Kenyalang Langkawi

Langkawi pulau kenyalang dunia


LANGKAWI menjadi kediaman tiga daripada 10 spesies kenyalang yang terdapat di Malaysia.

ARCA Helang Merah setinggi 12 meter di Dataran Lang, pekan Kuah dilihat sebagai mercu tanda ikonik pulau peranginan Langkawi.

Burung helang merah sememangnya menjadi kebanggaan pulau yang tersohor dengan legenda Mahsuri serta warisan semula jadi lain termasuk pantai yang pasirnya memutih dengan panorama landskap indah.

Bagaimanapun, bukan helang itu sahaja yang menghuni pulau indah tersebut.

Sebenarnya, burung helang adalah antara 221 spesies burung yang menghuni pulau legenda ini.

Kawasan pesisiran pantai yang terdiri daripada bentuk muka bumi lereng batu kapur selain dilitupi hutan dan pelbagai tumbuh-tumbuhan di bahagian dalam menjadikan ia habitat paling sesuai untuk pelbagai spesies burung membiak.

Bagaimanapun, mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa Pulau Langkawi kaya dengan pelbagai spesies burung, sekali gus menjadi tumpuan peminat burung.

Burung ialah tarikan penting Pulau Langkawi. Pemandangan burung helang mencari makan di perairan Taman Hutan Geo Langkawi Kilim menawarkan satu pemandangan yang menakjubkan dan keistimewaan alam semula jadi.

Selain helang, terdapat banyak lagi burung kecil termasuk burung raja udang. Kesemua lapan spesies burung itu menyerikan lagi keindahan pulau legenda ini.

Tahukah anda bahawa Langkawi juga dikenali sebagai Pulau Kenyalang Dunia? Mungkin ramai yang terkejut dengan fakta ini kerana beranggapan Sarawak ialah tempat di mana burung itu banyak diperkatakan.

Memang banyak burung untuk dilihat dan peminat burung serta orang ramai tidak harus melepaskan peluang menyaksikan acara Pesta Burung Asia (ABF) kelima di pulau itu yang berlangsung selama dua hari bermula sabtu ini.

Tema pesta tahun ini ialah Terbang Tinggi Gaya Pulau dan ia akan memaparkan keunikan pelbagai spesies burung serta ekologi menerusi pelbagai kegiatan serta ceramah.

Penolong Pengurus Kanan, Bahagian Pelancongan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Putra Hilmy Elias memberitahu, pesta burung itu penting untuk memaparkan kekayaan warisan burung di pulau ini.

Giliran burung kenyalang

Ia juga sebagai meningkatkan usaha memulihara burung serta habitat mereka.

Burung yang akan menjadi tumpuan pada pesta ini sudah tentunya enggang atau kenyalang termasuk enggang terbesar dunia (the great hornbill) yang panjangnya boleh menjangkau 1.3 meter.

Langkawi menjadi kediaman tiga daripada 10 spesies kenyalang yang terdapat di Malaysia.

Peminat burung yang berkunjung ke pesta itu juga akan didedahkan dengan pelbagai sifat unik kenyalang seperti bagaimana burung itu menjaga anak dan cara hidup berkumpulan.

“Kenyalang terbang bersama sebagai sebuah keluarga dan mereka membenarkan sarang mereka untuk digunakan kenyalang lain,” kata Putra ketika menceritakan cara kenyalang membesarkan anak dan hidup berkumpulan.

Pesta burung ini juga penting untuk menarik pelancong dalam dan luar negara khasnya daripada kumpulan pencinta burung serta alam semula jadi.

Pesta itu dianjurkan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan Lada bersama sokongan Pelancongan Malaysia.

ABF adalah acara tahunan dan diasaskan enam organisasi dari Taiwan, Filipina, Thailand dan Malaysia dengan tujuan memaparkan pelbagai pesta burung di seluruh Asia.

Keenam-enam organisasi pengasas ini secara bergilir-gilir menjadi tuan rumah ABF. Mereka adalah Wild Bird Club, Filipina (Davao, 2010), Chinese Wild Bird Federation (Tainan, 2011), Bird Conservation Society of Thailand (Bangpoo, 2012) dan The Wild Bird Society, Taipei (Taipei, 2013).

Untuk maklumat lanjut berhubung pesta ini, sila rujuk laman web www.asianbirdfair.net atau Facebook di https://www.facebook.com/groups/asianbirdfair. – Bernama


kosmo online


Burung enggang terbesar dunia
Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI


Diet utama kenyalang atau enggang papan ialah buah-buahan hutan yang juga merupakan sumber air utama unggas itu selain memakan haiwan-haiwan kecil dan serangga.

