Teater Kena Main



Saksikan teater Kena Main (karya & arahan Khalid Salleh) bermula 27 Mac hingga 5 April ini, di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Teater Kena Main menampilkan:
- Eman Manan (Pie)
- Ebby Saiful (Jusuh)
- Sani Sudin (Daud)
- Aida Othman (Mona)
- Mohd Rodhi Md. Noor (Mat Pit)
- Azizah Mahzan (Laila)
- Azman Hassan (Jamil)
- Sabri Yunus (Penjual Ubat)
- Fauziah Nawi (Peminta Sedekah)

Tiket teater Kena Main dijual pada harga RM35, RM55, RM85, RM105 dan RM155 yang boleh dibeli secara dalam talian di redtix.airasia.com.

Tiket juga boleh didapati di Box Office Istana Budaya, Rock Corner (The Gardens, KLCC, The Curve, Subang Parade, Midvalley); Victoria Music Centre (Sungei Wang, Bangsar Shopping Centre, Tropicana City Mall, Amcorp Mall); KL Live (KL Sentral); Tune Store (Low Yat), Artist Gallery Gurney Plaza (Pulau Pinang) dan Artist Gallery Queensbay Mall (Pulau Pinang).

Jangan lepaskan persembahan hebat ini yang dibawakan khusus oleh Istana Budaya dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia



Khalid Salleh 
pentaskan Kena Main
RASDAN AHMAD | 15 Februari 2015 12:38 PM


Pengarah Khalid Salleh (tiga dari kiri) bersama-sama pelakon teater Kena Main, Mohd Rodi (kiri), S

Pengarah Khalid Salleh (tiga dari kiri) bersama-sama pelakon teater Kena Main, Mohd Rodi (kiri), Sani Sudin, Aida Othman, Ebby Saiful, Fauziah Nawi dan Eman Manan.
Advertisement

SELEPAS kejayaan monolog Jual Ubat yang dipentaskan di Istana Budaya tahun lalu, kini aktivis teater Khalid Salleh akan kembali ke Istana Budaya dengan teater Kena Main pada 27 Mac hingga 5 April depan.

Seperti biasa, walaupun ini kali kedua Khalid akan beraksi di Istana Budaya namun itu bukanlah satu ukuran yang besar bagi Khalid. Walaupun sesetengah penggiat teater tempatan menganggap peluang ke Istana Budaya sebagai tanda aras pencapaian dalam teater, tetapi Khalid telah beberapa kali menolak apabila dipelawa membuat persembahan di situ.

Nampaknya persembahan di Istana Budaya ini bukanlah sesuatu yang menjadi cita-cita Khalid sebaliknya untuk memberi peluang kepada penonton tempatan menikmati teater arahannya, Kena Main.

Khalid dianggap seniman yang sukar difahami, diberi peluang tidak direbut dan sanggup berteater secara kecil-kecilan. Sebenarnya dia berteater bukan seperti sesetengah pihak lain yang mempunyai tujuan tertentu dan peluang ke Istana Budaya sebagai satu pencapaian. Tetapi Khalid berteater untuk melontarkan pemikirannya.

Banyak yang membuat teater dengan melonggokkan artis popular untuk mengaut keuntungan tetapi berbeza dengan Khalid yang percaya karya yang bercitra tinggi jauh lebih utama daripada artis popular yang memberi keuntungan kepada penerbit.

Biarpun tidak mendapat pendidikan formal dalam bidang teater tetapi kreativitinya lahir dari pengalaman bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat. Jadi tidak hairanlah kalau setiap karyanya mempunyai gaya serta pemikiran yang dalam menyentuh perihal masyarakat.

Khalid adalah antara tokoh kelahiran Anak Alam, sebuah gerakan seni dan budaya yang berpengaruh pada dekad 1970-an. Pengalaman sebagai penjual ubat di kaki lima Jalan Masjid India, Kuala Lumpur banyak membantu Khalid dalam memahami manusia, menyokong karyanya. Teater Kena main juga turut mengisahkan tentang cerita yang berlaku di kaki lima.

Kena Main mengisahkan kehidupan empat sahabat yang cacat penglihatan mencari rezeki dengan membuat persembahan nyanyian di kaki lima di Kuala Lumpur. Tema begini jarang sekali disentuh atau diketengahkan oleh teater yang dipentaskan di Istana Budaya melainkan muzikal yang menjurus hiburan ringan.

Justeru, melalui karya ini, Khalid Salleh berkongsi dengan penonton perjalanan hidup yang didepani oleh golongan kurang upaya yang semestinya lebih mencabar, namun tetap gigih dan tidak berputus asa dalam meneruskan kehidupan dalam kalangan masyarakat.

Kena Main pernah dipentaskan pada tahun 1998 dan mencipta rekod dalam The Malaysia Book of Record sebagai teater pertama di Malaysia yang menampilkan orang kurang upaya (cacat penglihatan) sebagai watak utama.

Bukan itu sahaja, sebenarnya Kena Main telah dihasilkan oleh Khalid pada 1989, pernah dipentaskan di Matic, Kuala Lumpur. Namun kali ini dipentaskan di pentas yang lebih besar disamping nama- nama besar dalam dunia teater sebagai pelakon utama iaitu Sabri Yunus, Eman Manan, Sani Sudin, Fauziah Nawi, Ebby Saiful, Fauziah Nawi dan ramai lagi.

Menurut Khalid, hanya dengan menggunakan budaya dirinya dan rasa manusia yang tinggi, dia mampu menyampaikan sesuatu kepada khalayak yang terpaku dengan gaya dan realiti sebenar kehidupan di kota raya ini.

“Memang watak yang terkandung dalam teater ini adalah watak orang buta, tetapi mereka sebenarnya tidak buta budaya. Buta mereka hanya buta penglihatan dan mereka juga tidak buta ke arah kejahatan,” jelas Khalid.

Persoalan tentang siapa yang ‘kena main’ dalam teater ini sukar untuk dijelaskan kerana kesemua watak dalam teater ini sebenarnya ‘kena main’ antara satu sama lain. Itulah kekuatan sebenar yang ada dalam teater ini.

Pementasan teater Kena Main ini diterbitkan bersama oleh Istana Budaya dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM).

Walaupun sudah berusia, namun semangat Khalid dalam dunia pementasan teater ini seperti tiada jalan akhirnya. Baginya usia hanya sekadar angka, usia bukan penghalang kepada semangatnya untuk membawa teater Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi.

Jelas Khalid, diibaratkan tok dalang yang sudah berusia namun apabila beraksi di sebalik kelir semangat tok dalang berubah serta merta.

“Itulah saya, semangat saya dalam teater cukup kuat. Usia saya tidak mampu untuk menyekat saya dalam berkarya. Selagi termampu saya akan lakukan apa sahaja bagi memartabatkan teater kita,” kata Khalid yang pernah memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-43 di Taipei menerusi filem Jogho arahan U-Wei Haji Saari.

Dalam pada itu, ITBM dan Istana Budaya mengambil inisiatif mementaskan teater ini dengan tujuan untuk mengangkat karya sastera berkualiti ke tahap lebih tinggi, selain berkongsi karya tersebut bersama-sama masyarakat setempat melalui penyampaian dalam bentuk teater sebenar yang penuh dengan teladan.

Persepakatan kedua-dua pihak dalam menganjurkan teater ini adalah berdasarkan kualiti karyanya yang padat dengan mesej serta nilai-nilai murni dan sewajarnya dipersembahkan untuk dihayati dan dijadikan pedoman oleh masyarakat.

Lebih istimewa, Kena Main berserta skrip teater lain karya Khalid iaitu Bereng-Bereng dan Seng Ora-Ora akan dibukukan oleh ITBM sebagai rujukan peminat teater serta pencinta sastera tanah air.

utusan online









Keratan akhbar Harian Metro, 21 Februari 1992 memaparkan laporan pementasan teater Kena Main pada tahun 1992 di Matic.


 foto  di atas dari kena main


Comments