30 Mar 2015

Khalid Salleh : Kena Main




foto : astro awani


Kena Main – selayang pandang
Khalid Salleh


Peradaban manusia meletakkan nilai sebenar makna kehidupan yang secara biologis mengandungi pengertian salah dan benar, baik dan buruk, dosa dan pahala, halal dan haram, syurga dan neraka. Manakala titik penghubung antara nilai hitam dan putih seperti yang disebutkan itu adalah manusia itu sendiri.

Bohong tidak bermakna dosa dalam posisinya meletakkan kewajaran sesuatu tindakan yang berkait dengan situasi cemas, genting atau membahayakan keselamatan seseorang. Makna dosa dan pahala, baik dan buruk, halal atau haram berasosiasikan keadaan dan tuntutan pada ketika itu. Apabila Daud menyelamatkan Mona yang secara kebetulan berada dalam satu bas yang dinaiki Mona ketika melarikan diri dari rumah orang tuanya, tidak bermakna Daud telah menjajakan maruah Mona dengan menjadikan Mona sebagai pemain tamborin di samping menyanyi untuk kumpulannya yang diketuai oleh Jusoh.

Justifikasi kebaikan dan keburukan yang membawa kepada pembabitan polis apabila ayah Mona membuat laporan tentang kehilangan Mona yang melarikan diri dari rumah, telah menyumbang kepada permasalahan yang agak kompleks dengan munculnya penagih dadah yang membaca berita kehilangan Mona di suratkabar. Penagih mengambil kesempatan untuk melakukan peras ugut sekiranya keberadaan Mona di tempat dia selalu bermain muzik bersama Daud dan Jusuh tidak dilaporkan kepada polis.
Ketergantungan Mona mengharapkan belas ihsan kawan-kawan selama pelariannya dari kekusutan keluarga di mana ayahnya telah berkawin lagi setelah kematian isterinya, mendekatkan Mona kepada makna kehidupan sekali pun hanya bermain musik di tepi jalan. Kemanisan hidup menjadi pemusik jalanan bersama kawan-kawan yang lain membuahkan kasih Mona kepada persekitaran kehidupan barunya itu.

Apabila polis menjadi hantu yang sangat menakutkan kepada Mona yang mulai mengenal dan merasai erti kebebasan, tindakan Laila dan Jamil dari Persatuan Kebajikan Untuk Orang Kurang Upaya telah membuahkan persoalan Kena Main bertitik nokhtah di sini. Mona bebas dan merdeka mengambil jalan hidupnya sendiri.

Sisi pandang keperihatinan setiap warga dalam melaksanakan tanggungjawab sosial di samping peranannya sebagai manusia yang mempunyai ikatan terhadap kada’ dan kadar ketentuan dari Yang Maha Menjadikan dan Menyudahkan Segala Kejadian, meletakkan bahawa erti kehidupan adalah ‘main-main’ yang harus disantuni dengan kaedah pendekatan yang bukan main-main (tahu atau berilmu). Jika tidak memang akan kena main oleh rakus, tamak, gelojoh, dengki, khianat, dendam dan iri yang semuanya itu adalah kendalian iblis dan syaitan yang bersembunyi di sebalik wajah insan. Ini bukan main-main walau pun hanya sebuah lakon pentas (teater).

Khalid Salleh






Teater Kena Main
Istana Budaya
27 Mac hingga 5 April 2015

Jangan terlepas peluang menonton

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena