suara hati awang batil


Awang Batil ialah penglipurlara yang hanya terdapat di negeri Perlis. Asal usul pada mulanya penglipurlara ini dikenali dengan nama ‘Awang Belanga’ kerana menggunakan belanga sebagai muzik iringannya. Oleh kerana belanga dipenuhi arang, penglipurlara ini menggantikan batil (bekas isi air yang diperbuat daripada tembaga) sebagai alat muzik iringan, kerana itulah ia dipanggil ‘Awang Batil’.

Suatu ketika dahulu Awang Batil akan mengembara dari sebuah kampung ke sebuah kampung dan dari sebuah rumah ke sebuah rumah untuk mempersembahkan cerita- ceritanya terutama di rumah-rumah kenduri perkahwinan. Awang Batil begitu banyak mempusakai cerita-cerita rakyat dan sesebuah cerita yang dipersembahkannya adalah bersiri-siri dan bersambung-sambung sehingga berlanjutan bagi beberapa malam. Elemen jenaka diselitkan di dalam kisah penceritaannya sambil ia memukul batil menggunakan jari jemari sebagai muzik iringan.

Pada babak tertentu, Awang Batil akan memakai topeng bagi menceritakan watak samada 'Hulubalang' atau 'Ahli Nujum'. Topeng tersebut diperbuat daripada kayu yang biasanya disapu cat warna merah dan putih. Di rumah kenduri perkahwinan, Awang Batil akan mempersembahkan cerita di sebuah pondok kecil yang tingginya mencapai 3 hingga 4 meter. Para penonton akan duduk di mana sahaja mengelilingi pondok tersebut mengikuti ceritanya sambil ketawa keriangan.

Penggiat Awang Batil yang aktif adalah Encik Romli Mahamud atau dikenali sebagai Bang Li. Beliau adalah seorang petani. Beliau mempersembahkan Awang Batil iaitu sebuah persembahan seni penceritaan tradisional atau penglipurlara yang menggabungkan cerita dan muzik dengan menggunakan batil sebagai alat iringan untuk bercerita. Minat Romli terhadap Awang batil bermula sejak zaman kanak-kanaknya kerana beliau sering mengikuti persembahan yang dilakukan oleh bapanya iaitu En Mahmud bin Wahid yang juga penutur Awang Batil pada masa dahulu.

Encik Romli Mahmud menerima anugerah tokoh seni budaya peringkat negeri Perlis pada majlis Apresiasi Tokoh Seni Perlis 2012 Beliau adalah satu-satunya penglipur lara yang masih aktif di Perlis  Encik  Romli menerima wang tunai RM1,000 serta sijil yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Perlis, Abdul Jamil Saad pada majlis anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis.

Tidak terlepas dari cabaran masa dan perubahan zaman, persembahan berhadapan dengan kekurangan audien. Minat masyarakat semakin berkurangan terhadap seni bercerita persembahan awang batil. Hatinya pilu berbaur pilu. Seni warisan ini bakal ketiadaan audiens satu ketika kelak. Segalanya akan usai dan tiada.....

Dengarkanlah suara hati beliau....

 Suara hati Romli Mahmud
Oleh MOHAMMAD HAFIZ AHMAD



KETIKA lantunan muzik mula bersatu, riak wajah kumpulan kanak-kanak yang mendahului barisan hadapan penonton sedikit kehairanan.

Dahi yang berkerut berbaur teruja melihat gelagat lelaki separuh abad lincah memukul-mukul tembaga besi sambil keasyikan bercerita kisah Awang Ada Duit Semua Jadi.

Selang beberapa ketika, kedengaran hilai tawa mereka apabila sang pelipur lara mula bertukar-tukar prop berupa topeng kayu sebagai tunjang utama jalan ceritanya.

Dikenali sebagai Awang Batil dalam kalangan penduduk setempat, persembahan seni verbal itu diibaratkan sebagai ikon penghibur yang sudah mencipta nama sejak berkurun lamanya.

