Menunggu Langit Cinta

Cabaran Langit Cinta
Oleh Shakilawati Abd Rahman

Selepas melakar kejayaan menerusi Ombak Rindu, Osman Ali kembali dengan sebuah lagi karya meruntun jiwa berjudul Langit Cinta. Mempertaruhkan Nur Fazura dan Keith Foo sebagai penggerak utama, filem ini dijangka menjadi satu lagi 'masterpiece' sutradara muda ini.

Persoalannya, mampukah Langit Cinta mengatasi kehebatan Ombak Rindu yang menjadi fenomena hingga mencatat kutipan mencecah RM15 juta (termasuk Astro First)?

Apabila perkara itu dibangkitkan saat berkunjung ke lokasi penggambaran di Pulau Tuba, Kedah pada pertengahan Ogos lalu, Osman mengakui pembikinan Langit Cinta satu cabaran besar buatnya, apatah lagi ramai meletakkan harapan tinggi.

Jelas Osman, sebagai pengarah, dia berusaha melakukan yang terbaik untuk setiap karya garapannya. Namun soal diterima atau sebaliknya perlu juga bersandar pada rezeki serta tuah.

"Ombak Rindu adaptasi novel popular yang ada ramai pengikut. Tidak dinafikan ada juga suara bertanya, bolehkah Langit Cinta mengatasi kejayaan Ombak Rindu?

"Kalau boleh, saya tidak mahu Langit Cinta dikait atau dibandingkan dengan Ombak Rindu. Biar Langit Cinta berdiri sendiri.

"Insya-Allah, jika dihasilkan sepenuh hati, sepenuh kecintaan, ia jadi lebih baik daripada Ombak Rindu," katanya yang turut memaklumkan, novel Langit Cinta disiapkan penulis terkenal, Damia Hana dan akan dipasarkan beberapa bulan sebelum filem berkenaan ditayangkan.

Menerusi karya ini juga, Osman mencabar diri bekerjasama dengan beberapa nama besar serta meneroka perwatakan berbeza.

Fazura misalnya, sebelum ini terkenal dengan watak gadis bandar dan berjiwa moden, namun menerusi Langit Cinta apa yang ditampilkan jauh berbeza.

Begitu juga Keith Foo, Osman cuba mencungkil sisi lakonan baru yang belum pernah dipersembahkan pelakon itu.

"Saya cabar diri dan pelakon tampilkan sesuatu yang belum pernah mereka tonjolkan. Fazura pernah bawa watak gadis kampung, namun ia tidak seberat karakter Khadijah yang saya cipta.

"Khadijah wanita berjiwa cekal. Meskipun hidup miskin dan dihujani pelbagai dugaan, dia tidak pernah berputus asa.

"Filem ini membariskan ramai bintang hebat dan semuanya memberi komitmen terbaik. Cabaran besar buat saya apabila perlu seimbangkan watak supaya tiada yang lebih mendominasi dan persembahan mesti konsisten," katanya yang mengagumi cara kerja bintang idolanya, Fauziah Ahmad Daud, Zaidi Omar, Dian P Ramlee dan Normah Damanhuri.

Bercerita soal kekangan dihadapi sepanjang proses pembikinan filem ini, kata Osman, paling mengganggu adalah cuaca, bajet serta logistik.

"Proses penggambaran filem ini memakan belanja besar. Untuk bawa kren dan lori, kita kena guna kapal kargo.

"Kami mencari rumah kayu sepenuhnya di tepi laut tetapi tiada, jadi kena bina sendiri dan ia ambil masa tiga minggu untuk siap.

"Selain itu kami bina jeti dan jambatan. Mungkin pada mata kasar ia tidak penting, tetapi ia perlu kerana ia akan menyokong emosi penonton apabila menonton filem ini nanti.

"Masalah paling besar adalah cuaca. Sepatutnya penggambaran siap dalam tempoh 35 hari, namun terpaksa dilanjutkan berikutan hujan lebat. Kami juga pernah dapat amaran tsunami, tetapi syukur filem ini berjaya juga disiapkan," katanya yang mendapat idea menghasilkan cerita ini selepas berbual dengan orang ramai, selain mencerap cadangan serta perkongsian pengalaman sebenar pengikutnya di laman sosial Facebook.

Sementara itu, Fazura mengakui pengalaman bekerja dengan Osman sangat menarik. Meskipun ada suara mengkritik cara kerja sutradara itu, dia sedikit pun tidak terpengaruh.

Baginya, Osman individu yang teliti, sentiasa menekankan aspek kualiti dan mudah dibawa berbincang

"Sebelum ini ada yang cakap, bekerja dengan Osman susah kerana perlu buat banyak shot dan makan masa lama. Bagaimanapun, pengalaman bekerja dengan Osman tidak sesukar seperti diperkatakan.

"Memang betul ada banyak shot tetapi saya percaya itu untuk mencantikkan cerita, malah ia beri saya lebih suntikan emosi yang datang dari sudut berbeza.

"Osman menjaga mutu lakonan pelakonnya. Bagus atau tidak lakonan kita, dia akan cakap. Saya rasa puas dapat buat yang terbaik untuk setiap babak.

"Dia juga tidak lokek ilmu dan sudi mendengar pandangan pelakon. Kalau ditawarkan bekerja lagi dengannya, saya mahu," kata Fazura.

Tambah pelakon jelita ini, watak Khadijah sangat dekat di hatinya. Perjalanan hidup dari remaja hingga bergelar isteri sangat memberi inspirasi. Khadijah, wanita desa yang tabah mengharungi dugaan demi dugaan dan ia wajar dicontohi.

"Bukan tidak pernah bawa watak wanita kampung, tetapi Khadijah berbeza. Dia berjiwa kental dan tidak mudah goyah.

"Menerusi filem ini, saya dapat merasai kehidupan anak desa yang sebenar. Pendek kata, sepanjang berada di Pulau Tuba, saya belajar banyak perkara dan sangat gembira.

"Khadijah menuntut saya bermain dengan emosi dan banyak menangis. Tidak dinafikan susah namun apabila menyarungkan baju Khadijah, rohnya meresap ke tubuh saya dan segala-galanya jadi mudah," katanya yang boleh bertutur dalam loghat Utara dengan baik.



MyMetro

foto : fb fauziah ahmad daud

foto  fb fauziah ahmad daud

Comments

  1. O G Y tu...kalau berlakon mesti jiwa gila-gila

    ReplyDelete
  2. Perghh Fazuraaaa ... i like.

    ps:
    Terima kasih sebab dah berikan vote LIKE dan G+ pada entri:
    Vitamin Shaklee Bagus Untuk Kesihatan

    ReplyDelete
  3. wah, fazura berlakon meman takleh nak miss..minat gila dia berlakon...dari ceri gol & gincu tauuu :)

    menulis tentang.. : Pendek sebab tak cukup kalsium?

    ReplyDelete

Post a Comment