Kesempurnaan Akhlak



 Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
”Orang-orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya dan sebaik-baik manusia daripada kalangan kamu ialah mereka yang paling baik kepada isterinya.” (Riwayat Abu Daud)

Seorang mukmin yang sebenar akan melakukan kebaikan terhadap manusia tanpa mengharapkan balasan melainkan keredhaan daripada Allah S.W.T. Perbuatan baik yang ikhlas adalah yang paling tinggi nilainya di sisi Allah. Akhlak yang mulia menandakan kebaikan. Begitulah sebaliknya. Oleh itu umur yang berkat ialah orang yang hidupnya dipenuhi dengan jasa bakti dan kebaikan yang menjadikan masyarakat di sekelilingnya sayang terhadapnya dan merasa kehilangan apabila ketiadaannya. Bak kata pepatah”harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”. Begitu juga dalam kehidupan berumahtangga, suami isteri akan kekal bahagia jika di antara satu sama lain saling hormat-menghormati serta kasih mengasihi di antara satu sama lain. Mereka akan disayangi oleh anak-anak dan kaum keluarga.


Akhlak penentu kelangsungan tamadun bangsa
Oleh MUHAMMAD HISYAM MOHAMAD

AKHLAK mulia merupakan unsur penting yang perlu ada dalam diri setiap umat Islam. Malah tujuan Nabi Muhammad SAW sebagai utusan Allah SWT adalah untuk menyempurnakan akhlak mulia manusia.

Ia adalah cerminan kebersihan hati yang diterjemah menerusi tingkah laku pemiliknya. Jadi, jika seseorang itu beriman dan mengamalkan perintah Allah, maka akan timbullah sifat-sifat mulia dalam bentuk budi pekertinya.

Sebaliknya jika memiliki jiwa yang kotor, maka tingkah lakunya banyak dipengaruhi oleh hawa nafsu yang cenderung untuk melakukan perkara yang dilarang oleh agama.

Dewasa ini kita berdepan dengan segala macam kerenah dan musibah yang berpunca daripada kelunturan penghayatan akhlak yang mulia di kalangan anggota masyarakat. Daripada masalah buli di kalangan pelajar sekolah hinggalah kepada onar oleh mat-mat rempit. Dan daripada soal kerenah birokrasi penjawat bawahan hinggalah kepada masalah akhlak golongan atasan. Semua itu berpunca daripada kurang penghayatan serta pengamalan kepada akhlak Islamiah yang dibawa oleh Nabi SAW.

Dalam satu riwayat, Saidatina Aishah r.a pernah ditanya berkenaan akhlak Rasulullah. Jawapan oleh Umm al-Mukminin itu amat ringkas sekali. Namun ia mempunyai pengertian yang besar iaitu akhlak Rasulullah "adalah al-Quran".

Kitab suci itu adalah panduan hidup yang lengkap untuk manusia. Jadi apabila Aishah menjawab seperti itu, secara jelas menunjukkan unsur akhlak tidak boleh dipandang remeh.

Dalam hal ini juga, kita tidak menafikan peranan tradisi keilmuan yang tinggi dalam pembangunan tamadun bangsa. Malah sejarah membuktikan bahawa bangsa yang mempunyai budaya ilmu yang baik mampu mencapai kemajuan dan kecemerlangan dalam pelbagai bidang kehidupan. Sebagai contoh, bangsa Yunani purba serta umat Islam suatu ketika dahulu telah mencapai kegemilangan masing-masing menerusi penghayatan tradisi keilmuan yang tinggi.


Namun tradisi keilmuan semata-mata tanpa penekanan yang sewajarnya diberikan kepada soal penghayatan nilai-nilai murni tidak memungkinkan kegemilangan tadi dapat bertahan lama.

Masyarakat Yunani purba walaupun berilmu, namun gagal daripada segi penghayatan dan amalan. Mereka mengakui bahawa ilmu perlu selari dengan akhlak, namun daripada segi amalan adalah sebaliknya.

Begitu juga dengan tamadun Islam. Jatuh bangun tamaddun ini sepanjang sejarah lalu ada kaitan rapat dengan amalan ajaran agama. Asuhan dan didikan Rasulullah SAW yang menekankan unsur pengukuhan akidah, penghayatan budaya ilmu dan pembinaan sahsiah berjaya mengangkat masyarakat Arab jahiliah.

Mereka menerima ajaran Islam untuk membina empayar pemerintahan dan membangunkan satu peradaban yang jauh mengatasi tamadun bangsa lain yang sezaman dengannya.

Kelunturan terhadap pegangan agama dan nilai murni yang dianjurkan agama Islam terutama di kalangan pemimpin telah menghumban maruah bangsa ke tahap paling rendah. Paling menyedihkan apabila masyarakat Islam sendiri menolak Islam dalam sistem pemerintahan. Ini berlaku di Turki selepas kejatuhan empayar Othmaniah. Pemimpin Turki mengisytiharkan ia sebagai negara sekular yang tiada hubung kait dengan dunia Islam. Secara tidak langsung ia menafikan kepentingan unsur akidah dan peranan akhlak Islamiah dalam membangunkan bangsa dan negara.

Hasilnya, hari ini tiada sebuah pun negara Islam disenaraikan sebagai negara maju walaupun kaya dengan sumber alam. Sebaliknya negara-negara Islam atau majoriti penduduk Islam terkenal dengan ciri kemunduran, pergolakan siasah, kekacauan, rasuah, tadbir urus yang lemah dan sebagainya.

Ini juga boleh dilihat di kalangan umat Islam Malaysia. Perangkaan pada 2008 menunjukkan, 48.7 peratus atau 13.67 juta penduduk terdiri daripada kaum Melayu beragama Islam. Tetapi jumlah yang ramai bukan bukti menunjukkan masyarakat Islam di Malaysia menguasai pelbagai bidang.

Memang tidak dinafikan terdapat ramai tokoh Melayu Islam yang menyumbang kepada usaha pembangunan bangsa dan negara. Namun orang Melayu juga dilihat begitu menonjol menerusi salah laku yang tidak selaras dengan ajaran agama. Islam menganjurkan umatnya supaya mengamalkan akhlak yang mulia di dalam kehidupan harian.

Lihat saja gejala mat rempit, penagihan dadah, buang anak dan jenayah lain. Majoriti ialah orang Melayu beragama Islam.

Ilmu semata-mata tidak menjanjikan kejayaan yang dihasratkan. Justeru jika kita ingin melihat masyarakat Melayu membangun dalam erti kata sebenarnya dan mampu mempertahankan kemajuan itu, kita tidak boleh mengabaikan unsur pengamalan dan penghayatan akhlak. Ia perlu ada dalam setiap peringkat pembangunan modal insan dan pendidikan anak-anak.

Usaha ini tidak seharusnya terhad kepada peranan ibu bapa dan guru-guru sahaja. Ia perlu melibatkan anggota masyarakat dan juga pihak pembuat dasar. Kerjasama semua pihak amat perlu.

Di sini kita melihat gabung jalin di antara sistem pendidikan oleh ibu bapa dan guru dengan sistem pemantauan oleh jiran dan ahli masyarakat. Ia perlu diperkukuhkan dengan penguatkuasaan undang-undang bagi membantu memperkukuhkan penghayatan nilai murni dan akhlak mulia masyarakat.

PENULIS ialah Felo, Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial, IKIM

utusan online


Akhlak yang terpuji 

Sesungguhnya telah ada bagi kamu pada (diri) Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat kelak serta ia banyak menyebut dan mengingati Allah.” (al-Ahzab: 21 )

Akhlak adalah situasi atau keadaan sesuatu yang menetap di dalam jiwa. Dari sudut bahasa, perkataan akhlak berasal daripada perkataan (al-khulq) bererti tabiat, kelakuan, perangai, tingkah laku, adat kebiasaan, malah ia juga bererti agama itu sendiri. Dalam al-Quran disebutkan ‘al-khulq’ dalam firmanNya, “Dan bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia.” (Al-Qalam: 4)

Manakala dari sudut istilah ulama’ sepertimana yang ditakrifkan oleh Imam Al- Ghazali, “Akhlak adalah suatu ibarat mengenai unsur yang konkrit di dalam diri yang dengannya melahirkan tingkah laku secara spontan.” Maksudnya sesuatu sifat, perbuatan dan tindakan akan terbit dengan mudah dan senang tanpa perlu kepada pemikiran, penelitian dan paksaan.

Oleh itu, akhlak boleh disimpulkan dengan makna ianya sebagai suatu himpunan ma’ani dan sifat-sifat yang bertapak kukuh di dalam diri, dan ia menjadi neraca bagi manusia menilai baik buruk sesuatu amalan dan perbuatan tersebut. Jika ia melahirkan perbuatan yang baik dan terpuji maka situasi tersebut dinamakan akhlak mulia, namun jika ia melahirkan perbuatan yang buruk, ia dinamakan sebagai akhlak keji. (rujuk mukhtasor Minhajul Qasidin)

Contoh akhlak yang baik ialah berwajah manis, mencurahkan kebaikan dan tidak menyakiti sesiapa, sama ada dengan lisan atau perbuatan. Pembentukan akhlak penting dalam kehidupan manusia sama ada individu, keluarga, masyarakat mahupun negara. Sirah merakamkan bagaimana Nabi saw mentarbiah para sahabat untuk berakhlak mulia di samping penekanan baginda terhadap sudut aqidah dan keimanan. Bahkan kepentingan ini terbukti berdasarkan sabda baginda saw, “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” Pernyataan Rasulullah saw itu menunjukkan pentingnya kedudukan akhlak dalam Islam.


Di samping itu juga, terdapat banyak hadith yang menyebut tentang kelebihan berakhlak dengan akhlak yang mulia. Antaranya, akhlak menentukan kedudukan timbangan amalan seseorang di akhirat nanti. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Tiada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan amalan seorang hamba pada hari Kiamat berbanding akhlak yang baik. Dan sesungguhnya Allah murka kepada orang yang berkelakuan buruk dan bermulut celupar.” (HR Tirmidzi).

Akhlak yang mulia juga dapat menyempurnakan keimanan seseorang mukmin. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Orang mukmin yang paling sempurna keimanannya adalah yang paling baik akhlaknya.”( HR Muslim). Antara lain, sebagaimana dalam sebuah hadith diriwayatkan bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw: “Wahai Rasulullah, apakah itu agama?” Rasulullah menjawab: “Akhlak yang baik.” Di dalam al-Quran juga Allah swt memuji baginda saw dengan pujian yang cukup agung dan mulia, menyerlahkan lagi keperibadian baginda saw sebagai contoh ikutan yang terbaik untuk umatnya. “Dan bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia.” (Al-Qalam: 4). Banyak lagi ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah saw yang menunjukkan ketinggian kedudukan akhlak dan menggalakkan kita supaya berusaha menghiasi jiwa kita dengan akhlak yang mulia.

Cabaran dan realiti kita pada masa kini adalah umat manusia khususnya umat Islam dihidangkan dengan pelbagai propaganda jahiliyah yang kuat mencengkam setiap aspek kehidupan mereka. Akibat daripada lemahnya aspek ‘tarbiah imaniah’ dan kefahaman tentang Islam juga persekitaran atau ‘biah’yang tidak baik, maka majoriti umat terjerat dengan situasi yang menyedihkan ini sehingga berlakulah pelbagai kerosakan dan pergolakan dalaman juga luaran seperti krisis identiti atau nilai diri, keruntuhan rumahtangga, masyarakat yang mundur, serta boleh membawa kepada kehancuran sesebuah bangsa dan negara.

Presiden Perancis ketika memerintah Perancis dulu pernah berkata, “Kekalahan Perancis di tangan tentera Jerman disebabkan tenteranya runtuh moral dan akhlak.” Zina yang membawa kepada pembuangan bayi, hasad dengki sehingga sanggup membunuh dengan kejam, tuduh-menuduh dan aib-mengaibkan antara sesama muslim, pecah amanah, dan pelbagai lagi kerosakan yang sering berlaku di sekeliling kita menunjukkan bukti bahawa umat sedang sakit, sedang parah akhlaknya, sedang lemah imannya.

Justeru, kesemuanya ini amat perlu kepada penyelesaian yang konkrit dan rawatan yang berkesan. Bukan penyelesaian yang bersifat tempelan dan sandaran semata-mata. Bukan juga rawatan yang bersifat sementara kesannya. Oleh kerana akhlak amat terkait dengan iman, maka perubahan mestilah bermula dari dalam diri individu itu sendiri. Di samping perlunya latihan dan mujahadah untuk menyemai sifat dan akhlak yang mulia dalam diri, memilih dan membina persekitaran yang baik, aspek keimanan juga amat perlu dititikberatkan. Faktor inilah yang mengubah generasi para sahabat r.a menjadi sebaik-baik generasi dalam sejarah peradaban manusia. Generasi yang ditarbiah oleh Rasulullah saw dengan kekuatan iman dan kekebalan jiwa. Keimanan yang mampu merubah dan merombak segala bentuk jahiliyah dalam diri dan masyarakat, sehingga berputik dan bertebaranlah asas-asas akhlak Islamiah pada ketika itu.

Fenomena ini akan menjadi lebih buruk bahkan akan menimbulkan fitnah yang besar sekiranya para pandakwah itu sendiri gagal meleburkan asas-asas akhlak Islamiah ini ke dalam diri dan jiwa mereka! Umat Islam kini perlulah diajak kembali menilai dan menghayati akhlak Islamiah yang sejati. Berusaha menyelamatkannya, memahamkannya dan mencernakannya dalam setiap tindakan dan tingkah laku diri, keluarga mahupun masyarakat. Seterusnya, akhlak ini disebarkan ke seluruh umat dunia, sehingga terpadamnya fitnah jahiliah dan semuanya kembali kepada pengabdian diri kepada Allah S.W.T.

Firman Allah swt, “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan berhikmah dan pengajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang (lebih) baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya, dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (An-Nahl: 125). Juga sabda Nabi saw, “Takutlah kepada Allah di mana sahaja engkau berada dan ikuitlah sesuatu kejelekan itu dengan kebaikan, maka kebaikan itu dapat menghapuskan kejelekan tadi, juga pergaulilah seluruh manusia dengan budi pekerti yang baik.” (HR Tirmidzi)


Kesimpulannya, antara langkah praktikal yang boleh kita lakukan adalah:
• Menguatkan nilai-nilai aqidah dan keimanan dalam jiwa diri kita, keluarga dan masyarakat.
• Melatih diri membiasakan dan memperbanyakkan perbuatan-perbuatan baik sama ada dari sudut ibadah khusus seperti solat, puasa dan lain-lain, mahupun dalam pergaulan harian serta menjauhkan diri daripada segala perbuatan buruk dan keji seperti hasad dengki, ujub, panas baran dan sebagainya.
• Banyakkan bergaul dan bersama dengan mereka yang berakhlak mulia dalam mewujudkan dan membentuk biah yang solehah kerana ia memberi kesan atau pengaruh dalam pembinaan akhlak seseorang.
• Menghayati kehidupan para rasul dan nabi, para sahabat, dan para salaf as-soleh dengan menjadikan kehidupan mereka sebagai contoh teladan dalam kehidupan kita.
• Sentiasa bermuhasabah diri dalam memastikan segala tindak tanduk kita mengikut pertimbangan iman dan akal fikiran yang waras serta tidak mengikut hawa nafsu semata.
• Sentiasa berdoa memohon bantuan Allah swt agar dilengkapkan diri dengan akhlak yang mulia dan mendapatkan perlindunganNya daripada segala godaan syaitan dan nafsu yang menyesatkan.

iptho

Comments