Konvensyen Ketamadunan Dunia 1.0


 KONVENSYEN KETAMADUNAN DUNIA 1.0

Kuala Lumpur 28 Febuari 2015 - Konvensyen Ketamadunan Dunia 1.0 : Menjejaki Kegemilangan Tamadun Melayu merupakan anjuran Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), dan Institut Sosial Malaysia (ISM). Lima (5) kertas kerja akan dibentangkan dalam konvensyen ini dan akan diserikan dengan acara sampingan seperti pameran tentang ketamadunan, jualan produk dan perkhidmatan, perkongsian pengalaman ‘Dari UK ke Kuala Lumpur’, peraduan mewarnakan gambar bagi kanak-kanak, Malam Anugerah Relawan dan persidangan selari GPTD.Konvensyen ini dilaksanakan adalah untuk mendedahkan sejarah kegemilangan tamadun Melayu kepada masyarakat khususnya kepada generasi muda, selain dapat menghimpunkan wakil-wakil Melayu sedunia dan mewujudkan jalinan perhubungan sesama bangsa Melayu. Ruang ini juga dijadikan sarana untuk berkongsi pengalaman GPTD dalam menjejaki bangsa Melayu di luar Malaysia dan khidmat sosial yang telah dilaksanakan serta mendapatkan resolusi yang bermanfaat untuk generasi hari ini dengan merancang dan melaksanakan pelan tindakan ke arah mengembalikan kegemilangan tamadun Melayu-Islam selain mengetengahkan pengaruh Islam terhadap kemajuan yang dikecapi melalui Tamadun Melayu.

Kertas kerja yang akan dibentang dalam konvensyen ini ialah Jejak Asal Usul Melayu Menurut Kajian Arkeologi oleh YBhg. Puan Zaharah binti Sulaiman, Ahli Ikatan Arkeologi Malaysia, Pengaruh Islam dan Tamadun Melayu o;eh YBhg. Prof. Madya Dr. Mat Rofa bin Ismail, Universiti Putra Malaysia, Menelusuri Kekuatan Tamadun Melayu, Persediaan Mengharung Cabaran Abad Ke-21 oleh YBhg.Dr. Mohammad Alinor bin Abdul Kadir, Universiti Kebangsaan Malaysia, Pendekatan Ulama Melayu Menangani Konflik Adat dan Syariat oleh YBhg. Dato’ Dr. Siddiq bin Fadzil, Pengerusi Akademi Kajian Ketamadunan dan Pandangan Dunia Terhadap Melayu: Dahulu dan Kini oleh Ybhg. Datuk Dr. Haji Awang bin Sariyan, Ketua Pengarah DBP.

DBP


Pembentang : Datuk Dr. Haji Awang Sariyan merupakan Ketua Pengarah DBP yang pernah menjadi Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di Republik Rakyat China, yang berpangkalan di Beijing. Beliau pernah dua kali menjadi Profesor Tamu di Universiti Frankfurt Jerman dan beberapa kali di Universiti Sumatera Utara, Indonesia.

Beliau turut dilantik menjadi Perunding Seberang Laut Kementerian Pendidikan Singapura sejak tahun 1992 dan telah membentangkan kira-kira 200 syarahan, kertas kerja utama, kertas dasar dan kertas kerja di dalam dan di luar negara (termasuk Australia, Belanda, Brunei Darussalam, Indonesia, Jerman, Kampuchea, Korea Selatan, Perancis, Republik Rakyat China, Singapura, Sri Lanka dan Thailand).

Tajuk: Keantarabangsaan dan Pengantarabangsaan Bahasa Melayu


Pembentang : Dr. Mohamammad Alinor Abdul Kadir merupakan pensyarah sains matematik di Universiti Kebangsaan Malaysia dan bergiat aktif sebagai Setiausaha Agung Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI). Beliau banyak menghasilkan kajian mengenai kekuatan kepengetahuanan dalam rumpun Melayu sebelum kedatangan Islam.

Tajuk: Menelusuri Kekuatan Tamadun Melayu, Persediaan Mengharung Cabaran Abad ke-21.


Pembentang : Dato' Dr. Siddiq Fadzil memperolehi Ph.D. dalam Kebudayaan Melayu dan Falsafah Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Antara hasil karya beliau ialah: Sejarah Orang Cina di Tanah Melayu; Kebangkitan Umat: Kenyataan dan Harapan, Mengangkat Martabat Umat; Minda Melayu Baru dan Pemerkasaan Bangsa: Peranan Kepimpinan, Agama dan Budaya.

Tajuk: Pendekatan Ulama' Melayu Menangani Konflik Adat dan Syariat


Pembentang : Prof. Madya Dr. Mat Rofa Ismail merupakan pakar dalam bidang Falsafah dan Sejarah Matematik di Universiti Malaya. Sebagai Ketua Laboratori Etnomatematik, beliau bukan sahaja mendalami sejarah pencapaian sains dan matematik Melayu, bahkan menggali khazanah keilmuan Islam yang mendorong kepada kegemilangan tamadun Melayu.

Tajuk: Pengaruh Islam dan Tamadun Melayu


Pembentang : Puan Zaharah Sulaiman adalah seorang pakar IT dan merupakan penyelidik dan penulis dari Ikatan Arkeologi Malaysia. Sering membentangkan tentang asal usul Melayu menurut kajian DNA dan arkeologi.

Tajuk: Asal Usul Melayu menurut Kajian Arkeologi & DNA

Sumber :GPTD


Comments