Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara

KAMI III: Kolaborasi karya figuratif
Oleh Siti Salmiah A Hamid


Galeri Arti kembali mewarnai persembahan seni dengan siri pameran bertajuk ‘KAMI III’ membabitkan gabungan dua generasi pelukis, antaranya Amron Omar, Rosli Mat dan Rohaizad Shaari.

Mereka berganding dengan pelukis pelapis, Hushinaidi Abdul Hamid, Zulkiflee Zainol Abidin dan penuntut seni halus, Universiti Teknologi MARA (UiTM) iaitu Anasuha Suhairi, Haimiza Johan, Mohammad Haziq Syawal, Mohd Fakhriq Zulkifli, Haziq Asyraf Madsan serta Mohamad Khizrul Izwan Zubri.

Sebanyak 19 hasil seni dapat disaksikan yang menonjolkan bakat dan kemahiran pelukis dalam bentuk figuratif.

Amron lari dari kebiasaan apabila memilih sukan tomoi sebagai subjek figura.

Menerusi Potret Tua, pelukis Rosli Mat melontarkan persoalan kepada penonton mengenai perjalanan hidup apabila menginjak usia tua.

Tema landskap tempatan yang berkait suasana kampung sudah tidak asing lagi dengan Rohaizad Shaari sejak di awal pembabitan beliau dalam bidang seni lukis.

Peminat seni tanah air pastinya teruja mengamati lukisan menerusi medium cat minyak dan akrilik di atas kanvas, pastel, cat air serta arca membawa kepada campuran media.

Pameran KAMI III kini berlangsung di Galeri Arti dan masuk adalah percuma.


INFO

KAMI III
Jumlah artis: 12
Jumlah karya: 19
Lokasi: Galeri Arti, 23A, Tingkat 2, Jalan 2/4C Desa Melawati, Kuala Lumpur
Tarikh: Sehingga 18 Februari
Masa: 10 pagi hingga 6 petang
Telefon: 03-41613969


metroonline


PAMERAN JELITAWAN (BEAUTIES),
Januari – Jun 2015, Galeri Potret Negara.


Galeri Potret Negara (GPN) adalah galeri naungan Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) yang pertama dizahirkan menurut Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2011. Penubuhan GPN adalah bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan penghayatan rakyat Malaysia terhadapi dentiti, stail, sejarah, budaya, kreativiti dan kepelbagaian seni menerusi karya seni potret. GPN ini merakamkan wajah-wajah daripada pelbagai latarbelakang, agama dan kaum yang mempunyai kepentingan dalam sejarah tanah air.

GPN pada kali ini mempersembahkan potret-potret bertema ‘jeltiawan’ terpilih yang cantik, elok, sempurna ini juga memancarkan kejelitaan zahir dan nurani jati diri insan. Teori-teori estetik berkenaan kecantikan atau keindahan sejak zaman Greco-Roman merangkumi seluas-luasnya erti dan boleh difahami meliputi kecantikan seni, keindahan alam, keluhuran moral dan kesempurnaan spiritual dan intelektual.

Fokus kuratorial pameran koleksi tetapi ini adalah terhadap apresiasi kejelitaan dan ketrampilan wanita khususnya dipelopori oleh ikon pemotret Negara seperti Hoesein Enas dan Angkatan Pelukis se-malaysia (APS). Antara pelukis APS yang terlibat dalam Pameran Jelitawan pada kali ini adalah Mazeli Mat Som, Hamidah Suhaimi dan Nora Abdullah. Karya-karya mereka meneliti konsep penerokaan keindahan rupa dalam pementasan hidup. Pelukis-pelukis ini jelas mendokong tujuan asal APS yang mengutamakan seni yang berkeperibadian Malaysia.

Karya-karya yang dipamerkan di GPN ini bukan sahaja menampilkan perwatakan jelita malah menggambarkan mesej-mesej budaya melalui penampilan pakaian dan kegiatan sosial masyarakat. Mesej-mesej yang diterapkan ini merupakan satu hebahan dan penyampaian budaya kepada masyarakat yang memerhati. GPN kali ini mendekatkan masyarakat kepada sosio budaya yang menggambarkan jatidiri sesuatu bangsa.

artgallery


PAMERAN PEROLEHAN TERKINI
DISEMBER 2014 – DISEMBER 2015
GALERI 1A, BALAI SENI VISUAL NEGARA





Balai Seni Visual Negara (BSVN) mempersembahkan sebuah kumpulan karya yang di pilih mengikut era dan genre karya dipamerkan dalam “Pameran Perolehan Terkini” karya terpilih daripada tahun perolehan 2012, 2013 dan 2014 ini, sebagai pemberitahuan kepada khalayak tentang rupa karya yang diangkat menjadi khazanah terkini BSVN sebagai menerima mandate menjaga dan mempamerkan karya seniman tempatan dalam konteks dan signifikan pensejarahan seni rupa di Malaysia.

Pelbagai bentuk dan kategori karya yang sedang dan telah melalui beberapa peredaran era di perolehi kembali berdasarkan kepentingan terhadap naratif seni lukis moden sehingga seni kontemporari, masakini. Ia menjadikan pameran ini sebagai injeksi baharu kepada pembinaan pengetahuan khalayak terhadap apresiasi berdasarkan kepentingan peristiwa dan intepretasi seni kontemporari. Variasi bahan dan teknik di dalam koleksi ini dilihat sebagai kesepaduan ruang dan masa di mana setiap era memiliki kepopularan isu, bahan dan teknik di atas factor praktis seni, bahan, setempat, ekonomi, geo politik dan pendidikan.

Pameran ini menjadi penghubung di antara setiap karya dan praktis seniman sebagai penerokaan khalayak dalam menyedari perubahan intelektual dan praktis seni dalam seni lukis di Malaysia daripada pelbagai era. Jadi, peranan khalayak di jemput menjadi juri atau pemerhati dalam mentafsir kepentingan setiap karya yang diperolehi dengan memahami persona karya dan seniman dalam konteks sezaman serta kepentingan kepada koleksi.

Pemilihan lima puluh karya yang di pilih oleh kurator dari tahun perolehan 2012, 2013dan 2014 berdasarkan “pertemuan” dan “pertembungan” dalam beberapa perihal yang berbeza. Selain, memaparkan perubahan stail sezaman mengikut ruang dan waktu dengan melihat cara fikir seniman melalui model yang disajikan iaitu karya – karya yang diperolehi ini.

artgallery


Info LPSVN


Sejarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) adalah rentetan penubuhan Balai Seni Lukis Negara (BSLN) bermula bilamana idea penubuhannya mula dikemukakan sejak tahun 1954 hingga 1956 oleh Majlis Kesenian Persekutuan (Malaya Arts Council) yang ditunjangi oleh Mubin Sheppard (kini Tan Sri) dan Frank Sullivan. Sebagaimana Laporan Tahunan BSLN 1974 – 1975 dan Laporan Tahunan Muzium Seni Negara 1979, Lembaga Amanah BSLN dibentuk pada 3 Jun 1958. Pada 27 Ogos 1958, sebuah bangunan dua tingkat yang terletak di No. 109, Jalan Ampang, Kuala Lumpur – bersebelahan bangunan parlimen pertama Malaysia (waktu itu dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu)– telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi menempatkan dengan rasminya institusi Balai Seni Lukis Negara (BSLN). Ordinan untuk menubuhkan Lembaga Amanah BSLN dimaktubkan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada tahun 1959 melalui Akta 516: Akta Balai Seni Lukis Negara 1959.


Penubuhan dan pengisytiharan pembukaan rasmi Balai Seni Lukis Negara (BSLN) itu
disempurnakan oleh Perdana Menteri waktu itu yang juga Perdana Menteri pertama iaitu TYT Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Perasmian itu disertai oleh satu pameran sulung di Dewan Tunku Abdul Rahman bangunan tersebut yang telah disertai pelukis-pelukis seluruh negara bagai menyatakan semangat kesepakatan dan perpaduan melalui penyertaan karya-karya mereka. Sesungguhya, penubuhan Balai Seni Lukis Negara (BSLN) juga merupakan satu pengiktirafan kerajaan terhadap bidang seni lukis tanahair.
Frank Sullivan telah dilantik sebagai pentadbir Balai Seni Lukis Negara (BSLN) yang pertama. Beliau yang juga adalah bekas setiausaha kepada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj turut bertindak sebagai setiausaha Lembaga Amanah, Balai Seni Lukis Negara (BSLN) sehingga tahun 1970. Pada 28 Januari 1987, telah diadakan Majlis Pecah Tanah untuk bangunan baru Balai Seni Lukis Negara di sebuah tapak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Pembinaan bangunan baru ini adalah melalui proses penswastaan di antara Kerajaan Malaysia dengan Syarikat Yeoh Tiong Lay (YTL). Proses pembinaan siap pada tahun 1998


Pada 13 November 1998, Balai Seni Lukis Negara (BSLN) berpindah ke premis bangunannya sendiri kini di No.2, Jalan Temerloh, Off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur serentak dengan pelancaran Pameran Seni Lukis Antarabangsa Asia Ke-13. Premis bangunan baru Balai Seni Lukis Negara (BSVN) ini telah dirasmikan oleh Y.A.B. Dato’ Seri Dr. Mahathir bin Mohamad (kini Tun) pada 27 September 2000.

