si kecil yang gigih


Mula belajar hafal al-Quran seawal usia 6 tahun
Oleh Dalila Diyana Mohd Ariffin
March 14, 2015



SIAPA sangka berbekalkan semangat yang diperoleh daripada orang disekelilingnya, Nadhiroh Mohd Asri, 19, berjaya meletakkan dirinya satu tapak kehadapan berbanding rakan-rakan sebayanya dengan menjadi Naib Johan Majlis Mengkhatam Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang dianjurkan oleh RTM.

Gadis bertubuh kecil ini berjaya membuktikan bahawa usia bukan penghalang bagi mencapai sesuatu yang dihajati.

Anak ketiga daripada lapan beradik ini telah dihantar seawal usia 6 tahun ke Pusat Pengajian Al-Quran Al Itqaan yang merupakan sebuah sekolah tahfiz di Ampang dan mengambil masa hampir 10 tahun bagi mengkhatamkan pengajiannya.

“Segalanya bermula daripada usaha mak dan ayah saya sendiri. Mereka masukkan saya dalam sekolah tahfiz, Pusat Pengajian Al-Quran Al Itqaan di Ampang ketika saya berumur 6 tahun. Tanpa saya sedar, saya mula menghafal quran,” ujarnya mengimbau kembali permulaan perjalanannya menjadi seorang hafizah.

Istimewanya mengenai gadis berwajah kecil molek ini, dia merupakan seorang yang bersederhana dalam rutin hariannya serta tidak suka membuang masa dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

“Saya suka membaca dan melayari internet. Selalunya saya suka habiskan banyak masa baca artikel dakwah dengan pengalaman yang ditulis dan dikongsikan. Selain tu, saya suka tengok video-video nasyid,” katanya.

Gadis pemalu ini juga mempunyai bakat kepimpinan serta sangat menepati waktu kerana baginya tiada apa yang mudah untuk digapai tetapi jika berdisplin, yakin serta tekun pasti segalanya akan menjadi mudah.

“Jujur saya katakan, tidak ada satu pun perkara yang senang di dunia ini, tapi kalau kita yakin, berdisplin dan tekun, dengan izin Allah, Dia akan permudahkan,” katanya.

Menurut ibunya, Junainah Samad, Nadhiroh sememangnya layak menerima anugerah tersebut kerana dia sendiri menjadi saksi bagaimana komitmen yang diberikan anaknya dalam menyantuni kaedah Al Huffaz yang beliau pelajari sejak sekolah rendah lagi.

“Saya amat bersyukur di atas kejayaan beliau dan merasakan inilah berita gembira yang telah disegerakan oleh Allah di dunia ini buat saya dan suami,” katanya.

Menurut ibu Nadhirah, tiada perbezaan dalam caranya mendidik anak-anak dan mungkin sama dengan ibu-ibu yang lainnya.

Dia kerap menekankan kepada anak-anaknya bahawa apa sahaja urusan kehidupan di dunia ini, segalanya untuk Allah jadi perlulah dibuat yang terbaik untuk mempersembahkan kepada-Nya serta haruslah berterusan tanpa berputus asa.

Nadhiroh juga sering melazimi solat-solat sunat seperti solat dhuha dan tahajjud selain tekun dan sentiasa fokus dalam melaksanakan rutin hafalannya.

Nadhiroh sempat berkongsi kenangan saat dia diumumkan sebagai pemenang tempat kedua bagi kategori 1 hingga 30 juzuk perempuan di dalam majlis tersebut.

“Alhamdulillah, inilah anugerah Allah yang tidak ternilai buat saya. Saya cukup gembira dengan anugerah ini. Sungguh Allah tidak pernah alpa dalam menilai usaha yang dibuat oleh hamba-Nya,” ujar Nadhiroh.

Baginya dia tidak mungkin mengecapi semua itu jika tidak konsisten dan fokus dalam mengatur jadual hafalan.

“Perlu buat jadual menghafal sendiri. Fokus untuk hafal satu-satu ayat. Selagi belum lancar satu ayat, jangan pindah ke ayat yang seterusnya dan bagi yang dah hafaz 30 juzuk, minimal sehari perlulah mengulang bacaan bagi 5 juzuk,” katanya.

Perkara paling penting yang ditekankan oleh Nadhiroh, kita perlulah mencari keseronokkan dalam menghafaz Al-Quran.

“Pastikan diri kita sentiasa rasa enjoy setiap kali nak mengulang atau menghafaz. Walaupun pada mulanya kita paksa, mintalah kepada Allah agar Allah mengurniakan keseronokkan dalam mempelajari kalimah-kalimah tersebut.

“Dan selalulah berbual dengan Allah sebab al-Quran ini kan Allah yang punya,” tegas beliau ketika diminta agar berkongsi sedikit rahsia menghafaz 30 jusuk Al-Quran tersebut.

Gadis berusia 19 tahun ini juga sempat berpesan agar segala yang dibuat perlulah mengutamakan Allah dan jangan sesekali berputus asa dari rahmat Allah serta biarlah masa yang diambil untuk menghafaz itu lama, asalkan ia berkualiti.

ismaweb

Comments