Datuk Fuad Hassan : Al-Fatihah


"Tiada Lagi Tempat Saya Mengadu" - Jalaluddin Hassan
Mohd Al Qayum Azizi
Diterbitkan: Isnin, 8 Disember 2014 

Ahli keluarga terpaksa memapah pelakon Jalaluddin selepas jenazah abangnya, Fuad yang selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Bukit Teratai, Ampang. Turut kelihatan, bapa Allahyarham, Tan Sri Hassan Azhari, 86, menyiram air ke pusara anaknya. Foto BERNAMA.

KUALA LUMPUR: Biarpun sukar menerima kenyataan namun pelakon terkenal Datuk Jalaluddin Hassan redha dengan pemergian abang keduanya yang juga Ketua Pengarah Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Fuad Hassan yang meninggal dunia kira-kira pukul 12.20 pagi Isnin.

Jalaluddin bagaimanapun berkata, dia bersyukur kerana diberi kesempatan untuk menghabiskan masa terakhir bersama Allahyarham ketika beliau dimasukkan ke Hospital Tuanku Afzan, Kuantan Pahang akibat serangan jantung.

"Arwah mendapat serang jantung pada Sabtu lalu ketika berada di Kemaman, Terengganu dan dikejarkan ke hospital selepas tidak sedarkan diri sebelum dipindahkan ke hospital di Kuantan pagi semalam (Ahad).

"Sebaik sahaja mendapat khabar itu saya dan adik-beradik lain bergegas ke sana dan Alhamdulillah kami berada di sisinya pada saat-saat akhir hayatnya dan beliau pergi dengan tenang dan aman," katanya kepada mStar Online.


Balu Allayarham, Mariam menyiram air mawar ke pusara suaminya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Teratai, Ampang di sini kira-kira pukul 12 tengah hari.

Turut hadir memberikan penghormatan kepada arwah adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek selain ahli keluarga dan kenalan rapat.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempat meluangkan masa menziarahi Allahyarham di kediamannya di Ampang Jaya.

Fuad, 62, diserang sakit jantung semasa menghadiri majlis penutup sempena Program Pemukiman Transformasi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Awana Kijal, Kemaman, Terengganu 11.15 malam Sabtu lalu.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Mariam Bahari, sepuluh cahaya mata dan enam orang cucu.

Dalam pada itu, Jalaluddin berkata, Fuad adalah seorang yang sangat mementingkan hubungan kekeluargaan dan arwah sentiasa memastikan mereka adik-beradik akan berkumpul dan meluangkan masa bagi merapatkan silaturahim.


Najib (dua kanan) dan Muhyiddin mengaminkan doa semasa menziarahi Allayarham Fuad di kediamanya di sini.

Malah Jalaluddin turut menyifatkan Allahyarham sebagai pendengar setia sekiranya ada dikalangan mereka mempunyai sebarang masalah atau ingin berbincang mengenai sesuatu perkara.

"Allahyarham bukan sahaja seorang abang tetapi beliau juga adalah sahabat baik saya malah hubungan kami memang akrab sejak kecil dan kami tidak pernah berpisah.

"Malah selepas berkahwin kami tinggal berjiran sehingga ke hari ini dan kehilangannya amat meninggalkan kesan dan tiada lagi tempat saya mengadu masalah namun saya redha dengan ketentuan Allah," katanya.

Jalaluddin berkata, Fuad pernah berpesan kepadanya supaya memastikan ikatan mereka adik-beradik sentiasa kuat dan meminta beliau menjaga keluarganya yang lain.

"Itu adalah kata-kata yang sering dia pesan kepada saya dan Insya Allah amanat itu akan saya pegang," ujarnya.

Mengenai pembabitan Jalaluddin sebagai sebagai juri tetap Maharaja Lawak Mega (MLM), beliau hanya menjawab ringkas: "Saya belum pasti sama ada akan hadir atau tidak pada Jumaat ini."


Fuad meninggal dunia akibat serangan jantung pada Sabtu lalu semasa menghadiri majlis penutup sempena Program Pemukiman Transformasi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Awana Kijal, Kemaman, Terengganu.

Sementara itu, abang sulung kepada Fuad yang juga bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, beliau sempat mengadakan ceramah bersama adiknya itu kira-kira dua minggu lalu selepas dijemput untuk memberikan ucapan berhubung isu keselamatan kepada deligasi dan wartawan dari luar negara.

Jelas Musa, itu adalah kali terakhir mereka bekerjasama dan menyifatkan adiknya itu sebagai seorang yang berdedikasi terhadap kerjaya dan mempunyai hubungan rapat dengan semua ahli keluarga.

Sebelum dilantik sebagai ketua pengarah Jasa, bekas lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu pernah menjadi ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Klang selama dua penggal. Bagaimanapun pada Pilihan Raya Umum 1999, Allahyarham tewas di tangan Menteri Besar Selangor sekarang, Azmin Ali.

mstar online


Pemergian Fuad Hassan satu kehilangan besar
8 Disember 2014



KUALA LUMPUR - Pemergian Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Fuad Hassan disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar kepada kementeriannya kerana beliau merupakan seorang pegawai yang berjiwa besar dan pendokong kuat kepada misi dan visi kerajaan.

Katanya, beliau mengenali Allahyarham sejak belajar di universiti lagi dan menyifatkan Allahyarham sebagai sahabat yang amat dibanggakan.

"Ketika itu, saya belajar di Universiti Malaya dan Allahyarham belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kami mengenali antara satu sama lain kerana terlibat dalam kempimpinan universiti masing-masing dan bersama-sama menyertai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.

"Dalam persatuan, pada waktu itu saya menjadi bendahari sementara Allahyarham adalah presiden persatuan dan kami menjadi sangat rapat sejak itu," katanya.

Ketika Allahyarham mengalami serangan jantung pada satu majlis di Kemaman, Terengganu semalam, Ahmad Shabery berkata, beliau turut berada di majlis yang sama dan Allahyarham sebelum itu sihat dan boleh membuat lawak jenaka walaupun kelihatan sedikit pucat.

Beliau berkata, Allahyarham kemudian rebah secara tiba-tiba dan mengalami kesukaran untuk bernafas sebelum dikejarkan ke Hospital Kemaman.

"Ketika di dalam ambulans, Allahyarham terus diberi bantuan pernafasan.

Dari Hospital Kemaman, Allahyarham dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan. Pada masa itu Allahyarham sudah tidak sedarkan diri," katanya.

Sementara itu, Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pejuang, semasa berkhidmat di Jasa dan pemergiannya akan dirasai jabatan itu.

Katanya, beliau adalah menteri yang bertanggungjawab melantik Allahyarham ke jabatan itu pada 2009 ketika menjawat jawatan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

"Sepanjang lima tahun Allahyarham berkhidmat, beliau telah memperlihatkan bakat kepimpinan dan telah berjaya merubah perkhidmatan Jasa, dan kehilangan beliau sukar dicari ganti," katanya.

Bagi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula menyifatkan Allahyarham sebagai sahabat yang baik dan sentiasa bertanggungjawab dalam melaksanakan tugasnya.

"Saya mengenali beliau sewaktu terlibat dalam kepimpinan mahasiswa dan sewaktu dalam Pemuda Umno yang ketika itu, Datuk Seri Najib adalah Ketua Pemuda," katanya.

Fuad, 62, menghembus nafas terakhir 12.20 tengah malam tadi di sisi anggota keluarganya, setelah tidak sedarkan diri sejak dimasukkan ke HTAA, awal pagi semalam.

Allahyarham sebelum itu mengalami serangan jantung semasa menghadiri majlis penutup Program Pemukiman Transformasi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Awana Kijal, Kemaman pada 11.15 malam semalam.

Allahyarham, pernah memegang pelbagai jawatan dalam Pemuda Umno Selangor dan Pemuda Umno Malaysia serta merupakan bekas Adun Hulu Klang (BN) selama dua penggal dari 1990-1999.

Allahyarham merupakan abang kepada pelakon terkenal Datuk Jalaluddin Hassan dan adik kepada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. - Bernama

sinar harian


Hari terakhir Allahyarham Fuad Hassan

KUALA LUMPUR: Kepulangan ke Rahmatullah Ketua Pengarah Hal Ehwal Khas (JASA), Allahyarham Datuk Fuad Hassan, awal hari ini akibat serangan jantung, amat mengejutkan banyak pihak.

Allahyarham Fuad, 62, menghembus nafas terakhir kira-kira jam 12.20 tengah malam tadi di sisi anggota keluarganya setelah tidak sedarkan diri sejak dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, pada awal pagi semalam.

Beliau sebelum itu diserang sakit jantung semasa menghadiri majlis penutupan Program Pemukiman Transformasi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Awana Kijal, Kemaman, Terengganu, pada 11.15 malam kelmarin.

Allahyarham Fuad dan 70 pegawai kanan KKMM serta agensi di bawahnya termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), mengikuti sesi pemukiman selama dua hari itu untuk membincangkan transformasi KKMM.

"Arwah Fuad begitu aktif dalam kumpulannya dengan mengambil bahagian menyumbangkan idea untuk merangka strategi arah tuju KKMM tahun depan," kata Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Dalam Negeri BERNAMA, Datuk Zakaria Abdul Wahab yang turut menyertai sesi pemukiman itu.

Bersama rakan dalam kumpulannya, Allahyarham Fuad mengambil bahagian dengan aktif dalam sesi menjual idea strategik sehingga kumpulan mereka berjaya memenangi hadiah telefon bimbit 'Samsung' daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menjadi pengadil sesi itu.

Mengimbas semula hari terakhir bersama Allahyarham, Zakaria berkata Fuad tidak menunjukkan sebarang kelainan pada hari itu dan sentiasa membawa iPpad dan beg bimbitnya ke mana-mana sahaja serta amat mesra dengan semua orang yang beliau temui dan berinteraksi semasa pemukiman itu.

Sewaktu jamuan tengah hari, Zakaria berkata Fuad yang makan semeja dengan beliau dan Ketua Pengarang BERNAMA, Datuk Zulkefli Salleh; Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman; dan Timbalan Ketua Setiausaha II KKMM, Datuk Che Azemi Harun, menikmati dengan penuh selera pelbagai juadah termasuk sepinggan daging kambing panggang, gado-gado dan air batu campur.

Pada sesi petang, semua peserta pemukiman menyertai acara bertemu penduduk kawasan Parlimen Kemaman dan semua ketua jabatan diperkenalkan kepada mereka oleh Ahmad Shabery yang memperkenalkan Allahyarham Fuad sebagai "orang yang paling penting yang sentiasa memerhati dari belakang."

Selesai sesi itu, Fuad bersama Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA TV, Datuk Ibrahim Yahya, sempat beriadah dengan menaiki motosikal ATV (All Terrain Vehicle) di tepi pantai sambil mengambil gambar.

Menurut Ibrahim dan Zulkefli, Allahyarham juga menggunakan gambar mereka yang diambilnya semasa pemukiman untuk dibuat kulit majalah bercorak antarabangsa serta montaj menggunakan aplikasi Moldiv dan menghantarnya melalui aplikasi Whatsapp kepada mereka, yang "tidak pernah-pernah dibuatnya sebelum ini".

Zulkefli berkata, montaj gambar beliau yang diberi tajuk 'Memory: A precious, happy, delightful, pleasant memory' dibuat oleh Fuad 30 minit sebelum Allahyarham terkena serangan jantung.

Sesi pemukiman dua hari itu diakhiri dengan majlis jamuan malam yang diserikan dengan iringan muzik kombo RTM Pahang.

Namun begitu, kira-kira jam 11.15 malam, hadirin dikejutkan dengan jeritan beberapa pegawai bahawa Fuad telah rebah di kerusinya.

Pegawai Undang-Undang KKMM, Yang Zaimey Yang Ghazali yang duduk di sebelah Fuad berkata, beliau tiba-tiba melihat Allahyarham menjadi lemah dan hampir jatuh dari kerusi namun beliau sempat menyambut Fuad.

Allahyarham kemudian dibaringkan di atas lantai dan ramai yang datang membantu, termasuk Ahmad Shabery, dengan mengurut badan serta dadanya.

Bagaimanapun, Ahmad Shabery mengarahkan agar Fuad segera dibawa ke Hospital Kemaman menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang ada dan beliau segera diusung beramai-ramai keluar dari dewan makan menuju ke kereta dan dibawa ke hospital kira-kira 11.25 malam.

Selepas keadaan Fuad yang tidak sedarkan diri dapat distabilkan, beliau terus dibawa pula ke HTAA dua jam selepas itu hinggalah kira-kira 24 jam kemudian apabila beliau diisytiharkan meninggal dunia pada 12.20 tengah malam tadi.

Jenazah Allahyarham Fuad yang dibawa dari Kuantan ke Kuala Lumpur, disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Teratai, Ampang sebelum Zohor.

- BERNAMA

bh online

Comments

Post a Comment