bahasa dan sastera

 

Bahasa mengindahkan 
karya kesusasteraan
amimasra@gmail.com | 01 Februari 2015 9:28 PM


Bahasa ibarat nyawa dan roh dalam cerpen dan novel yang memperindah seni sastera. Keindahan bahasa dalam karya sastera akan memberikan nyawa dan roh yang hidup kuat dan segar untuk dinikmati oleh pembaca. Kelancaran dan ketepatan bahasa juga memberikan rasa nikmat ketika membaca sesebuah cerpen dan novel.

Oleh itu, pengarang cerpen dan novel mestilah mempersiapkan diri dengan menggunakan bahasa yang baik dan menarik apabila menggarapkan karya. Bahasa yang hambar dan tawar membuatkan karya tersebut tidak diminati oleh pembaca, walaupun tema dan persoalannya hebat dan besar.

Keindahan bahasa terletak kepada penggunaan gaya bahasa yang akan disajikan kepada pembaca. Bahasa yang baik dan menarik akan mengangkat sesuatu bahasa ke mercu kecemerlangan dan keindahan. Nilai estetik dan keindahan banyak terletak pada bahasa yang disampaikan.
Advertisement

Keindahan yang seimbang bukan sahaja terletak kepada tema, persoalan, watak dan perwatakan, malah bahasa juga memainkan penting dalam menyampaikan mesej dan juga apa yang hendak disampaikan oleh seseorang pengarang. Inilah yang tersirat dan tersurat dalam kata-kata yang dikatakan; “Yang molek itu budi, yang indah itu bahasa”. Dengan kata lain, bahasa yang indah berfungsi sebagai alat perhubungan ahli-ahli dalam sesuatu masyarakat dapat menyampaikan maksud dan tujuan masing-masing dengan berkesan dan tepat.

Seperti yang diungkapkan oleh Ninon De Lenclos, “Apa yang indah tidak selalu baik, tetapi apa yang baik selalu indah.” Manakala bagi Sappho, “Sesuatu yang indah itu baik, dan sesiapa yang baik segera menjadi indah juga.” Lantaran itu, kekalkan bahasa yang indah betul, tepat dan baik.

Justeru, keindahan bahasa banyak bergantung pada gaya, penggunaan kata dan ungkapan, metafora baharu, personifikasi dan gaya bahasa baharu yang boleh diterima umum. Pembaca membaca apa yang pengarang tuliskan sekaligus menikmati bahasa yang disampaikan. Terdapat unsur bahasa seperti ironi, paradoks, ambiguiti dan perbandingan yang mengindahkan bahasa.

Unsur keindahan bahasa perbandingan, metafora dan alusi terdapat dalam cerpen-cerpen Awang Toksan karya Noorjaya, Angin dari Gunung karya Mohd. Affandi Hassan, Subuh di Bukit Jernang karya Ahmad J Husin dan Cendrawasih karya S.M. Noor.
Advertisement

Sebagai contoh, unsur metafora dalam cerpen Subuh di Bukit Jernang karya Ahmad J Husin: “Hidup ini adalah pengorbanan. Bukan!. Hidup ini juga adalah perjuangan. Benar! Hidup ini adalah perjuangan dan pengorbanan.”

Bahasa adalah alat dalam perhubungan dan juga dalam penulisan karya sastera. Penulisan yang berkesan dan berhati-hati oleh pengarang dengan bahasa baharu yang segar dan indah mampu menarik minat pembaca untuk menikmati keindahan bahasa sekali gus menambahkan pengetahuan bahasa yang baharu.

Justeru, bahasa baku, bahasa pasar dan bahasa cakap serta bahasa daerah secara lisan juga mempunyai nilai keindahan dalam karya sastera. Kebijaksanaan pengarang dalam mengolah gaya bahasa ini akan menjadikan keindahan bahasa menarik dalam karya seperti cerpen dan novel.

Bagi bahasa daerah dan loghat utara atau loghat Kedah, dua penulis yang sering menggunakannya dengan mengekalkan keindahan bahasanya antaranya Shahnon Ahmad dalam Srengenge, Ranjau Sepanjang Jalan, Rentung dan Tunggul-Tunggul Gerigis dan Azizi Haji Abdullah dalam novel Seorang Tua di Kaki Gunung.

Begitu juga dengan novel-novel pengarang lainnya seperti Rahman Haji Yusof dalam novel Tak Seindah Impian, Khidir Ahmad dalam novel Khuluk, Ramlee Awang Mursyid novel Fiksyen 302. Fairuz Nizam dalam novel Aku Dan Legenda. Mereka menggunakan bahasa sebagai unsur memperlihatkan ketajaman dan pengamatan pengarang.

Berkongsi pandangan, bagi A. Teeuw dalam buku Sastera dan Ilmu Sastera Pengantar Teori Sastera (1995:49) menjelaskan karya sastera dan bahasannya sangat penting diseimbangkan supaya luas tersebar dengan pemakaian bahasa yang khas dan mempunyai nilai keindahan.

Menurutnya, bahasa sastera sebagai bahasa yang khusus mempunyai gaya retorik dan stilistik iaitu keistimewaan penggunaan bahasa dengan kebijaksanaan, kepandaian, teknik ilmiah, sistem aturan baharu yang berkembang menjadi seni iaitu ilmu untuk berbicara secara tepat dan berkesan dengan kepandaian menggunakan bahasa dengan baik.

Ilmu gaya bahasa selalu meneliti pemakaian bahasa yang khas atau istimewa yang merupakan ciri khas bagi seorang penulis, memperindah aliran sastera dan lain-lain yang akhirnya menjurus kepada keindahan bahasa dan estetik.

Perlu diingatkan bahawa penulis atau pengarang cerpen dan novel juga mempunyai tanggungjawab intelek yang besar dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di negara ini. Iaitu menimbulkan satu fikiran tertentu yang tinggi dan menarik dalam sesebuah karya sastera. Oleh itu, jika boleh elakkan penggunaan bahasa Melayu bercampur bahasa Inggeris dalam novel bagi mengelakkan pemakaian ini dalam kehidupan seharian kepada pembaca. Tugas dan peranan penulis dan pengarang adalah memberikan hiburan tahap tinggi dan juga berbahasa indah tahap tinggi.

utusan online


Comments