Royal Belum


Empangan Temenggor tenggelamkan laluan komunis
Oleh Azrul Affandi Sobry
Jumaat, 6 Mac 2015


LALUAN perjalanan menuju ke Kampung Belum Lama yang mengambil masa dua hari ke kampung itu. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

MEMASUKI Royal Belum, bot yang kami naiki terpaksa berhenti di satu pos kawalan tentera yang dibina di satu pulau kecil di tengah Tasik Temenggor dan pemeriksaan dibuat anggota tentera untuk permit kebenaran memasuki hutan tertua di dunia itu.

Bot terus meredah empangan yang siap dibina pada 1972 menuju ke Sungai Kejar yang jarak perjalanannya memakan masa dua jam dengan melalui beberapa kem kecil tentera dan sesekali bot berselisih dengan bot tentera yang berlegar membuat rondaan.

Senario itu menambah persoalan di benak minda wartawan kenapa banyak menara kubu tentera dan pondok kawalan ada di sekitar Pulau Banding seakan ada sejarah tersendiri.

Dicatatkan, Hutan Belum satu ketika dulu pernah menjadi lokasi panas pertempuran pengganas komunis dengan tentera, terutama selepas Jepun menyerah kalah. Malah, difahamkan, Hutan Belum juga pernah menjadi laluan masuk tentera Jepun dari Thailand ketika Perang Dunia Kedua.

Sejak tahun 1948 hingga tahun 1989, Hutan Belum dilabelkan sebagai kawasan hitam berikutan aktiviti Parti Komunis Malaya (PKM). Malah, pengganas komunis menjadikan hutan tebal itu sebagai tempat persembunyian mereka.

Perkara itu disahkan penduduk asal Kampung Belum Lama, Mohamad Awang Kechik (Pakteh), 88, yang menceritakan bagaimana komunis menguasai hampir segenap hutan seluas 300,000 hektar itu, malah ada yang tinggal dalam kampung yang sama.

"Memang komunis sangat ramai ketika itu, tapi tak kacau orang kampung. Malah, mereka berbaik dengan orang Belum Lama kerana orang di kampung kami pun bukan calang-calang. Sejarah menceritakan ramai orang berhijrah ke sini dari Thailand.

"Ada seorang dipanggil Syed yang sangat kuat dan jahat dari Thailand. Dia lari ke Belum Lama dan tinggal agak lama sebelum buat onar dengan mengganggu anak dara kampung ini. Tidak lama selepas itu, dia mati di tangan orang Belum Lama," katanya.

Malah, menurut Ketua Kampung Belum Baru, Mat Narun Mohamad, Pakteh sendiri antara empat orang yang amat ditakuti komunis ketika itu. Sering komunis berkunjung ke Belum Lama untuk berjumpa Pakteh kerana rasa hormat terhadapnya.


LALUAN perjalanan menuju ke Kampung Belum Lama yang mengambil masa dua hari ke kampung itu. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Bagaimanapun, pada tahun 1949, British mengarahkan warga Belum Lama berpindah dan mengosongkan hutan itu bagi melancarkan gerakan menghapuskan komunis.

Ditanya kenapa banyak kubu dibina di Pulau Banding, Pengurus Rekreasi Belum Rainforest Resort, Mohd Danial Mohd Amin, berkata ia bagi menghalang kemaraan komunis dari hutan.

"Komunis juga membina banyak laluan bawah tanah untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Malah, laluan bawah tanah juga dikatakan menghubungkan dengan Thailand. Kerana itulah Empangan Temenggor dibina. Selain menjadi penjana hidroeletrik, ia juga untuk menenggelamkan laluan bawah tanah komunis.

Ramai tentera kita terkorban dalam pertempuran dan serangan hendap komunis sebelum empangan itu dibina termasuk helikopter Nuri yang ditembak jatuh ketika sedang menghantar anggota tentera dan bekalan makanan ke kawasan operasi menyebabkan 11 orang terbunuh termasuk juruterbangnya pada 27 April 1976.

Nyata, bukan sedikit misteri dan kisah sejarah berdarah yang dicatatkan di Hutan Belum. Kami juga dibawa ke Sungai Papan yang dikatakan menjadi lokasi popular pelancong untuk berkhemah kerana banyak burung pelbagai spesies singgah di situ.


JALAN masuk menuju ke Resort Royal Belum. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Seorang pemandu pelancong, Hassan Ismail, berkata tiga pokok ara yang ada di situ berkedudukan tiga penjuru dan terus menjadi misteri menyeramkan terutama pada waktu malam kerana sering diceritakan, ramai pelancong diganggu makhluk halus.

"Ada pelancong mendakwa mendengar bunyi benda berlari atas bumbung dan ada pula yang nampak kelibat menyeramkan.

"Sebenarnya, banyak lagi misteri di Hutan Belum. Masuk hutan ini jangan suka cakap besar kerana ramai yang diganggu atau ada masalah jika tidak pandai jaga percakapan," katanya sambil menunjukkan lokasi pokok ara tiga penjuru.


LALUAN perjalanan menuju ke Kampung Belum Lama yang mengambil masa dua hari ke kampung berkenaan. - Foto Muhd Zaaba Zakeria



Toman gergasi pernah muncul di Belum
Oleh Azrul Affandi Sobry


AKTIVITI malam menangkap ikan menggunakan teknik memanah di sekitar Tasik Belum.

Sebelum ke Royal Belum, wartawan sudah diberitahu beberapa rakan mengenai kehadiran ikan toman gergasi yang menjadi misteri di Tasik Temenggor dan pernah dilihat beberapa orang kampung di sana.

Ia dikaitkan dengan misteri makhluk halus yang menghuni hutan tertua di dunia itu.

Khabarnya ada yang mendakwa pernah melihat ikan toman itu timbul di satu kawasan berhampiran jeti Pulau Banding dan ada yang menceritakan tentera di situ pernah melihat kelibat sama dari ruang udara.

Namun, tidak ramai berani mengesahkannya meskipun cerita misteri itu menjadi satu versi paling popular dalam kalangan orang kampung dan orang luar yang pernah berkunjung ke sana. Malah, tidak ada lokasi tepat di mana ikan misteri itu selalu kelihatan.


AKTIVITI malam menangkap ikan menggunakan teknik memanah di sekitar Tasik Belum.

Ketua Kampung Belum Baru, Mat Narun Mohamad, 56, berkata tidak banyak versi cerita ikan toman itu berkisar dalam kalangan masyarakat Melayu dari kampung Belum Lama kerana ketika mereka berpindah keluar pada 1949, empangan Temenggor belum dibina.

"Masa kami tinggal di Belum Lama, empangan belum ada, cuma ada hutan dan sungai. Misteri ikan toman tidak ada ketika itu. Namun, ada juga orang kampung cerita pernah nampak kelibat benda besar dari dalam tasik.

"Isteri saya sendiri ketika menaiki rumah bot untuk ke Sungai Kejar pernah perasan ada satu objek seperti ikan besar muncul dari dalam tasik. Ia sebesar bas dan hanya muncul sekejap sebelum hilang semula," katanya.

Orang Asli suku Jahai yang ditemui di Sungai Kejar yang hanya mahu dikenali sebagai Sain berkata, ikan toman gergasi memang wujud dan menjadi satu haiwan paling menakutkan di tasik itu selain kewujudan buaya besar di kawasan sungai.

Malah, katanya, bukan sesuatu yang mustahil mengenai kewujudan itu kerana memang ikan di tasik Temenggor bersaiz besar dan selalu Orang Asli dapat menangkap ikan sehingga sebesar seorang budak bayi.


AKTIVITI malam menangkap ikan menggunakan teknik memanah di sekitar Tasik Belum.

"Ikan toman itu wujud. Buaya besar juga wujud. Selalu juga Orang Asli nampak tapi siapa berani tangkap. Takut, ia besar sangat. Pernah dulu budak kena makan tapi tak tahu buaya atau ikan yang makan.

"Kami ada jumpa buaya sepanjang sampan di sungai hujung Sungai Kejar. Besar sangat dan sampai hari ini masih ada di sana. Boleh ke sana kalau tak percaya," ceritanya dengan bersungguh-sungguh.

Cerita tasik Temenggor dengan keanehan ikan di situ sebenarnya ada sisi lain yang lebih menarik. Mengujakan apabila wartawan BH berpeluang mengikut beberapa orang kampung meredah tasik di tengah gelap malam untuk melihat sendiri aktiviti mereka memburu ikan.

Nyata mereka hebat dan seperti boleh menghidu situasi di tasik itu apabila jurumudi bot boleh mengemudi bot dengan baik walaupun dalam keadaan sangat gelap. Bahaya sentiasa ada kerana di tasik Temenggor ada banyak pokok lama yang muncul di tengah tasik.

Debaran terasa apabila bot yang dikemudi terus menuju masuk ke kawasan Sungai Gadong kerana laluannya semakin sempit dan dipenuhi lambakan batang balak yang menyimpang sungai. Bot enjin terpaksa dimatikan dan bot digerakkan dengan menggunakan pengayuh.

Dengan sekadar menggunakan lampu suluh kecil, tiga orang kampung diketuai 'Man Kelah' menyelam sungai yang gelap memburu ikan kelah. Kata Man, ikan pasif pada waktu malam dan pergerakannya juga perlahan, sekali gus memudahkan pemburuan.

Terbukti, selepas kira-kira sejam menyelam, 10 ikan kelah berjaya dibawa naik dengan hanya menggunakan panah besi.

Selepas menonton semula video rakaman aktiviti memburu di dalam sungai itu, rasa kagum kerana dalam keadaan gelap dan sungai yang penuh dengan halangan kayu dan batu, mereka mampu mengesan lokasi ikan dan menangkapnya.

Hebat orang kampung di sana kerana mampu bertahan lama menyelam dalam sungai. Menurut Man Kelah, dulu ada beberapa orang kampung yang boleh menyelam sehingga berjam-jam, malah sehingga separuh hari dengan ilmu yang mereka miliki.

"Itu dulu, memang ada yang boleh menyelam lama dalam tasik dan tiba-tiba muncul dengan ikan besar. Sekarang tidak ada lagi yang begitu," katanya yang mendapat gelaran itu kerana kemahirannya menyelam memburu ikan kelah.


PEMANDANGAN Tasik Banding di sekitar Royal Belum. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

bhonline


Membongkar misteri Royal Belum
Oleh Azrul Affandi Sobry
4 Mac 2015


GELAGAT kanak-kanak orang asli suku Jahai. Kehidupan harian orang asli suku Jahai di Royal Belum antaranya mencari hasil hutan dan memancing ikan dan sebagainya. 
- Foto Muhd Zaaba Zakeria

Royal Belum yang berkeluasan 300,000 hektar iaitu bersamaan empat kali Singapura, berusia 130 juta tahun, lebih tua daripada hutan Amazon, menjadikannya hutan tertua di dunia, menyimpan pelbagai rahsia dan misteri.

BH cuba menjejaki beberapa kisah misterinya, seperti kewujudan Kampung Lama Belum, ikan toman gergasi, misteri pokok ara tiga penjuru, aktiviti memburu ikan pada waktu malam, orang asli suku Jahai serta lokasi pertempuran komunis dan tentera Malaysia.

Tidak ramai tahu, dalam hutan setebal dan seluas itu, pernah ada perkampungan lama masyarakat Melayu jauh di tengah-tengah hutan dan memerlukan perjalanan dua hari untuk sampai ke lokasinya.

Masyarakat Kampung Belum Lama, sudah berpindah ke Bendang Puru berhampiran Grik sejak 1952, selepas mendapat arahan pihak British yang melancarkan gerakan besar-besaran menawan komunis yang ketika menggunakan Hutan Belum sebagai tempat persembunyian dan kubu. Itu sudah menjadi sejarah.

Lapan kampung kecil yang ada di Belum Lama kini hanya tinggal bekas dan kubur lama. Namun, ia tetap dikunjungi setiap tahun, umpama sudah menjadi satu amalan dan tradisi yang berterusan oleh penduduk sekitarnya.

Untuk ke Kampung Belum Lama bukan satu kerja mudah kerana seseorang itu perlu menempuh perjalanan jauh bermula dari Sungai Kejar, melalui banyak sira haiwan (tempat haiwan liar minum), malah perlu bermalam di dalam hutan.


JEJAK kesan tapak kaki Gajah yang dijumpai di laluan menuju ke Kampung Belum Lama yang mengambil masa dua hari ke kampung tersebut. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Ada orang kampung yang pernah berdepan situasi menakutkan apabila berselisih dengan haiwan seperti gajah, harimau dan seladang yang diketahui amat garang dan boleh mengancam nyawa manusia.

Malah, tinjauan wartawan BH di laluan utama ke Belum Lama juga menemui bekas tapak kaki gajah yang masih baru di sira pertama, hanya 15 minit perjalanan dari Sungai Kejar.

Kampung Lembu adalah kampung paling dekat di Belum Lama diikuti Kampung Tanjung, Kampung Banggol Seto, Kampung Penering, Kampung Meko, Kampung Belimbing dan Kampung Sepo.

Perjalanan ke Belum Lama kini sudah dipermudahkan dengan adanya Empangan Temenggor kerana dapat merentas hutan asal dengan menaiki bot sedangkan menurut penduduk asal Belum Lama, Mohamad Awang Kechik, 88, sebelum ada empangan, mereka mengambil masa seminggu untuk keluar dari kampung.

PENDUDUK Asal Kampung Belum Lama, Mohamad Awang Kechik. -Foto Muhd Zaaba Zakeria

Menurut cerita Mohamad Awang atau mahu dikenali sebagai Pak Teh, orang Belum Lama mewarisi kehebatan yang ada pada Datuk Pulang Hari, iaitu orang yang mula-mula membuka Kampung Lama Belum bersama Puteri Saadon beratus tahun dulu.

"Datuk Pulang Hari diberi gelaran kerana kemampuannya pulang ke Pattani, Thailand dari Belum Lama pada hari sama, sedangkan orang lain mengambil masa berhari-hari. Anak beliau pula berkahwin dengan Puteri Saadon, orang bunian di Belum Lama.

"Keturunan kami datang dari mereka berdua. Kerana itulah ada keistimewaan tertentu dalam masyarakat kami. Setiap tahun, jika pulang melawat Belum Lama, mesti buat tahlil kerana jika tidak, ada saja halangan seperti hujan lebat dan banjir," kata Pak Teh.

Beberapa orang kampung yang ditemui turut menceritakan kehebatan yang diwarisi Pak Teh kerana dalam usia setua itu, Pak Teh masih boleh ke Belum Lama lebih cepat daripada orang lain. Malah, Pak Teh antara orang yang amat digeruni komunis suatu ketika dulu.

KAWASAN kediaman orang asli di Royal Belum. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Tentu sekali Belum Lama menyimpan sejuta rahsia kerana ia masih mampu menarik masyarakat Belum Baru untuk ke situ setiap tahun sekadar untuk mengadakan majlis tahlil dan bergotong-royong membersih kawasan.

"Di sana ada lombong emas yang tidak ditemui tetapi masih wujud. Zaman kami dulu, orang kampung tak pedulikan kewujudannya tetapi semua orang tahu ia ada di Belum Lama," katanya.

Selain Belum Lama, banyak lagi misteri yang dapat dikupas mengenai Royal Belum termasuk kewujudan masyarakat Orang Asli suku Jahai yang dikatakan hanya terdapat di situ.


GELAGAT orang asli suku Jahai. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Jahai adalah satu daripada enam suku Negrito yang mendiami tanah Semenanjung. Mereka dipercayai berhijrah ke Asia Tenggara kira-kira 60,000 tahun dahulu, namun menurut orang kampung Belum Baru, mereka bukan penghuni asal Royal Belum kerana hidup mereka secara nomad (berpindah).

