Menguak Kelopak Sastera

Sastera Perdana, Indie, Popular
Kelangsungan dalam dunia pasca moden
RASDAN AHMAD
07 Disember 2014 


Azalan Hussin (kanan), Ramlee, Saifulizan dan S. M Zakir dalam bicarawara di Istana Budaya, baru-baru ini

DUNIA sastera Malaysia memperlihatkan suatu suasana baharu kesan kepesatan teknologi maklumat serta proses penerbitan buku yang lebih murah. Dua faktor tersebut menyebabkan kelahiran pelbagai kelompok kecil yang menjadi asas kepada budaya sastera yang bersifat pascamoden.

Majlis Bicarawara: Sastera Perdana, Indie dan Popular dalam Arus Perkembangan Sastera Tanah Air yang anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Istana Budaya Sabtu lalu membincangkan pengkelasan karya sastera serta perkembangannya.

Panel terdiri daripada, S.M Zakir, Ramlee Awang Murshid dan Azalan Hussin dan dipengerusikan oleh Saifullizan Yahaya.

S.M Zakir menyifatkan kumpulan sastera perdana mempunyai corak yang paling jelas dalam konteks idealisme dan corak pergerakan. Golongan yang paling mapan itu mempunyai tradisi dan sejarah yang cukup panjang.

Dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahan pengucapan dan pembawakannya, kelompok sastera perdana ini kelihatan bersifat kekal biarpun kekurangan pembaca, khususnya golongan muda yang lebih berorientasikan dengan budaya terkini.

Sastera perdana sebenarnya cukup penting dalam pembinaan tamadun bangsa, kerana itulah sastera perdana ini harus dikekalkan keasliannya.

“Bagi saya tidak perlu ada pengkelasan sastera kerana ketiga-tiga kelas ini bukanlah sastera tetapi lebih merujuk kepada ‘karya’. Karya perdana, karya popular serta karya indie.

“Sastera adalah ibu kepada ketiga-tiga karya ini. Setiap karya yang berbeza mempunyai tujuannya yang tersendiri, jadi tiada saingan serta konflik yang wujud sebenarnya dalam pengelasan ini,” jelasnya.

Tambahnya, persekitaran baharu ialah satu cabaran yang besar kepada identiti dan kelangsungan sastera perdana ini. Tetapi cabaran demikian hanya selesai jika ada penglibatan pelbagai pihak dengan jaringan yang lebih luas.

Dalam konteks semasa, kumpulan sastera perdana didokong secara formal oleh beberapa organisasi dan institusi sastera dan bahasa. Oleh sebab itu, kegagalan institusi dan organisasi terbabit melaksanakan peranan dengan berkesan memberikan implikasi negatif kepada pertumbuhan dan perkembangan sastera perdana.

Sekiranya institusi dan organisasi terbabit melaksanakan peranan dengan berkesan, situasi akan berubah dan sastera perdana akan terus stabil walaupun berada pada zaman moden.

Namun tambahnya lagi, sekiranya mengambil contoh kepada perkembangan semasa yang dilihat sepertimana perkembangan fesyen dunia, tidak mustahil sastera perdana akan mengalami zaman kemegahannya seperti yang pernah dikecapi sebelum ini.

“Tengok sahaja kepada perkembangan fesyen, yang lama kembali digunakan dan dimeriahkan ketika ini, ini juga tidak mustahil akan berlaku kepada perkembangan sastera perdana kita. Ini sememangnya lumrah dunia yang sepatutnya kita percaya,” jelasnya.

Dalam pada itu, sastera popular pula merujuk kepada karya yang menekankan terhadap kuantiti jualan. Kelompok ini tidak pernah mempunyai satu standard atau prinsip yang tetap, tetapi lebih pasif dengan akur kepada kehendak pasaran.

Sastera ini juga pernah juga digelar sastera komersial. Sastera popular tidak semestinya merujuk kepada kuantiti jualan, tetapi diketahui ramai dalam masyarakat biarpun tidak begitu berjaya dalam pasaran.

Popular kerana dijual dengan banyak di pasaran dan popular popular kerana mutu dan isi adalah dua perkara yang berbeza. Oleh itu, sastera popular lebih tepat untuk menggambarkan kecenderungan penerbitan dan para penulis yang mencari pulangan material.

Ramlee Awang Murshid yang terkenal dengan penulisan novel berunsur popular pula menyentuh mengenai sastera popular yang menjadi kegilaan kepada masyarakat tempatan ketika ini.

Walaupun sastera popular ini banyak dihentam oleh pengkritik sastera yang melabelkan karya picisan kerana tidak memberi makna serta isi yang berguna kepada pembaca namun, karya popular ini ada sifat positifnya.

“Minat membaca dalam kalangan rakyat kita semakin bertambah walaupun karya popular dikatakan tidak membentuk pemikiran positif kepada pembaca. Sifat karya ini adalah mengikut pembaca, sekiranya pembaca suka tentang sesuatu isu itu, maka pengkarya karya popular ini akan menghasilkan apa yang diingini oleh pembaca di samping menjaga konteks bahasa itu sendiri.

“Seperti apa yang saya lakukan dalam penulisan novel selama ini, saya akan kaji terlebih dahulu pasaran rata-rata adalah pembaca wanita, jadi saya sendiri akan menghasilkan karya yang menjurus kepada kaum itu,” katanya.

Menyentuh mengenai sastera indie atau juga dikenali sebagai sastera marginal, pengkelasan ini sebenarnya tidak mempunyai satu unsur gerakan yang cuba untuk memecahkan dominasi sastera perdana, tetapi sebagai ruang alternatif untuk menyiarkan karya yang bersifat tabu dari segi naratif atau bahasa.

Azalan Husin menjelaskan, kaya indie ini mula berevolusi dan melakukan beberapa anjakan kesan daripada ruang maya yang lebih terbuka dan proses penerbitannya yang lebih murah dan demokratif.

Kumpulan ini mula membentuk wilayah sendiri dan bukan lagi berfungsi sebagai ruang alternatif, tetapi sebagai ruang utama yang menampung tulisan-tulisan yang membebaskan dirinya daripada definisi sastera perdana.

“Sifat karya indie adalah memberontak dan agresif, luar dari kebiasaan yang terkandung melalui karya sastera perdana. Jika sastera perdana ialah kota besar, karya indie ini pula adalah kawasan yang menyebabkan kota tersebut nampak kecil akibat daripada pergerakan mereka meluaskan kawasan pinggiran,” jelasnya.

Tambahnya, penerbit sastera indie terus berkembang akibat daripada kaedah pemasaran yang agresif, termasuklah mempromsikan terbitan melalui kaedah sistem pesanan ringkas dan buku elektronik (e-buku).

Sebagai kesimpulannya, dalam ketiga-tiga bentuk sastera tersebut, sastera perdana dan sastera indie bersifat aktif manakala sastera komersial bersifat pasif. Sebagai satu istilah, aktif dimaksudkan sebagai serentetan tindakan strategik individu atau kumpulan yang bersifat intelektual atau politik dengan manfaatkan pelbagai bahan untuk mempengarahi masyarakat melalui ruang awam.

Definisi pasif pula bermaksud sebagai akur kepada selera pembaca tanpa terlibat dengan pertembungan yang tidak memberikan pulangan material atau meningkatkan jualan. Walaupun bersifat pasif dan mengikut tuntutan pasaran, ada sesetengah penulis dan penerbit sastera popular masih mempunyai beberapa pegangan asas, khususnya dalam konteks bahasa dan nilai.

utusan online

Comments