Mengenang Mustapha Maarof

Belasungkawa : Allahyarham Datuk Mustapha Maarof - Perginya seniman budiman
Oleh Adam Salleh



Ada kata dua, tidak kurang kata tiga, namun ketika bersiaran secara langsung di Malaysia Hari Ini (MHI) TV3 bagi mengenang Datuk Mustapha Maarof, terkait seniman itu pernah berkahwin empat kali.

Bagaimanapun, seniwati Salmah Ahmad yang menjadi tetamu mencelah perlahan, “eh, tigalah.” Ketika hayat dikandung badan, Mustapha perahsia perihal soal peribadi untuk dikongsi dengan masyarakat umum.

Ratusan catatan di akhbar dan majalah, umum hanya mengetahui beliau pernah berkahwin dengan Suraya Haron dan Roseyatimah.

Bibit-bibit percintaannya dengan Roseyatimah mula berputik ketika kedua-duanya membintangi filem Sri Mersing.

Hal ini diperincikan Datuk Rosnani Jamil yang memegang watak Sri Mersing apabila melihat kemesraan Mustapha yang memegang watak Deli dan Roseyatimah yang menjadi Siti Payong ketika menjalani penggambaran filem terbitan Cathay Keris Filem itu di Mersing.

“Sementara menunggu ‘shooting’, kami suka ke pantai melihat nelayan membawa balik hasil tangkapan. Nampaklah riak-riak mesra Mus dan Rose apabila mereka kelihatan ceria menangkap ikan kecil. Ikan itu dibawa pulang untuk kami masak,” kata Rosnani.

Namun tidak semudah itu Mustapha dapat mencuri hati Roseyatimah. Sebagai anak tung–gal pasangan penyanyi terkenal Jasni Ahmad dan seniwati Neng Yatimah, semestinya Roseyatimah ditatang bagai minyak yang penuh.

Bukan tidak ada pihak istana ‘menaruh hati’ pada Roseyatimah, sementara latar Mustapha yang melalui pahit getir dalam perkahwinan sedikit sebanyak menggusarkan Jasni dan Neng.

Tidak dapat sesiapa mengekang suratan jodoh Mustapha dan Roseyatimah apabila akhirnya disatukan sebagai suami isteri. Kesetiaan Mustapha pada isterinya jelas apabila pintu hatinya bagaikan dikunci untuk menerima wanita lain selepas kematian Roseyatimah dalam usia 44.

Usia Mustapha ketika itu sekitar 52 tahun, masih bertenaga sebagai lelaki dan bukan tiada rakan artis cuba menjadi ‘orang tengah’ mencarikan jodoh termasuk dengan penyanyi terkenal, tetapi Mustapha menolak kerana menghormati anaknya.

Anak sulungnya bersama Roseyatimah, Azlynn ketika itu berusia 19 tahun, sementara anak lelaki Rezainuddin hanya 11 tahun. Anak bersama Suraya pula Suzlinna berusia 25 tahun. Bukan mudah menjadi bapa tunggal ketika anak dara dan bujang baru menginjak remaja.

Bagi mengelak rasa sunyi, Mustapha tidak mensia-siakan hidupnya dengan mencurah bakti dalam pelbagai persatuan berkaitan seni di tanah air, antaranya pembabitannya selaku Setiausaha Kehormat Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (sejak 1997), Ahli Jawatankuasa Persatuan Penerbit Filem Iklan Malaysia (sejak 1976), Timbalan Presiden Persatuan Penerbit Filem Iklan Malaysia(1994-2006), Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Jun 2003-2009), Presiden Persatuan Gabungan Karyawan Filem Malaysia/Gafim (2005-2008), Ahli Persatuan Sutradara Malaysia dan Ahli Lembaga Perbadanan Kemajuan Filem Nasional/Finas (2005-2009).

Ketika ditemui di pejabatnya di Warna Motion Picture & Marketing Sdn Bhd di Jalan Sentul, Kuala Lumpur selepas beberapa hari dilantik menjadi Presiden Seniman, Mustapha mengakui tidak beria-ria mahu menjawat jawatan itu.


Seniman ketika itu dilanda pelbagai isu dan kontroversi seperti tabung persatuan yang kering dan kes VCD lucah membabitkan artis wanita.

“Saya bukan beria-ria sangat mahu jawatan presiden tetapi melihat ia sebagai tanggungjawab. Pada masa sama, Seniman menjadi harapan besar ahlinya dan ini yang perlu saya rangka supaya Seniman menepati kehendak kita.

“Saya terharu di atas kepercayaan diberi dan rasa bersalah jika Seniman terbiar begitu saja,” katanya.

Apa dikata dikota, begitulah Mustapha memikul amanah kerana dalam tempoh singkat melalui hubungan baik beliau dengan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan ketika itu, Datuk Seri Dr Rais Yatim, tabung Seniman diisi mencecah RM1 juta.

Lebih membanggakan, rata-rata mantan Presiden Seniman sejak era Datuk Baharuddin Omar (Anjang Aki), Datuk Aziz Singah, Datuk Ismail Hudson dan Abu Bakar Kassim ‘berbuih mulut’ mahu kerajaan mengiktiraf sehari sebagai Hari Seniman.

Ketika Hari Perhimpunan Seniman pertama pada 22 dan 23 Februari 1992 yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Ghafar Baba (Allahyarham), Ketua Pengarah Finas ketika itu, Datuk Zain Hamzah bukan sekadar memberi sokongan tetapi berkobar-kobar mahu kerajaan mengiktiraf Hari Seniman sebagai penghargaan buat seniman tanah air, malangnya tidak dihiraukan kerajaan.

Takdirnya era Mustapha menjadi Presiden Seniman, kabinet bersetuju 29 Mei setiap tahun bermula 2008 diiktiraf sebagai Hari Seniman. Pengisytiharan itu diumumkan oleh Rais pada 26 Oktober 2007 dan disambut dengan rasa bangga buat seniman tanah air.

Memetik buku Jejak Terbilang karya Aimi Jarr, bakat lakonan Mustapha mula diuji dalam filem Bunga Percintaan pada 1953 di samping Mislia, kemudian disusuli Insaf, Mega Mendung, Pertaruhan, Duka Nestapa, Dondang Sayang, Hang Tuah, Pontianak, Dendam Pontianak, Yatim Mustapha, Mata dan Hati dan Sultan Mahmud Mangkat DiJulang.

Majoriti watak Mustapha di Cathay Keris Filem di Singapura hanya pembantu di samping heronya Nordin Ahmad kecuali Bawang Putih Bawang Merah. Namun perpindahannya ke Studio Merdeka di Hulu Klang, pengarah L Krishnan (Tan Sri) dan Salleh Ghani memberi kepercayaan padanya mendokong watak utama seperti dalam filem Ibu Ayam, Keris Sempena Riau, Siti Payong dan Anak Manja.

Mengait Mustapha, penulis beruntung kerana dapat menilai daripada sisi kewartawanan dan kekeluargaan. Hubungan baik Mustapha dengan ayah penulis bermula sejak mereka tinggal bujang di Singapura. Sesekali mengungkit cerita lama timbul juga kelucuan mengenangkan bagaimana Mustapha meminta Salleh berpura-pura berborak dengan seorang tauke kedai barangan runcit kerana dia mahu mengambil sebuku sabun percuma. Dalam melayani wartawan pula, Mustapha lebih senang berhemah daripada beremosi.

Bukan tiada artikel penulis yang menyinggung perasaannya, namun setiap kali bertemu di majlis, Mustapha tidak mengungkit apa yang ditulis. Sememangnya jolokan ‘seniman budiman’ sesuai diberi kepada Mustapha yang tidak pernah meninggi suara dengan sesiapa.

Hakikatnya, jika peminat dan keluarga terkesan di sebalik kepergian Mustapha, pembantu peribadinya, Rita Mary Gasper, apatah lagi. Mary yang mulai berkhidmat dengan Mustapha sejak seniman itu menjadi Pengurus Besar di Gaya Film pada 1975 sebelum menubuhkan Warna Motion pada 15 Februari 1982 menyifatkan ketuanya sangat dedikasi dan komited pada pekerjaannya.

“Lebih 30 tahun bekerja dengan Datuk, tidak pernah saya dengar beliau meninggi suara. Saya tidak nampak beliau mencampur aduk urusan keluarga dengan pekerjaan. Saya hanya melihat sekali atau dua kali isterinya (Roseyatimah) datang ke pejabat,” katanya.

Demi keluarga, Mustapha pernah berkata pada penulis: “Sebagaimana sibuk, makan bersama adalah ibadah terbaik pada saya. Di meja makan, selain memupuk ukhuwah sesama keluarga, jika dihalusi ia membentuk jiwa kita untuk bersabar dan bertolak ansur.

“Lauk semangkuk kita kongsi bersama. Yang muda biasanya dulukan yang tua. Saya amalkan budaya ini sejak beristeri. Sebab itu, seboleh-bolehnya saya mahu menikmati hidangan bersama anak dan cucu saya,” katanya.

Disember bagaikan bulan yang sarat dengan suka duka buat keluarga Mustapha. Tanggal 14 Disember 1947, ayahnya Maarof Zakaria ditemui mati tergantung di antara Jalan Gombak-Bentong ketika usia Mustapha 12 tahun. Disedari atau tidak, 14 Disember 1966 adalah detik Mustapha bertemu jodoh dengan Roseyatimah, namun selang 21 tahun kemudian pada tarikh sama, isterinya meninggalkannya buat selama-lamanya.

Tanggal 15 Disember 2014 pula, Mustapha menghembuskan nafas terakhir bagi menyusuli isteri yang dikasihi di alam baqa.

Fitrah dijanjikan Tuhan memang tiada siapa tahu, namun yang pasti Mustapha dan Roseyatimah mewarnai persada seni tanah air kita dengan hemah dan santun tersendiri sebagai suami isteri, yang boleh dijadikan inspirasi buat pasangan artis generasi baru.

Sepatah kata anak mereka, Azlynna: “Saya kagum dengan mereka berdua. Cinta setia arwah mama dan papa memang hebat. Kami adik beradik dan cucu hanya dapat menitipkan doa semoga roh ibu bapa kami tenang di sana, insya-Allah.”

myMetro


Roseyatimah cinta sejati Mustapha

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
 19 Mac 2011


Gambar AMIN FARIJ HASSAN
MUSTAPHA menunjukkan koleksi buku resipi isterinya yang masih disimpan di kabinet dapur rumahnya.

Namun apabila mengukur kasih sayang seorang suami terhadap isteri, sememangnya ia tidak bersempadan.

Biarpun ajal dan maut memisahkan mereka sejak 14 Disember 1987, namun perasaan kasih sayang terhadap isteri tercinta, Allahyarham Roseyatimah memang tidak pernah surut di hatinya.

Begitulah yang dapat disimpulkan oleh penulis tatkala kali pertama menjejakkan kaki ke rumah teres tiga bilik yang terletak di Subang Jaya milik Datuk Mustapha Azhari Maarof, 76 tahun.

Tatkala melangkah 'istana kesayangan' Mustapha Maarof, mata tiba-tiba terpaku melihat setiap sudut dinding rumah itu tergantung indah gambar Allahyarham isteri tersayang yang sudah lama kembali ke rahmatullah meninggalkan suami dan dua anak kerana barah payu dara.

Satu demi satu, wajah manis seniwati yang mengukir nama dalam dunia filem Melayu itu ditatap, hati ini tiba-tiba berkata, betapa dalamnya cinta dan kasih sayang Mustapha Maarof terhadap Roseyatimah atau nama sebenarnya Rosnah Jasni.

Sebab itu, tidak hairanlah biarpun telah lebih dua dekad hidup sendirian tanpa belaian seorang wanita bernama isteri, Mustapha Maarof tetap bahagia ditemani anak, menantu dan tujuh orang cucunya.

Bukan setakat gambar yang disimpan malah dari ruang tamu ke ruang tengah kediaman, satu demi satu, barangan kesayangan milik isteri ditunjukkan termasuk perhiasan, pakaian dan ratusan buku resipi koleksi peribadi isterinya diatur cantik dalam empat buat kabinet.

"Selain anak-anak, hanya inilah barangan kenangan milik arwah yang menjadi teman ketika saya sunyi.

"Sebab itu, sejak dulu hingga hari ini tidak terlintas di hati saya untuk memberikan barang-barang ini kepada orang lain apalagi untuk membuangnya.

"Barang-barang ini bukan sahaja menjadi kenangan malah ia tempat anak-anak melepas rindu terhadap arwah.

"Bayangkan ketika arwah meninggal, anak-anak masih kecil. Waktu itu, hati dan perasaan ini hanya Allah yang tahu tetapi demi anak-anak saya harus kuat," kata Mustapha menyingkap kisah dukanya.

Mungkin bagi mereka yang tidak mengenali seniman yang mencipta nama melalui filem Hang Tuah dan menjadi pujaan ramai wanita, menganggap itu bagaikan sebuah kisah yang berputar di layar perak.

Namun hakikatnya itulah kesetiaan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi Mustapha Maarof.

Mustapha dan arwah isterinya, Roseyatimah mendirikan rumah tangga pada tahun 1967. Allahyarham menjejakkan kaki ke Keris Film di Singapura sekitar tahun 1955 dan kerjaya seninya bermula dengan filem Pendekar Bujang Lapok.

"Ketika itu saya lihat arwah orangnya memang lemah lembut, sopan dan cukup menghormati orang lain.

"Namun Rose bukan senang untuk diperisterikan. Dia anak tunggal dalam keluarga Allahyarham Pak Jasni dan Mak Neng. Bagaimanapun, inilah yang dikatakan jodoh.

"Sebab itu, biarpun maut memisahkan kami, tetapi bagi saya Rose sentiasa hidup di hati ini. Tawa manisnya, suara manjanya sesekali terngiang-ngiang di telinga saya," kata Mustapha.

Tatkala berkongsi memori indah arwah isteri kesayangannya itu, Mustapha yang mulanya tenang tiba-tiba terdiam seketika tanpa diduga matanya berkaca dan dalam getar suaranya dia berkata:

"Sehingga kini memori hidup bersama arwah memang sukar saya dilupakan. Semakin lama arwah pergi, semakin dekat arwah di hati ini.

"Kasih sayang yang dicurahkan oleh arwah terhadap keluarga memang tiada galang gantinya.

"Kadang-kadang saya rasa arwah bagaikan bersama kami, walaupun hakikatnya arwah sudah lama pergi.

"Sampai saat ini saya tidak boleh lupa cara dia menjaga anak-anak dan lazatnya masakan dia sehingga kini masih terasa.

"Arwah tahu saya suka makan makanan yang masih panas. Kalau saya ada di rumah dia akan masak pelbagai jenis lauk pauk untuk kami anak-beranak makan.

"Dia tidak suka simpan makanan sehingga sejuk. Masakannya yang paling saya suka ialah asam pedas dan paru masak rempah.

"Satu sikap dia yang saya suka, untuk menjadi isteri yang baik dia sanggup membuat pelbagai hiasan rumah dan memasak. Buku resipinya beratus-ratus dan saya masih simpan hingga hari ini.

"Setiap kali dia ke dapur, anak sulung kami, Azlynna pasti akan menolong sehinggakan masakannya kini boleh dikatakan hampir sama dengan arwah ibunya."

Mengakui tempoh membesarkan dua anak, Azlynna,41, dan Mohamad Rezainuddin,35, bukanlah tempoh yang singkat. Ia sebenarnya tidak begitu mudah dilakukan oleh seorang bapa tunggal sepertinya.

Seorang lagi anak mereka ialah Mohammed Khairuddin meninggal dunia akibat denggi ketika berusia tiga tahun.

"Perasaan curiga sering membelenggu saya terutama apabila memikirkan tentang anak-anak. Sehinggalah ke satu tahap, saya ikut ke mana mereka pergi.

"Bukan apa, pergaulan yang tidak menentu dengan gejala sosial yang menular membuatkan saya risau. Keadaan ini berlarutan berpuluh tahun lamanya sehinggalah anak-anak saya berkahwin," kata Mustapha.

Biarpun reda dengan pemergian isterinya, dia terkilan kerana pada saat dia dirai dan dikurniakan gelaran Datuk, isterinya tiada di sisi.

Sebelum Roseyatimah, Mustapha pernah memperisterikan pelakon jelita, Suraya Harun dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata bernama Suzlynna.

Namun perkahwinan itu hanya mampu bertahan selama tiga tahun sahaja apabila mereka berpisah pada tahun 1965.

