6 Feb 2015

Karya dan Masyarakat

Tujuan murni berkarya elak provokasi
Anwar Ridhwan
3 Februari 2015

karya membentuk masyarakat
- foto hiasan

Golongan pemurni atau puris bidang seni pasti mengeluh apabila melihat fungsi seni yang asal telah dimanipulasi oleh beberapa karyawan yang tidak bertanggungjawab. Tujuan hiburan dan pendidikan, yang menjadi matlamat asal sesuatu karya seni, kebelakangan ini telah dijungkir-balikkan.

Olahan bidang seni yang asal sentiasa menghargai individu dari aspek zahir dan batinnya. Ia diletakkan dalam kepekaan terhadap anggota masyarakat di sekelilingnya, serta alam dengan segala flora dan faunanya. Sungguhpun olahan itu, terutama dalam cereka dan filem, memerlukan kehadiran konflik dan krisis yang bertujuan untuk memancing minat khalayak, tetapi penyelesaiannya memenangkan unsur kebaikan dan keadilan yang dapat diterima.

Karya golongan pemurni juga selalu mempunyai sisi vertikal, yakni menimbulkan kesedaran khalayak bahawa hidup kita sentiasa ada hubungan kudus dengan Maha Pencipta. Oleh itu ia sangat memegang kepada prinsip kepercayaan, sehingga amat berhati-hati agar tidak menyentuh atau mengguris kepercayaan orang lain.

Karya bentuk masyarakat

Sejak sekian lama karya seni telah membantu membentuk masyarakat sivil atau masyarakat madani, terutama melalui dimensi kemanusiaan dan kerohanian. Ia melengkapi kemajuan fizikal serta prasarana dalam tamadun sesuatu bangsa. Ia turut menyumbang kepada perwatakan yang holistik bangsanya.

Akan tetapi sebagaimana agama juga mewujudkan kelompok penentang dan murtad, bidang seni juga sentiasa memunculkan golongan yang bernafsu untuk melakukan rombakan. Bukan sahaja rombakan kepada struktur atau sesuatu yang bersifat teknikal, malah mengubah nilai serta roh murni yang asal.

Perubahan nilai serta roh murni itu dilakukan atas pelbagai sebab. Ada yang sengaja mahu mencipta kelainan. Ada yang percaya bahawa budaya dan nilai murni masa lampau sudah tidak relevan lagi dalam sebuah masyarakat moden yang liberal. Ada pula yang sengaja melakukan penafsiran ekstrim terhadap sesuatu isu atau ke atas agama lain.

Terbaharu kita mengetahui mengenai isu filem American Sniper yang menjijikkan. Melalui filem ini, pembunuh profesional diwirakan sungguhpun ia kejam dan ada kalanya membunuh secara rambang. Dalam masa sama filem ini mencemar imej dan kesucian Islam. Clint Eastwood yang dahulu membawa watak The Good dalam filem The Good, The Bad and The Ugly, sebagai pengarah American Sniper telah membenarkan sisi hitam watak The Bad dan The Ugly masuk ke dalam dirinya dan dunia kreativitinya.

Filem medium provokasi

Filem telah dijadikan medium untuk memprovokasi penganut agama, terutama Islam. Kita masih ingat kontroversi Innocence of Muslims yang diarah oleh Nakoula Basseley Nakoula yang menggunakan nama samaran Sam Bacile. Ia memaparkan gambaran yang salah dan berniat jahat, terhadap keperibadian mulia dan suci Nabi Muhammad SAW.


Niat jahat Sam Bacile bermula di set penggambaran, dengan tidak memberitahu cerita sebenar kepada pelakonnya. Hal ini didedahkan seorang pelakon pentingnya Cindy Lee Garcia, yang menyedari beliau ditipu. Kita memang tidak boleh mengharapkan seorang penipu bersikap jujur.

Di sebalik reaksi keras umat Islam seluruh dunia terhadap filem dan video anti-Islam, sebenarnya ada banyak filem lain yang mengguris hati penganut Kristian dan kepercayaan lain.

Satu daripadanya ialah filem The Exorcist. Dalam filem ini fungsi gereja, paderi dan salib telah dimanipulasi sewenang-wenang pada adegan kerasukan. Filem 'keagamaan' lain yang kontroversial termasuklah Love God & Jesus, Battlefield Earth, Stigmata, Dogma, Water, Monty Python's Life of Brian, The Passion of the Christ, The Da Vinci Code, Submission dan The Last Temptation of Christ.

Tujuan seseorang berkarya akan menentukan pendirian, persoalan, serta kaedah penciptaan karyanya. Jika ia berkarya untuk mendapatkan wang, maka ia akan mendapat faedah material semata-mata. Jika ia berkarya untuk menyemai kejahatan dengan cara memprovokasi serta mengguris emosi penganut agama Islam umpamanya, maka ia akan menuai huru-hara atau tragedi. Bolehkah ia berbangga dengan hasil karya yang menyebabkan orang lain berasa terhina dan tercela?

Alangkah baik jika karyawan kembali kepada tujuan seni untuk hiburan dan pendidikan. Karya seperti ini akan lebih membijaksanakan khalayak. Dunia hari ini lebih memerlukan karyawan cerdik yang menggunakan minda warasnya, bukan karyawan emosional yang kebobrokan emosinya turut merosakan kehidupan umat manusia.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Pensyarah Kanan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

bhonline

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena