Benarkah Tuah?

Hang Tuah satu fiksyen?
Oleh Latifah Arifin

PROF Emeritus Datuk Dr Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman (dua dari kiri) bersalaman dengan peserta yang hadir lengkap berpakaian hulubalang pada syarahan bertajuk Hang Tuah: Antara Mitos dan Realiti. - Foto Afendi Mohamed

KEWUJUDAN pahlawan Melaka Hang Tuah akan terus dianggap sebagai cerita rekaan atau mitos sekiranya masih ada dalam kalangan sejarawan yang menafikan bukti penemuan data dan artifak oleh ahli arkeologis dengan tanggapan ia bukan sebahagian daripada disiplin sejarah.

Sikap segelintir sejarawan itu agak mengecewakan apabila mereka berpegang kepada bukti berbentuk dokumen semata-mata, tanpa mengambil kira sumber sejarah lain terutama naskhah sastera Melayu klasik dan data arkeologi.

Peringatan itu disampaikan oleh Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Datuk Dr Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman pada Syarahan Tun Seri Lanang bertajuk Hang Tuah: Antara Mitos dan Realiti, sekali gus teguh dengan pendiriannya mengenai kewujudan Hang Tuah adalah suatu realiti yang perlu dibanggakan oleh bangsa Melayu.

Sejarawan enggan terima arkeologi

Katanya, keengganan sesetengah ahli sejarah yang tidak menerima bidang arkeologi sebagai sebahagian disiplin sejarah turut menyekat proses mencungkil pelbagai peristiwa sejarah dalam negara.

"Arkeologi pada asasnya adalah sejarah. Pegangan ini berlandaskan kepada asal usul perkataan itu yang memberi takrif kepada sejarah khususnya sejarah purba.

"Seakan-akan ada usaha dilihat untuk memisahkan arkeologi daripada sejarah, bahkan disebabkan itu sejarah Malaysia hanya bermula dari Melaka bagi pandangan sesetengah pihak, sedangkan sejarah itu merangkumi zaman prasejarah, protosejarah dan sejarah," katanya.

Bagaimanapun, pandangan yang tidak selari di antara ahli arkeologis dan sejarawan juga terlihat pada syarahan berkenaan.

PROF Emeritus Datuk Dr Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman. - Foto Afendi Mohamed

Hang Tuah, fiksyen?

Ia dapat dilihat apabila pengkaji sejarah yang juga bekas Dekan Jabatan Sejarah, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Emeritus Dr Ahmat Adam, mempersoalkan kewujudan Hang Tuah dan kebenaran kewujudan Makam Hang Tuah dipanggil Makam Tua yang terletak di Tanjung Keling, Melaka.

"Pada saya kewujudan Hang Tuah adalah fiksyen, walau bagaimanapun, ia bukanlah bermaksud orang Melayu tidak ada pahlawan pada zaman itu. Mungkin ada tetapi namanya tidak diketahui.

"Saya bukan berfikiran pro-Barat, cuma mengharapkan bukti yang lebih konkrit apabila muncul pula cerita baharu yang menyatakan ia sebenarnya kubur seorang India, bukan makam milik Hang Tuah," katanya.

Ahmat yang turut mengkaji teks Sejarah Melayu, bakal muncul dengan kajian baharunya bertajuk Sulalatus Salatin Krusersten: Satu Kajian Kritis.

Tolak dakwaan tokoh rekaan

Hal itu dijawab Prof Emeritus Nik Hassan Suhaimi yang menolak cerita itu kerana ia seakan-akan tidak logik ekoran tidak ada tokoh berketurunan India yang begitu penting dan terkenal pada zaman itu sehingga kubur begitu besar dan panjang disediakan, bahkan bercanggah dengan konsep keramat panjang negeri Melaka.

"Sejarah Melayu edisi Shellabear menegaskan Hang Tuah mati pada zaman Sultan Mahmud Shah dan jenazahnya dikebumikan di Tanjung Keling dengan penuh penghormatan.

"Sejarah Melayu tidak pernah menceritakan mengenai perkuburan mana-mana tokoh atau pahlawan Kesultanan Melaka, jadi keutamaan yang diberikan kepada Hang Tuah dalam teks ini harus diterima sebagai penghormatan dan tidak boleh dinafikan lagi dari segi fakta," katanya.


SEORANG peserta mengajukan soalan pada syarahan Prof Emeritus Datuk Dr Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman pada Syarahan Tun Seri Lanang bertajuk Hang Tuah: Antara Mitos dan Realiti. - Foto Afendi Mohamed

Bukti lain yang boleh dijadikan sandaran untuk menyatakan kemungkinan besar ia sah makam milik Hang Tuah dapat dilihat daripada struktur kuburnya yang unik terutama bentuknya yang panjang, sekali gus perlambangan kepada ketinggian darjat si mati itu yang dihormati dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, ketiadaan makam lain mempunyai struktur yang sama sebagaimana Makam Tua di Tanjung Keling serta penemuan artifak lain iaitu serpihan seramik di kawasan kuburan itu terutama seramik Dinasti Ming awal dan seramik dari Wilayah Sawankalok utara Thailand, mengesahkan dan menguatkan teori makam asalnya dibina pada zaman Kesultanan Melaka.

Akui wujud mitos, jangan tolak sepenuhnya

Beliau juga turut menjelaskan keengganan masyarakat termasuk dalam kalangan ilmuwan yang tidak mahu menjadikan teks sastera klasik Melayu terutama Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah sebagai sumber sejarah.

"Kita harus akui terdapat unsur mitos, legenda dan tokok tambah dalam teks sastera klasik Melayu, bagaimanapun ia tidak bermakna kewujudan Hang Tuah sengaja diada-adakan.

"Ia masih boleh diguna sebagai sumber sejarah selepas mitos dan legenda itu dinilai dan dikaji sejarahnya. Unsur mitos sengaja ditonjolkan dalam naskhah bagi memperlihat kehebatan Hang Tuah sebagai pahlawan agung Melayu," katanya.

Justeru, Prof Emeritus Nik Hassan Suhaimi menegaskan adunan sumber arkeologi dengan sumber sastera sejarah Melayu tradisional banyak membantu dalam memperjelas hasil pembinaan sejarah zaman pra-Melaka, bahkan beliau juga mempercayai kewujudan Hang Tuah berasaskan fitrah hidup manusia bahawa setiap yang hidup pasti akan mati.


bhonline

Comments