panas bumi

Bumi makin panas
Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim



ORANG ramai semakin resah dengan cuaca panas melampau dan suhu tinggi apabila panahan terik matahari dikhuatiri boleh menjejaskan aktiviti seharian, terutama membabitkan pertanian dan ternakan serta kemungkinan mengundang kebakaran hutan dan sebagainya.

Negara pernah mencatat suhu tertinggi iaitu 40.1 darjah Celsius di Chuping, Perlis pada tahun 1998, sehingga menyebabkan kemarau panjang di sebahagian kawasan di negara ini manakala suhu kedua tertinggi, iaitu 38.9 Celcius dicatatkan di kawasan sama pada 18 Mei tahun lalu.

Pada 21 Februari baru-baru ini, kawasan yang sama masih mencatat suhu agak tinggi, iaitu 35.9 darjah Celsius manakala Alor Setar, Kedah di tempat kedua dengan catatan 34.9 darjah Celsius.

Cuaca panas terik yang melanda negara ketika ini berlaku disebabkan fenomena ekuinoks selain peringkat akhir Monsun Timur Laut, iaitu keadaan cuaca yang lebih kering, terutama di utara Semenanjung dan dijangka berterusan sehingga pertengahan Mac ini.

Kajian iklim PBB

Walaupun Jabatan Meteorologi menyifatkannya fenomena biasa, ia tidak seharusnya dipandang remeh kerana pada cuaca suhu tinggi dan kering, kebakaran sama ada di kawasan hutan, kawasan lapang atau sebagainya mudah berlaku jika tiada kawalan dan menyebabkan masalah lain.

Bagaimanapun, petanda buruk terhadap suhu cuaca panas seperti kemarau panjang pada ketika ini belum dapat dilihat dengan jelas kerana perubahan cuaca melampau sejak kebelakangan ini.

Lebih membimbangkan, panel iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan bahawa dunia akan menjadi semakin panas, manakala suhu Bumi dijangka meningkat sehingga 4.8 darjah Celsius pada abad ini.

Panel berkenaan juga menegaskan bahawa gelombang panas, banjir dan paras air laut yang meningkat adalah antara ancaman yang semakin kerap melanda dengan 95 peratus panel berkenaan yakin bahawa manusia adalah punca pemanasan global berdasarkan pemerhatian sejak 60 tahun lalu.


Cuaca masih terkawal

Pensyarah Jabatan Geografi Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah, berkata cuaca panas terik yang melanda negara ketika ini masih berada di tahap terkawal dan tidak membahayakan tetapi orang ramai dinasihatkan jangan berjemur serta melakukan terlalu banyak kegiatan luar.

Katanya, tiada yang istimewa pada hari berkenaan, selain cuaca lebih panas dan matahari berada tepat di atas kepala menyebabkan kita tidak nampak bayang-bayang sendiri jika berdiri di tengah panas.

Dr Azizan berkata perubahan suhu yang melampau berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini bukan hanya disebabkan fenomena perubahan iklim malah juga berlaku akibat pelbagai faktor lain seperti aktiviti manusia.

"Banyak faktor lain menyumbang kepada pemanasan global yang berlaku di kebanyakan bahagian dunia. Misalnya, kemusnahan hutan yang diteroka tanpa mengambil kira pembangunan mapan disebabkan aktiviti manusia.

"Kemusnahan hutan, iaitu perubahan guna tanah, pembakaran bahan fosil dan juga peningkatan gas karbon dioksida sekali gus banyak menyumbang kepada pemanasan global. Pembangunan yang tidak mengambil kira mengenai alam sekitar akan mengganggu sistem saliran serta ekosistem sesuatu kawasan," katanya.

Galak tanam pokok

Justeru, Dr Azizan menyarankan supaya lebih banyak kawasan ditanam dengan pokok serta kawasan hutan simpan dan tadahan hujan dijaga supaya suhu tempatan dapat dikurangkan.

"Proses evapotranspirasi oleh tumbuhan boleh bertindak membantu menyederhanakan suhu. Selain tumbuhan, awan juga memainkan peranan penting dalam mengawal suhu.

"Liputan awan di Malaysia yang berkurangan sejak akhir-akhir ini banyak menyumbang kepada peningkatan suhu. Awan penting kerana bertindak melindungi ruang angkasa dan permukaan bumi daripada mendapat sinaran matahari secara berterusan," katanya.


Cara hentikan pemanasan global

- Tukar lampu. Tukar lampu mentol biasa kepada lampu 'flourescent' yang membolehkan anda mengurangkan 150 paun karbon dioksida setahun.

- Kurang memandu. Tukar kepada berjalan, menunggang basikal, berkongsi kenderaan atau menggunakan pengangkutan awam. Anda menjimatkan karbon dioksida bagi setiap kilometer yang anda tidak memandu.

- Kitar semula. Anda boleh mengurangkan 2,400 karbon dioksida bagi setiap kitar semula yang anda lakukan daripada bahan buangan di rumah.

- Periksa tayar. Pastikan tayar anda cukup angin kerana ia boleh jimat minyak lebih tiga peratus. Setiap pengurangan minyak boleh membuang 20 paun karbon dioksida dari udara.

- Kurang gunakan air panas. Banyak tenaga diperlukan untuk menghasilkan air panas. Jika anda menggunakan air sejuk atau suam untuk membasuh pakaian, anda menjimatkan 500 paun wap panas setahun.

- Elak produk menggunakan pembungkusan. Anda boleh menjimatkan 1,200 paun jika mengurangkan pembuangan sampah kepada 10 peratus.

- Kawal suhu. Elak gunakan alat mengawal suhu panas terutama ketika musim sejuk. Anda menjimatkan kira-kira 2,000 paun karbon dioksida melalui kepintaran mengawal suhu.

- Tanam pokok. Sebatang pokok boleh menyerap satu tan karbon dioksida sepanjang hidupnya.

- Tutup penggunaan alat elektronik. Tutup televisyen, pemain DVD, stereo dan komputer apabila anda tidak menggunakan kemudahan itu. Ini dapat menjimatkan beribu-ribu paun karbon dioksida setiap tahun.

bhonline


Comments