SESEKALI ke Langkawi, pencinta alam semulajadi boleh menikmati keindahan 360 darjah gugusan pulau Langkawi dari dua puncak gunung, sama ada Gunung Mat Cincang dengan menaiki kereta kabel Langkawi ataupun memandu sendiri ke puncak Gunung Raya.

Sebenarnya, ada khazanah warisan alam yang amat bernilai di Gunung Raya iaitu kehadiran burung enggang terbesar dunia atau The Great Hornbill.

Bagaimanapun, ramai yang terlepas pandang khazanah yang memiliki nama saintifik (buceros bicornis) meskipun unggas itu berukuran 1.5 meter ketika melebarkan sayapnya.

Beratnya pula boleh mencecah sehingga empat kilogram yang menjadi punca burung itu tidak mampu berterbangan bebas seperti unggas lain.

Sebaliknya unggas tersebut akan melompat-lompat dari dahan ke dahan pokok yang paling tinggi sebelum terbang seakan-akan meluncur di udara sambil mengepakkan sayapnya.

Saiz unggas yang turut dikenali sebagai enggang papan atau rangkong itu juga adalah faktor kenapa kita mesti mempertahankan pokok-pokok berdiameter besar dari terus dikorbankan sebagai balak.

Ini kerana, secara semula jadi, haiwan terancam itu hanya dapat bersarang di dalam lubang pokok yang cukup besar untuk memuatkan ibu dan anak enggang selama kira-kira tiga bulan.

Di dalam lubang pokok itulah si ibu akan terkurung dalam sarang yang disimenkan lubangnya menggunakan najis, tanah dan air liur, meninggalkan hanya lubang kecil untuk pasangannya menghulurkan makanan.

Makanan utama unggas itu ialah buah-buahan liar yang juga sumber air penting tubuh mereka, diet mereka juga merangkumi haiwan mamalia, reptilia dan burung kecil serta serangga.

Di situ ibu enggang akan meluruhkan pelepahnya untuk mengeramkan telur bersendirian manakala pasangannya akan bekerja keras mencari makanan untuk mereka bertiga.

Ini bermakna jika pokok sarangnya ditebang, kedua-dua ibu dan anak akan mati terperangkap dan kelaparan, manakala bapanya juga akan menderita ekoran enggang bersifat monogomus atau pasangan seumur hidup.

Malah, seorang pemerhati burung Persatuan Pencinta Alam (MNS) cawangan Langkawi, Irshad Mobarak, pernah menyaksikan sendiri satu tragedi menyayat hati, apabila seekor kenyalang jantan berteriak panjang melihat sarang yang berisi pasangan dan anaknya tumbang dibalak.

Lebih memilukan, enggang itu sering dilihat kembali ke tempat kejadian selama beberapa tahun.

''Malangnya di Langkawi, kenyalang menghadapi ancaman kehilangan habitat ekoran penerokaan hutan secara haram, tarahan bukit serta kerakusan pembangunan tidak terkawal,

''Selain itu, spesies berkenaan juga diburu dan dibunuh secara haram oleh penduduk yang tidak bertanggungjawab demi memenuhi keinginan makanan afrosidiak pelancong asing negara tertentu," keluh beliau.

Apa pun, jika anda teringin melihat kehebatan burung yang gagah ini, pastikan anda berada di Gunung Raya sebaik saja fajar menyingsing atau sebelum senja bagi menyaksikan sendiri kumpulan burung ini berterbangan di udara.

Anda juga boleh memerhati burung itu terbang melintasi antara dua hutan yang terdapat di Pantai Kok, Langkawi pada lewat petang sebelum terbenam matahari.

Pemerhati burung berpeluang melihat kesemua 10 spesies itu termasuk enggang hutan yang berstatus hampir pupus di dalam senarai Merah Kesatuan Antarabangsa Bagi Konservasi Alam (IUCN) hanya dapat ditemui di kompleks berkenaan.

Ini boleh dikira satu keajaiban memandangkan Malaysia sama sekali tidak diketahui memiliki enggang hutan sehinggalah dikenalpasti oleh penyelidik MNS dan disahkan sebagai spesies enggang ke-10 negara pada tahun 1998. - BERNAMA

utusaan online

Comments

Post a Comment