Warisan : Manuskrip Melayu

Kenali Manuskrip Melayu
Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA
Kurator Muzium Kesenian Islam Malaysia

MANUSKRIP yang ditulis di atas papan.


MANUSKRIP yang ditulis di atas daun nipah.

MANUSKRIP Melayu merupakan lambang kesarjanaan para cendekiawan Melayu dahulu. Kegiatan penulisan dan penghasilan manuskrip dalam pelbagai subjek bagi mewariskan ilmu dan pengetahuan mereka mengenai sesuatu perkara kepada generasi Melayu yang seterusnya.

Antara bidang penulisan manuskrip Melayu yang sering diketengahkan ialah seperti bidang keagamaan yang terdiri daripada ilmu tajwid, fekah, tasawuf, akhlak dan sejarah manakala dalam bidang tradisi Melayu tempatan seperti hikayat, budaya dan perubatan.

Manuskrip adalah nama yang diberikan kepada naskhah penulisan yang bertulis tangan. Manakala tulisan yang digunakan ialah Jawi.

Tulisan Jawi ialah tulisan yang diadaptasi daripada huruf-huruf Arab sebanyak 30 huruf dan Parsi sebanyak lima huruf bagi membentuk perkataan bahasa Melayu.

Bahan yang digunakan untuk menulis manuskrip Melayu ialah pen, dakwat dan kertas.

Pen yang digunakan oleh para penulis Melayu dahulu diperbuat daripada batang pelepah pokok resam.

Pokok resam ialah sejenis pokok daripada keluarga paku-pakis yang besar dan kebanyakannya tumbuh di kawasan hutan terutamanya di kawasan sejuk seperti di kawasan tanah tinggi.

Pelepah daun pokok resam diambil dan dibersihkan sebelum dipotong mengikut saiz dan mata pen yang diperlukan oleh penulis.

Bagi menghasilkan tulisan Jawi yang kemas, sudut potongan mata pen perlu dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak mudah pecah dan boleh digunakan untuk masa yang lama.

Selepas pen, bahan lain yang diperlukan ialah dakwat untuk menulis. Terdapat beberapa bahan digunakan sebagai dakwat seperti yang ditemui oleh para pengkaji manuskrip Melayu. Selalunya dakwat yang digunakan oleh penulis Melayu ialah hitam.

Bahan-bahan untuk menghasilkan dakwat ini terdiri daripada bahan daripada sumber alam semula jadi yang berada dalam dengan kehidupan masyarakat Melayu seperti; jelaga, arang dan dakwat sotong.

Jelaga juga penting dalam penggunaan cap mohor seperti yang diterangkan oleh Annabel Gallop (2012) dalam buku Lasting Impression - Seals from the Islamic World bagaimana salah seorang Undang Johol telah menggunakan lampu minyak tanah dan mengasapi cap mohor beliau bagi menghasilkan jelaga sebelum mengecap dokumen rasmi dalam satu majlis pada 1948.

Satu lagi bahan asas penting yang diperlukan untuk menulis ialah kertas. Dalam penulisan manuskrip Melayu, kertas yang digunakan bukan seperti kertas yang boleh didapati pada hari ini.

Kertas di alam Melayu di panggil deluang yang diperbuat daripada lapisan kulit pokok seperti mulberi yang diketuk sehingga leper selepas lapisan dalam kulit pokok tersebut direndam sehingga lembut.

Kertas ini mempunyai tekstur dan tahan lama. Selain daripada kertas deluang, bahan lain yang digunakan untuk menulis ialah seperti; kayu, daun nipah dan daun lontar.

Permukaan setiap bahan yang digunakan untuk menulis menggunakan dakwat dan pen perlulah licin dan tidak terlalu kesat kerana ia akan mengganggu penulisan dan tulisan yang dihasilkan tidak jelas dan sukar untuk dibaca.

Selain kertas deluang, kertas yang diimport dari negara luar terutamanya dari Barat seperti; Belanda, Perancis dan England. Kertas-kertas import ini kebanyakannya ditanda dengan cap perniagaan tersendiri yang dikenali sebagai tera air.

utusan online


Manuskrip Melayu yang Menggemparkan
Khamis, 17 Oktober 2013


Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi dan ihsan SOAS

BANGI, 8 Okt 2013 – Sebuah manuskrip lama Melayu mengenai ilmu ghaib yang dihasilkan lebih seratus tahun lalu untuk seorang bilal masjid, menunjukkan gambar dan grafik yang jelas dipengaruhi agama Hindu dan Buddha.

Penyelidik budaya dan manuskrip Melayu, Dr Farouk Yahya berkata manuskrip itu menunjukkan bagaimana orang Melayu zaman lampau meminati amalan sihir dan jampi serapah yang menyimpang dari asas Islam.

Dalam wacana beliau mengenai manuskrip Mantera, Azimat dan Ramalan Berilustrasi Dalam Koleksi The School of Oriental And African Studies (SOAS) di London, Dr Farouk berkata naskah itu merupakan buku panduan untuk amalan sihir dan tilik.

Wacana dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM (ATMA).

Dr Farouk, yang membuat penyelidikan di SOAS, berkata gambar-gambar dan rajah yang dilukis dengan tangan ada banyak kesamaan dengan bentuk tubuh lukisan yang digunakan dalam sihir untuk dera atau bunuh orang melalui sumpahan dalam budaya Siam dan Kemboja.

Ia seakan-akan pujaan voodoo dan Sante Ria di negara-negara Caribbean Amerika tengah.

Apa yang berlainan ialah ayat-ayat suci Al Quran ditulis dalam bentuk badan lukisan itu, bersama dengan tulisan Hindu yang merupakan mantera.

Dr Farouk berkata di antara manuskrip Melayu yang berkaitan dengan ilmu mantera, azimat dan tilikan, naskah asli itu yang digelar MS 25030 telah banyak mendapat perhatian pengkaji tamadun Melayu di Eropah.

Ramai yang meminati isi kandungan MS 25030 kerana teks dan grafik yang memaparkan contoh-contoh berunsur ajaib dan mistik budaya Melayu.

Tambahan pula, penyalinan manuskrip telah ditugaskan oleh seorang pegawai masjid. Ia menunjukkan satu “Syncretism”, ia itu percampuran antara kepercayaan sihir dan Islam, yang merupakan satu percanggahan.

Dalam wacana beliau, Dr Farouk membincangkan latar belakang manuskrip dan menyiasat lukisan dan rajah yang terkandung di dalamnya, yang berkait dengan karya lain mengenai sihir dan tilikan Melayu kuno.

Apa yang memeranjatkan para hadirin di wacana itu ialah bagaimana manuskrip yang dimiliki orang Islam itu memberi keterangan bagaimana untuk “membuat” orang melalui jampi. Menurut naskah itu, rajah dan gambar tubuh manusia hendak dilukis di atas tanah dengan nama simangsa dan ayat-ayat suci Al-Quran tertentu, lalu orang yang hendak membuat sihir perlu buang air besar atau kecil atau ludah ke atas lakaran.

Mengikut manuskrip itu, orang yang hendak di dera akan jatuh sakit atau meninggal dunia dalam keadaan penuh penderitaan.


Manuskrip itu pernah dimiliki oleh seorang warga Kota Baru, Kelantan yang dikenali sebagai Tuan Bilal Hj Yusuf Bilal di antara tahun 1906 dan 1907.Beliau dipercayai bilal di sebuah masjid yang dinamakan masjid raja di bandar itu. Bagaimana pun kajian menunjukkan tidak ada masjid demikian 100 tahun lalu di seluruh Kelantan.

Manuskrip itu disalin oleh seorang yang dikenali sebagai “Sa”, mungkin ringkasan untuk nama Hasan Hj San Lindang, yang tertera pada naskah itu. Manuskrip itu kemudiannya sampai ketangan seorang pekerja hospital yang baru ditubuhkan di Kota baru. Nik Ismail telah berkhidmat sebagai kerani gaji dan elaun kerja pada tahun 1918.

Menurut Nik Ismail, bapanya Hj Mohamad adalah adik kepada Hasan dan mungkin mewarisi buku itu. Nik Ismail kemudian memberi salinannya kepada Dr Desmond Gimlette, pakar bedah negeri Kelantan yang menyampaikan karya itu kepada Sir Richard Olaf Winstedt, pakar kajian Asia yang tersohor di Eropah. Beliau menderma naskah itu kepada SOAS.

Namun demikian ramai penyelidik di Malaysia tidak mengetahui mengenainya, mungkin kerana ia disimpan dan dimiliki oleh SOAS di London.

Ketika sesi soal jawab, para akademik dari ATMA dan Fakulti Pengajian Islam UKM yang hadir berasa hairan dengan niat sebenar “orang masjid” yang memesan supaya naskah itu ditulis untuknya.

Dr Farouk, berkata kajiannya hanyalah mengenai gambar dan rajah manuskrip. Beliau tidak pula menilaikan watak atau peribadi pemilik manuskrip itu.

Dr Farouk Yahya berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari London School of Economics (LSE), University of London dalam jurusan perakaunan. Beliau juga seorang ahli Chartered Institute of Management Accountants (CIMA).

Bagaimana pun, setelah berkhidmat selama empat tahun sebagai akauntan di syarikat muzik di London, Dr Farouk mengambil keputusan untuk mengkaji secara lebih mendalam hobinya, iaitu kesenian Melayu.

Beliau memperolehi ijazah Doktor falsafah dari SOAS dengan tesis bertajuk“ Magic and Divination: The Malay Tradition In Illustrated Manuscripts”.

Selain daripada bertugas sebagai pensyarah sambilan di SOAS, beliau juga adalah penolong kurator pameran Gifts Of Recognition, yang memaparkan pelbagai jenis anugerah dan hadiah tradisional Melayu.

Beliau masih mengekalkan kerakyatan Malaysia tetapi adalah pemastautin tetap di Britain. Ibu Bapanya tinggal di Shah Alam.

ukm



Pertahan manuskrip Melayu sebagai dokumen warisan
26 Mei 2014



KUALA LUMPUR - Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meminta cendekiawan tempatan terus mempertahan dan memartabatkan manuskrip Melayu sebagai dokumen warisan negara yang sangat penting.

Timbalan Perdana Menteri berkata mereka harus mengambil iktibar daripada sarjana Barat seperti Roolvink, Teeuw, Josselin de Jong yang berupaya menjadi pakar rujuk tentang bahasa, adat, tradisi lisan, batu bersurat, bahasa Melayu Kuno dan pelbagai aspek peradaban Melayu yang lain.

"Justeru, diharapkan lebih ramai lagi pengkaji tempatan dan penuntut peringkat sarjana mendalami kajian mengenai manuskrip Melayu di negara-negara tertentu," katanya ketika berucap merasmikan Pameran Antarabangsa Manuskrip Melayu 2014 di Perpustakaan Negara, di sini.

Katanya, setakat ini ahli-ahli akademik telah mengkaji secara mendalam sekitar 30 peratus daripada kira-kira 10,000 manuskrip Melayu yang terdapat di seluruh dunia melibatkan pelbagai topik ilmu seperti herba dan perubatan, astronomi (ilmu falak), mantera dan jampi selain cara hidup masyarakat Melayu.

Muhyiddin berkata hasil kajian membuktikan penglibatan masyarakat Melayu terdahulu dalam pelbagai bidang merangkumi keagamaan, ketatanegaraan, undang-undang serta ilmu bahasa.

Menurutnya, para pengkaji atau penyelidik barat sering melabel pengarang Melayu hanya meniru dan mencedok gaya sastera Hindu dan Arab, namun apabila manuskrip dikaji serta diberi pengertian baharu, ia berjaya membuktikan kebestarian intelek Melayu di zaman dahulu.

"Keintelektualan bangsa Melayu dapat dikesan sejak awal abad ke-13 apabila sistem tulisan jawi diperkenal untuk menggantikan tulisan Palava dan Kawi," jelasnya.

Kata Muhyiddin, negara barat banyak menyimpan hasil khazanah dan sejarah negara termasuk manuskrip Melayu di beberapa tempat seperti di Universiti Leiden, Belanda serta pusat-pusat pengajian tinggi di bekas negara penjajah.

Disebabkan itu, pengkaji peradaban Melayu terpaksa menjadikan Eropah sebagai 'transit' apabila ingin membuat kajian dan kos yang tinggi menyebabkan ramai yang tidak berminat untuk meneruskan kajian, katanya.

"Lebih membimbangkan, bilangan pengkaji yang semakin berkurang menyebabkan Universiti Leiden menjual dan mengagihkan koleksi manuskrip Melayu dan Nusantara kepada pelbagai pihak terutama yang sanggup membayar harga tinggi," kata Muhyiddin.

Sehubungan itu, timbalan perdana menteri mahu usaha lebih agresif dibuat untuk mengenal pasti serta mengesan taburan manuskrip Melayu di seluruh dunia untuk dihimpunkan semula di Malaysia.

Katanya penganjuran pameran bertema "Merungkai Manuskrip Melayu" itu memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat sendiri khazanah akademik serta persuratan tanah air dan seterusnya dijadikan bahan kajian.

Beliau turut berharap lebih banyak manuskrip yang berada dalam simpanan badan serta orang perseorangan dikemuka dan dipamerkan untuk tatapan umum.

"Manuskrip yang disimpan hanya akan mempunyai nilai tinggi jika ia dapat memberi manfaat kepada masyarakat umum," tambahnya.

Pameran selama tiga bulan mulai hari ini hingga 26 Ogos di Perpustakaan Negara itu dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 5 petang.

Lebih 100 naskhah manuskrip Melayu asal dari dalam dan luar negara dipamerkan di dalam galeri berbentuk perahu besar Melayu. - Bernama

sinar harian





Khazanah untuk tatapan anak bangsa
Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA


SUASANA Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur biasanya senyap sunyi lantaran kebanyakan pengunjung leka memberi tumpuan dengan bahan bacaan bertukar menjadi riuh-rendah.

Kebanyakan pengunjung yang pada asalnya datang untuk membaca buku kemudian tertarik untuk ke sebuah bilik pameran yang terletak di tingkat dua perpustakaan itu. Ini kerana di situ berlangsungnya Pameran Telusuri Kegemilangan Melayu Menerusi Naskhah Melayu Lama dan Artifak yang diadakan pada pertengahan bulan lalu.

“Saya ke sini untuk mengulang kaji pelajaran serta mencari buku rujukan sesuai untuk mata pelajaran tahun depan. Namun, selepas singgah di tempat pameran ini, saya memperoleh informasi mengenai artifak dan manuskrip lama yang menceritakan mengenai sejarah Melayu terutama kelengkapan yang digunakan oleh Laksamana Hang Tuah,” ujar pelajar tingkatan empat, Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Kubu Baru, Muhd. Faris Hadi.

Dia yang berkunjung ke perpustakaan negara bersama rakannya, Akmal Masri, 16, ternyata terpegun dengan bahan sejarah dipamerkan menerusi Pameran Telusuri Kegemilangan Melayu Menerusi Naskhah Melayu Lama dan Artifak itu.

Pameran yang berlangsung selama lima hari itu menghimpunkan 17 artifak yang digunakan oleh Laksamana Hang Tuah serta kelengkapan kebesaran sultan ketika era kegemilangan pemerintahan Melaka dan 11 naskhah manuskrip lama mengenai sejarah Melayu yang dipulihara oleh pihak Pusat Manuskrip Melayu PNM.

Selain daripada pihak PNM, penganjur utama pameran yang julung-julung kali diadakan itu ialah Kelab Merdeka Muda Kuala Lumpur dan Selangor (Kemuda).

Presidennya, Noor Azhar Mohamad memberitahu, fokus utama penganjuran pameran adalah untuk membangkitkan minat kepada golongan muda mengenai sejarah Melayu yang kian dilupakan dewasa ini.

“Melalui artifak dan manuskrip yang dipamerkan, ia menunjukkan bukti bahawa kegemilangan masyarakat Melayu suatu ketika dahulu bukan dongeng dan rekaan semata-mata dan ia merupakan sebuah sejarah yang harus dibanggakan oleh orang Melayu,” ujarnya.


SEJUMLAH 11 naskhah manuskrip mengenai sejarah Melayu simpanan PNM dipamerkan kepada pengunjung.

Tambahnya, pameran tersebut merupakan kesinambungan daripada kejayaan program Wah! Hebatnya Melayu yang dianjurkan oleh Kemuda baru-baru ini.

Keris Tempa Melaka

Antara artifak yang dipamerkan sempena pameran itu ialah Keris Tempa Melaka (keris yang diperbuat daripada 21 jenis logam digunakan oleh Laksamana Hang Tuah), Rentaka (sejenis meriam kecil sepanjang satu hasta), Chi Pau Pen (alat muzik menggunakan air yang digunakan oleh Puteri Hang Li Po semasa dalam pelayaran ke Melaka) dan Pontoh (alat perhiasan diri para Pembesar Istana Melaka yang dipakai di lengan).

Kesemua artifak yang dipamerkan merupakan simpanan Penyimpan Setia Khazanah, Muzium Istana Raja Melewar, Negeri Sembilan iaitu Zainal Johan, 47, yang turut bekerjasama dengan pihak Kemuda dan PNM dalam pameran tersebut.

TAMBOL digunakan sebagai alat untuk menghidang makanan kepada para pembesar istana ketika era Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.

Menurut Zainal, 17 artifak yang dipamerkan itu hanya sebahagian daripada 200 koleksi artifak dalam simpanan muzium untuk dipertontonkan kepada umum.

“Melalui artifak-artifak ini, ia jelas menunjukkan bahawa bangsa Melayu pernah menjadi satu bangsa yang paling maju di seantero dunia sekitar tahun 1400 hingga 1511. Setiap artifak terutamanya keris, ia dihasilkan berdasarkan ilmu sains yang ada pada cendekiawan Melayu Melaka di zaman itu.

“Lihat sahaja Keris Tempa Melaka. Ia dihasilkan menerusi gabungan 21 jenis logam pada zaman itu. Sehingga kini, tiada senjata yang berkeupayaan seperti itu termasuk pedang yang dibanggakan oleh orang Jepun iaitu pedang samurai. Itu merupakan kehebatan bangsa Melayu,” ujarnya yang juga salah seorang daripada keturunan ke-12 Bendahara Melaka iaitu Tun Perak yang tersohor ketika era kegemilangan Melayu Melaka.

Naskhah manuskrip

Seorang pengunjung yang hadir ke pameran itu, Nor Adzman Abdul Rahman, 60, memberitahu, minatnya terhadap sejarah kegemilangan Melaka telah membuatkannya terpanggil untuk datang melihat secebis tinggalan sejarah itu.

“Artifak ini merupakan salah satu khazanah yang harus dipulihara untuk tatapan anak bangsa kini seterusnya masa hadapan mengenai kehebatan bangsa Melayu. Ini merupakan salah satu usaha yang baik dan berharap ia tidak berhenti setakat ini sahaja,” jelasnya yang sanggup datang dari Seremban, Negeri Sembilan untuk ke pameran tersebut.

Tidak hanya tertumpu kepada pameran, pengunjung juga berpeluang untuk melihat kaedah yang dilakukan oleh pihak Pusat Manuskrip Melayu PNM menjalankan proses pembaikan naskhah manuskrip lama serta coretan kisah-kisah penting yang berlaku semasa era kegemilangan Melaka.

Lebih menarik, forum wacana ilmu diterajui oleh Zainal Johan, Timbalan Pengarah Bahagian Manuskrip PNM, Faizal Hilmi dan Pensyarah Bahagian Persuratan Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Talib Samad turut membincangkan mengenai kesahihan artifak dan manuskrip yang masih kekal sehingga ke hari ini diadakan pada hari terakhir pameran tersebut.

Bercakap mengenai naskhah manuskrip lama, Timbalan Pengarah Pusat Manuskrip Melayu PNM, Nasimah Badaruddin memberitahu, coretan dalam naskhah manuskrip merupakan salah satu bukti kepada setiap kewujudan artifak yang telah ditemui.

“Rentaka ada disebut dalam manuskrip Hikayat Hang Tuah dan ia merupakan bukti yang jelas bahawa meriam tersebut digunakan oleh Laksamana Hang Tuah seperti yang tertera dalam hikayat itu,” ujarnya ketika ditemui semasa pameran itu berlangsung baru-baru ini.

Tambahnya, PNM mempunyai kira-kira 4,600 naskhah manuskrip asal yang ditulis oleh orang Melayu yang rata-ratanya didapati dari negara luar.

“Manuskrip hasil tulisan orang Melayu telah bertebaran ke seluruh dunia ketika pelbagai penjajah seperti Portugis telah menakluki Tanah Melayu suatu ketika dahulu. Tugas kami di PNM perlu menjejaki naskhah ini dan membawa pulang kembali ke tanah air,” jelasnya.

Contohi era kegemilangan Melaka

PEMBANTU Pemuliharaan Unit Manuskrip PNM menunjukkan demontrasi pemuliharaan manuskrip kepada pengunjung.

Tidak dinafikan bahawa empayar kegemilangan Melaka yang dibina sekitar tahun 1400 hingga 1511 di bawah pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka merupakan sebuah kerajaan yang amat disegani ketika era itu.

Ketika itu, bangsa Melayu mempunyai ilmu pengetahuan dalam penciptaan kelengkapan persenjataan sehingga menarik minat pihak Eropah untuk datang mendalami dan menceduk ilmu yang dihasilkan oleh orang Melayu di Melaka.

Selaku pengkaji sejarah Melayu, Zainal Johan juga berpendapat bahawa masyarakat Malaysia perlu mengambil contoh daripada setiap peristiwa dan catatan yang berlaku ketika era kegemilangan Melaka.

“Ketika itu, ilmu bangsa Melayu di Melaka amat berharga. Untuk menjadi sebuah bangsa dan negara yang maju, kita tidak perlu melihat negara-negara yang membangun. Artifak dan manuskrip lama ini jelas menunjukkan bukti serta formula bahawa kita mampu mengembalikan kegemilangan itu dalam konteks masa kini.

“Rakyat Malaysia perlukan sejarah kerana ia akan membangkitkan semangat cintakan tanah air. Jangan melihat perbezaan masa itu sebagai halangan kerana sejarah akan memberi kita kekuatan untuk menaikkan kembali semangat bangsa yang telah lama kita lupakan,” ujarnya.

kosmo online

Comments

Post a Comment