“Dahulu, Awang Batil selalu dimainkan ketika upacara keramaian seperti perkahwinan.

“Meskipun diselang-selikan dengan alunan muzik tradisional tetapi jenaka Awang Batil yang paling dinanti-nantikan,” ujar salah seorang penduduk senior di Kampung Telok Jambu, Bintong, Kangar, Perlis Sariah Saad mengimbas kembali detik kegemilangan persembahan klasik itu.

Tambah wanita berusia 45 tahun itu, ketika Awang Batil dimainkan, seluruh lapisan masyarakat akan berkumpul di sekeliling pentas kecil bagi mendengar celoteh tukang cerita sehingga larut malam.

Buai emosi

“Bayangkan, ada persembahan yang bermula dari pukul 8 malam berlanjutan hingga pukul 6 pagi tetapi penonton sanggup menunggu sehingga tamat jalan cerita,” terangnya lagi.

Terkenal di beberapa negeri bahagian utara Semenanjung Malaysia seperti Kedah, Pulau Pinang dan khususnya di Perlis, Awang Batil bak televisyen atau radio kepada penduduk setempat ketika itu.

Bertemankan sebuah tembaga yang dipanggil batil, tukang cerita akan membuai emosi dan berkongsi jenaka nasihat melalui cerita-cerita lama termasuk seperti Raja Bersiung, Jabat Jabit dan Anak Lang Pak Belang.

Namun begitu, peralihan masa melenyapkan gemilap cahaya lampu pentas Awang Batil hingga membuatkan generasi baharu kini berasa asing dengan corak persembahan tradisi itu.

Diakui sendiri oleh Sariah apabila anak-anaknya tidak pernah mendengar lawak jenaka Awang Batil yang banyak dimainkan di negeri Indera Kayangan itu.

“Jarang ada persembahan terbuka diadakan bagi memperkenalkan Awang Batil kepada anak-anak muda mungkin kerana gaya hiburan masa kini berbeza dengan tahun ke belakang,” luah ibu kepada dua anak itu.

Tumpuannya dikembalikan kepada lelaki warga emas separuh abad itu yang ligat beraksi di atas pentas dewan serbaguna Kampung Ujung Bukit, Kangar.

Titis keringatnya membasahi topeng rona merah lengkap berkopiah dipanggil Wak Nujum yang dipakai di sepanjang persembahan singkat 30 minit.


GENERASI muda sukar menguasai seni Awang batil yang memerlukan kehebatan bercerita dan bermain alat muzik.

Selera hiburan

Pantas dia membuka topeng itu apabila mendengar keriuhan dewan dengan tepukan gemuruh.

Ia seperti memberi tanda hadirin terhibur mendengar kisah seorang lelaki bernama Awang yang menyahut cabaran daripada Sultan untuk berkahwin dengan puterinya.

Perubahan selera hiburan masa kini tidak menghentikan pukulan gendang Romli Mahmud yang setia memalu khazanah seni yang diturunkan sejak lima generasi keluarganya.

Tidak termaktub dalam kamus hidupnya untuk mematikan seni budaya itu biar ramai yang tidak peka dan mengambil peduli usaha survival dilakukannya bersama rakan-rakan seperjuangan lain.

“Sebenarnya ada yang berminat tetapi ramai yang berhenti separuh jalan sahaja,” ungkap lelaki yang memasuki usia 59 tahun itu.

Kesabaran

Pada hematnya, anak-anak muda hari ini tidak sabar dalam mempelajari seni Awang Batil yang bukan sahaja memerlukan si pemain bercerita tetapi juga memerlukan kemahiran alat muzik.

Setiap persembahan akan disertai alat-alat muzik lain seperti gendang, gong, serunai dan biola yang akan dimainkan bersama Awang Batil.

Ketangkasan mengenali alat dan nota muzik perlu dikuatkan dengan pengkisahan cerita yang menarik bagi memahat tumpuan penonton sehingga bait terakhir.

“Kesemua intipati tersebut perlu diselarikan dengan sebaiknya bagi mencipta perjalanan persembahan yang menarik.

“Sayangnya, sebilangan daripada mereka hanya menguasai satu bidang sahaja sama ada bercerita atau bermain menyebabkan sukar untuk mencari pelapis baharu,” katanya.

Kerisauan kehilangan Awang Batil turut berbekas dalam hati Prof. Madya Mohariff Shariff ketika ditebak persoalan kelangsungan seni tradisi itu.

Beliau mengakui ia bakal hilang dari radar adat dan budaya negara jika tiada langkah memartabatkannya dilakukan dengan lebih menyeluruh.

“Jika ada usaha untuk memasukkan Awang Batil dalam silibus pembelajaran di institusi pengajian tinggi, mungkin ia boleh diteruskan ke peringkat yang lebih jauh,” ujarnya ketika ditemui pada Program Sahabat Media di Perlis baru-baru ini.


PENAMBAHAN sketsa dalam persembahan Awang Batil menarik perhatian penonton baharu.

Selain itu, beliau yang merupakan bekas pensyarah di Pusat Bahasa Antarabangsa, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) berkata, gaya penceritaan persembahan Awang Batil perlu diselarikan dengan persekitaran semasa.

Mengambil contoh persembahan wayang kulit yang turut mengadaptasi cerita dan rekaan menurut bahasa moden bagi mencapai khalayak tontonan baharu.

“Tidak ramai yang memahami cara persembahan yang dikekalkan dalam Awang Batil. Dari segi bahasa, lawak dan persembahan, ia perlu digubah mengikut alur semasa,” kongsi Mohariff.

Generasi muda yang tidak menjadi penyambung budaya tidak boleh disalahkan sepenuhnya, kata Mohariff kerana permintaan Awang Batil semakin berkurang.

“Bagaimana mahu berkarya jika tiada permintaan biar pentas dan idea sudah tersedia?” soalnya.

Pembaharuan tersebut sudah dilakukan oleh Romli melalui beberapa penambahbaikan bagi memantapkan persembahan Awang Batil era moden.

Memasukkan peralatan muzik baharu seperti biola antara solusi yang dilakukan anak jati Kampung Pokok Sena, Chuping, Perlis itu bagi menambah rencah persembahannya.

Selain itu, sketsa pendek dan penggunaan bahasa mudah difahami juga diatur bagi memastikan aura Awang Batil meresap ke dalam jiwa penonton baharu.

Semuanya direncana supaya ia tidak pupus selagi hayatnya masih dikandung tanah sementelah dia merupakan satu-satunya figura yang tinggal sebagai penerus seni tersebut.

Bagi Dekan Pusat Tradisional Aswara (Putra) di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Nik Mustapha Nik Mohd. Salleh, seorang Awang Batil perlu mempunyai kesungguhan dan minat yang mendalam bagi mewarisi seni budaya tersebut.

“Mereka perlu memahami dan menyelami semangat yang ada dalam diri seorang Awang Batil bagi melahirkan magis dalam persembahan mereka,” ujarnya ketika dihubungi.

Tambahnya, pelapis-pelapis baharu perlu mencontohi gaya rentak yang disampaikan oleh Mahmud Wahid atau dikenali sebagai Pak Mud yang merupakan pejuang asli muzikal rakyat tersebut.

Pernah menonton persembahan Pak Mud di Kompleks Budaya Negara sekitar 70-an, Nik Mustafa berpendapat sayang jika Awang Batil dimatikan begitu sahaja.

“Jika tidak, kita akan kehilangan warisan budaya seperti yang berlaku kepada kesenian Awang Kelampit di Kelantan yang tiada penerusnya,” luah Nik Mustafa.

Beliau turut bersetuju jika ada usaha untuk membawa persembahan klasik seperti Awang Batil ke institusi pengajian tinggi.

Melalui institusi tersebut, ujar Nik Mustafa, pelajar mudah mengenali sejarah dan rentak budaya yang melingkungi kesenian tinggalan nenek moyang.

Romli sendiri mengambil masa lama untuk menggalas peranan sebagai Awang Batil.


