Allah Mengetahui

Perancangan Ilahi miliki hikmah sukar diduga
Oleh Nik Hasnah Ismail

SEGALA yang terjadi kepada kita adalah ketentuan yang ditakdirkan. - Foto hiasan

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Barangkali kamu membenci sesuatu pada hal ia amat baik bagimu, dan barangkali kamu menyukai sesuatu pada hal ia amat buruk bagimu. Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 216)

Segala yang terjadi kepada kita dalam kehidupan ini adalah ketentuan yang telah ditakdirkan cukup baik untuk setiap hamba-Nya. Allah SWT yang Maha Bijaksana lebih mengetahui sesuatu yang terbaik dan sesuai untuk setiap manusia.

Namun, sebagai insan yang banyak kekurangan, kita sering mempersoal sesuatu perkara yang tidak kita sukai. Penceramah terkenal Ustaz Mohd Nazrul Abdul Nasir melalui rancangan Tarbiah yang bersiaran setiap Jumaat jam 10.15 pagi di IKIMfm mengupas persoalan itu.

Beliau mengambil ibrah daripada peristiwa Nabi Musa yang telah mula hilang sabar apabila menyaksikan tindakan Nabi Khidir dalam tiga peristiwa yang dianggap oleh Nabi Musa sebagai tidak wajar dilakukan.

Sebagaimana dinukilkan dalam surah al-Kahfi, Allah SWT menceritakan tiga peristiwa yang berlaku antara Nabi Musa dan Nabi Khidir. Peristiwa pertama adalah ketika mereka menaiki sebuah perahu, tetapi Nabi Khidir telah membocorkan perahu berkenaan.

Tindakan itu mendatangkan pertanyaan kepada Nabi Musa. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Lalu berjalanlah keduanya (Nabi Khidir dan Nabi Musa) sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, kemudian dia (Nabi Khidir) membocorkannya." (Surah al-Kahfi, ayat 71)

Peristiwa kedua pula menyaksikan tindakan Nabi Khidir yang membunuh seorang anak kecil dan perbuatan itu menimbulkan tanda tanya serta perasaan kurang sabar kerana dari sudut pandangan mata kasar, perbuatan membunuh kanak-kanak itu tidak wajar.

Disebutkan dalam ayat suci al-Quran yang bermaksud: "Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu ia membunuhnya." (Surah al-Kahfi, ayat 74)

foto hiasan

Peristiwa ketiga juga menimbulkan pertanyaan bagi Nabi Musa apabila Nabi Khidir menegakkan dinding yang hampir roboh. Peristiwa itu dinukilkan dalam ayat suci al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Kemudian keduanya berjalan lagi, sehingga apabila mereka sampai kepada penduduk sebuah bandar, mereka meminta makan kepada orang di situ, lalu orang itu enggan menjamu mereka. Kemudian mereka dapati di situ sebuah tembok yang hendak runtuh, lalu ia membinanya. Nabi Musa berkata: Jika Engkau mahu, tentulah Engkau berhak mengambil upah mengenainya." (Surah al-Kahfi, ayat 77)

Secara ringkas, falsafah dan pengajaran di sebalik tiga peristiwa itu ialah perahu dibocorkan kerana hendak menyelamatkan perahu itu daripada raja zalim yang suka merampas perahu yang baik. Dibunuh anak itu, kerana anak itu akan membesar dan menyesatkan kedua-dua ibu bapanya.

Dibina semula dinding kerana di situ terdapat harta untuk dua anak yatim yang tinggal di negeri itu. Dibina semula untuk melindungi harta mereka supaya nanti apabila anak itu dewasa kelak, mereka akan mendapatkannya.

Melalui ketiga-tiga peristiwa di atas kita akan dapati begitu besar hikmah yang tersembunyi atas apa juga ketentuan Allah SWT kepada kita, walaupun saat kita diuji atau diberi sesuatu musibah, fitrahnya kita sebagai manusia biasa pasti merasakan ia sesuatu yang menyakitkan.

Namun, kita amat dianjurkan untuk bersabar dan melapangkan dada atas kehendak takdir Allah SWT kerana apabila kita reda dengan sesuatu yang terjadi, ia akan memberi ruang kepada hati kita melihat perancangan Allah SWT itu adalah amat luar biasa dan Dialah sebaik-baik perancang.

Peristiwa itu juga banyak pengajaran yang boleh mendidik diri terutama berkaitan kesabaran terhadap ujian Allah SWT. Jika kita tidak sabar dengan takdir Allah SWT sudah tentu kita tidak akan dapat melihat hikmah di sebalik percaturan Allah SWT buat hamba-Nya.

Sebagaimana kata bijak pandai, sebagai manusia kita di bawah ini sering mengira akan perancangan Allah SWT buat kita, sedang Allah SWT telah menyusun takdir yang cukup indah buat setiap hamba-Nya.

Oleh itu, dalam apa juga keadaan, kita dianjurkan untuk meningkatkan kesabaran supaya menjadi insan yang diredai Allah SWT dan berada pada darjat tertinggi di sisi-Nya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah berserta orang yang sabar." (Surah al-Baqarah, ayat 153)

Perkataan sabar ini besar rahmatnya sehingga disebut paling banyak dalam al-Quran seperti yang dinyatakan ulama tersohor, Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradawi bahawa perkataan sabar itu adalah perkataan akhlak terbanyak dalam al-Quran.

Oleh itu, perlu ada perasaan sabar dalam diri kerana daripada sabarlah kita akan dapat menikmati hikmah dalam kehidupan.

foto hiasan

Pengajaran seterusnya hendaklah selalu bersangka baik dengan Allah SWT. Apa juga yang Allah SWT tentukan, adalah yang terbaik buat kita. Sesungguhnya Allah SWT tidak memberi apa yang kita mahu, tetapi Allah SWT memberi apa yang kita perlu pada waktu yang tepat.

Sesuatu yang Allah SWT aturkan kepada kita barangkali pahit pada awalnya tetapi penghujungnya akan ada kemanisan kerana ketentuan Allah SWT itu adalah sebaik-baiknya. Sebagai seorang Muslim, kita harus sentiasa berusaha memperbaiki diri dengan menerapkan sifat mahmudah dan selalu bersyukur dengan kurniaan Allah SWT.

Orang yang sentiasa bersabar dan bersangka baik kepada Allah SWT pasti teguh kepercayaan terhadap takdir Allah SWT yang memberikan kesulitan dan kesukaran kerana kasih sayang serta rindu untuk mendengar rintihan hamba-Nya.

Penulis ialah penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm

bhonline

Comments

  1. Good luck sama ya awak ;)

    hi dear ;)
    PG datang nak jemput join GA iPhone 5S by Syafikspecki.
    Dengan hadiah iphone 5s yang super b hebat, jom sertai sama ya :)
    klik sini. menangi iphone 5s dengan mudah!
    jemput join ya.

    ReplyDelete

Post a Comment