terbang bersama RayaniAir





Nikmati penerbangan percuma RayaniAir
HABSAH ISMAIL
19 Disember 2014


Sebahagian pemilik kenderaan kelab kereta Wira memberi sokongan terhadap promosi RayaniAir, semalam. Sebahagian pemilik kenderaan kelab kereta Wira memberi sokongan terhadap promosi RayaniAir, semalam.


RAKYAT menyambut baik promosi syarikat penerbangan baharu, RayaniAir Sdn Bhd (RayaniAir) yang membuka peluang kepada bakal penumpang menikmati penerbangan percuma ke beberapa destinasi.

Sebahagian orang ramai mengakui mereka teruja dengan promosi yang dilakukan yang bertumpu di kawasan bandar, malah sekitar daerah dan kampung juga boleh melihat pelekat kereta RayaniAir di kereta.

Penduduk Tanjung Chat, Kota Bharu, Wan Ahmad Wan Ismail, 71, berkata, setelah diberitahu oleh rakannya mengenai promosi tiket percuma melalui tampalan pelekat pada kereta, dia segera mendapatkan pelekat kenderaan berkenaan di hadapan pusat membeli-belah, Parkson.

“Pada saya pelekat kereta yang ditawarkan adalah menarik dan memberi gambaran awal mengenai penerbangan baru yang bakal beroperasi dari negeri ini ke destinasi lain,” katanya kepada Sinar Harian semasa Promosi Tampalan Pelekat Kenderaan RayaniAir, di KBTC dan Tesco, di sini, semalam.

Pengunjung lain, Maizatul Akma Abdullah, 32, berkata, rakyat di negeri ini perlu merebut peluang terhadap promosi yang giat dijalankan bukan sahaja di sekitar Kota Bharu dan Kubang Kerian, sebaliknya daerah lain juga terlibat.

“Promosi tampalan pada pelekat kereta ini membolehkan mereka yang tidak tahu mengenai RayaniAir teruja untuk mengetahuinya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ravi Alagendrran berkata, pelbagai promosi dijalankan oleh pihaknya terutama di beberapa daerah di negeri ini.

“Lebih 10,000 pelekat ditampal pada kenderaan atas persetujuan pemiliknya selama enam bulan. Mereka boleh menebus tiket percuma di lapangan terbang mengikut destinasi dan memilih tarikh berdasarkan terma dan syarat (tidak termasuk hari cuti sekolah).

“RayaniAir akan bergerak ke destinasi seterusnya di seluruh Malaysia termasuk Alor Setar, Langkawi, Pulau Pinang bermula pada Sabtu (esok) dan untuk mengetahui lokasi seterusnya perlu ‘Like’ Facebook RayaniAir,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap khidmat penerbangan itu menjadi pilihan di hati penduduk di Kelantan dan seluruh Malaysia menjadikan RayaniAir sebagai salah satu syarikat penerbangan pilihan kepada mereka, biarpun hanya tinggal di kampung-kampung.

Jom terbang dengan RayaniAir bersama Kapten B737-400 dan ‘First Officers’ minimum 500 jam dengan lesen Malaysia CPL/IR atau ATPL.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Pejabat RayaniAir 03-55185786 atau faks 03-55240267 atau melalui e-mel rayaniair@yahoo.com/info@rayaniair.com atau Facebook RayaniAir.

sinar harian


Rayani Air beroperasi di LTAM Januari depan

MELAKA 23 Ogos - Syarikat penerbangan baharu, Rayani Air Sdn. Bhd. (Rayani Air) dijangka memulakan operasinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam di sini, Januari tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ravi Alagendrran berkata, pihaknya kini sudah bersedia sepenuhnya untuk memulakan operasi di lapangan terbang berkenaan dengan buat permulaan menggunakan dua pesawat jenis Fokker-ATR 72.

Menurutnya, menerusi persetujuan bersama antara Rayani Air dengan kerajaan negeri, sebanyak lima laluan turut diperkenalkan termasuklah Melaka-Pulau Pinang-Melaka, Melaka-Langkawi-Melaka, Melaka-Kota Bahru-Melaka, Melaka-Kuching-Melaka dan Melaka-Kota Kinabalu-Melaka.

“Rayani Air bakal menampilkan kelainan dari segi perkhidmatan agar tidak membebankan pengguna malah menawarkan tiket pada harga berpatutan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Pameran Pelancongan Antarabangsa Melaka (MITS) Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Melaka 2014 yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini semalam.

Yang hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Naim Abu Bakar; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Pantai, Sungai dan Pulau-pulau negeri, Datuk Ghazale Muhamad dan Presiden MATTA Malaysia, Hamzah Rahmat.

Jelas Ravi, pihaknya bagaimanapun sedang menunggu Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sebelum boleh memulakan operasi.

“Sehingga kini, syarikat memperoleh Permit Perkhidmatan Udara (ASP) namun untuk memulakan operasi penerbangan, kita memerlukan ASL dan diharap ia dapat diluluskan dalam masa terdekat," ujarnya.

Sementara itu, Idris ketika ditemui memberitahu, Rayani Air akan menggunakan LTAM sebagai destinasi utama bagi laluan domestik ke semua lima destinasi tersebut.

“Rayani Air dijangka mampu menghidupkan kembali operasi penerbangan di LTAM seterusnya merancakkan sektor pelancongan negeri dengan menjadikan Melaka sebagai pusat transit pelancongan selatan," katanya.

utusan online


Sertai promosi RayaniAir untuk terbang percuma


sila kunjungi fb RayaniAir untuk maklumat lanjut

RayaniAir dan mangsa banjir di Kelantan

Meski belum beroperasi sepenuhnya tetapi RayaniAir tetap komited dan prihatin dengan nasib mangsa banjir di Kelantan. Team RayaniAir KBR bersama mangsa banjir di Pusat Pemindahan Banjir Ketereh, Kelantan


foto dari fb RayaniAir

Tiba ketikanya
Terbang Bersama RayaniAir

Comments