Tiga Cerita Luka




 Foto di atas  ini menggambar kejadian seorang anak dan ibunya di Taiwan. Sang anak cuba menyuap makanan ke mulut si ibu agar dapat mengecap makanan,  Dia berbuat begitu untuk membalas jasa ibu yang pernah menyuap makanan ke mulutnya sewaku kecil...

Tiada lain selain niat untuk membalas jasa dan meraikan cinta.
 

Ini sebuah kisah antara ibu dan anak yang mengharukan. Si ibu berumur 97 tahun, namun dalam keadaan usia yang lanjut itu ia masih mencurah cinta dan kasih sayang menjaga anaknya yang berusia 60 tahun. Anak lelakinya lumpuh. Tetapi sudah lebih 19 tahun si ibu menjaga anaknya itu dengan penuh cinta dan kasih sayang ...

Tiada lain selain untuk meraikan cinta...

Tapi ketiga-tiga cerita yang dipaparkan di bawah ini jauh berbeza dengan kisah anak dan ibu tua di atas. Ia tidak jauh dari kita berlaku di sekitar kita.

Tapi tiga cerita di bawah ini begitu melukakan. Luka kerana cinta dan kasih sayang tidak berada di sudut  terbaik hubungan ibu dan anak. Mengapa segalanya luntur dan menghilang?

Jika kita terharu membaca dua cerita di atas, kita juga akan lebih terharu membaca tiga cerita luka di bawah ini. Semuanya amat memilukan. Cinta tak bermakna lagi di hati. Hubungan cinta anak dan ibu menjadi hubungan yang menyakitkan. Tiada lagi bibit kasih sayang membening di kalbu selain keasingan dan rasa amarah yang panjang. Ke mana pergi segala cinta?

Inilah iktibar dan inilah pedoman. Ini pula titik renungan bersama. Bagaimana ia terjadi dalam inti masyarakat yang mengutamakan ketimuran, cinta dan hormat menghormati? Sudah begitu jauhkah kita terbabas dari laluan hidup yang sebenar? Segala kata kesat, herdik dan caci menjelaskan betapa terasingnya cinta dalam jiwa. Hubungan yang sepatutnya indah dan diberkati menjadi gundah yang mengharukan.....

Marilah kita membaca dengan rasa keinsafan. Di manakah letaknya nilai cinta itu lagi?
Bukan untuk menyilapkan sesiapa tetapi sebagai pedoman untuk kita hayati bersama

 Bacalah dengan keinsafan dan renunglah perlahan di manakah nili cintamu?

Renungan Kepada Ibu



Kalau ibu anjing, saya anak anjing’
ADILA SHARINNI WAHID
3 Disember 2014


KOTA BHARU - Padah buat seorang penganggur akibat mengasari dan memaki hamun ibu sendiri, dia dihukum penjara dua tahun oleh mahkamah majistret, di sini, hari ini.

Tertuduh, Mohd Azren Mohd Ramly, 27, mengaku bersalah dengan sengaja memulas tangan dan menedang punggung ibunya, Saudah Yaacob, 52, dalam dua kejadian di sebuah rumah di Taman Bumi Batu 4 Jalan Pengkalan Chepa, di sini, pada jam 5 petang, 26 dan 30 November lalu.

Pada pagi itu, mangsa menyuruh anaknya membeli nasi sarapan pagi, tetapi tertuduh meminta lagi duit daripada mangsa.

Mangsa berkata, tiada duit lalu tertuduh merebut duit dan ketika itu tertuduh memulas tangan hingga pengadu kesakitan.

Tertuduh memaki hamun mangsa dengan berkata “ibu beruk” dan “ibu anjing”.

Mangsa terpaksa melepaskan duit di tangannya dan tertuduh mengambilnya lalu terus tidur.

Mangsa yang kesakitan menangis dan mengadu kepada seorang lagi anaknya.

Empat hari sebelumnya, semasa mangsa pulang ke rumah dari membeli barang, tertuduh meminta duit daripada mangsa, tetapi mangsa berkata tiada duit lalu menendang di bahagian punggung mangsa dengan kuat. Tertuduh juga memijak dan memecahkan telur yang baru dibeli mangsa.

Pada prosiding itu, Majistret, Nik Habri Muhamad bertanya tertuduh adakah dia anak kandung mangsa, tertuduh kemudian menjawab, "Ya".

“Jika ibu kamu ibu beruk dan ibu anjing, jadi kamu itu apa?” tanya Nik Habri lagi.

Tertuduh kemudian menjawab, “...anak anjing”.

sinar harian


Lelaki ugut bunuh ibu dipenjara 5 tahun
ADILA SHARINNI WAHID
11 Ogos 2014



Tertuduh dikawal ketat anggota polis ketika keluar selepas diarah oleh majistret di mahkamah itu, hari ini.

KOTA BHARU - Umpama kerasukan makhluk halus apabila seorang lelaki tiba-tiba menjerit memarahi azan Maghrib yang berkumandang dan mahu membunuh ibunya apabila ditegur perlakuan itu.

Tindakan lelaki berkenaan bagaimanapun mengundang padah kepada dirinya sendiri apabila dia dihukum penjara lima tahun oleh mahkamah majistret, di sini, pagi tadi.

Tertuduh Zulkifli Salleh, 25, didakwa membuat ugutan jenayah dengan mengangkat tangan dan mengacukan pisau sambil berkata “aku bunuh mu” terhadap Mek Bidah Hanapi, 51, di ruang tamu sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Tikat, Jalan PCB, Badang, di sini.

Dalam kejadian pada jam 7.40 malam, 29 Jun 2014 itu, tertuduh sedang makan mangga dan memegang pisau untuk memotong buah tersebut. Azan Maghrib kemudian berkumandang dan tertuduh tiba-tiba marah-marah kerana bunyi azan yang kuat.

Ibu tertuduh yang ada bersama ketika itu menegur tertuduh supaya menghormati azan itu, namun tertuduh berang dan bertindak mengacu pisau sambil mengeluarkan kata-kata ugutan tersebut.

Pada prosiding itu, Majistret, Nik Habri Muhamad memberi peluang kepada tertuduh untuk menerangkan situasi sebenar dan bertanya mengapa tertuduh terlalu garang memarahi ibu sehingga mahu membunuhnya.

Pertanyaan Nik Habri itu, bagaimanapun dibalas dengan kata-kata bongkak.

“Loni ni gini (sekarang macam ni). Loni (sekarang) ikut nok jatuh hukum berapo pun ikutlah!” katanya.

sinar harian


'Aku nok kerat tengkuk tiga-tiga ni'
ADILA SHARINNI WAHID
3 Disember 2014


KOTA BHARU - Perbuatan derhaka seorang anak cuba membunuh ibu sendiri mendapat balasan sementara di dunia apabila dia dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini.

Hukuman diputuskan Majistret, Nik Habri Muhamad terhadap tertuduh Zamri Awang, 38, selepas dia mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah dengan melibas parang terhadap Bidah Abdu Rahman, 60, di rumah mereka di Kampung Terap, Banggu, di sini, pada jam 7.30 malam, 31 Ogos lalu.

Dalam kejadian itu, pengadu yang sedang duduk di dapur rumah didatangi tertuduh meminta RM5, namun pengadu berkata dia sudah tidak mempunyai wang dan RM10 yang diberikan pada jam 6 petang sebelum itu juga dipinjam daripada orang lain.

Tertuduh masih tidak berpuas hati dan berkata kepada pengadu “aku nok pitih (duit) nate (binatang) babi ni” dan kemudiannya mengambil parang sambil berkata, “nanti aku nok kerat palo (kepalo) sapo ni”.

Tidak lama selepas itu tertuduh pergi ke arah pengadu, anak dan menantu dengan melibas-libas parang dan berkata lagi, “aku nok kerat tengkuk tiga-tiga ni”.

Ekoran ugutan itu, anak dan menantu pengadu ketika itu terus keluar dari rumah kerana ketakutan.

Tertuduh terus mengamuk dan merosakkan barang-barang di dalam rumah hingga pintu dapur tercabut dan memecahkan pinggan mangkuk serta kuali dan melibas-libas parang sambil menjengkelkan mata ke arah ibunya.

Pengadu kemudian melaungkan azan dengan kuat dan tidak lama kemudian tertuduh beredar.

Pada prosiding itu, ibu tertuduh hadir dan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum kepada anaknya itu kerana dia sangat takut terhadap tertuduh.

Mangsa juga tidak berpaling melihat anaknya di dalam kandang orang salah.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

sinar harian


Comments