ROMLI juga boleh bernain alat muzik tradisional dengan baik.

Mewarisi

Selepas pemergian arwah bapanya, Pak Mud pada tahun 1991, Romli berhijrah ke Pulau Pinang untuk menyertai kumpulan muzik tradisional.

Semua peralatan persembahan Awang Batil diserahkan ke pihak Muzium Perlis kerana beliau tidak lagi berminat untuk bermain yang ketika itu sudah menghampiri zaman kegelapan.

Hanya selepas pelawaan daripada penulis buku dan novel terkenal, Rejab Ismail atau lebih dikenali menerusi nama pena Rejab F.I sekitar tahun 1997, perlahan-lahan Romli membuka hatinya menyambung legasi sebagai sang penglipur lara.

“Kalau bukan saya, siapa lagi yang akan teruskan? Biarlah ada yang memandang enteng, yang penting persembahan Awang Batil terus bernyawa di bumi Perlis,” luah Romli.

Pernah beliau terasa hati sewaktu membuat persembahan jalanan sekitar Kuala Lumpur. Niat untuk berkongsi budaya seperti dipandang hina apabila ada yang menghulur wang syiling.

“Terasa seperti peminta sedekah pula,” seloroh bapa kepada empat orang anak itu. Tekadnya, dia tidak akan kembali ke tempat itu daripada integritinya berterusan tercalar.

Namun, jauh di sudut hatinya, beliau masih berharap ada penyambung yang terus mempersembahkan alunan denting tembaga dan seloka topeng Wak Nujum dan hulu balang.

kosmo online



Romli Mahmud terima anugerah Tokoh Seni Budaya negeri Perlis
1 Julai 2012


KANGAR - Penglipur lara Awang Batil atau nama sebenarnya Romli Mahmud, 55, menerima anugerah tokoh seni budaya peringkat negeri Perlis pada majlis Apresiasi Tokoh Seni Perlis 2012 di sini, malam tadi.

Beliau adalah satu-satunya penglipur lara yang masih aktif di Perlis dengan mempertahan kesenian penglipur lara Awang Batil yang diwarisi daripada bapanya, Allahyarham Mahmud Wahid.

Penglipur lara Awang Batil dalam persembahannya akan membawa pelbagai kisah masyarakat yang penuh jenaka, sedih dan perjalanan kehidupan watak dalam pengkisahannya yang panjang.

Romli menerima wang tunai RM1,000 serta sijil yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Perlis, Abdul Jamil Saad pada majlis anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis.

Beliau adalah antara tiga tokoh yang mendapat penghargaan pada majlis itu selain pelukis dan pelakon Ahmad Omar, 62, dan Osman Awang, 71, yang merupakan penggiat kesenian hadrah.

Ahmad yang merupakan Pengerusi Persatuan Pelukis Perlis pernah terbabit secara aktif dalam kegiatan teater dan sering berlakon dalam drama televisyen manakala Osman terbabit secara aktif dalam kesenian hadrah sejak lebih 50 tahun lalu.

Pengarah JKKN Perlis, Mohd Rizal Ismail berkata, majlis apresiasi itu diadakan bagi menghargai para penggiat seni dan budaya yang banyak berkorban dan berjuang dalam perkembangan seni tanah air.

Katanya, melalui majlis seumpama itu, JKKN berharap akan memberi semangat kepada para penggiat seni akan terus menghasilkan karya dan persembahan mereka secara berterusan.

Lebih 200 penggiat seni seluruh Perlis menghadiri majlis apresiasi itu. - Bernama

sinar harian




foto sumber : art at the park

warisan terluka


Romli Terus Gigih Perjuangkan Seni Awang Batil Di Perlis
22 Oktober 2014

HANYA tinggal lebih kurang dua bulan sahaja lagi sebelum Tahun Melawat Malaysia 2014 melabuhkan tirainya.

Jika anda masih belum berkesempatan untuk menjelajah negeri-negeri di serata Malaysia, apa kata cuba ke Perlis, negeri sebelah utara yang paling hujung dalam peta.

Banyak keistimewaan dan keunikan sama ada dari segi makanan, pemandangan serta seni dan budaya terdapat di negeri paling kecil di Malaysia ini.

Salah satu keunikan yang tak boleh didapati di negeri-negeri lain ialah persembahan kebudayaan Awang Batil.

Jika negeri Johor terkenal dengan kuda kepang, Kelantan dengan dikir baratnya, Melaka dengan dondang sayang, Pulau Pinang dengan boria, Perlis ada Awang Batil.

Memang unik dan persembahan tradisi ini patut dipertahankan agar ia tidak ditelan arus pemodenan.

Menurut satu-satu individu yang masih aktif menjayakan persembahan dan menjadi tenaga pengajar iaitu Romli Mahmud,59, Awang Batil merupakan penglipur lara yang hanya terdapat di Perlis Indera Kayangan.



Pada asalnya, Awang Batil merupakan penglipur lara yang dikenali terlebih dahulu dengan nama Awang Belanga kerana menggunakan belanga sebagai muzik iringannya.

“Zaman dulu-dulu, Awang Batil akan mengembara dari kampung ke kampung dan dari rumah ke rumah untuk mempersembahkan cerita-cerita terutama di rumah-rumah kenduri kahwin.

“Dalam babak-babak tertentu, Awang Batil akan memakai topeng bagi menceritakan watak sama ada Hulubalang atau Ahli Nujum.

“Topeng tersebut diperbuat daripada kayu yang biasanya disapu cat warna merah dan putih,” katanya ketika ditemui Mynewshub semasa Program Sahabat Media Visit Malaysia Year 2014 – Negeri Perlis, baru-baru ini.

Antara cerita yang lazimnya dipersembahkan adalah Raja Dewa Lok, Raja Bersiung, Raja Berdarah Putih, Anak Lang Pak Belang, Cerita Angan-Angan dan Awang Ada Duit Semua Jadi.

Kesemua cerita yang dipersembahkan selain memberi hiburan, turut diselitkan dengan bermacam-macam unsur nasihat buat penonton.

Kebiasaannya, persembahan Awang Batil dijayakan semasa majlis perkahwinan malah dianggap satu kemestian di kalangan orang Perlis suatu ketika dahulu.

Tidak hanya bercerita, Romli juga akan bermain alat muzik seperti serunai dan biola untuk memperkuatkan jalan ceritanya dengan unsur-unsur muzikal jadi penonton tidak berasa bosan dengan persembahan yang kebiasaannya mengambil masa sejam.



Menceritakan pengalamannya mempersembahkan Awang Batil di jalanan Kuala Lumpur awal tahun 2000, Romli mengatakan dia pernah dihulurkan duit oleh orang yang lalu-lalang.

Namun, disebabkan kecintaan dan minatnya yang tinggi terhadap seni Awang Batil, Romli tidak menyukai tindakan sesetengah pihak yang menganggapnya bagai peminta sedekah.

“Saya tak suka orang bagi duit kerana saya main sebab minat sebagai seniman jalanan,” katanya yang pernah terbang ke Switzerland, Jepun dan Singapura bagi memenuhi jemputan membuat persembahan.

Ditanya mengenai kelangsungan seni Awang Batil di kalangan orang muda, Romli mengatakan hanya dia sahaja masih gigih memperjuangkannya dan merupakan satu-satu tenaga pengajar yang mengajar kokurikulum tersebut di tiga buah sekolah terpilih di Perlis.

“Selagi ada permintaan, selagi itulah Awang Batil akan ada,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kepupusan seni lama yang semakin dilupakan orang muda kini.


Mengenai warisan Awang Batil yang akan diperturunkan, Romli mengatakan buat masa ini dia tidak mendedahkan anak-anaknya dengan seni tersebut kerana mahu mereka menamatkan pengajian terlebih dahulu sebelum melibatkan diri secara serius seperti dirinya. - MYNEWSHUB.CC

mynewshub







Comments

Post a Comment