merumahkan keyakinan


Keyakinan adalah segala-galanya. Teratas dalam segala aturan untuk mencapai hajat dan harap yang bergema dalam roh dan jiwa. Keyakinan adalah pembinaan jiwa pengukuhan diri untuk merasa percaya dan tahu arah dan hala tuju perjuangan. Keyakinan adalah kesabaran, kecekalan, semangat, komitmen, dedikasi, istiqamah, dan segala warna positif yang membancuh hamparan perasaan dan hati.


Keyakinan bukan mudah terbit dan bukan mudah menjadi sebati dalam diri. Muhasabah adalah antara introspeksi diri yang terbaik dalam merumahkan keyakinan. Kita memeriksa diri kita satu persatu untuk menumbuhkan rasa percaya, dan keberanian yang memugar keyakinan. Keyakinan boleh mudah cair oleh ujian dan pautan pergolakan dan kepayahan. Ada ketikanya segala yang tersarang indah dalam lintas perjuangan menjadi cair dan lebur kerana tertimpa musibah dan dugaan yang memboloskan pertahanan jiwa. Segala menjadi lebur dan  keyakinan hilang persis cahaya ditelan gelap malam. Sirna dan tiada. Untuk menumbuhkan kembali keyakinan itu begitu mengambil waktu dan keberanian baru. Peru ketenangan dan kawalan emosi yang lebih mantap. Segala bauran dan sarat hampa sering mengusir keyakinan. Ia pergi sebagaimana angin yang deras meninggalkan jendela. Kesedihan dan kesugulan mengusutkan keyakinan. Apabila segala yang dirangka menjadi berbeza atau tiba-tiba suatu yang tidak terduga datang menghiris kalbu, keyakinan merangkak pergi meninggalkan batin diri. Kita kembali menjadi pengungsi dalam meladani kesukaran dan kesakitan. Semua berubah dan menjadi sarat dan berat. Sebagaimana awan meluruhkan hujan begitu hitam membalut langit.

Letakkan jiwanya dan dirimu dekat kepada Allah. Kepada Allah berserah dan mengharapkan. Yakinlah bahawa pertolongan Allah sentiasa ada dan begitu dekat memerhati segala sakit dan luka yang dialami. Yakinlah bahawa segala yang diterima telah Allah tetapkan sebagaimana kemampuan dan upaya jiwa dan raga kita memikulnya. Yakinlah untuk membina kembali segala kerangka yang berkecai dan segala yang kusut dan berkecai boleh dirungkai kembali perlahan-lahan.

Tingkatkan Keyakinan

Terimalah diri kita seadanya. Sayangi dan hormati diri sendiri. Yakinilah bahawa hanya diri kita sendiri yang ada di dunia ini Tidak ada duanya dirimu. Sedarilah bahawa diri kita begitu istimewa. Kenal pasti prioriti diri kita.Jika ada rasa kebencian terhadap diri sendiri, ia adalah pemikiran bawah sedar untuk membuktikan bahawa kita benar-benar lemah dan tak berdaya. Usah surut ke dalam segala itu, Bangunkan emosi bahawa diri kita yang terbaik dan teristimewa dan mampu membina segala yang bertunas dalam harapan dan cita-cita. Bisikkan kepada diri kita bahawa aku mampu dan berupaya melawan segalanya.


Penampilan diri adalah sebahagian dari pernyataan jiwa tentang keyakinan. Kemas dan rapikan penmapilan. Biar ia segak, kacak dan menarik.  Rasai keselesaan dengan penampilan diri kita. Usah biar kita berada dalam kekusaman dan dilihat tidak menarik. Jagailah dirimu sebaik-baiknya. Peragaan yang terbaik melalui kebersihan , gaya rambut, gaya fesyen yang sesuai dapat memberikan pengaruh kepada emosi kita dan emosi orang lain. Lakukan transformasi diri untuk kelihatan kita anggun, segak dan terbaik.

Senyuman adalah sesuatu yang istimewa dimana akan meningkatkan keyalinan. Senyuman adalah aliran emosi yang menghubungkan diri kita dengan orang lain secara positif. Jadikanlah senyuman warna-warni hidup kita. Ia bukan sahaja terbaik untuk diri kita tetapi cara kita berinteraksi dengan orang lain secara mudah dan biasa - senyum.

Berjalanlah dengan rasa yakin dan percaya kepada diri sendiri. Tunduk dan malu boleh menghukum emosi sendiri. Ragu-ragu dan rendah diri boleh menjadikan kita tertunda dari putaran di sekitar kita. Cara berdiri, duduk, berjalan dan menzahirkan diri adalah gema yang menjelaskan siapa diri kita. Keyakinan sering berada pada segala bentuk yang positif seperti bangun badan, postur, bahasa badan dan sebagainya.


Ambillah segala lemah dan kurang dengan sebaik-baiknya. Kita tidak terlepas dari silap dan terimalah ia sebagai sebahagian dari diri kita dan kita berusaha memperbaiki kelemahan itu.  Pengalaman adalah guru paling jujur dalam hidup ini. Kita secara jujur belajar dari pengalaman saat kita jatuh dan kecewa, hampa dan luka. Aturkan kembali semua itu sebagai tapak baru yanag kita bina dengan semangat dan keazaman baru. Usah kehampaan membawa kita larut tetapi belajar perlahan-lahan bagaimana mengatasi kelarutan itu dan perkejapkan tindakan. Bersedia menerima kesilapan adalah bahagian-bahagian penting untuk mencapai keyakinan

Dirimu adalah yang terbaik dan mampu mencapai segala apa yang dimimpi
Yakinilah diri di situ bermula tumbuhnya bunga-bunga indah kejayaan.


Comments