seusai bencana

‘Hati saya sebak’
Oleh Ramlah Zainal


Bencana banjir yang melanda pantai timur dan Perak ketika ini turut meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh rakyat Malaysia.

Semua pihak berganding bahu menghulurkan bantuan bagi meringankan beban semua mangsa banjir di lokasi yang terjejas teruk.

Bukan saja orang ramai, musibah banjir yang luar biasa turut mendapat perhatian golongan selebriti tanah air yang turut bekerjasama dengan pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) sejak awal lagi.

Bagi penyanyi popular Datuk Jamal Abdillah, dia turut terpanggil untuk menghulurkan bantuan menerusi kelab peminatnya iaitu Kelab Peminat Datuk Jamal Abdillah.

"Sesibuk manapun dengan agenda seni, saya tetap ingin turut sama membantu menghulurkan bantuan walaupun tiada ahli keluarga mahupun saudara-mara yang terbabit dengan bencana alam itu.

"Namun ramai peminat termasuk ahli kelab peminat saya berasal dari Kelantan dan rata-ratanya terjejas dengan bencana itu," katanya yang turut dikenali sebagai Raja Pop.

Jamal berkata, misi bantuan banjir itu diusahakan kelab peminatnya bersama Kelab Peminat Bola Sepak Kelantan.

"Ia membabitkan tiga lokasi utama banjir di Kelantan iaitu Gua Musang, Manek Urai dan Kuala Krai.

"Ini termasuk ke negeri lain yang terjejas banjir seperti Perak," katanya.

Jamal berkata, dia sentiasa mengikuti perkembangan banjir menerusi media setiap hari.

"Hati saya turut sebak dan tersentuh apabila mendengar cerita penderitaan penduduk di lokasi banjir di Kelantan daripada seramai 20 ahli kelab peminat yang menjayakan misi bantuan.

"Selain itu, mereka juga memberitahu kesukaran yang dilalui sukarelawan untuk menghantar bantuan ke lokasi terjejas berkenaan.

"Apapun, saya mendoakan semoga misi bantuan banjir juga berjalan lancar dan keadaan banjir di semua lokasi terjejas pulih secepat mungkin," katanya.


Mengulas lanjut mengenai misi bantuan, Jamal berkata, ia turut membabitkan kerjasama pusat pengumpulan bantuan banjir di Greenwood, Gombak yang diusahakan sukarelawan anak-anak Kelantan.

"Sebanyak 16 lori dan enam kenderaan pacuan empat roda digunakan untuk menghantar barangan keperluan ke lokasi ditetapkan.

"Antara yang terbabit ialah Persatuan Penduduk Greenwood, Suara Penyokong Kelantan (SPK), TRW Lembah Klang dan Persatuan Anak-anak Kelantan.

"Antara barangan keperluan harian yang dihantar ke lokasi terjejas ialah beras, gula, tepung, mi segera, sardin, makanan tin, lilin, lampin pakai buang, tuala wanita, minyak masak, susu bayi, pakaian, tilam, selimut, kain sarung dan sebagainya," katanya.

Sokong aktiviti hiburan ditunda

Bukan saja menjayakan misi bantuan, Jamal turut menyokong semua acara hiburan dibatalkan atau ditunda untuk menghormati semua mangsa banjir.

"Saya percaya, ramai artis yang terjejas pendapatan mereka sepanjang bencana banjir ini kerana banyak syarikat korporat mahupun penganjur persembahan menunda mahupun membatalkan acara hiburan.

"Malah, saya sendiri pun terpaksa akur dengan perkara itu kerana inilah masanya kita sama-sama muhasabah diri ketika negara berdepan dengan bencana ini," katanya.

Apabila tidak terbabit dengan undangan persembahan, kata Jamal, dia juga fokus pada bidang perniagaan sebagai jaminan masa depan.

"Saya juga meluangkan masa dan membuat persiapan persekolahan dua anak iaitu Osama Yamani, 13, dan Ahmad Zaki Yamani, 8.

