas dan sedikit sebanyak mengganggu fokus persembahannya.

Bagaimanapun, Yana berkata, dia sangat bersyukur kerana dapat menghayati puisi Air Mata dengan baik.

“Memang saya tidak pernah berpuisi, ini kali pertama di majlis Bintang-Bintang Berpuisi. Tetapi saya beranikan diri untuk terima pelawaan ini.


“Melihat objektif majlis ini saya harap dapat diteruskan setiap tahun dengan penglibatan lebih ramai pihak,” katanya.

Acara Bintang-Bintang Berpuisi yang dianjurkan secara kerjasama oleh dua akhbar Melayu berpengaruh itu dengan UKM turut disertai seniman dan aktivis teater ternama, Khalid Salleh yang mendeklamasikan puisi Kalau Aku Jadi PM karya beliau sendiri.

Tidak ketinggalan penyanyi Ezad turut memeriahkan acara dengan menyampaikan puisi Takwa serta nyanyian lagu Hati Mati.

Pelakon Ezzaty Abdullah menyampaikan puisi Rindu Buat Kekasih sementara penyanyi Ana Raffali pula memukau perhatian penonton dengan persembahan puisi Sungai Coklat serta nyanyian lagu puisi Gula dan Air serta Tolong Ingatkan Aku.

Aktivis sastera popular dari Terengganu, Awang Abdullah @ Pui Teong Gee yang berganding bahu dengan Abang Zilah memilih tema ayah dalam bacaan puisi dan nyanyian lagu puisi masing-masing dengan tajuk Pesan Ayah dan Titip Rindu Buat Ayah.

Tengku Khalidah yang berpengalaman luas dalam gelanggang pembacaan puisi juga tidak ketinggalan mewakili akhbar Utusan Malaysia menyampaikan puisi bertajuk Surat Teja Kepada Tuah tulisan Datuk Zurinah Hassan.

Acara Bintang-Bintang Berpuisi yang dianjurkan julung-julung kali ini turut mendapat kerjasama daripada syarikat swasta, Hitachi - LG - Data Storage Inc. yang komited untuk menyokong acara kesusasteraan tanah air.

utusan online

Comments