membuang keruh

Sebungkus nasi lagi untuk ibu
Oleh Nurul Huda Kosnon

Kuala Lumpur: "Acik nak nasi la... nak satu nak bagi kat mak kita."

Itulah rintihan seorang daripada dua sepupu berusia lingkungan sembilan dan sepuluh tahun yang datang untuk mendapat bekalan makanan daripada Seri Ziyanti Sufiantan, 40, ketika misi kemanusiaan bantuan mangsa banjir di Kampung Major, Kuala Krai, Kelantan.

Seri Ziyanti antara lebih 10 bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat di Ipoh yang menyertai misi kemanusian Projek Murni SMGR1992 itu pada 27 Disember lalu.

Ibu kepada empat anak berusia lingkungan 13 hingga 20 tahun itu berkata, pada 2.30 petang, Sabtu lalu, dia dan rakan lain membawa lebih 50 bungkusan nasi berlauk dan makanan ringan untuk diagihkan kepada kira-kira 100 penduduk di kawasan pedalaman berkenaan.

"Hampir semua penduduk datang ke arah kami seperti dalam keadaan kelaparan sebelum dua kanak-kanak itu meminta kepada saya supaya diberikan sebungkus nasi,” katanya.

Katanya, kanak-kanak itu dalam keadaan kelaparan dipercayai tidak makan dari pagi selain kakinya berlumpur.

“Saya pun memenuhi permintaan mereka tetapi seorang daripada mereka meminta sebungkus nasi lagi untuk diberikan kepada ibunya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, tidak lama kemudian seorang daripada mereka pergi menemui keluarganya manakala seorang lagi makan di kawasan berhampiran peserta misi bantuan berkenaan.

Seri Ziyanti berkata, pengalaman membantu mangsa banjir selama sehari di kawasan berkenaan juga banyak memberikan pengalaman yang tidak akan dilupakan sepanjang hidupnya.

"Setibanya di kawasan mereka, saya sedih dan tidak percaya dengan keadaan yang berlaku ketika itu apabila hampir 90 peratus rumah musnah sehingga ada antaranya yang hanya tinggal tapak saja.

Keadaan ketika itu sungguh menyayat hati apabila penduduk kawasan berkenaan yang majoriti terdiri daripada warga emas yang tidak berdaya, hanya termenung seolah trauma dan sedih dengan keadaan yang berlaku, katanya.

"Saya tak boleh gambarkan keadaan ketika itu. Hampir semua kediaman yang dibina dengan bertanggakan batu dan berdindingkan papan musnah sepenuhnya... tak tahu macam mana nak buat."

"Malah, ada seorang pakcik berusia lingkungan 60-an dikenali sebagai Ayahdin ditemui duduk di kediaman yang bertanggakan batu dan berbumbungkan plastik seperti khemah selepas rumahnya musnah ditenggelami air akibat banjir,"

"Rasa nak menangis melihat keadaan mereka. Saya dan beberapa rakan lain berharap bantuan yang kami berikan dapat membantu meringankan beban mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015


LEBIH 10 bekas pelajar SMK Gunung Rapat di Ipoh menyertai misi kemanusian Projek Murni SMGR1992 bagi membantu mangsa banjir pada 27 Disember. FOTO ihsan Seri Ziyanti Sufiantan


KANAK-KANAK mangsa banjir di Kampung Major, Kuala Krai, menikmati nasi bungkus sambil ditemani seorang peserta misi bantuan, Mohd Nizam Omar, 40. FOTO ihsan Seri Ziyanti Sufiantan

myMetro



30 tinggal dalam lori
Rumah musnah dilanda ‘bah kuning’
SITI NURAZLINA JAMALUDIN
06 Januari 2015

ROSMANISAH MUHAMMAD (kiri) dan Salmi Japri bersama anak-anak mereka yang terpaksa tinggal dalam lori sebagai kediaman sementara di Kuala Krai, Kelantan, semalam. – Utusan/Wahidin Salim

KUALA KRAI 5 Jan. - Kira-kira 30 ahli keluarga Muhammad Chik, 63, dan Wan Rahmah Wan Hamat, 63, terpaksa menjadikan sebuah lori treler, empat kereta dan sebuah khemah sebagai kediaman sementara sejak dua minggu lalu selepas rumah mereka musnah sama sekali akibat dilanda 'bah kuning' baru-baru ini.

Mereka yang terdiri daripada lima keluarga dalam kalangan anak-anak Muhammad dan Wan Rahmah serta saudara-maranya pada asalnya memilih untuk berlindung di rumah Wan Rahmah setelah kediaman masing-masing di sekitar daerah itu dinaiki air pada 23 Disember lalu, namun tidak menjangka kediaman yang disangka selamat itu juga tenggelam sepenuhnya dan runtuh.

Lebih memilukan, seorang anaknya, Rosmanisah Muhammad, 33, juga terpaksa menerima hakikat apabila bukan sahaja rumah ibunya, Wan Rahmah musnah bahkan kediamannya sendiri di Kampung Siam dekat sini juga runtuh.

Rosmanisah berkata, dia dan suaminya bersama-sama tiga anak mereka telah berpindah ke rumah ibunya di Jalan Gaele di sini apabila rumah mereka dinaiki air.

“Apabila rumah dinaiki air, saya segera berpindah ke rumah ibu, malah adik-beradik yang lain juga berkumpul di situ. Tidak sangka rumah orang tua kami yang selama ini tidak begitu terjejas kerana banjir, dinaiki air mendadak menyebabkan kami segera melarikan diri ke dalam sebuah lori kepunyaan majikan bapa yang diletakkan di kawasan lebih tinggi.

“Dengan sehelai sepinggang, kami semua berkumpul di dalam lori tersebut, selain empat kereta kami di situ. Itulah rumah kami dari mula banjir hingga sekarang.

“Cuma kini apabila banjir sudah surut, ada antara kami yang duduk di rumah jiran dan bina pondok untuk memasak. Semasa banjir, itulah rumah, itulah dapur, itulah segalanya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Rosmanisah yang memakai tuala melitupi wajahnya kerana cuaca panas terik semalam tidak dapat menahan sebak mengenangkan nasibnya sekeluarga.

“Rumah saya juga sudah runtuh, habis segalanya. Pakaian sekolah anak-anak dihanyutkan air bah. Muka saya pun dah nak hangus sebab tidak duduk dalam rumah,” katanya yang mempunyai tiga anak berusia antara tiga dan 13 tahun.

Sementara itu, adik Rosmanisah, Rosmarida, 31, pula yang juga mendiami lori tersebut berkata, walaupun berada di atas lori di jalan berbukit, air banjir tempoh hari tetap naik pada paras lutut.

“Bayangkan lori ini jadi pulau, kami, tujuh beradik, ibu, ayah dan saudara-mara perlu sentiasa mengawal lapan orang anak-anak kami yang masih kecil.

“Tambah pula saya dan seorang adik ipar, Salmi Japri, 30, berbadan dua. Saya mengandung empat bulan, dia tiga bulan.

“Mujur kami semua tidak kebuluran apabila sebuah lori runcit turut terkandas di kawasan sama. Kalau tidak, tidak tahulah bagaimana nasib kami,” katanya.

utusan online

Comments