"Saya juga menukarkan Osama belajar di Sekolah Seni di Johor Bahru yang lebih lengkap kemudahannya, sekali gus belajar hidup berdikari di sana.

"Zaki pula akan belajar dalam darjah tiga di Masz International School di Shah Alam," katanya.

Beralih pada perkembangan karier seni, Jamal juga sibuk membuat persiapan sempena konsertnya dengan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) yang dijangka berlangsung pada Mac nanti.

"Konsert dengan MPO ini juga antara impian saya dalam bidang seni tempatan.

"Saya dijangka menyampaikan rangkaian 20 lagu popular termasuk secara medley pada konsert itu nanti," katanya.


myMetro


Luluh hati lihat rumah tinggal tapak
4 Januari 2015


Seorang penduduk cuba mengambil barang melalui bumbung rumahnya yang hampir ditenggelami banjir di Kampung Tiong, Gua Musang. - Foto Bernama


KUALA KRAI - "Pilu hati saya apabila melihat rumah hanya tinggal tapak kerana dibawa arus deras banjir," luah seorang suri rumah lima anak.

Berlinangkan air mata, Siti Khadijah Mohd Nor, 48, menceritakan detik kehilangan rumahnya di Kampung Manik Urai Lama.

Dia berkata ketika kejadian hujan lebat pada 23 Dis lalu, paras air hanya setakat di kaki dan selepas itu naik ke paras lutut dan akhirnya menenggelamkan rumahnya, kesemuanya berlaku begitu pantas.

Selang seminggu selepas banjir surut, Siti Khadijah dan suaminya kembali ke rumah untuk mencari harta benda yang boleh diselamatkan.

"Perancangan saya ialah untuk membersihkan tapak rumah kami serta mengumpulkan barangan rumah yang masih boleh diguna pakai, selain membuat persiapan untuk anak-anak bersekolah," kata Siti Khadijah.

Ditanya mengenai kepayahan hidup ketika dilanda banjir, Siti Khadijah berkata bantuan tidak putus-putus datang.

"Dari segi bantuan yang diterima adalah lebih daripada mencukupi, di mana bantuan setiap hari datang. Apa yang penting sekarang ialah menerima bantuan kelengkapan persekolahan seperti baju sekolah, kasut sekolah, selain daripada bekalan makanan dan air bersih.

"Alhamdulillah semua bantuan itu saya dapat...saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sanggup datang dari jauh untuk membantu mangsa banjir seperti kami," katanya.

Buat masa ini, Siti dan keluarganya mendirikan khemah sementara yang diberi oleh pasukan sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO).

"Sementara menunggu rumah ganti daripada kerajaan disiapkan, saya akan membina penempatan sementara, insya-Allah dengan izin-Nya segalanya akan dipermudahkan," katanya.

Cuaca mendung di Manik Urai sejak pagi tadi dan hujan gerimis sekejap-sekejap.

Keadaan jalan di sini, berdebu akibat kesan lumpur banjir yang kering. - Bernama

sinar harian


Wira dari udara

Kota Bharu: Dia boleh dianggap wira kerana sanggup merisikokan nyawa sendiri bagi menurunkan bantuan kepada kira-kira 300 mangsa banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Manek Urai, Kuala Krai, 25 Disember lalu.

Ketika kawasan berkenaan masih berada dalam zon merah berikutan cuaca buruk dan arus deras yang menyulitkan proses penyaluran bantuan, Koperal Mohd Nazrul Ifzam Md Isa mempertaruhkan nyawanya untuk menurunkan bekalan kepada mangsa yang sudah tiga hari terperangkap.

Berkhidmat sebagai anggota komando Rejimen Gerak Khas (RGK), Mohd Nazrul Ifzam, 29, berkata, dia tidak memikirkan risiko ke atas dirinya ketika itu kerana tersentuh melihat wajah mangsa banjir yang menunggu penuh harapan di luar koridor tingkat empat bangunan sekolah.

“Sebenarnya bukan ‘task’ (tugas) saya untuk terbabit dalam penghantaran bantuan kerana saya dipertanggungjawabkan mengiring Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

“Kami pun baru tiba di Kelantan sehari sebelum buat tinjauan udara di Manek Urai. Kebetulan cuaca pagi Khamis itu baik untuk membolehkan helikopter Eurocopter EC725 melakukan penerbangan dan membawa Panglima ke sana.

“Kami tiba di sekolah itu jam 11.30 pagi dan dalam pesawat ketika itu ada lebih kurang lapan orang termasuk Panglima, namun tiada anggota daripada pasukan penghantar bantuan. Beg makanan sekitar 24 buah pula memang sedia ada dalam pesawat.

“Apabila kami masuk ke ruang udara kawasan sekolah cuaca masih lagi memberikan kerjasama yang baik dan ketika itu saya diminta untuk menurunkan bekalan.

“Saya tidak menolaknya walaupun tahu ia bahaya kerana alat digunakan untuk turun hanya tali asas untuk tujuan kecemasan yang hanya membalut badan saya selain ‘winching’. Tak ada sokongan keselamatan tambahan,” katanya ketika dihubungi di sini, kelmarin.

Mohd Nazrul Ifzam berkata, dia menerima arahan itu bukan hanya disebabkan tuntutan kerja, sebaliknya tersentuh melihat wajah mengharap mangsa banjir yang ketika itu tertunggu-tunggu makanan selepas tiga hari terperangkap.

Katanya, atas dasar perikemanusiaan juga menyebabkan dia tekad membantu apa yang terdaya, meskipun ia sekadar sumbangan kecil untuk menurunkan bekalan daripada pesawat.

“Bohong kalau saya kata tak fikir risiko apatah lagi alat itu digunakan untuk kecemasan saja. Dengan arus yang deras hingga menggegarkan bangunan, selain cuaca tak menentu, memang takut juga, tetapi niat saya hanya satu ketika itu, membantu mereka.

“Saya fikir mangsa sudah lama mengharap pihak keselamatan hantar bantuan dan melihat helikopter kami berlegar-legar, di situ, sudah tentu memberi sinar baru kepada mereka.

“Ketika itu juga saya terfikirkan ibu, ayah dan dua adik saya yang turut terperangkap di rumah di tebing Sungai Kuala Kangsar, Perak selepas jalan keluar masuk ke rumah naik air.

“Saya cuba letakkan diri saya dalam keadaan mangsa banjir. Jika mereka sengsara begitu, bagaimana jika perkara sama terjadi kepada saya dan ahli keluarga saya. Sebab itu saya tidak kisah apabila diminta berbuat demikian,” katanya yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak.

Mengimbas kembali pengalaman itu, Mohd Nazrul Ifzam berkata, sedar mangsa banjir di sekolah itu trauma memandangkan dia sempat merasa gegaran bangunan sekolah apabila dirempuh arus deras air bah.

Berikutan itu, dia bergayut pada tali sebanyak dua kali untuk menurunkan barang dan kemudiannya hanya menunggu di atas bumbung bangunan yang sudah tenggelam untuk mengambil barang daripada ‘winching’ yang dinaikkan.

Katanya, dengan bantuan anggota dalam helikopter, makanan akan diturunkan dan dia menjadi penyambut di bawah, sebelum beg terbabit dihulurkan kepada dua lagi anggota keselamatan yang sememangnya berada dengan mangsa banjir.

“Setiap trip membolehkan dua beg makanan diturunkan dan seingat saya dalam 12 trip juga kami dapat buat sebelum beredar kerana cuaca tidak mengizinkan,” katanya.

Menurutnya, beg makanan itu berisi roti, sardin, biskut dan makanan segera yang boleh terus dimakan.

Bapa kepada seorang anak itu berkata, dia tidak menganggap dirinya wira kerana ramai anggota keselamatan yang turut bertungkus lumus membantu mangsa banjir lebih-lebih lagi di Kuala Krai dan Gua Musang.


Mohd Nazrul Ifzam menurunkan bekalan makanan kepada mangsa banjir dari helikopter.  

Comments

Post a Comment