30 Jan 2015

transformasi teater

Evolusi props dalam pementasan teater

Oleh IZWAN MOHD. ISA


Muzikal yang menggunakan teknologi realiti maya, Guan Yin Pusa A Musical, baru-baru ini dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

KETIKA bidai putih yang menutup bahagian hadapan pentas Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur diangkat tanda bermulanya pementasan Guan Yin Pusa A Musical baru-baru ini, ruang persembahan yang biasanya diisi dengan kehadiran props dan latar pentas bagi mengiringi sesebuah naskhah dilihat kosong.

Apa yang jelas kelihatan hanyalah barisan anak tangga yang diletak kemas di bahagian belakang serta empat pasang kepingan papan berona putih yang disusun secara menyerong di sebelah kanan dan kiri pentas.

Telahan awal bahawa teater muzikal tersebut bakal dipertontonkan dengan menggunakan dua variasi props ternyata jauh meleset.

Sebaik sahaja instrumen dialunkan dan para pelakon mula berlari masuk ke bahagian hadapan pentas, sebuah pancaran berbentuk realiti maya dilihat menyelimuti keseluruhan bahagian pentas sambil membawa efek props yang dibangunkan secara tiga dimensi.

Efek props tiga dimensi yang dipancarkan itu berubah dan bergerak secara rawak mengikut skrip dan penceritaan naskhah tersebut. Sepanjang persembahan itu, pelbagai props dan latar pentas dijelmakan, sehingga memberikan penonton perasaan sebenar seperti berada di dalam babak yang sedang dipentaskan.

Ternyata, walaupun tidak menggunakan sebarang props secara fizikal, namun, naskhah yang berunsurkan keagamaan itu berjaya memberikan pengalaman baharu kepada khalayak yang datang menonton.

Pengalaman digital

Berkesempatan bertemu dengan produsernya, Datuk Tan Swee Lai usai muzikal tersebut dipentaskan, beliau yang turut memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha Yayasan Guan Yin memberitahu, teknik realiti maya yang diangkat dalam naskhah yang diinspirasikan daripada kitab Lotus Sutra itu merupakan teknik pertama seumpamanya yang pernah dipersembahkan di Malaysia.

Katanya, tujuan utama teknik tersebut diimplementasikan dalam karya terbaharunya itu adalah bagi mendekatkan khalayak umum dengan teknologi visual digital serta realiti maya dalam media baharu.

“Saban tahun, kita sering dihidangkan dengan peluang penambahbaikan yang boleh dimanfaatkan menerusi perkembangan media baharu dan teknologi digital.

“Justeru, menyuntik elemen realiti maya sepenuhnya dalam pementasan Guan Yin Pusa A Musical dapat memberi peluang kepada khalayak merasai sendiri pengalaman baharu menonton teater seiring dengan perkembangan teknologi,” katanya.

Swee Lai menambah, menerusi maklum balas yang diterimanya, penonton tempatan masih belum membiasakan diri dengan cara tersebut memandangkan itulah kali pertama penonton melihat props dibangunkan secara realiti maya.

“Ada yang mengadu kepada saya bahawa mereka berasa sedikit pening sewaktu menonton. Maklumlah, setiap props muncul dan digerakkan secara tiga dimensi.

“Namun, lama-kelamaan, mereka sudah boleh menerima perubahan tersebut dan menikmati persembahan sehingga tamat,” katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai perbezaan antara props tradisional dengan digital, beliau berkata, kehadiran props secara fizikal masih diperlukan, namun, transisi ke arah digital dilihat sebagai percubaan terbaik pengarah untuk menerapkan elemen-elemen yang berbeza dalam persembahan.

“Kehadiran props secara realiti maya tidak membawa maksud bahawa props yang dibina secara tradisional itu tidak bagus. Ia masih merupakan aksesori terbaik untuk menyampaikan jalan cerita kepada penonton.

