novel sains

Novel fiksyen sains menyerlah
RASDAN AHMAD
22 Mac 2015 9:31 PM


Pemenang pertama Sri Rahayu Mohd. Yusop (kiri) dan pemenang tempat kedua, Fadhli Al-Akiti (tengah) dan Nor Azida Ishak selepas diumumkan sebagai pemenang Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM - Kumpulan Utusan ke-3 di Dewan Utusan, Ibu Pejabat Kumpulan Utusan, Kuala Lumpur Khamis lalu.

KITA semua sememangnya menyedari bahawa perkembangan genre fiksyen sains dalam konteks tempatan masih belum menyerlah dan menggalakkan. Akibat perkembangan yang lembab, kesannya hingga kini bilangan karya fiksyen sains di pasaran boleh dihitung dengan jari.

Berbanding di Barat, fiksyen sains telah berkembang dan sudah bertapak lama serta telah melahirkan barisan tokoh tersohor dengan karya yang memukau seperti Stan Lee, Isaac Asimov, Jules Verne, Edgar Allan Poe dan Lewis Carrol.

Bahkan anugerah yang memartabatkan genre ini wujud sejak 1955 lagi menerusi Anugerah Hugo, selepas itu pelbagai anugerah lain turut muncul mewarnai kerancakan kemajuan genre ini seperti anugerah novel peringkat antarabangsa.

Fiksyen sains berbeza daripada novel biasa kerana latar berkisar penemuan dalam bidang sains dan teknologi. Novel terkenal, Harry Potter karya JK Rowlings telah memenangi Anugerah Hugo selaku novel fiksyen sains terbaik pada 2001, sedangkan ia dikenali umum sebagai suatu karya fantasi kerana penggunaan unsur magis yang begitu ketara selaku penggerak penceritaannya.

Kecelaruan ini tambah meruncing akibat perbezaan persepsi yang wujud di kelompok pembaca, kerana latar belakang setiap individu akan mewarnai kefahaman dan persepsinya terhadap fiksyen sains. Cerita yang dianggap sebagai fiksyen sains oleh seorang guru, misalnya, barangkali tidak akan dianggap sedemikian oleh seorang doktor.

Pengarang fiksyen sains terkenal, Damon Knight telah menggariskan beberapa kriteria dalam penulisan novel fiksyen sains seperti sains, teknologi dan rekaan, zaman akan datang dan zaman lampau termasuk semua cerita pengembaraan masa.

Ada juga pendapat mengatakan fiksyen sains dan fantasi adalah dua genre yang berbeza. Fiksyen sains dianggap sebagai naratif yang menjadikan andaian terhadap konsep masa depan sains dan teknologi sebagai dasar cerita, yang mana andaian berkenaan dibuat menerusi loncatan kemajuan sains dan budaya yang digarap secara lojik.

Melihat wujudnya ruang dalam penulisan novel fiksyen sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kumpulan Utusan mengambil inisiatif menggerakkan penulisan fiksyen sains menerusi Sayembara Novel Fiksyen Sains dan Teknologi sejak 2007 dulu. Walaupun pada kali pertama sebahagian besar penulis masih tercari-cari definisi “fiksyen sains” tetapi sayembara kali ketiga, mutu dan kefahaman terhadap fiksyen sains sudah begitu tinggi.

Kesusasteraan tidak pernah terpisah dengan sains dan teknologi. Ini dibuktikan dengan kelahiran banyak novel fiksyen sains di Barat. Dalam konteks negara ini sayembara anjuran UTM dan Kumpulan Utusan telah membuka satu wadah baharu dalam penulisan novel.

Majlis penyampaian hadiah sayembara fiksyen sains itu telah diadakan di Dewan Utusan, Kuala Lumpur Khamis lalu dan turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Mary Yap Kain Ching, Naib Cancelor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak.

Bagi pemenang pertama anugerah ini, Sri Rahayu Mohd. Yusop melalui karya berjudul Transgenik Sifar menjelaskan, penulisan genre fiksyen sains tidak seperti penulisan novel popular. Dia yang memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM15,000, sebelum ini telah beberapa kali memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) kategori novel remaja.

“Genre ini sememangnya merupakan salah satu genre yang sukar untuk ditulis. Kajian dan pembacaan yang menyeluruh perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum jalan cerita serta naratif dicipta. Bagi saya apa yang penting dalam setiap penulisan kita adalah ilmu yang terkandung di dalamnya, tidak kira apa genrenya,” jelasnya.

Tambahnya lagi, genre fiksyen sains ini perlu diberi pendedahan yang lebih bagi menandingi serta dikenali seperti apa yang berlaku terhadap fenomena novel popular ketika ini.

Sementara itu bagi pemenang tempat kedua, Fadli al-Akiti melalui karya Leksikon Ledang bersama rakan penulisnya Nor Azida Ishak menjelaskan, genre ini sebenarnya sudah lama wujud di Malaysia namun penerimaan serta cara penulisannya sebelum ini tidak seperti yang kita lihat ketika ini. Mereka membawa pulang wang tunai RM10,000.

“Sebelum ini penulisan fiksyen sains tempatan ibarat bayi yang baru dilahirkan. Rata-rata penulis dengan jalan cerita yang masih lagi mentah dan memerlukan pembaharuan dari masa ke semasa dan itu adalah tugas penulis generasi baharu seperti kami.

“Sebenarnya ramai penulis terdahulu seperti Othman Puteh telah merintis penulisan genre ini, namun mungkin kerana penerimaan terhadap penulisan fiksyen sains yang agak berat menyebabkan pembaca jarang membaca novel-novel genre ini,” jelas Fadli.

Ketua juri, Dr. Ahmad Zaki memberitahu, untuk musim ketiga sebanyak 22 manuskrip telah diterima daripada penulis dan kali ini cukup berbeza dan mengalami peningkatannya dari segi penghayatan fiksyen sains berbanding dua musim sebelum ini.

Katanya, naratif sastera dan bahasa sememangnya menjadi penekanan utama dalam setiap penulisan namun keseimbangan dari segi aspek sains dan teknologi kali ini cukup tinggi dan menarik.

“Daripada 22 manuskrip yang diterima, 10 daripadanya telah dipilih dan disaring kepada tujuh karya. Jelas ketujuh-tujuh karya yang dipilih ke peringkat akhir ini mempunyai pemahaman yang jelas terhadap genre fiksyen sains ini. Kepelbagaian inovasi yang ditunjukkan oleh penulis kali ini cukup membanggakan,” katanya pada majlis tersebut.

utusan online


Lahir penulis berfikiran saintifik
20 Mac 2015 1:38


KUALA LUMPUR 19 Mac – Kerjasama Kumpulan Utusan dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam menganjurkan Sayembara Novel Fiksyen Sains dan Teknologi untuk tiga musim berjaya mencapai matlamatnya dalam melahirkan penulis yang berilmu dan berfikiran saintifik.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ir. Wahid Omar berkata, sebagai sebuah universiti yang berlandaskan teknologi serta sains, UTM sentiasa mendepani cabaran dalam melaksanakan saranan kerajaan melahirkan modal insan yang berkualiti dalam bidang-bidang tersebut.

Katanya, kerjasama erat yang dijalin sebenarnya menyumbang kepada usaha negara dalam melahirkan rakyat berilmu dan mempunyai pemikiran saintifik ke arah pembentukan negara maju 2020.

“Sayembara ini menyediakan ruang dan platform bagi menggamit mereka yang berminat untuk turut sama mencuba dan membina bakat menjadi pengkarya, oleh itu untuk musim ketiga ini, pihak penganjur menambah hadiah kepada para pemenang.

“Sebagai pihak penganjur bersama, UTM berazam dalam tempoh sedekad, program ini akan menjadi sayembara yang berprestij terutama dari aspek pembinaan dan penyertaan karyawan, kualiti kerja yang menyertai dan impak kepenggunaan masyarakat yang bermutu tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyampaian Hadiah dan Pelancaran Karya Pemenang Sayembara Novel Fik­syen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan musim ketiga di Ibu Pejabat Kumpulan Utusan di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak semasa menyampaikan ucapan berkata, jalinan bestari antara Kumpulan Utusan dan UTM melalui sayembara ini telah membuka ruang untuk bersama-sama memikul tugas yang besar mengembangkan kesusasteraan tempatan ke peringkat yang lebih tinggi terutama dalam genre sains fiksyen.

Katanya, walaupun sayembara ini masih baharu, karya-karya kelahiran program ini telah muda mendapat tempat dalam lapangan sastera apabila naskhah daripada musim kedua berjaya diangkat sebagai teks komponen sastera (Komsas) tingkatan empat mulai tahun ini.

“Utusan sangat berbesar hati kerana berpeluang melahirkan generasi baharu yang inovatif sesuai dengan genre sastera yang dipilih selaras dengan tanggungjawab sosial kami dalam menyahut cabaran kerajaan melahirkan generasi cemerlang dan berdaya saing.

“Saya percaya, sayembara ini boleh menjadi landasan bagi masyarakat penulis untuk mencabar daya kreativiti mereka dengan memberikan nafas baharu dalam menghasilkan naskhah yang berbeza daripada genre kebiasaan,” katanya.

utusan online

Comments