warisan : songkok



 Songkok merupakan antara warisan Melayu yang popular terutama dalam kalangan lelaki. Di Malaysia, lazimnya songkok dipakai untuk melengkapkan baju melayu, sampin dan capal. Apakah anda ingin membeli songkok sebagaimana yang dipakai oleh Ym Tun Dr Mahathir? 
Ikuti selanjutnya membaca warisan kita ini ...


Mahkota lelaki Melayu
Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI

MEMOTONG pelan badan dan tampuk merupakan proses yang perlu dibuat dengan teliti dalam pembuatan songkok.

SETIAP tahun apabila tiba sahaja bulan Ramadan, beliau akan sibuk menerima beratus-ratus tempahan yang datang bertimpa-timpa di kedai songkoknya di Pasar Minggu, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Dikelilingi dengan kotak-kotak berisi songkok yang memenuhi bahagian hadapan dan belakang kedai, Deni Yustin, adalah antara pembuat songkok generasi muda yang begitu tekun melakukan kerjaya itu.

Walaupun masih muda dan baru dalam kerjaya ini, Deni mampu bermegah dengan kerja tangannya memandangkan beliau adalah antara beberapa orang sahaja pembuat songkok yang dikenali di Lembah Klang.

Setiap kali tibanya Ramadan, beliau mempunyai sebab untuk tersenyum kerana pada masa ini beliau mampu mendapat pulangan berganda.

Sejak kecil lagi Deni telah didedahkan dengan pembuatan songkok oleh bapa dan ibunya, bahkan itulah juga sumber rezeki bagi membesarkannya lima beradik.

Ibu bapanya yang telah berhijrah ke Malaysia dari Bukit Tinggi, Indonesia, sejak 30 tahun lalu telah memulakan perniagaan songkok dikenali sebagai Kedai Songkok Kampung Baru.

Bagaimanapun, apabila ibunya, Hilma Nawawi meninggal dunia pada tahun 1996 dan diikuti bapanya, Yustin Sutan Pangulu Johan (2006), tiada siapa di kalangan adik-beradik yang ingin meneruskan perniagaan tersebut.

Deni, lulusan Diploma Pengurusan Perniagaan dari Universiti Tun Abdul Razak, akhirnya secara sukarela meneruskan industri keluarganya demi memastikan ia tidak berkubur begitu sahaja.

Anak muda yang berusia 32 tahun dan masih bujang ini, tidak menjangka akan menghabiskan waktu mudanya sebagai pembuat songkok dan bukannya menjawat jawatan tinggi di sektor swasta atau kerajaan setaraf dengan kelulusannya.

Namun, beliau reda dengan takdirnya dan berazam akan menaikkan martabat songkok keluaran kedainya ke serata Malaysia.

Menurutnya yang baru dua tahun mengambil alih perniagaan itu, minat terhadap pembuatan songkok berputik sejak waktu kecil lagi apabila melihat bapa, ibu dan ibu saudaranya menjadikan produk tersebut sebagai sumber rezeki.

Tetapi kerana kewajipannya untuk meneruskan pelajaran sehingga ke peringkat tinggi terpaksa dia beralah sebentar.

Setelah tamat pengajian dan tiada pekerjaan, kemudian ayah pula meninggal, maka saya terus mengambil alih perniagaan ini. Ini bukan satu pekerjaan hina, bahkan cukup mulia dan saya bangga kerana songkok merupakan salah satu kelengkapan pakaian yang diletakkan di atas kepala, maruah yang tertinggi sekali.

Bahkan saya juga gembira songkok adalah kelengkapan kita menunaikan solat lima waktu, dipakai semasa hari perayaan dan keramaian, katanya ketika ditemui di kedainya di Pasar Minggu Kampung Baru, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ditanya siapakah orang kenamaan yang pernah membeli songkok buatan kedainya, kata Deni: Antaranya ialah bekas Yang Dipertuan Agong yang juga Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan Pengerusi Ambank, Tan Sri Azman Hashim dan beberapa agensi kerajaan seperti dari Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan Pusat Kebudayaan Universiti Malaya dan ramai lagi.

Ujarnya, kakak dan abangnya turut memasarkan songkok keluaran kedainya di Pasar Larkin, Johor Bahru.

Selain itu, kedainya juga melantik beberapa pengedar di Temerloh, Shah Alam, Sungai Buloh, Kuala Lumpur dan lain-lain,katanya.

Jika dahulu, Deni bersama ayahnya mengusahakan songkok ini, tapi sekarang dia berseorangan. Beliaulah yang menguruskan segala-galanya tanpa pekerja yang membantunya.

Susah nak dapat pembantu, orang muda tidak mahu bekerja macam ini dan rata-rata tidak ada pengalaman pula. Tak apalah, saya akan usahanya seorang diri sekalipun terpaksa melakukan banyak kerja dalam satu masa,ujarnya.

Deni juga dalam masa yang sama menyatakan kebimbangan, seni membuat songkok di negara ini akan pupus memandangkan tiadanya program atau usaha daripada kerajaan untuk menggalakkan lebih ramai belia menceburi bidang itu.

Malahan saya sendiri bimbang kerana tiada siapa akan mewarisi kemahiran saya. Jika ditakdirkan saya berkahwin dan mempunyai anak suatu hari nanti, saya akan cuba turunkan ilmu padanya tapi belum tentu juga dia berminat,jelasnya.

Beliau berkata, jika kerajaan boleh mewujudkan program untuk memulihara bangunan-bangunan bersejarah dan kebudayaan tradisi, usaha yang sama perlu dilakukan kepada kerjaya membuat songkok.

Songkok adalah sebahagian daripada pakaian tradisi Melayu. Kita perlu ada usaha untuk menggalakkan golongan belia supaya menjadi pembuat songkok atau kemungkinan mewujudkan industri membuat songkok di sini,'' katanya

Kata Deni, permintaan terhadap songkok ini akan bertambah apabila bulan puasa.

Oleh itu saya terpaksa menambahkan pengeluaran apabila tiba waktu itu. Selalunya, satu hari saya boleh menyiapkan hampir 100 biji songkok dengan menyambungkan kepala ke badan, tetapi jika perlu pasang baldu lengkap, hanya 40 biji kerana ia memakan waktu yang lama dan rumit,'' katanya.

Tambahnya, songkok masih merupakan mahkota bagi lelaki Melayu terutama yang masih setia mengangkat warisan budaya bangsa.

Sebuah songkok yang dipakai, jika dipadankan dengan sepasang baju Melayu, akan membuatkan seseorang itu kelihatan tampan dan bergaya.

Malah songkok turut melambangkan imej bersopan-santun yang masih menjadi tunjang budaya bangsa kita yang cukup terkenal di serata dunia.

Justeru itu, katanya, menjelang hari-hari perayaan, kenduri dan perkahwinan, songkok terus menjadi tradisi bagi generasi masa kini.

Kata anak muda ini, songkok terdiri daripada songkok rendah dan tinggi manakala jenis kain pula baldu gred 1 (3 Crown) dari Jerman dan Korea untuk songkok SOB (songkok orang besar-tinggi), baldu gred 2 (Hymilon) dari Jepun dan baldu biasa (kabul) dari Korea dan China.

Baldu mahal selalunya sensitif, jika kena air ia perlu dikeringkan dahulu, berbeza dengan biasa yang lebih tahan. Songkok ini juga mempunyai aksesorinya, ada yang berenda songket dan satin bagi menyerikan lagi si pemakai. Begitu juga dengan tingginya, yang biasa ialah 11 sentimeter (cm) tetapi kebanyakan songkok SOB tingginya ialah 12.7 cm,” katanya.

Harganya pula dari RM9 untuk kanak-kanak, dewasa (RM16), tinggi (RM25) dan SOB (RM45). Songkok berenda songket dan satin berharga RM28.

Kebanyakan bahan untuk membuat songkok ini dibawa dari Bukit Tinggi kerana harganya lebih murah berbanding di sini,” katanya.

Proses membuat songkok
* Buat pelan badan daripada kertas suratkhabar, kain perca dan kain satin.
* Buat pelan tampuk.
* Potong pelan badan dan tampuk ikut ukuran.
* Potong kain baldu untuk badan dan tampuk ikut saiz.
* Ukur saiz pelan untuk badan pada kertas kadbod.
* Pasang badan pada kain baldu hitam dan lace plastik.
* Tampal sambung ke badan untuk dijadikan songkok.
* Pasang kain baldu dengan badan sekali.
* Pasang kepala.

utusan online


Songkok baldu Zulaikha
Oleh RIZAM ZAKARIYA

SEBAHAGIAN daripada songkok berkualiti yang dijual oleh syarikat ABM Zulaikha.

UMPAMA gula tanpa manisnya, bagaikan bunga tanpa serinya. Begitulah perumpamaan bagi golongan lelaki yang memakai baju Melayu tanpa songkok.

Sejak zaman dahulu, songkok melengkapkan penampilan mereka yang berbaju Melayu.

Namun pada hari ini, songkok seolah-olah sudah hilang taringnya. Hari ini, songkok hanya dipakai ketika menghadiri majlis-majlis perkahwinan atau menghadiri solat sunat pada pagi raya.

Selain daripada waktu tersebut, kebanyakan lelaki Melayu lebih selesa memakai seluar jean dan baju-T kerana berpendapat ia lebih selesa dan bersesuaian di kebanyakan tempat.

Jika budaya ini berterusan, apakah yang berlaku dengan kegemilangan songkok sebagai salah satu identiti masyarakat Melayu suatu ketika dulu?

Songkok yang dahulunya berperanan sebagai penutup kepala dan sebahagian daripada aksesori pakaian lelaki Melayu kini kian pudar.

Namun, kepada anak jati Pulau Mutiara, Shahul Hameed Malim Abu Bakar,55, dan ahli keluarganya berusaha untuk mengembalikan semula kegemilangan pemakaian songkok.

Bersama seorang adiknya, Gulam Kader Malim, 48, mereka mengambil keputusan untuk meneruskan perniagaan keluarga yang dimulakan oleh bapa mereka, Abu Bakar Merican.

Perniagaan yang bertapak sejak 1947 di sebuah kedai di Lebuh Pantai, Pulau Pinang itu menggunakan nama syarikat GN Abu Bakar Merican dan Anak-Anak.

“Selain membuat songkok, arwah ayah juga terlibat dalam perniagaan menjual baldu dan benang emas yang diimport.

“Pada masa itu, syarikatnya merupakan antara yang terkenal di negara ini dalam perniagaan kain baldu,” jelasnya.

Menurut Shahul Hameed Malim, selepas kematian bapanya, dia mengambil alih perniagaan tersebut dan menukar nama syarikat keluarganya kepada ABM Zulaikha Sdn. Bhd. (ABM Zulaikha).

Syarikatnya yang memfokuskan pembuatan songkok mendapat permintaan yang tinggi di pasaran.

SHAHUL HAMEED MALIM (kanan) dan Gulam Kader melihat songkok yang siap untuk dihantar kepada pelanggan.

ABM Zulaikha kemudiannya terpaksa berpindah ke kilang baru yang lebih besar di Mak Mandin, Butterworth bagi menambah kapasiti pengeluaran.

Dibantu oleh sepuluh orang pekerja termasuk seorang anak dan menantunya, syarikat tersebut mampu mengeluarkan kira-kira 500,000 songkok pelbagai jenis dalam setahun.

Kontrak menjahit

Antaranya termasuklah potongan gunung, sultan, rata, tajam dan jenis lipat dengan pelbagai pilihan ketinggian songkok di antara sembilan sentimeter (sm) hingga 15.5 sm.

“Disebabkan jumlah pekerja yang terhad, kami memberi kontrak menjahit songkok kepada sepuluh buah keluarga yang telah menerima latihan di tempat kami bagi menampung permintaan pelanggan.

“Walaupun sebahagian daripada songkok keluaran syarikat kami yang dijahit oleh individu lain, tetapi kami tetap memantau kualitinya,” katanya yang memberitahu ia secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan pendapatan keluarga terbabit.

Tambah Shahul Hameed Malim, songkok yang dihasilkan oleh syarikatnya menggunakan kain baldu yang diimport dari England, Korea Selatan dan Syria dengan gred yang berbeza-beza.

Kini songkok jenama ABM Zulaikha yang dijual pada harga di antara RM20 hingga RM150 telah menembusi pasaran di luar negara seperti Brunei, Singapura dan Indonesia selain pasaran di Sabah dan Sarawak.

SHAHUL HAMEED MALIM dan Gulam Kader melihat kain baldu yang diimport dari England untuk dijadikan songkok.

Syarikatnya turut membuat pelbagai jenis songkok mengikut kehendak pelanggan termasuklah yang digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Justeru tidak hairanlah syarikat itu pernah menerima Anugerah Usahawan Berjaya daripada pelbagai pihak termasuk daripada kerajaan negeri Pulau Pinang, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Yapeim (Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia).

Sementara itu, pada setiap musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, pembuat songkok terkenal di negeri yang sama, Haja Mohideen Mohd. Shariff, 62, bekerja keras untuk menyiapkan ratusan songkok yang ditempah oleh para pelanggannya.

Beliau yang mempunyai pengalaman selama lima dekad dalam bidang buatan songkok dibantu oleh menantunya untuk menyiapkan tempahan yang diterima daripada pelanggan-pelanggannya dari Kuala Lumpur, Johor, Perak dan Singapura.

Menurut Haja Mohideen, pada bulan Ramadan lalu, kedainya dibuka dari pukul 11 pagi hingga 1 pagi untuk menyiapkan tempahan.

kosmo online


Sardi Dahar: Pembuat Songkok di Alor Setar
Oleh Adnan bin Abd Jamil

Songkok bukan lagi asing bagi masyarakat di Malaysia. Baju Melayu tidak lengkap tanpa memakai songkok. Pada Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha, songkok dipakai oleh kanak-kanak, remaja dan golongan dewasa. Songkok juga dipakai ketika menunaikan solat.


Songkok sebagai pelengkap pemakaian baju Melayu

Pada majlis-majlis tertentu seperti upacara pertabalan raja atau Yang di-Pertuan Agong, dan majlis angkat sumpah, tetamu lelaki Melayu diwajibkan memakai songkok. Demikianlah kepentingan dan kegunaan songkok yang menjadi budaya dalam masyarakat Melayu.

Bagi pembuat songkok, Sardi Dahar, tidak pernah terduga olehnya, songkok yang dihasilkan dengan tangan sendiri dipakai oleh pemimpin nombor satu negara. Namun, itulah tuah dan rezeki Sardi yang mewarisi perniagaan songkok daripada bapanya.

Sardi Dahar pembuat songkok di Alor Setar.

Sardi berkata, dalam keluarganya yang seramai 10 orang, tidak ada yang berminat untuk menjalankan perniagaan seperti bapanya. Oleh sebab itu, Sardi bertekad untuk membantu dan mewarisi perniagaan bapanya.

Setelah tamat belajar di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar pada tahun 1975, Sardi tidak menoleh ke belakang lagi. Dia belajar membuat songkok daripada bapanya yang menjalankan perniagaan di Pekan Rabu.

“Tun Dr. Mahathir merupakan salah seorang pelanggan songkok bapa saya. Setiap kali Tun datang ke Pekan Rabu, beliau akan singgah di kedai kami,” cerita Sardi.

Walaupun bapanya tidak lagi menguruskan perniagaan di situ, Tun Dr. Mahathir tetap singgah ke kedai mereka untuk membeli songkok. Bercerita tentang songkok yang digunakan oleh Tun Dr. Mahathir, Sardi berkata bahawa ada kisah di sebaliknya. Seorang pelanggan dari Kuala Lumpur datang dan bertanyakan songkok yang dipakai oleh Tun. Apabila Sardi menunjukkan songkok itu, pelanggan itu berkata bahawa songkok itu nampak biasa sahaja, tidak ada apa-apa yang istimewa.


Sardi Dahar mahu mencari idea baru dalam penghasilan songkok.

Kata-kata pelanggan itu meninggalkan kesan di hati Sardi. Dia tidak marah, malah menganggap komen pelanggan itu sebagai satu cabaran. Sardi mula membuat penyelidikan tentang songkok yang akan dihasilkan. Dia mahu menghasilkan songkok yang menampakkan kelainan daripada songkok biasa.

Sardi mendapat idea untuk menghasilkan songkok yang lebih istimewa. Apabila Tun datang ke kedainya, Sardi menunjukkan songkok baru yang dihasilkan. Sardi meminta kebenaran untuk meletakkan gambar Tun pada kotak songkok. Tun bersetuju dengan gambar pilihan Sardi, lalu menamakannya sebagai “Songkok Style Tun” .

Songkok ‘Style’ Tun, hasil rekaannya sendiri.

“Tun berpesan supaya saya menjaga kualiti songkok ini sebab di kotaknya ada gambar beliau. Walaupun saya menggunakan gambar Tun, tetapi beliau tidak meminta apa-apa royalti daripada saya. Saya tahu, kebanyakan orang ingat Tun minta bayaran. Apabila berita dan gambar Tun memakai songkok ini dipaparkan dalam akhbar, ramai yang mencari songkok ini.”

Songkok Style Tun mendapat sambutan masyarakat. Namun, Sardi tidak mampu untuk memenuhi permintaan pelanggan. Sardi menjual Songkok Style Tun di kedainya yang beralamat di A1.07, Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar. Songkok tersebut dijual dengan harga RM120. Selain Songkok Style Tun, Sardi juga menjual songkok biasa yang berharga antara RM10 hingga RM80. Songkok biasa diperoleh daripada pengusaha lain. Sardi tidak melantik ejen untuk memasarkan Songkok Style Tun. Ada pelanggan yang pernah ditipu kerana membeli songkok Tun di tempat lain.

“Saya buat sendiri untuk menjaga kualiti. Saya buat dari pagi sampai petang. Menjelang bulan puasa, saya kena buat lebih songkok sebab tempahan untuk hari raya berlipat kali ganda.”
Tun M Pekan Rabu

Sardi bersama-sama Tun Dr. Mahathir ketika beliau ke kedainya di Pekan Rabu.

Sardi sangat bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan. Tun Dr. Mahathir yang mengenali Sardi sejak kecil nampak akan kesungguhan Sardi dalam bidang perniagaan yang diwarisi daripada bapanya. Menurut Sardi, Tun Dr. Mahathir memang menyokong orang Melayu yang hendak berniaga. Tun memang suka singgah ke Pekan Rabu setiap kali pulang ke Kedah.

Sardi menyediakan kertas kerja untuk membina sebuah kilang bagi menghasilkan Songkok Style Tun. Ada institusi perbankan yang menawarkan pinjaman kepadanya. Sardi yakin bahawa Songkok Style Tun mempunyai pasaran yang baik. Harga jualan songkok bagi bandar besar seperti Kuala Lumpur pasti dapat ditingkatkan. Songkok Style Tun yang memang berkualiti dapat dijual dengan harga RM250.

Walaupun Songkok Style Tun hanya dipasarkan di Alor Setar, tetapi ada pelanggan Sardi dari Johor meminta Sardi menghantarkan songkok tersebut melalui pos. Walaupun pelanggan tersebut hanya melihat songkok dalam akhbar, dia yakin dengan kualiti songkok buatan Sardi. Setelah songkok tersebut diterima, pelanggan menghantar mesej mengucapkan terima kasih dan dia berpuas hati dengan kualiti Songkok Style Tun yang dihasilkan oleh Sardi.

“Dalam perniagaan, kita tidak boleh berkira tentang masa. Disebabkan bekerja sendiri, kita kena berusaha bersungguh-sungguh. Mesti berikan sepenuh perhatian. Apabila hampir waktu hari raya, biasanya saya akan berhenti menghasilkan songkok pada pukul 4.00 pagi.”

Kini, songkok telah menjadi warisan Melayu dan boleh dikomersialkan. Pelanggan sanggup membayar dengan harga yang mahal asalkan buatannya berkualiti. Sardi bertekad untuk terus menghasilkan songkok – budaya Melayu yang “tidak lekang dek panas dan tidak lapuk dek hujan.”

klikweb

Comments