“Cuma, props digital dapat memberikan kelainan kepada naskhah itu serta pembaharuan terhadap industri teater tempatan,” katanya yang mengeluarkan bajet sebanyak RM2.8 juta bagi menjayakan pementasan tersebut.

Props sampaikan mesej


LATAR epik dalam Puteri Gunung Ledang The Musical harus seiring dengan penggunaan kostum dan rekaan set.

Berbicara dengan pengarah teater Rosminah Tahir yang sudah menghasilkan beberapa teater besar termasuk Mak Dara Nyonya, keperluan props dan latar pentas biasanya dianggap sebagai nilai tambah yang mampu menyalurkan fungsinya kepada penonton.

Menurut pengarah teater Di Bawah Lindungan Kaabah itu juga, setiap props yang diangkat perlulah digunakan oleh pelakon agar cerita yang dipersembahkan sampai kepada penonton.

“Setiap props dan latar pentas yang diletakkan di atas pentas setiap persembahan teater perlulah mempunyai fungsi.

“Jika ia dibiarkan begitu sahaja tanpa dirujuk oleh para pelakon, maka, ianya tidak memberi kesan yang menyeluruh terhadap pementasan tersebut.

“Selain itu, props juga perlulah dicipta untuk mimik keadaan asal sesuatu barang. Contohnya, buku dan majalah perlu dibikin semula agar lebih ringan dan tidak mudah rosak setelah digunakan berulang kali,” jelas Rosminah.

Menurutnya lagi, latar pentas yang gah juga boleh membantu menyelamatkan pementasan, jika penonton yang hadir tidak begitu menghayati lakonan yang dipersembahkan para pelakon.

“Tidak semua orang boleh menghayati sesebuah teater dengan tekun. Jadi, apabila props dan latar pentas dibikin dengan mewah dan gah, ia dapat mengurangkan rasa bosan penonton yang datang menyaksikan pementasan berkenaan,” katanya.

Rujuk karya asal

Sementara itu, orang kuat di belakang tabir pembikinan rekaan set teater Puteri Gunung Ledang The Musical, Raja Malek pula menjelaskan, setiap rekaan yang mahu diangkat ke pentas teater perlulah berkait rapat dengan naskhah teater berkenaan. Props menjadi lebih penting apabila sesebuah naskhah itu merupakan karya adaptasi daripada filem.

“Sebagai contoh, menerusi pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical, saya menjadikan inspirasi Gunung Ledang sebagai simbol utama.

“Ia ditampilkan dalam bentuk stupa, yang juga boleh diguna berulang kali dalam babak-babak yang diperlukan.

“Penampilan stupa itu bukan sahaja dapat memberikan gambaran kepada penonton tentang jalan cerita yang dipersembahkan, tetapi turut menjadi latar tempat yang berlainan seperti pintu gerbang kerajaan Majapahit dan sebagainya,” ujar Raja Malek yang turut bergelar pereka set bagi teater P. Ramlee The Musical.

Minimum

Di sebalik kerancakan ramai produser dan pengarah teater tempatan menggunakan props dan latar pentas yang besar dalam karya mereka, masih ada segelintir pengkarya yang mengekalkan elemen sederhana dalam pementasan.

Bagi penerbit dan pengarah teater Khairunazwan Rodzy, walaupun tampil sederhana, namun, kepelbagaian fungsi sesuatu props dan latar pentas itu lebih penting bagi menyampaikan naskhah garapannya kepada penonton.

“Selalunya, props atau latar pentas yang sering saya gunakan bersifat minimum.

“Contohnya dalam pementasan Sudirmania pada tahun lalu, saya hanya menggunakan seketul batu sebagai props dan ia berfungsi dalam setiap babak yang dipentaskan.

“Selain itu, untuk menguatkan lagi perjalanan cerita, penataan cahaya, muzik dan gubahan lagu dalam sesebuah naskhah juga perlu dititikberatkan,“ tegasnya.

kosmo online

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena