Seramik

Pameran seramik Galeri Petronas
RASDAN AHMAD
15 Mac 2015

BOTOL Oren Kampung oleh Roslan Ahmad..

SUNGGUHPUN seramik merupakan bidang seni yang jarang diberi penilaian tinggi, kini terdapat usaha murni lagi berani untuk memberi nafas baharu kepada bidang kesenian ini. Usaha ini dilakukan oleh enam orang artis tempatan untuk mendaulatkan semula seni oranamental supaya tidak pupus ditelan zaman. Mereka berganding dalam suatu pameran unik berjudul Earthworks, yang kini dibuka untuk kunjungan umum di Galeri Petronas, KLCC.

Bagi kurator pemeran tersebut, Badrolhisham M. Tahir berkata, cabaran utama dalam seni seramik ini ialah tanggapan warga Malaysia sendiri yang menganggapnya sekadar bahan utilitarian atau kraf artisan dan mereka tidak mengerti apatah lagi menghargai nilai sebenar bidang seni ini.

Menurutnya, seni seramik tidak diberi perhatian sejak sekian lama dan usaha Earthworks ini merupakan satu daya usaha ikhlas dilakukan Galeri Petronas untuk memberi nafas baru kepada bidang kesenian ini menerusi kreativiti dan inovasi yang bertentangan dengan suasana dunia yang saban maju dengan teknologi penuh kompleks hari ini.

KARYA berjudul Coconut Scrape karya Salwa Ayob
 
Earthworks ialah gabungan kerjasama sulung yang dilakukan oleh enam orang artis seramik Malaysia yang berani mencabar keterbatasan medium ini. Mereka menggabungkan teknik tradisional dengan mengubah tanah liat menjadi objek kontemporari yang bermakna.

Antara artis yang terlibat dalam pameran ini ialah Dr. Shamsu Mohamad, Tan Vooi Yam, Awangko’ Hamdan Awang Arshad, Roslan Ahmad, Dr. Salwa Ayob dan Mohamad Radzi Ismail.

JOURNEY karya Shamsu Mohamad.

Dr. Shamsu Mohamad, yang telah memenangi pelbagai anugerah antarabangsa kerana hasil penyelidikan tentang inovasi sepuhan berkata, Earthworks lebih merupakan suatu sesi pendidikan dan juga inisiatif mencabar kepada para artis tetapi pembuka mata kepada para pengunjung.

“Kami meluangkan masa yang banyak untuk mengkaji tentang pilihan tanah liat, suhu pembakaran yang optimum dan teknik sepuhan sebelum memulakan projek ini. Ini demi memastikan ia menjadi inovatif supaya dinikmati para pengunjung sambil mempamer tahap serba guna bidang seni seramik ini,” jelasnya.

Bagi Tan Vooi Yam pula, setiap unit hasil kerja seramik yang dipamer mempunyai ciri keunikan tersendiri dalam aspek permukaan, kekesatan, warna dan sepuhan. Bukan luar biasa jika hanya 10 ke 20 daripada 100 produk akhir terpilih setelah kata sepakat, dan itulah kecantikan dan tarikan seni seramik.

Berbekal semangat waja dan ketabahan, Awangko’ Hamdan Awang Arshad telah bergiat aktif mempromosi seni seramik tempatan di negara ini dan seberang laut menerusi pameran, buku dan syarahan.

Radzi Ismail dengan karyanya berjudul I Love See Food. 

“Seramik adalah kegemaran saya dan sangat memerlukan keteguhan hati yang tinggi,” jelasnya bersemangat. Saya sentiasa maklumkan pelajar bahawa seramik ini adalah berkaitan apa yang anda pandang, rasa, fikir dan sentuh. Anda perlu pendedahan kepada idea dan pengalaman baru lalu menjiwai dan menyerapnya, barulah mampu menerapkan identiti ke dalam hasil seni,” jelas Awangko’ Hamdan yang juga pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Sebagai memperinci maksud kecantikan seramik itu, Roslan Ahmad, Pembantu Penyelidik Kanan dalam Engineering Materials Section, Advanced Materials Research Centre (AMREC) SIRIM Berhad pula berkata, tanah liat mempunyai daya penyampai mesej yang membangkitkan semangat, inspirasi dan kreativiti.

“Ilmu, kemahiran dan teknik diperlukan bagi merubah satu-satu bahan yang lengal itu menjadi produk akhir yang hebat. Namun bidang ini agak terkebelakang dan langsung tidak disanjung di negara ini, sungguh menyedihkan,” ujarnya.

Sebuah bengkel latihan mengenai seni seramik turut diadakan di mana para peserta berpeluang menimba pengalaman langsung bekerja mengguna tanah liat menerusi kaedah pintal dan bina dengan tangan di bawah tunjuk ajar Roslan Ahmad.

Tan Vooi Yam bersama karyanya Potrait 2014

Earthworks dibuka untuk kunjungan awam sehingga 22 Mac 2015, dari Selasa hingga Ahad, 10 pagi hingga 8 malam di Galeri Petronas, KLCC. Masuk adalah percuma.

utusan online

Comments