Pada 26 September 2011 – Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Dato’ Sri Utama Dr. Rais Yatim telah merasmikan Majlis Pelancaran Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2011 (Akta 724) yang membawa kepada penukaran nama dari Balai Seni Lukis Negara (BSLN) kepada Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN).

Majlis tersebut juga dihadiri oleh Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha dan Timbalan

Ketua Setiausaha serta wakil-wakil agensi KPKK selain rakan-rakan korporat dan media yang turut sama menyaksikan pelancaran yang bersejarah bagi LPSVN.

Dengan pewartaan Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2011 (Akta 724), Akta ini membolehkan Lembaga Penbangunan Seni Visual Negara (LPSVN) beroperasi bukan sahaja sebagai sebuah galeri tetapi juga sebagai pemangkin kepada pembangunan industri seni visual tanahair melalui program-program pembangunan dan bantuan-bantuan lain yang perlu. (Rujukan : Seksyen 4 (f) dan (i)).
Akta ini juga mentakrifkan, apa-apa bentuk seni yang dihasilkan menarik kepada deria visual dan wujud dalam bentuk kekal seperti fotografi, multimedia dan apa-apa bentuk teknologi yang menarik, berbanding akta lama yang lebih menjurus kepada seni lukis sahaja.
Kerajaan merasakan Akta Balai Seni Lukis Negara 1959 yang telah sekian lama digunapakai perlu di tambahbaik bagi memberi fokus yang lebih luas selaras dengan tuntutan dan perkembangan seni visual di peringkat antarabangsa.
Akta Balai Seni Lukis Negara 1959 dengan ini digantikan dengan Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2011 (Akta 724) berkuatkuasa mulai 27 Ogos 2011 yang lalu. Tarikh ini diambil bersempena dengan ulang tahun penubuhan Balai Seni Lukis Negara yang ke 53.
Selain itu, akta ini juga membolehkan LPSVN mengembangkan operasinya ke negeri-negeri berbanding akta lama hanya membenarkan galeri beroperasi di Kuala Lumpur sahaja (Rujukan : Seksyen 30 (2)).
Dengan termaktubnya Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2011 (Akta 724), diharap misi LPSVN untuk mengumpul, memulihara, memelihara, mempamer, mempromosi, memupuk kesedaran, kefahaman dan penghayatan terhadap seni kepada semua lapisan masyarakat akan lebih terlaksana selain membolehkan LPSVN menetapkan standard dan mutu seni visual supaya koleksi-koleksi seni visual Negara mendapat pengiktirafan yang lebih tinggi melalui pewartaan akta tersebut.

Berikut adalah ringkasan kronologi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) sejak ia ditubuhkan :
27 Ogos 1958 – Balai Seni Lukis Negara ditubuh dengan rasminya melalui Akta Balai Seni Lukis Negara. Pengarah Balai Seni Lukis Negara yang pertama ketika itu ialah Encik Frank Sullivan
3 Oktober 2007 – Rang Undang-undang Lembaga Pembangunan Seni Tampak Negara telah diluluskan oleh Jemaah Menteri bagi memansuhkan Akta Balai Seni Lukis Negara 1959
26 November 2007 – Bacaan kali pertama Rang Undang-undang Lembaga Pembangunan Seni Tampak Negara di Parlimen
Tahun 2008 – RUU Lembaga Pembangunan Seni Tampak Negara ditarik balik kerana perkataan Tampak memberi maksud yang berbeza bagi sesetengah kaum di Sabah
16 Julai 2010 –RUU Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara dibentangkan dan dipersetujui oleh Jemaah Menteri
11 Oktober 2010 – Bacaan kali pertama RUU Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara di Dewan Rakyat
15 Disember 2010 – Bacaan kali kedua dan ketiga di Dewan Rakyat
22 Disember 2010 – Pembentangan di Dewan Negara
24 Januari 2011 – Diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong
27 Januari 2011 – Disiarkan dalam warta
27 Ogos 2011 – Penguatkuasaan Akta
26 September 2011 – Majlis Pelancaran Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara oleh YB Menteri KPKK

Sejak ditubuhkan, Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) pernah dinaungi oleh beberapa kementerian. Antaranya ialah :
Kementerian Belia dan Sukan
Kementerian Pelancongan
Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan
Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan
Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (April 2009 hingga Mei 2013)
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan

artgallery

Comments