deklamasi puisi

SENI MENDEKLAMASI PUISI
Ladin Nuawi
08 Februari 2015


Apa yang kita harapkan daripada pentas puisi di Malaysia apabila seseorang itu mendeklamasikan puisi? Saya sendiri berfikir panjang tentang persoalan ini. Mari kita perhatikan beberapa penyair yang boleh dijadikan contohnya.

Saya percaya hampir semua orang tahu dengan gaya 3V yang dipelopori oleh penyair A Ghaffar Ibrahim atau AGI. Tidaklah dinamakan AGI kalau mempersembahkan puisinya tanpa dendangan dan gerak. Hampir semua dendangannya berasaskan irama warisan. Irama ini akan berkembang menjadi irama tersendiri apabila gerak lakonnya menterjemahkan perkara yang tersirat. Gerak lakon dan nada suaranya akan mengulas sesuatu yang terpendam di sebalik puisi. Puisinya yang sejengkal boleh menjadi berbatu-batu panjang. Puisi AGI boleh berdiri sendiri apabila kita menonton persembahannya di pentas atau dalam video.

Jika khalayak perlu mengenal AGI tetapi Rahman Shaari pula orang yang paling mengenal khalayak. Beliau tidak semudah-mudahnya membacakan puisi walaupun sudah siap di saku. Rahman mempunyai banyak pilihan kerana beliau ialah ‘hafiz puisi’. Puisi spontan pun beliau mampu hasilkan. Sebabnya puisi dan dirinya sudah sebati. Pemilihan kata dan irama puisinya seimbang untuk pendengaran khalayak. Beliau tidak memberatkan pendengaran khalayak dengan ungkapan-ungkapan yang berat, sukar difahami dengan sekali dengar. Kelucuan atau kejutan akan tiba-tiba sahaja muncul di mana-mana baris.
Advertisement

Rahman Shaari nampak bersahaja tetapi tidak pada Marzuki Ali. Marzuki Ali orang yang paling mengikut tertib baca puisi. Sebutannya baku dan tepat. Setiap bunyi perkataan atau suku katanya jelas. Kalau puisinya lantang, lantanglah suaranya. Kalau mendayu maka merdulah dinyanyikan. Kaedah beliau ini saya manfaatkan untuk merawat kanak-kanak pelakon teater yang gagap.

Puzi Hadi juga lantang suara (dan isi puisinya) apabila mendeklamasi. Tenaga suaranya berkumpul di perut dan dada kemudian dihembur deras melalui kerongkongnya. Saya tidak tahu macam mana Puzi Hadi boleh kekal lantang sepanjang lima minit. Masa mana dia tukarkan nafasnya seperti peniup serunai. Begitulah beliau sejak 1980-an.
Advertisement

Zakaria Manan dari Sarawak juga bekas juara Deklamasi Puisi Kebangsaan seperti Puzi Hadi. Ilmu teaternya diserasikan betul-betul untuk pembacaan puisi. Sebuah puisi dibangunkan sebagai sebuah teater. Beliau amat kenal ayat dan baris yang perlu ditekankan. Datu Ruslan Sulai dari Sabah juga istimewa. Penuh dengan aksi teater apabila berpuisi di pentas umum. Penonton boleh lupa bahawa dia juga bekas Juara Deklamasi Puisi Kebangsaan. Juara-juara yang lain biasanya sama sahaja gayanya.

Yang kekal dengan irama puisi warisan tentunya Mohd Rosli Saludin. Beliau boleh dikatakan wajib membawa irama teromba Negeri Sembilannya. Penonton tidak boleh mengelak untuk menunggu kesimpulan pada setiap akhir rangkapnya. Ada sahaja yang terkena atau mengena seperti puisi-puisi Zahari Hasib. Puisi Zahari Hasib polos atau juga prosaik tetapi menimbulkan kelucuan yang bersahaja. Puisi Zahari Hasib terus hidup walaupun Allahyarham telah lama meninggalkan kita.

Kelucuan di pentas puisi ada kepada Pyanhabib dan Mohammad Pu’ad Bebit, pensyarah di Universiti Malaysia Sabah. Pu’ad Bebit lebih bersungguh dengan puisi jenaka. Dia membuat kajian jenaka dalam seni berbahasa Melayu. Jenaka puisinya agak intelek.

Keistimewaan yang ada pada pujangga kita, Sasterawan Negara Usman Awang sukar ada pada penyair atau deklamator lain. Senyumannya sudah cukup melenturkan setiap penonton. Air suaranya air Melayu. Tertib berhadapan dengan penonton pun Melayu. Pedas pedih setara mana pun puisinya, penonton boleh terima dengan senyum.

Jika bahasa puisi Usman Awang kita boleh mendengar sambil bersandar di kerusi, puisi A. Samad Said pula kita harus bertongkat siku di meja. Puisi Pak Samad berisi setiap baris. Beliau bermain dengan kata atau menterbalikkan kata begitu mengena. Kemahiran semula jadi beliau akan ada sebaris dua akan kekal melekat lama dalam renungan kita.

Tetapi sayang sungguh kerana tidak ramai deklamator wanita berkemampuan seperti Zurinah Hassan. Puisi yang dibacanya tidak memaksa penonton menghayati maksud yang hendak disampaikan. Beliau tahu memilih puisi yang berat atau ringan untuk dikongsikan dengan khalayak. Suara serak merdunya mampu menyampaikan puisi warisan apabila didendangkan di hadapan khalayak.

Siti Zainon Ismail memang kekal membawa kesenimanannya di pentas yang ada angin juga. Kita kena faham yang beliau juga seorang pelukis dan pengkajian budaya yang tegar. Setiap puisi yang dibacakan atau ditulis tidak terlepas daripada lukisan dan falsafah budaya.

Yang nampak dekat dengan dua sasterawan itu, bagi saya tentunya Rosmiaty Shaari, Norjannah MA dan Hani Salwah Yaakub. Mereka perlu hilangkan urat malu sahaja. Puisi-puisi Rosmiaty penuh dengan bahasa ‘jantan’ yang sedap dibaca di pentas. Norjannah pula sudah melampau lenggok ‘puisi wanita’. Hani menjadi istimewa kerana warna muzik dalam puisi-puisinya. Andainya deklamator puisi sayembara wanita turut menulis puisi seperti mereka bertiga tentunya penampilan tidak menerawang merata dengan gerak tangan mereka.

utusan online

Comments