cerita dari kuala krai

Bomba gadai nyawa, mangsa masak air lumpur
Oleh Maiamalina Mohamed Amin dan Nurul Huda Kosnan


Kota Bharu: Kira-kira 500 mangsa banjir yang terperangkap di SMK Manek Urai sejak kelmarin kini dalam keadaan terkawal selepas empat anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tiba di sana, 10 malam tadi.

Pengarah JBPM Kelantan Azmi Osman berkata, empat anggota itu mengambil masa hampir lapan jam untuk tiba di pusat pemindahan sementara itu berikutan menempuh beberapa halangan termasuk arus deras.

"Mereka menggunakan bot beroda dan bertolak dari Kota Bharu pada 2 petang semalam.

"Memang agak sukar untuk ke sana disebabkan ada kawasan yang tidak berair dan ada pula kawasan yang tenggelam, perjalanan mereka tersekat-sekat.

"Tetapi akhirnya mereka berjaya dan kini masih berada bersama mangsa banjir di sana untuk membantu terutama beri kaunseling dan sokongan moral yang sangat diperlukan ketika ini," katanya ketika dihubungi, di sini.

Kisah pilu mengenai mangsa banjir di pusat pemindahan berkenaan yang dianggarkan 500 orang menjadi perhatian sejak semalam dan dilaporkan Harian Metro.

Ini berikutan gambar 'mengerikan' air banjir menenggelamkan bangunan di situ sehingga tingkat tiga menyebabkan mereka berlindung di tingkat empat, malah tersebar di laman sosial rintihan mereka.

Azmi berkata, mengikut laporan diterimanya juga, mangsa tidak lagi ketakutan seperti awal kejadian sebaliknya mereka lebih rasa selamat apabila anggota keselamatan tiba.

"Laporan diterima juga dapati trend air di situ menunjukkan penurunan sejak pagi tadi.

"Kemungkinan besar mereka tidak berpindah ke tempat lain," katanya.

Beliau turut menasihati mangsa lain yang berada di kawasan tanah tinggi mahupun bukit supaya bertahan di situ kerana ia tempat paling selamat ketika ini selepas kebanyakan lokasi tenggelam.

Sementara itu, seorang mangsa banjir di situ yang dihubungi Harian Metro memaklumkan, mereka terpaksa memasak air lumpur untuk minum menggunakan dapur gas yang sempat dibawa dan kelaparan kerana tiada bekalan makanan sejak dua hari lalu.

"Anak kecil menangis, orang tua ada yang sakit, malah kami tidur bergelap kerana terputus bekalan elektrik," kata Mohamad Daniel Mohamad, 26,

Menurut Mohamad Daniel , anggota bomba sudah tiba di situ kira-kira 10 malam tadi menggunakan bot.

"Mereka sedang berusaha menyelamatkan kami," katanya.


 

metro online


‘Tolonglah kami semua terperangkap’

Kuala Krai: “Mula-mula keluarga kami berpindah ke rumah jiran terdekat kerana rumahnya lebih tinggi, tapi kira-kira empat jam kemudian kami terpaksa berpindah lagi ke kawasan lain sebab rumahnya juga dinaiki air,” kata mangsa banjir, Fairuzana Mohd Pilus, 41, dari Kampung Guchil di sini.

Menurutnya, seluruh ahli keluarganya seramai lima orang panik melihat air naik mendadak sejak petang kelmarin, malah keadaan menjadi semakin buruk menjelang tengah malam dan awal pagi semalam.

Kakitangan awam itu yang berkhidmat di Kuala Lumpur berkata, dia terpaksa menghubungi saudara terdekat untuk menyelamatkan mereka menaiki perahu selepas tiada pasukan keselamatan tampil.

“Situasi ini amat mencemaskan kami sekeluarga, apatah lagi saya pulang ke kampung sempena cuti sekolah dan ini pengalaman pertama saya terpaksa mengharungi banjir.

“Rumah ibu mentua yang berusia 70 tahun sememangnya dibina tinggi dan tidak pernah dinaiki air sebelum ini meskipun ketika banjir 2004, namun kejadian semalam (kelmarin) begitu mengejutkan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Lebih menyedihkan, ibu anak dua itu berkata, kira-kira 30 kucing parsi milik ibu mentuanya gagal diselamatkan dan dikhuatiri mati.

Menurutnya, tinjauan ke rumah itu pada 6.30 petang semalam mendapati hanya bumbung rumah yang kelihatan.

Sementara itu, di Kampung Aw Duri, di sini, kira-kira 40 penduduk dikhuatiri terperangkap di atas bukit di ladang kelapa sawit berdekatan selepas rumah mereka dinaiki air setinggi sembilan meter sejak jam 9 malam kelmarin.

Suhaina Azni, 34, berkata, dia terperangkap bersama keluarga termasuk kakaknya yang baru 18 hari pantang bersalin.

“Kami tak tahu ke mana lagi nak pergi selepas air naik. Rumah saya sudah lama tenggelam dan saya nampak jelas air semakin menghampiri tempat kami berkumpul.

“Sejak malam kelmarin, saya menghubungi pihak berkuasa meminta bantuan, tetapi tiada yang tampil. Tolonglah, kami tak tahu nak ke mana,” katanya.

Menceritakan kejadian itu, Suhaina berkata, sudah menyedari air naik pada jam 9 malam dan mula memasuki rumah sekitar satu meter menyebabkannya mula bersiap untuk berpindah.

Katanya, cuba menghubungi pasukan penyelamat untuk bantuan ketika itu tetapi bertindak berpindah dengan bantuan orang kampung selepas air naik mendadak beberapa minit selepas itu.

Menurutnya, mereka juga terpaksa mendayung perahu ke kawasan ladang sawit yang lebih tinggi, namun kini bimbang bekalan makanan dibawa tidak mencukupi.

 
 metro online


Sudah dua malam keluarga terputus bekalan makanan - Anak mangsa banjir

KUALA KRAI: "Sudah dua malam keluarga saya di atas bukit di Kampung Aur Duri, terputus bekalan makanan," luah Samsul Bahari Abdul Rahman.

Syamsul Bahri, 42, ketika menghubungi BH memaklumkan perkara itu berkata, dia yang berada di Jertih mendapat panggilan daripada keluarga sebentar tadi, meminta bantuan kerana paras air semakin meningkat.

"Saya sempat bercakap dengan ibu mentua beberapa minit yang meminta bantuan supaya ada pihak menyelamatkan mereka. Air tempat mereka berlindung kini sudah mencecah paras peha.

"Malah, makanan juga sudah tiada dan terpaksa berlapar. Kanak-kanak kecil menangis kelaparan," katanya dalam keadaan sedih.

Syamsul turut meminta pasukan keselamatan berusaha sedaya upaya menyelamatkan mangsa serta menyalurkan bantuan makanan kerana dalam keadaan sekarang, pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

"Walaupun saya tiada di sana, air mata saya menitis kerana mendengar suara keluarga meminta bantuan kerana mereka dalam bahaya," katanya.

bhonline
sk kuala gris, kuala krai



keadaan di kuala krai
entri terbaru Yb Datuk Mustapa Mohamed



terkini

pasukan penyelamat di SMK Manek Urai


Comments