sehati sejiwa

Sehati sejiwa kunci tiga kembar cemerlang 5A
MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM
27 November 2014 



Tiga pasangan kembar, Siti Farhana Othman (dari kiri), Siti Farhani Othman dari SK Ayer Keroh; Nur Ameerah Aisyah Faizal, Nur Ameerah Asyiqin dari SK Sacred Heart dan Mira Irdina Salleh Hudin serta Mira Irsalina dari SK Masjid Baru gembira mendapat 5A dalam UPSR 2014 di Auditorium Masjid Al Azim, Melaka, semalam. – UTUSAN/AZLI AHAD

MELAKA 26 Nov. – Tiga pasangan kembar di negeri ini membuktikan bahawa pendirian sehati sejiwa yang dipegang erat mereka membuahkan hasil apabila memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Siti Farhana Othman dari Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Keroh berkata, dia dan kembarnya Siti Farhani saling sokong-menyokong antara satu sama lain dan itu menjadi rahsia kejayaan mereka memperoleh keputusan cemerlang dalam UPSR.

Katanya, disebabkan mereka pasangan kembar, hubungan sangat rapat dan hampir setiap waktu menghabiskan masa bersama ketika bermain, belajar atau menjalankan kegiatan riadah di luar rumah.

“Setiap hari kami akan mengulang kaji pelajaran bersama-sama terutamanya sebelah malam dan dengan bantuan ibu dan guru kami dapat menjawab peperiksaan dengan baik,” kata­nya ketika ditemui selepas majlis pengumuman keputusan UPSR peringkat negeri Melaka di Auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah di sini hari ini.

Bagi Nur Ameerah Aisyah Faizal dan kembarnya, Nur Ameerah Asyiqin yang bersekolah di SK Sacred Heart tidak menyangka mereka bakal memperoleh keputusan cemerlang dalam UPSR.

Katanya, dia pernah tertekan dan berputus harap apabila terpaksa menduduki semula pe­periksaan akibat kes kebocoran soalan tetapi kembarnya sentiasa memberikan sokongan dan motivasi.

“Kekuatan dan kelebihan yang kami miliki adalah hubungan yang erat. Kami saling memberikan nasihat dan semangat sekiranya salah seorang menghadapi masalah dan ini adalah kunci kejayaan kami,” katanya.

Pasangan kembar, Mira Irdina Salleh Hudin dan Mira Irsalina dari SK Masjid Baru menghadapi ujian berat bagi kanak-kanak seusia mereka apabila terpaksa hidup tanpa belaian kasih sayang seorang ayah sejak empat tahun lalu.

Menurut Mira Irdina, adalah sukar untuk menjalani kehidupan sebagai anak yatim tetapi berkat sokongan ibu dan kembarnya, mereka mampu meneruskan hidup seperti orang lain dan yang paling penting dapat mengecapi kejayaan.

“Sangat bersyukur kerana kembar, Mira Irsalina sentiasa bersama-sama saya walaupun dalam apa jua keadaan. Kami sedih dan gembira bersama-sama dan hari ini merupakan bersejarah bagi kami kerana mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar Orang Asli, Siti Nur Fatiha Sohib dari SK Cherana Putih juga merupakan antara 1,242 murid yang memperoleh 5A dalam UPSR di negeri ini.

Menurutnya, dia tidak menyangka akan memperoleh keputusan cemerlang ekoran berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk kes kebocoran kertas soalan yang memaksanya mengambil semula peperiksaan itu.

“Saya tidak yakin dapat memperoleh 5A kerana soalan Bahasa Inggeris terlalu sukar untuk dijawab, tetapi alhamdulillah saya berjaya juga mendapat A bagi semua mata pelajaran,” katanya.

utusan online

Comments