Anugerah Dakwah Negara




Yadim perkenalkan Anugerah Dakwah Negara
Wartawan Sinar Harian
29 Januari 2015


KUALA LUMPUR - Buat julung-julung kalinya Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) akan menganjurkan majlis Anugerah Dakwah Negara (ADN) bagi memberi penghargaan kepada tokoh-tokoh dan organisasi yang terlibat dalam gerakan dakwah di negara ini.

Yang Dipertua Yadim, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebanyak enam kategori anugerah akan diberikan iaitu Anugerah Pendakwah Negara, Anugerah Pendakwah Wanita, Anugerah penDakwah NGO, Anugerah Pendakwah Saudara Kita, Anugerah Pendakwah Seni Hiburan dan Anugerah Pendakwah Muda.

Beliau berkata, program itu turut mendapat kerjasama daripada Institut Wasatiyah Malaysia (IWM) selaku penaja utamadn akan diadakan pada 6 Mac 2015 bertempat di Dewan Merak Kayangan Felda, Kuala Lumpur.

Menurutnya, majlis berkenaan dan akan dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan menyampaikan hadiah kepada tokoh-tokoh yang terpilih sebagai penerima anugerah itu nanti.

"Anugerah ini adalah julung-julung kali diadakan sebagai penutup kepada Program Dakwah Negara yang dianjurkan oleh Yadim sepanjang tahun lepas dan dijangka dihadiri oleh wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO) Islam dari seluruh negara.

"Yadim berharap dengan adanya anugerah ini akan dapat memberi pengiktirafan kepada golongan pendakwah yang selama ini kurang diberikan pendedahan biarpun sumbangan mereka kepada negara sebenarnya amat besar sekali,’’ katanya.

Beliau berkata, orang ramai atau mana-mana organisasi yang berminat untuk mencalonkan penerima anugerah juga boleh berbuat demikian dengan mengisi borang yang boleh dimuat turun melalui laman web Yadim iaitu www.yadim.com.my.

Jelasnya, Yadim sebagai payung kepada organisasi dakwah di negara ini, berusaha menjadikan bidang dakwah sebagai satu bidang yang sangat penting dalam masyarakat serta dirasai oleh setiap lapisan masyarakat.

sinar harian




foto yadim

Comments

Post a Comment