warisan : randai


Randai: Gabungan Pelbagai Elemen
Oleh RUZAIDI ABD. RASHID

Negeri Sembilan merupakan sebuah negeri yang amat kaya dengan warisan kebudayaannya. Salah satu seni persembahan unik yang menjadi identiti Negeri Sembilan ialah persembahan randai.

Randai merupakan sejenis seni persembahan yang menggabungkan pelbagai elemen termasuklah seni tari, seni silat, seni muzik dan juga kesusasteraan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, randai bermaksud “sejenis tarian yang ditarikan oleh sekumpulan orang yang berdiri melengkung sambil bernyanyi-nyanyi dan bertepuk tangan”. Maksud ini jelas menunjukkan perlakuan para penari dalam persembahan ini yang membentuk bulatan semasa membuat persembahan.

Encik Mazdar bin Abdul Aziz, atau lebih dikenali dengan nama Pak Pen merupakan penggiat seni persembahan randai di Negeri Sembilan. Beliau yang berasal dari Lenggeng, Negeri Sembilan telah melibatkan diri dalam seni persembahan ini sejak remaja. Menurut Pak Pen, randai dikatakan berasal dari Tanah Seberang, iaitu dari Minangkabau, Sumatera, Indonesia. Randai dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu pada ketika itu melalui penduduk yang berhijrah ke sini.

Encik Mazdar bin Abdul Aziz

Suatu ketika dahulu, randai berfungsi sebagai medium hiburan penduduk kampung yang penat bekerja seharian. Kini, persembahan randai dipersembahkan dalam majlis keramaian seperti majlis perkahwinan dan upacara adat. Menurut Pak Pen, persembahan randai tidak semestinya dipersembahkan di atas pentas kerana boleh juga dipersembahkan di kawasan lapang dan terbuka.

Pembukaan persembahan Randai dimulakan dengan gerak tari “Buka Gelanggang”. Para penari akan membentuk satu bulatan dan memulakan gerakan silat sambil diiringi oleh persembahan caklempong. Menurut Pak Pen, gerakan tari dalam bulatan menggambarkan sifat muafakat dan kerjasama antara satu sama lain.


Tidak lengkap sesuatu persembahan randai jika tidak diiringi dengan alunan muzik. Kebiasaannya, beberapa alat muzik digunakan bagi mengiringi persembahan randai seperti caklempong, salung, bansi, rebana dan jidur. Suatu masa dahulu, lagu-lagu yang dimainkan dalam persembahan randai merupakan lagu-lagu yang dibawa dari Minangkabau. Kini, dalam persembahan randai versi Negeri Sembilan, tiga buah lagu bongai telah dipilih sebagai lagu wajib untuk persembahan “Buka Gelanggang” iaitu “Budu Landai”, “Cantik Manis” dan “Anak Bocek”.

Salah satu elemen dalam seni persembahan Randai ialah kesusasteraan. Randai yang dipersembahkan bersama cerita dinamakan Randai Berkaba.


Jumlah pelakon randai, atau juga dikenali sebagai “anak randai” bergantung pada cerita yang dipersembahkan. Kebiasaannya, tidak kurang daripada 20 orang akan terlibat dalam satu persembahan. Anak randai akan mengenakan pakaian tradisional masyarakat Minang serta seluar gelembung yang bertujuan untuk menghasilkan bunyi tepukan.

Kini, seni persembahan Randai semakin mendapat tempat di hati masyarakat. Sebagai penggiat seni persembahan ini, Pak Pen juga berharap agar Randai turut diangkat menjadi warisan budaya Malaysia di peringkat antarabangsa seperti juga persembahan makyung dan wayang kulit.

Salah satu usaha yang telah diambil oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan (JKKNNS) bagi mengembangkan Randai adalah dengan mewujudkan modul standard persembahan randai dengan identiti Negeri Sembilan. Modul persembahan randai ini akan diperkenalkan di sekolah-sekolah di sekitar Negeri Sembilan. Dengan usaha ini, diharapkan seni persembahan Randai akan terus berkembang ke seluruh negara.

klikwebdbp




 

Keunikan tarian randai

Oleh HUSSAINI AMRAN



Penari-penari randai kumpulan Rang Budayo Negeri Sembilan membuat persembahan di sebuah pusat membeli-belah Seremban 2, baru-baru ini.

SEREMBAN 12 Okt. - Tarian randai dikatakan mendapat nama daripada perkataan Minangkabau 'merandai' yang bermaksud melingkari satu kawasan lapang untuk mencari barang yang hilang.

Keunikan tarian randai dapat dilihat pada gerakan tangkas dan lincah yang berteraskan kepada seni silat Minangkabau.

Menurut seorang penggiat seni tarian randai, Mawlid Zaenie, 37, warisan kesenian masyarakat Minangkabau ini kebiasaannya dipersembahkan sebagai selingan sewaktu pertukaran babak dalam teater randai.

Beliau yang juga merupakan seorang tenaga pengajar persembahan budaya bersama kumpulan Rang Budayo Negeri Sembilan berkata, gaya persembahan tarian disesuaikan dengan babak-babak dalam teater randai.

''Lirik gurindam yang didendangkan sewaktu mengiringi persembahan tarian randai juga merupakan ringkasan atau sinopsis kepada babak teater yang dilakonkan," ujarnya.

Mawlid berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan persembahan tarian randai di pusat beli-belah Jaya Jusco Seremban 2 dekat sini baru-baru ini.

Tambah beliau, antara gurindam yang sering menjadi pilihan adalah Sumarantang Tinggi, Cantik Manis dan Bongai.

Jelas Mawlid, pada asalnya dialek Minangkabau digunakan dalam gurindam tarian yang berasal dari Bukit Tinggi, Sumatera, Indonesia.

''Namun, kini kebanyakan penggiat seni tarian randai mengalunkan gurindam dalam dialek Negeri Sembilan kerana ia lebih sesuai dengan masyarakat setempat," katanya.

Mawlid memberitahu, tarian randai juga sesuai dipersembahkan bagi memeriahkan majlis perkahwinan, majlis keramaian serta acara-acara rasmi kerajaan.

Menurut beliau, peralatan muzik tradisional caklempong seperti 'bonang', 'gereteh' dan 'tingkah' menjadi pilihan bagi mengiringi persembahan tarian randai.

''Peralatan muzik lain yang digunakan termasuk jidor (gendang besar), aduak (gendang kecil), bangsi (serunai buluh), saluang (seruling buluh), pupuik (serunai buluh kecil) dan tamborin," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan negeri dapat memainkan peranan secara proaktif bagi memartabatkan tarian randai agar ia terus hidup dan berkembang seperti cabang-cabang seni persembahan yang lain.

Beliau menjelaskan, keunikan tarian randai boleh diketengahkan sebagai satu produk kebudayaan serta pelancongan untuk menarik kedatangan pengunjung dari dalam dan luar negara.

''Seperti yang kita lihat pada hari ini, negeri Johor berjaya menonjolkan tarian zapin sebagai salah satu identiti budayanya.

''Justeru saya percaya Negeri Sembilan juga boleh mengambil langkah yang serupa dengan mempopularkan tarian randai," katanya.

Bagi memastikan kesinambungan tarian randai terus terpelihara sehingga generasi akan datang, ujar Mawlid, kumpulan Rang Budayo Negeri Sembilan sentiasa berbesar hati memberi tunjuk ajar kepada sesiapa sahaja yang berminat.

Beliau menambah, seseorang yang mahir dalam seni silat Minangkabau akan lebih mudah mempelajari tarian randai kerana kedua-duanya berkait rapat.

''Bagi yang tidak mahir pula, kami bersedia mengajarnya. Yang penting mesti ada kesungguhan dan semangat yang kuat untuk menyuburkan seni tarian randai," jelasnya yang telah empat tahun bergiat dalam bidang ini.

utusan online


Apabila randai diselit slow rock

Oleh ABD. AZIZ ITAR
19 Mei 2008


SUASANA keriuhan kehidupan di desa menceriakan lagi pementasan randai arahan Ahmad Tamimi Serigar ini.

PEMENTASAN muzikal randai yang berasal dari Sumatera Barat, Indonesia merupakan suatu medium yang digunakan bukan sekadar untuk menghiburkan masyarakat zaman dahulu kala, tetapi ia juga bertujuan mendidik para penonton.

Pelbagai mesej akan diutarakan dalam sesuatu pementasan randai yang lazimnya diadakan sejurus selepas berakhirnya musim menuai padi ataupun sempena meraikan perayaan tertentu masyarakat Minangkabau di sana.

Bagaimanapun, pementasan randai kini lebih ke arah meneruskan kesinambungan penerapan nilai-nilai budaya, muzik dan kesenian masyarakat Minangkabau yang telah bermastautin di negara ini sejak ratusan tahun lalu.

Muzikal randai Kasih Menanti arahan Ahmad Tamimi Serigar misalnya, tetap mengutarakan mesej penting iaitu tentang tema kasih sayang antara ibu dan anak yang semakin terhakis oleh putaran ganas kehidupan sosial masa kini.

Meskipun randai tersebut diolah karyanya berdasarkan latar belakang, tempat dan masa yang boleh dikategorikan sebagai ‘purba’, tetapi fenomena itu jelas relevan dengan keadaan semasa yang berlaku pada hari ini.

Sebagai contohnya, Kasih Menanti mengangkat persoalan tentang dilema perasaan tersisih seorang anak menerusi watak Bujang yang dilakonkan oleh Megat Sharizal Mohamed Yusoff kerana ditinggalkan oleh ibunya, (lakonan Safura) ketika dia masih bayi.

Persoalan itu bijak diolah serta dilontarkan oleh penulis skrip randai ini iaitu Sabri Mohd. Zin atau Samoza untuk dihayati dan dinilai oleh para penonton pada pementasan randai tersebut yang dipentaskan di Panggung Sari, Istana, Budaya, Kuala Lumpur, sehingga 18 Mei lalu.

Samoza antara lain mencetuskan persoalan dibenak fikiran para penonton tentang, adakah seseorang ibu boleh dikira derhaka kerana mengabaikan tanggungjawabnya apabila membuang anaknya yang masih kecil?

Konflik penceritaan timbul apabila Bujang akhirnya mengetahui bahawa ibu yang membesarkannya selama ini hanyalah ibu angkat. Pada masa yang sama beliau enggan mengakui ibu kandung yang telah melahirkannya ke dunia ini.

Persoalan itu tentunya mampu mencetuskan suatu persoalan kerana selama ini pengisahan tentang kederhakaan seorang anak terhadap ibunya merupakan suatu perkara yang sering berlaku di mana-mana juga.

Penyerlahan budaya dan kesenian Minangkabau diserlahkan menerusi tarian latar kumpulan Gelombang yang menari dengan menepuk seluar dan kain mereka yang mengeluarkan bunyi seakan-akan kompang turut menarik perhatian.

Seni kesenian majlis perkahwinan Minangkabau juga ditonjolkan menerusi paparan penyatuan antara watak Bujang dan Melur di atas pelamin di mana ia banyak menzahirkan pakaian tradisional etnik tersebut yang berwarna-warni.

Sesuai dengan pementasan ini yang lebih berkonsepkan muzikal, banyak lagu gubahan komposer Rosli Selasih yang juga selaku Pengarah Muzik serta Konduktor turut menyerlahkan lagi randai yang mengenakan tiket berharga RM30, RM50, RM80 dan RM100 itu.

Penyerlahan alunan lagu-lagu sepanjang pementasan randai ini diperkukuhkan lagi menerusi alunan-alunan suara Safura dan Datuk Yusni Hamid yang merdu ketika mereka melakonkan watak ibu kepada Bujang.

Selain keberkesanan penyerlahan kostum Minangkabau, lagu-lagu serta gaya lakonan, plot penceritaan Kasih Menanti juga kemas dan tidak meleret-leret menyebabkan ia mudah untuk dihayati penonton.

Silap

Dengan peralatan latar pentas yang sederhana, tidak sedikit pun menganggu perjalanan penceritaan Kasih Menanti biarpun para penonton yang menontonnya belum mampu memenuhi biarpun separuh daripada ruang Panggung Sari pada malam itu.

Tidak tahu di mana silapnya, tetapi pementasan randai yang terbaru dan terbesar selepas 14 tahun itu sepatutnya mampu menarik jumlah audiens yang besar kerana Ahmad Tamimi dan Samoza bukanlah asing dalam seni tersebut.

Namun, paling menyerlahkan ketidaksesuaian pada pementasan Kasih Menanti ialah penyelitan unsur-unsur kontemporari yang begitu besar secara tidak langsung telah menghakis banyak elemen tradisi dan budaya Minangkabau.

Sebagai contohnya, beberapa adegan nyanyian duet antara Bujang dan Melur menampilkan lagu-lagu yang begitu menyerlah dengan elemen-elemen muzik lagu-lagu slow rock hasil ciptaan dan gubahan Rosli Selasih.

Adalah sesuatu yang agak janggal apabila watak Melur yang sopan bertudung kain pelikat dan Bujang yang berkeris serta bertanjak mengalunkan lagu slow rock yang pastinya tidak pernah wujud dalam budaya Minangkabau!

Perkara itu mungkin timbul kerana kecenderungan atau kecelaruan ilham lagu-lagu ciptaan Rosli Selasih yang sebelum ini cukup terkenal dengan lagu-lagu ciptaannya yang berkonsepkan slow rock.

Malah, paling mendukacitakan apabila tiada langsung ungkapan ayat atau perkataan yang dituturkan daripada dialek Minangkabau pada dialog-dialog watak-watak menerusi randai yang dipersembahkan oleh Istana Budaya ini.

Selaku aktivis randai, Ahmad Tamimi sepatutnya peka dengan pengutaraan elemen-elemen penting itu kerana tanpa adanya kecenderungan yang memihak kepada penyerlahan budaya sebenar Minangkabau, apalah ertinya sesebuah pementasan randai tersebut?

Selain Ahmad Tamimi yang melakonkan watak sebagai Tok Dukun, pelakon lain dalam Kasih Menanti antaranya Ismadian Ismail (Melur), Zulkifli Md. Zain (Pak Alang), Norsiah Yatim (Mak Alang), Shafirul Azmi Suhaimi (Jalak) dan Abu Bakar Sulaiman (Juragan).

utusan online

Comments