pengorbanan



MB terharu guru sanggup pulang ke rumah ambil kertas SPM sebelum lemas
Bernama
Disember 27, 2014






KEMAMAN: Guru, Nurhayati Sulong sanggup bergadai nyawa berpatah balik ke rumahnya dalam keadaan banjir yang semakin buruk semata-mata untuk mengambil kertas peperiksaan SPM yang belum diselesaikan.

Dalam perjalanan semula ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Geliga, Nurhayati, 37, maut bila bot yang dinaikinya terbalik dihanyutkan arus deras Rabu lalu.

Suami Nurhayati, Suhaimi Awang, 37, turut terkorban dalam tragedi itu yang berlaku bila bot berkenaan karam selepas terperangkap dalam pusaran air di Kampung Che Akob, di sini.

Tiga anggota bomba dan tiga mangsa banjir lain bersama mereka selamat.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman cukup terharu dengan tragedi itu.

"Saya amat merasa tersentuh dengan apa yang berlaku kerana saya dapat maklumat Allahyarham Cikgu Nurhayati ini, dia pulang ke rumah semata-mata hanya untuk mengambil kertas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang masih belum selesai
ditanda.

"Ini satu pengorbanan yang sangat besar. Dia seorang guru yang hebat. Tanpa memikirkan keselamatan diri, beliau tetap nak balik mengambil kertas soalan SPM," katanya.

Menteri Besar bercakap kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Kemaman selepas menziarahi jenazah Suhaimi hari ini.

Sebagai menghargai khidmat bakti pasangan itu, Ahmad Razif berkata pihaknya akan menjaga segala kebajikan dan pendidikan serta akan mengambil keenam-enam anak mangsa sebagai anak angkat kerajaan negeri.

Mereka ialah Nor Syafiqah Syahira, 12; Nor Izah Insyirah, 11; Muhammad Ifran Irshad, 9; Nur Intisar Iedihar, 6; Muhammad Aqil Amsyar, 4; serta anak bongsu Nor Adifa Arissa, yang merupakan bayi berusia 4 bulan.

"Bantuan khas kepada anggota keluarga mangsa akan kita putuskan sebaik selesai urusan pengkebumian," kata Ahmad Razif.

Mayat Nurhayati ditemui tersangkut pada ranting kayu kira-kira 4.25 petang semalam kira-kira 700 meter dari tempat bot mereka terbalik manakala mayat suaminya pula ditemukan kira-kira pukul 12.20 tengah hari ini kira-kira 10 meter dari lokasi isteri.

Dalam pada itu ibu kepada Suhaimi, Zariah Awang Jusoh, 70, berkata beliau sedih mengenangkan hasrat Allahyarham yang tidak kesampaian.

Mereka sekeluarga sepatutnya menyertai 'reunion' Sekolah Menengah Agama Al Falah Kemaman pada Khamis lepas dan bercuti di Johor pada Jumaat (semalam), kata Zariah

astro awani


Wajah anak-anak pasangan suami isteri mangsa banjir bot terbalik
Khairulanuar Yahaya
27 Disember 2014



KEMAMAN 27 Dis.-Wajah enam orang anak pasangan suami isteri, Suhaimi Awang, 37 dan Nur Hayati Sulong, 37 yang lemas dihanyut banjir selepas bot yang mereka naiki bersama-sama tiga anggota bomba dan tiga mangsa banjir lain terbalik selepas terperangkap dalam pusaran air ketika dalam perjalanan ke Pusat Pemindahan di SK Geliga pada Rabu lalu. Anak-anak pasangan itu adalah Nor Syafiqah Syahira,12 Nor Izzah Insyirah,11 Muhammad Irfan Irsyad,9 Nor Intisar Iedikar,6 Muhammad Aqil Amsyar,4 dan Nor Adifa Arissa, 4 bulan.-UTUSAN/AZLAN BAHRUM

utusan online


Enam anak sebak


Chukai: Suasana sedih menyelubungi Hospital Kemaman di sini, apabila enam anak Allahyarham Norhayati Sulung, 37, menangis teresak-esak apabila mayat yang ditemui tersangkut pada timbunan sampah di Sungai Kemaman semalam, disahkan sebagai jasad ibu mereka.

Mayat mangsa ditemui jam 4.05 petang kira-kira 700 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang selepas satu setengah jam solat hajat dilakukan penduduk kampung dan kenalan mangsa di benteng Sungai Kemaman.

Allahyarham meninggalkan enam anak berusia antara empat bulan hingga 13 tahun.

Lebih memilukan, harapan untuk bapa mereka Suhaimi Awang, 37, hidup juga tipis apabila tiada khabar berita diterima selepas turut dihanyutkan arus sejak tiga hari lalu.

Anak sulung mangsa, Nor Stafiqah Syahira Suhaimi, 13, pelajar Sekolah Menengah Agama Alfalah ketika ditemui bagaimanapun reda dengan kejadian menimpa kedua ibu bapanya itu.

myMetro



Comments