"Anak-anak amat menghormati saya. Malah, mereka langsung tidak menyebut tentang perkahwinan. Terus-terang saya selesa hidup begini," katanya.

Anak seni yang dilahirkan pada tanggal 1 Januari 1935 itu sehingga kini masih aktif dalam pelbagai persatuan.

Dalam bidang lakonan dan penerbitan, syarikatnya, Warna Motion Pictures tidak lama lagi bakal muncul dengan siri terbaru Pak Kadok dan dijangka ditayangkan pada 2 April ini di RTM 2.

Selain Mustapha, drama rantaian 13 episod itu turut dilakonkan oleh Datuk Aziz Singah, Bob Singah dan Rosnah Johari.

utusan online


Mustapha Maarof setia hingga akhir hayat
Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT
dan IZWAN MOHD. ISA



SEBUTIR bintang bernama Mustapha Maarof tidak pernah hilang pesona. Perwatakan lembut penuh ketegasan, karismanya disenangi kerana budiman dan senyuman tersemat dalam ingatan. Paling mahal, aura segak seorang aktor melekat teguh pada sosoknya walaupun sudah memasuki usia tua;

Dalam ingatan ramai, beliau kekal sebagai hero paling tampan dari Studio Jalan Ampas dan Cathay Keris, sewaktu zaman kegemilangan filem Melayu klasik.

Semalam, 15 Disember 2014 tercatat dalam kalendar seni tanah air sebagai hari yang sugul. Gerimis dan liuk dedaun kemboja di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur menyambut seorang lagi ahli barzakh. Sebuah lagi panggilan disahut, seorang lagi hamba dijemput. Kedatangan jenazah beliau ke situ menjadi saat kepulangan, dari dunia persinggahan ke alam abadi.

Mengulang semula ungkapan klise, hakikatnya sekali lagi sinema Malaysia kehilangan seorang seniman besar, permata berharga dan bahkan pejuang kepada seniman sezaman dan generasi seni hari ini. Biarpun namanya tidak sebesar Allahyarham Tan Sri P. Ramlee tetapi harumnya semerbak wangi bersama angkatan seniman dan seniwati tanah air yang lain.

Beliau barangkali bukan bintang yang rancak di depan layar, namun pengaruh dan bakti atris itu terhadap industri selama hayatnya tidak terhitung. Tanyakan kepada generasi seangkatannya, Mustapha boleh diangkat sebagai wira atau patriot yang memperjuangkan jatuh bangun anak seni. Beliaulah juga sumber rujuk kepada karyawan seni yang mahu mengenal asam garam dan mencari pedoman tentang sebarang isu berhubung selok-belok di sebalik tabir populariti sinema tempatan.

Keprihatinan beliau terhadap nasib anak seni tetap menjadi agenda rasmi, sehinggakan pada hari-hari terlantar di katil hospital, bekas Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) itu masih sempat berpesan agar karyawan seni harus bersatu dan menjauhi pertelagahan.

“Semasa saya melawatnya di hospital, beliau masih sempat memberi amanat. Beliau mahu saya mengekalkan nama baik Seniman, angkat Seniman supaya dihormati semua orang. Beliau minta saya sambung kepimpinan Seniman terdahulu, jangan bergaduh dan kekalkan sambutan Hari Seniman yang diraikan pada setiap 29 Mei.

“Sifat komited terhadap dunia seni dan usaha yang dibuat dalam membela nasib golongan veteran yang dilakukan oleh beliau selama ini sangat bermakna buat seluruh anak seni tempatan. Beliau boleh dianggap sebagai pejuang yang tidak pernah kenal erti putus asa,” getus Presiden Seniman yang baharu, Zed Zaidi yang turut mengiringi majlis pengebumian jenazah.


SETIA Mustapha hanya terhadap Roseyatimah sehingga akhir hayat.

Sebesar mana pun bakti seorang manusia, apabila tiba waktunya, nyawa hanyalah pinjaman Tuhan. Lebih sebulan berdepan situasi kesihatan yang kritikal akibat komplikasi paru-paru, hayat aktor yang cukup terkenal dengan filem Bawang Putih Bawang Merah itu terhenti juga pada detik yang berbaki kira-kira dua minggu sebelum genap usia 80 tahun.

Terdahulu, bapa kepada empat anak itu dimasukkan ke Pusat Perubatan Respiratori, Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 25 November lalu kerana mengalami kesukaran bernafas sebelum dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju.

Ketika dunia seni masih segar mengingati kehilangan seniman-seniwati pada tahun lepas seperti Omar Suwita yang terlebih dahulu dipanggil Ilahi pada 11 Februari 2013, Kuswadinata (16 Februari), S. Shamsuddin (4 Jun), Latifah Omar (9 Jun), Umi Kathum (24 Julai) dan Datuk Aziz Sattar pada 6 Mei 2014, Mustapha Maarof pula menghembuskan nafas terakhirnya pada 8.38 pagi, Isnin (semalam).

Menambahkan hiba, beliau pergi ketika teman-teman rapatnya sedang merancang untuk membuat kejutan istimewa sempena hari ulang tahun ke-80 beliau pada 1 Januari nanti.

“Arwah seorang selesa membawa hal sendiri. Dia sebenarnya tidak suka peduli hal orang. Pada masa yang sama, beliau sangat teratur orangnya. Semasa kami sama-sama aktif dahulu, dia suka menegur salah dan silap saya. Sebagai pelakon baharu ketika itu, saya ambil positif setiap nasihat beliau. Selepas bagi nasihat, dia akan pujuk saya semula.

“Semasa beliau sakit, beliau sempat menasihati saya supaya jaga kesihatan sebab umur sudah lanjut, Katanya, jangan jadi macam dia, terlantar sakit. Kehilangan beliau hari ini (semalam) memang sangat menghibakan. Dahulu kawan-kawan lain yang pergi, sekarang beliau pula. Ini sudah ketentuan Allah. Hajat kami bersama Seniman dan syarikat produksi beliau untuk buat kejutan hari lahir pada 1 Januari nanti nampaknya bertukar jadi kenduri arwah,” getus seniwati Salmah Ahmad yang pernah berlakon dalam filem Yatim Mustapha dan Pontianak bersama Allahyarham.

Cinta mati

Pada satu sisi yang lain, Mustapha tidak sendiri lagi. Kepulangan beliau ke daerah abadi barangkali sebuah doa suci. bertahun-tahun hidup sendiri selepas kematian isterinya, seniwati Roseyatimah pada tahun 1987 akibat barah payudara, Mustapha sering ditanya tentang keagungan cintanya yang tiada galang ganti.


SUASANA sugul mengiringi persemadian Mustapha.

Dalam sebuah artikel terdahulu, Mustapha pernah ditanya tentang kesetiaan dan cintanya terhadap arwah isteri. Pelakon yang mula-mula berlakon dalam filem Pendekar Bujang Lapok itu menyifatkan kesetiaan kepada seseorang ialah suatu yang sangat abstrak. Beliau tidak berani mengiyakan atau menafikan kerana bimbang perasaan itu menjadi murah. Antara beliau dan Roseyatimah tidak ada janji, andainya salah seorang pergi dahulu, yang tinggal tidak akan berkahwin.

Perjalanan yang tersurat pasti ada tersiratnya. Hari beliau dijemput Ilahi barangkali menjadi hari penyatuan semula sebuah cinta yang telah terputus di atas dunia.

Salah satu permintaan terakhir beliau, mahu bersemadi di sebelah pusara Roseyatimah juga telah dipenuhi. Ibarat sebuah persandingan abadi, bunga-bunga ditabur dan pasangan cinta mati itu sekali lagi berkongsi harum air mawar yang membasahi pusara mereka.

Seniwati Roseyatimah yang dikahwini Mustapha merupakan antara nama besar dalam industri seni tempatan. Allahyarhamah juga telah membintangi tidak kurang daripada 20 buah filem. Antaranya Anak Bapak, Cempaka Biru, Tun Fatimah, Badang, Dang Anom, Pak Pandir Moden dan Pendekar Bujang Lapok. Sebelum berkongsi hidup yang singkat bersama Roseyatimah, Mustapha pernah berkahwin dengan Suraya Harun, juga seorang pelakon pada tahun 1963 dan berpisah kira-kira lima tahun kemudian. Bersama Suraya dan Roseyatimah, Mustapha dikurniakan empat orang anak iaitu Suzlyna, Azlynna, Khairudden dan Mohd. Rezainudden. Namun, Khairudden ditakdirkan menghadap Ilahi terlebih dahulu sewaktu berusia tiga tahun akibat demam denggi.

Seniwati DatukMaria Menado, 82, yang pernah bersama-sama dengan Mustapha dalam filem Pontianak menyifatkan aktor yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu sebagai seorang lelaki yang setia.

“Dia pangkat adik kepada saya. Kami tidak rapat sebagai gandingan dalam filem tetapi di luar lokasi, hubungan kami akrab sampailah ke akhir hayatnya. Dia seorang yang setia terhadap arwah isterinya. Walaupun sudah berusia, masih ramai peminat wanita cuba memikatnya tetapi dia masih setia,” luah Maria Menado.

Kelana seni

Mengimbau zaman awal penglibatan Mustapfa dalam bidang perfileman, anak kepada pengasas bank pertama khas untuk orang Melayu iaitu Bank Kebangsaan Melayu sekitar tahun 1948 itu pernah berdepan sebuah situasi tragik pada usia remaja. Bapanya dibunuh kejam ketika beliau masih belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Perak.

Berbekalkan wang saku sebanyak RM100, kelana beliau ke Singapura ketika berusia 19 tahun ternyata meninggalkan khazanah yang tidak ternilai harganya. Perjudian beliau mengubah perjalanan hidup. Perkenalan dan pertemuan dengan Datuk L. Krishnan yang ketika sedang aktif sebagai pengarah filem di Singapura ketika itu membuahkan rezeki kepada Mustapha. Dia bukan sahaja diambil sebagai anak angkat bahkan mula diterima sebagai pelakon tambahan di Studio Jalan Ampas.


MUSTAPHA MAAROF meninggal dunia pagi semalam (15 Disember). Jenazah seniman legenda itu disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpu bersebelahan pusara arwah isterinya, Allahyarhamah Roseyatimah.

Selepas filem pertama, Pendekar Bujang Lapok, Mustapha mencapai zaman kegemilangan selepas melakonkan watak sebagai adik Tun Teja dalam filem Hang Tuah. Selama hayatnya, Mustapha, telah berlakon dalam 50 buah filem termasuklah Raden Mas, Seri Mersing, Yatim Mustapha, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Keris Sempena Riau, Ibu Ayam, Mata Dan Hati, Naga Tasik Chini, Play Boy, Si Murai, Detik 12 Malam Jasmin, Matinya Seorang Patriot dan 1957: Hati Malaya.

Sepanjang hayatnya juga, Allahyarham telah menerima anugerah Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang pada tahun 2010 dan Darjah Datuk Paduka Tuanku Jaafar yang membawa gelaran Datuk.

Rezainuddin terkilan

Menyorot kembali momen terakhir sewaktu berkesempatan menjaga Allahyarham bapanya ketika sedang terlantar sakit, anak kedua hasil perkahwinan Mustapha bersama aktres Roseyatimah, Mohamad Rezainuddin, 38, berkata, arwah bapanya pernah berpesan supaya sentiasa menjaga hubungan kekeluargaan yang terjalin antara adik-beradik yang lain.

“Sebelum pergi menghadap Ilahi, arwah bapa ada mengingatkan saya supaya sentiasa menjaga hubungan silaturahim antara kami. Selain itu, dia juga turut berpesan agar saya menjaga rumah peninggalannya yang terletak di Subang Jaya, Selangor,” katanya.

Pada masa yang sama, Rezainuddin turut melahirkan rasa terkilan terhadap penyebaran mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang mendakwa, dia dan adik beradiknya yang lain mahu menghentikan bantuan pernafasan yang digunakan oleh bapanya ketika berada di hospital baru-baru ini.

Hakikatnya, Allahyarham Mustapha menghembuskan nafas yang terakhir ketika beliau masih menggunakan mesin sokongan pernafasan tersebut.

“Saya berasa sedikit terkilan atas penyebaran mesej berkenaan. Kami tidak pernah bersetuju untuk menghentikan sokongan pernafasan yang dipakaikan pihak hospital terhadap arwah bapa kami. Apa yang pasti, arwah bapa meninggal dunia secara normal, bukan selepas sokongan pernafasan itu ditanggalkan,” jelas Rezainuddin pilu.

kosmo online

Comments