sentuhan jiwa seorang guru



Bagaimana hidup anak lelaki ini berubah hasil sentuhan jiwa seorang guru? Guru ini tidak hanya mengajar di bilik darjah. Tetapi jauh dari itu beliau memerhati setiap gerak dan laku anak muridnya. Ia melihat ke dalam bahasa jiwa yang tak terungkapkan oleh lidah. Begitu tabah ia mencari jawab akan segala ketidakhadiran, kegagalan dan kepayahan yang dialami oleh anak muridnya. Sebagai guru ia menyelam jauh ke dasar kalbu, melihat apa yang tak ternampak oleh orang lain. Ia mencari di mana segalanya yang membawa kepada kegagalan muridnya.

Ia mendekati hati, memasuki emosi dan melihat rongga-rongga terbiar dalam jiwa anak muridnya itu. Ia membangunkan kembali keyakinan dan harapan yang tak pernah dinyalakan lagi oleh anak itu kerana tumpuannya adalah untuk menyara hidup bukan lagi belajar. Perlahan sang guru mengajak anak itu kembali ke alam persekolahan. Perlahan seorang guru meniup setanggi keyakinan dalam diri anak muridnya,

Hinggalah anak itu ditangkap dan ia sendiri menjejaki anak itu. Ada kekecewaan menetas di wajah sang guru tetapi ia tahu ia hasrus memberi waktu untuk anak ini kembali. Kerana sang guru ini begitu arif dan yakin bahawa masa depan anak kecil itu masih bersinar terang. Masih ada cahaya yang mengalir dalam rongga jiwanya....

Hanya yang disentuh oleh sang guru adalah jiwa anak kecil ini dan membawa ia kembali memikir masa depan. Begitu mulianya tugas guru ini yang membawanya mendidik jauh melampaui bilik darjah.

Amat mengejutkan apabila anak itu kembali membalas jasa apa yang pernah dilakukannya sewaktu dia di alam persekolahan - mengajak gurunya makan malam.

Guru yang baik akan sentiasa di jiwa anak muridnya meski waktu jauh membawa pergi mereka ke alam hidup yang berbeza. Jasa guru terus bergema dalam jiwa dan hati anak-anak yang disentuh dengan kasih sayang dan cinta sejati.

Saksikanlah kisah guru ini....

Comments