Teater Tradisional Jikey

Jikey ialah salah satu daripada teater tradisional masyarakat Melayu yang sangat popular di negeri Kedah dan Perlis, Malaysia sekitar 60-an. Ia juga popular di selatan Thailand dan dikenali sebagai Likey dan popular di Satun dan Phuket. Persembahan Jikey turut dipengaruhi oleh elemen kesenian yang terdapat dalam persembahan Mak Yong, Hadrah, Bangsawan dan Mek Mulung. Tarian Jikey mempunyai bentuk tarian pementasan dan mempunyai dialog lucu, muzik dan tarian. Muzik jikey terdiri dari muzik dan muzik mengiringi nyanyian. Watak tertentu dalam drama jikey dikenali dengan unsur tertentu dalam muzik. Alatan muzik Jikey biasanya terdiri daripada violin, 3 rebana, dan 2 cerik (ketuk buluh).


Akrab popularkan semula jikey
leh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA


DARI kiri: Awang Pengasuh, Awang Selamat dan Raja Langkasuka antara watak penting dalam persembahan pembukaan jikey.

KEHIDUPAN sebagai seorang remaja di Kampung Kelibang, Kuah, Pulau Langkawi, Kedah sekitar tahun 1972 merupakan waktu yang paling diingati Chahor Saad yang kini berusia 56 tahun.

Ketika itu, beliau berusia 14 tahun dan sering mengikuti persembahan teater jikey yang diketuai oleh seorang veteran kebudayaan di Langkawi, Allahyarham Cin Abdul Razak.

Setiap hujung minggu, beliau akan mengayuh basikal ke Pekan Kuah untuk menyaksikan persembahan teater jikey yang diadakan di atas bangsal di tengah-tengah pekan itu.

Persembahan spontan tanpa skrip dan lawak jenaka yang disampaikan oleh para pelakon ternyata menarik minat Chahor dan muda-mudi di Pulau Langkawi ketika itu.

“Tiada hiburan lain di Pulau Langkawi pada masa itu. Jikey merupakan satu-satunya hiburan untuk segenap masyarakat. Walaupun persembahan diadakan di bangsal, penonton akan memenuhi segenap penjuru dan tertawa dengan lawak jenaka yang disampaikan oleh pelakon,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Selain bangsal di Pekan Kuah, persembahan jikey turut menjadi acara wajib pada majlis-majlis ­keraian di sekitar Pulau Langkawi yang berperanan sebagai hiburan kepada pengunjung.

Chahor juga diberi peluang untuk menyertai kumpulan yang dikendalikan oleh Cin dalam pementasan teater jikey. Selama dua tahun, beliau hanya ditugaskan untuk membawa alat-alat muzik dan kelengkapan persembahan teater.

Kepercayaan yang diberikan Cin yang dianggap sebagai gurunya dalam pementasan jikey, Chahor dapat menggalas peranan sebagai pemain alat muzik kecerek sebelum berlakon sebagai Penghulu iaitu watak utama dalam teater itu.

“Sekitar tahun 1950-an dan 1960-an, teater jikey menggunakan bahasa Siam sepenuhnya sebagai perantara sewaktu berlakon. Kami juga tiada kostum tetap. Setiap pelakon hanya memakai kain pelikat dan kemeja-T yang dipakai dalam kehidupan seharian. Paling penting, penyampaian tidak lari daripada jalan cerita asal sejak turun-temurun,” jelasnya yang mendapat pengiktirafan sebagai Tokoh Jikey Negara.

Minat yang mendalam terhadap seni tradisional, Chahor atau dikenali sebagai Pak Chahor ketika itu menyertai Majlis Kebudayaan Daerah Langkawi (MKDL) sebagai penyanyi. Walaupun masih remaja, Chahor memainkan peranan penting dalam kumpulan MKDL dengan menggalas tanggungjawab sebagai penyanyi dengan menyanyikan lagu Melayu Asli seperti Seri Mersing dan Mas Merah.

Jikey merupakan salah satu da­ripada teater tradisional masyarakat Melayu di negeri Kedah dan Perlis. Ia juga popular di Selatan Thailand, Satun dan Phuket yang dikenali sebagai likey. Pementasan jikey juga dipengaruhi elemen kesenian tradisional lain seperti mak yong, hadrah, bangsawan dan mek mulung.

Elemen penting dalam teater jikey ialah tarian dan dialog jenaka yang disampaikan oleh pelakon. Pementasan terbahagi kepada dua struktur iaitu persembahan pembukaan dan teater utama.

Tiga watak


WAN SUHAIRI (dua dari kanan) memegang watak sebagai Raja Naga Berapi yang menuntut janji daripada Raja Langkasuka.

Uniknya dalam teater jikey, ia merupakan satu-satunya pementasan teater tradisional yang menggabungkan watak tiga bangsa di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India. Ketiga-tiga peranan iaitu Raja Langkasuka, Ah Seng dan Tuan Keling menjadi watak utama dalam persembahan pembukaan. Dua orang pembantu Raja Langkasuka iaitu Awang Pengasuh dan Awang Selama merupakan watak penting yang menonjolkan elemen jenaka dalam jikey.

Pada pementasan teater utama, beberapa tajuk popular yang sering dimainkan sejak tahun 1950-an seperti Naga Berapi dan Si Miskin.

Chahor merupakan satu-satunya waris teater jikey kendalian Cin sekitar tahun 1950-an hingga 1970-an. Perkataan jikey berasal gabungan nama dua orang pedagang yang ingin berniaga di Pulau Langkawi iaitu Pek Ji dan Mat Kie suatu ketika dahulu. Mereka ditangkap kerana tidak membayar cukai dan dihumban ke penjara. Semasa dalam tahanan, mereka membuat persembahan berbentuk tarian dengan elemen humor sehingga menarik minat Raja Langkasuka.

Sejak itu, persembahan jikey tersebar ke seluruh Pulau Langkawi dan menjadi teater rakyat. Asal usul jikey digambarkan dalam persembahan pembukaan teater tersebut.

Jelasnya, kebanyakan generasi muda di Pulau Mahsuri itu tidak tahu mengenai kewujudan teater itu kerana kurangnya pementasan.

Pertemuan Chahor dengan Persa­tuan Penggerak Warisan Budaya Seni Negeri Kedah (Akrab) di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) kira-kira dua tahun lalu membenihkan satu idea untuk mempromosikan kembali ­teater jikey yang kian lama dipinggirkan.

Akrab berjaya melaksanakan ­impian Chahor dalam program Bengkel Pelestarian Kesenian Tradisional-Jikey Naga Berapi yang dianjurkan di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak baru-baru ini.

Bengkel selama tiga hari Akrab dan pelajar Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, UPSI itu diakhiri dengan pementasan Jikey: Naga Berapi itu mendapat tajaan sebanyak RM100,000 daripada Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Pengasas Akrab, Wan Suhairi Wan Senu, 41, memberitahu, Pak Chahor menjadi sumber utama dalam pementasan yang julung-julung kalinya diadakan di UPSI itu.

Akrab mahu mengangkat pementasan jikey dari bangsal ke pentas berprestij dalam usaha untuk mempromosikan kesenian negeri Kedah.

“Saya dan ahli Akrab yang lain mengambil masa lebih kurang dua tahun untuk melakukan penyelidikan dan kajian mengenai jikey bersama Pak Chahor. Dia juga banyak memberi tunjuk ajar terutama hal ehwal ­tarian dan lagu-lagu yang disampaikan dalam pementasan teater ini.

“Struktur pementasan jikey yang terbahagi kepada dua iaitu persembahan pembukaan dan teater utama merupakan tunjang yang perlu kami patuhi selepas sesi perbincangan bersamanya. Kami mematuhi setiap garis panduan yang diberikan oleh Pak Chahor. Dalam usaha untuk menarik golongan muda meminati teater tradisional, kami menyelitkan ­elemen-elemen humor bersesuaian dengan masyarakat masa kini,” ujarnya yang menubuhkan Akrab pada tahun 1998.

Tempo muzik


Jelasnya yang berasal dari Naka, Padang Terap, Kedah, semasa sesi penyelidikan dan kajian teater jikey, dia akan mendengar nyanyian dan melodi lagu-lagu yang dinyanyikan oleh Pak Chahor. Kemudian, pengarah persembahan jikey, Saipol Bahari Mohd. Iman akan membaik pulih tempo muzik untuk disesuaikan dengan pementasan.

Selain itu, dialog yang disampaikan oleh pelakon juga diperbaiki agar ia mudah difahami oleh penonton. Pada zaman Pak Chahor, pelakon menggunakan bahasa Siam dalam pertuturan mereka tetapi jikey hasil olahan Akrab menggunakan bahasa Melayu dialek Kedah.

Akrab merupakan persatuan kesenian yang aktif di negeri Kedah. Meskipun Wan Suhairi tiada pe­ngetahuan asas dalam bidang teater, dia berjaya memimpin persatuan tersebut dan memenangi Festival Teater Peringkat Negeri dan Kebangsaan pada tahun 2001 hingga 2007.

Ujar Wan Suhairi, kolaborasi bersama Pak Chahor untuk mempersembahkan jikey merupakan salah satu usaha Akrab untuk memartabatkan kesenian di negeri Kedah.

“Mengikut cerita Pak Chahor, jikey merupakan teater popular di Pulau Langkawi pada tahun 1950-an sehingga 1960-an. Ketika itu, liga dan pertandingan jikey diadakan di seluruh pulau itu. Ia jelas menunjukkan bahawa jikey merupakan satu persembahan yang dekat dengan rakyat. Kami sebagai persatuan wa­risan dan budaya hanya meneruskan legasi Pak Chahor agar ia tidak hilang di telan masa. Selain jikey, Akrab juga aktif mempersembahkan teater mek mulung,” ujarnya.

Seramai 25 orang tenaga produksi kreatif termasuk pelakon, pereka fesyen, penari dan bahagian teknikal Akrab menyertai Bengkel Pelestarian Kesenian Tradisional di UPSI. Seramai 40 orang pelajar Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI turut serta dalam bengkel itu dan mereka diberi peranan sebagai penari serta pemain alat muzik dalam pementasan jikey.

Saipol Bahari, 38, memberitahu, dia tidak mengambil masa yang lama untuk mengolah jalan cerita dan lagu-lagu bagi persembahan itu kerana memperoleh maklumat lengkap daripada Pak Chahor sewaktu sesi penyelidikan dan kajian dahulu.

Namun, cabaran utama Saipol Bahari semasa mengarahkan jikey bersama Akrab adalah untuk mengekalkan struktur teater itu sama seperti yang diterangkan oleh Pak Chahor.

“Saya mengambil masa selama sebulan untuk mengarahkan teater ini berpandukan garis panduan Pak Chahor. Barisan pelakon berpengalaman Akrab seperti Siti Salwani Shaari, Ed Kota dan Wan Suhairi memudahkan proses mengarah dan me­lancarkan proses pementasan.

“Pada sesi perbincangan dengan Pak Chahor, kami memilih untuk mementaskan teater Jikey: Naga Berapi berbanding Si Miskin. Menerusi teater itu, saya boleh menggunakan kostum dan efek api naga dalam pementasan ini,” ujar pengarah dan penulis skrip teater Pelantaq bersama Akrab yang memenangi juara keseluruhan Festival Teater Peringkat Kebangsaan dua tahun lalu.

Sebanyak sembilan buah lagu dimuatkan dalam jikey termasuk persembahan pembukaan dan teater utama. Selain itu, menerusi dana Petronas, Akrab turut menghasilkan kostum untuk penari dan pelakon teater bersesuaian dengan setiap watak.

Jelasnya, penonton disajikan de­ngan lagu-lagu menarik sebaik sahaja persembahan dimulakan.

“Bagi saya, lagu-lagu dalam ji­key membezakan teater ini dengan pementasan tradisional yang lain. Mengambil contoh lagu Raja Panggil Permaisuri, melodinya mempunyai pengaruh dari Thailand dan persembahan opera Cina. Ia jelas menunjukkan bahawa berlakunya asimilasi budaya antara masyarakat Langkawi dan pedagang luar suatu ketika dahulu,” katanya yang berasal dari Mergong, Alor Star, Kedah.


kosmo online


Teater Jikey warisan Perlis
Seni budaya golongan bangsawan diberi nafas baharu
ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
20 November 2014 

Watak Awang yang dilakonkan oleh Mohd. Rahmat Saidin atau Che Mat Raja Lawak digoda oleh Aci dalam teater Jikey membuatkan penonton `tak kering gusi’. – utusan/Muhamad Iqbal Rosli.

KANGAR 19 Nov. - Perlis antara negeri yang kaya dengan seni warisan budaya tersendiri tetapi kebanyakannya kini sudah lama 'tenggelam' di sebalik kemajuan pesat negeri ini pada zaman sekarang.

Selain seni tradisi yang terkenal seperti canggung dan persembahan tok batin, Jikey merupakan antara budaya warisan Perlis yang tidak ramai mengetahuinya.

Namun, Jikey yang merupakan hiburan atau persembahan penglipur lara untuk golongan raja atau bangsawan pada zaman kesultanan Melayu suatu ketika dahulu kini diangkat menjadi naskhah cukup bernilai pada masa kini.

Ini kerana Jikey kini diberi nafas baharu dengan gabungan elemen lama dan moden sehingga mampu menjadikan persembahan yang mencuit hati sesiapa menontonnya.

Bertempat di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis di sini baru-baru ini, pementasan teater tradisional Jikey buat pertama kali dipertontonkan kepada orang ramai.

Teater Jikey Pengembaraan Putera Sadao sarat dengan seni budaya yang dipertahakan sehingga hari ini.

Dengan tajuk Pengembaraan Putera Sadao, teater tradisional Jikey berjaya menggamatkan auditorium dengan persembahan mantap barisan pelakon yang terdiri daripada anak tempatan.

Kisah pengembaraan putera yang dilakonkan oleh watak utama, Mohd. Aiman Abdullah dan puteri, Norazlinda Md. Rodzali cukup 'menjadi' kerana berjaya menjiwai watak masing-masing dengan berkesan.

Kisah berkisar mengenai pengembaraan Putera Sadao yang akhirnya bertemu dengan puteri kesayangannya digarap cukup mudah untuk difahami walaupun ia berdasarkan karya tradisi diubahsuai.

Dengan diserikan watak Awang dan Inang pengasuh lakonan Mohd. Rahmat Saidin, Azam Muhammad Kas­sim, Muhammad Hapis Mastamsaidi, Siti Salwani Shaari dan Syazwani Suboh, Jikey membuatkan penonton tidak kering gusi.

Telatah awang dan inang menghidupkan suasana ceria menerusi lawak jenaka mereka yang cukup bersahaja.

Begitu juga dengan watak pedagang India yang dilakonkan Masmee Mahmud dan Menachi lakunan A. Tharumaraj cukup menggeletek perut penonton.

Ternyata, Pengarah Teater, Mohd. Khairil Mohd. Salleh mampu untuk mengendalikan keseluruhan persembahan Jikey dengan baik selama dua hari ia diadakan.

Menurut Mohd. Khairil, persembahan Jikey tidak semudah disangka kerana ia bukan teater biasa tetapi warisan budaya yang perlu diangkat kembali untuk tontonan masyarakat atau generasi masa kini.

“Bukan mudah menggabungkan elemen lama dan moden menerusi lakonan, apatah lagi untuk menghiburkan penonton yang majoriti adalah generasi muda.

“Sudah tentu, teater sebegini tidak boleh tertumpu kepada naskhah asal, malah perlu diubahsuai tetapi masih tetap dengan jalan cerita sama sebagai hiburan kepada masyarakat," katanya.

Menurut Mohd. Khairil, harapannya agar kesinambungan Jikey dapat dipersembahkan pada masa hadapan dengan tajuk lain.


“Berdasarkan sambutan penonton, ternyata teater ini dan persembahan pelakon amat memberangsangkan.

“Walaupun dalam tempoh latihan singkat, mereka (pelakon) berjaya membawakan watak dengan berkesan dan ia merupakan petanda baik bagi dunia teater tradisional Perlis," tambahnya.

Sementara itu, Pengarah JKKN Perlis, Rahmat Md. Noh memberitahu, pihaknya sentiasa merangka program-program yang dapat menghidupkan seni budaya tradisi negeri.

“Antaranya Jikey yang kami cuba tonjolkan dan jadikannya sebagai warisan seni negeri Perlis," katanya.

utusan online


Comments