Tinjauan BH mendapati masyarakat itu kini menjadi penghuni tunggal di pinggir Tasik Temengor terutama di sekitar kawasan Sungai Kejar. Difahamkan, ada hampir 300 masyarakat Jahai di Hutan Belum.


Info Royal Belom

- Hutan Belum yang diwartakan sebagai Taman Negeri Perak diisytihar semula sebagai `The Royal Belum' oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada 31 Julai 2003.

- Nama Hutan Belum diambil daripada nama asal perkampungan Melayu iaitu Kampung Belum Lama meliputi tujuh perkampungan kecil.

- Royal Belum dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Hutan Belum dan Hutan Simpan Belum. Pengunjung hanya boleh meneroka Hutan Belum yang tidak diwartakan sebagai hutan simpan, manakala untuk ke Hutan Simpan Belum perlu mendapatkan permit pihak berkuasa.

- Hutan Belum-Temenggor berusia 130 juta tahun adalah hutan tertua di dunia.

- Menjadi kawasan tadahan hujan utama di Semenanjung Malaysia.

- Kompleks Hutan Belum-Temengor merangkumi Taman Negeri Royal Belum (117,500 hektar), Hutan Simpan Grik (34,995 hektar) dan Hutan Temenggor (147,505 hektar).

- Keluasan Kompleks Hutan Belum-Temengor hampir empat kali ganda saiz Singapura, kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna.

- Terdapat lebih 3,000 spesies flora selain 64 spesies paku-pakis, 62 spesies tumbuhan berlumut dan 23 ikan hidup di sini.

AKTIVITI harian orang asli di Royal Belum. Foto Muhd Zaaba Zakeria


bhonline


Royal Belum 'Permata Hati' Perak
8 April 2014 
BERNAMA

Pemandangan sekitar Royal Belum cukup mengujakan.


GERIK: Panorama indah Tasik Temengor pasti membuatkan sesiapa sahaja yang melalui Lebuhraya Timur-Barat yang menghubungkan Gerik dan Jeli di Kelantan akan mengalih pandangan ke arahnya.

Terbentang dengan permukaan air meliputi 15,200 hektar, tasik buatan terbesar di Perak ini, yang berlatar belakangkan Kompleks Hutan Belum-Temengor, sememangnya mendamaikan dengan suasana nyaman dan udara segar.

Berdasarkan sejarah, tasik yang mengelilingi sekitar hutan Belum dan Temengor pada awalnya adalah perkampungan orang Melayu dan Orang Asli.

Biarpun begitu, mungkin tidak ramai menyedari tasik yang diwujudkan untuk projek Empangan Temengor pada tahun 70-an ini, menyimpan khazanah alam amat berharga buat negara.


Hutan Royal Belum dikelilingi Tasik Temenggor.

Ini kerana, di sinilah 'pintu masuk' Taman Negeri Royal Belum yang menjadi antara permata hati negeri Perak yang kaya dengan kepelbagaian biodiversiti.

Keunikan Royal Belum

Terletak di bahagian utara Tasik Temengor, kewujudan taman negeri ini mempunyai rahsia alam dan keunikan tersendiri untuk ditawarkan kepada pelancong, menjadikannya antara destinasi ekopelancongan baru negara.

Diwartakan sebagai Taman Negeri Royal Belum pada 3 Mei 2007, ia meliputi kawasan seluas 117,500 hektar dengan hampir 90 peratus daripadanya adalah Hutan Simpan Belum (132,000 hektar) yang bersempadan dengan Thailand.

Manakala di sebelahnya terbentang Hutan Simpan Temengor yang mempunyai keluasan lebih 200,000 hektar.

Biarpun lokasinya agak jauh dan terpencil, ia langsung tidak menjejaskan kedatangan pelancong untuk menikmati dan menyelongkar rahsia alam yang masih suci daripada pencemaran.

Direkodkan, seramai 13,207 pelancong datang ke Royal Belum pada tahun lepas berbanding hanya 11,033 pelancong pada 2012, satu peningkatan jumlah yang membanggakan walaupun perjalanan ke sini bukanlah mudah.

Ini kerana, untuk menyingkap rahsia alam yang masih tersimpan rapi di sini, hanya pengangkutan air sahaja boleh membawa pelancong ke Royal Belum.

Laluan darat hanya dapat dihubungkan sehingga ke jeti awam, Pulau Banding iaitu lokasi terakhir sebelum ekspedisi seterusnya mengguna bot laju menyusuri Tasik Temengor menuju taman negeri ini.

Syurga Alam Tersembunyi

Sepertimana namanya yang gah, Royal Belum adalah syurga tersembunyi bagi penghuni alam selain menghulurkan flora dan fauna yang semakin jarang ditemui.

Ia boleh dikatakan hutan belum terusik, masih suci dan dipercayai berusia lebih 130 juta tahun, lebih tua daripada hutan hujan Amazon di Amerika Selatan dan hutan Congo di Afrika Tengah.

Dianggarkan terdapat 3,000 spesies flora, 64 spesies paku-pakis, 62 spesies tumbuhan berlumut dan 23 jenis ikan sungai yang hidup bebas dan liar, sekali gus menjadikan Royal Belum, khazanah negara tidak ternilai harganya.

Dalam kepelbagaian khazanah ini, ia juga adalah kawasan tumpuan burung enggang atau kenyalang yang selama ini sering dikaitkan dengan negeri Sarawak.

Burung enggang yang mempunyai paruh berbentuk tanduk lembu adalah satu daripada burung terbesar di hutan tropika Asia Tenggara.

Renjer Perbadanan Taman Negeri Perak, Azizul Hakimie Ahamed memberitahu Bernama, di Asia terdapat 31 spesies burung enggang daripada lapan genera yang dikenalpasti dan daripada jumlah itu, 10 spesies daripada enam genera boleh ditemui di Malaysia.

Istimewanya, kesemua 10 spesies burung enggang yang ditemui di Malaysia, boleh dilihat di kawasan Royal Belum atau Hutan Simpan Temengor.

"Berbanding Sabah dan Sarawak, hanya lapan spesies dan ini merupakan satu tarikan khususnya kepada peminat burung untuk datang ke sini," katanya semasa mengiringi ekspedisi Program Kembara Hutan Simpan Royal Belum anjuran Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Program 'Bird Watching'

Keunikan ini, mendorong negeri Perak menganjurkan program "bird watching" buat julung kalinya mulai tahun ini sebagai tarikan pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Pegawai Tadbir Perbadanan Taman Negeri Perak, Noor Ilyani Abd Rani berkata, sebelum ini, memang sudah ada program seumpama itu tetapi ia dikendalikan oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan pencinta alam.

"Kali ini, Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) akan menganjurkan program itu bersama kerajaan negeri, antara bulan Julai hingga September," katanya.

Biasanya pada tempoh itu pelancong berpeluang menyaksikan enggang berterbangan dalam bilangan jumlah yang besar.

Antaranya seperti enggang spesies Plain-Pouched yang akan berhijrah ke Royal Belum secara berkumpulan untuk mencari makanan selepas membiak di Thailand.

Pemandangan ini amat menakjubkan dan sukar dilihat di tempat lain kerana burung enggang spesies ini akan berterbangan di udara dengan membentuk formasi huruf V.

Bunga Rafflesia

Keasyikan menikmati syurga alam ini bagaikan tidak lengkap sekiranya tidak melihat bunga terbesar di dunia, bunga Rafflesia atau juga dikenali sebagai pakma.

Bagaimanapun, ramai beranggapan bahawa bunga ini hanya boleh didapati di hutan pergunungan di Sabah mahupun Sarawak sedangkan Royal Belum juga menjadi platform terbaik melihat bunga itu.

Di sini, terdapat tiga spesies pakma iaitu Rafflesia Kerrii, Rafflesia Cantleyi dan Rafflesia Azlanii yang dinamakan sempena nama Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

mstar online





Comments