Seminar Kebangsaan Pembelajaran Sepanjang Hayat



Kementerian Pendidikan Malaysia dan Open University Malaysia mengajurkan Seminar Kebangsaan Pembelajaran Sepanjang Hayat 2014 yang akan di adakan diadakan pada 1 hingga 2 Disember 2014. Seminar ini akan berlangsung di Dewan Tun Hussien Onn, PWTC, Kuala Lumpur. Setiap penyertaan seminar dikenakan bayaran sebanyak RM500.00

Seminar ini amat wajar dalam mengorak langkah memberi kefahaman dan input berguna kepada masyarakat terutama dalam bidang Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH). Ia amat penting dalam mempersiapkan masyarakat sebagai modal insan yang berpegetahuan dan berkemahiran tinggi.


Objektif utama Seminar PSH ini diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran di kalangan pentadbir, tenaga pengajar dan orang awam mengenai peluang dan ruang yang disediakan oleh Kerajaan tanpa mengira usia dan latar belakang. Selain itu, seminar ini juga akan memberi tumpuan kepada isu-isu dan cabaran membudayakan PSH di peringkat nasional.


Kata-Kata Aluan

Dalam arus teknologi maklumat yang berkembang dengan begitu pesat, kemampuan seseorang menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran baru adalah kunci utama untuk meningkatkan kompetensi profesional. Daya saing global dan kepelbagaian keperluan memerlukan kita agar sentiasa memperbaharui dan meningkatkan pengetahuan dan kemahiranyang sedia ada. Ini juga dituntut oleh majikan dan industri bagi meningkatkan produktiviti di tahap individu, yang akan seterusnya menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonominegara.


Sejajar dengan aspirasipembangunan negara, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Open University Malaysia (OUM)bersama-sama menganjurkan Seminar Kebangsaan Pembelajaran Sepanjang Hayat 2014.


Pembelajaran sepanjang hayat (PSH) merangkumi semua pembelajaran yang dilalui oleh individu yang berusia 15 tahun ke atas kecuali pelajar profesional, iaitu mereka yang belajar sepenuh masa di sekolah, kolej, institusi latihan ataupun universiti dengan matlamat memasuki pasaran kerja buat pertama kali.


PSH, yang merupakan teras keenam dalam Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara, adalah agenda kebangsaan dalam mempersiapkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Sejajar dengan itu, pihak KPM juga telah menyediakan Pelan Induk Pembudayaan PSH Peringkat Nasional 2011-2020 yang telah dirasmikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri pada bulan November 2011.Di dalam Majlis Perasmian tersebut, YAB TPM telah mengumumkan bahawa PSH adalah Tonggak Ketiga did alam Sistem Pembangunan Modal Insan Negara, seiring dengan Toggak Pertama, iaitu Sistem Persekolahan dan Tonggak Kedua yakni Sistem Pengajian Tinggi atau Tertiar.


Sebagai sebuah universiti terbuka dan pendidikan jarak jauh, OUM turut giat berusaha mempromosikan pembelajaran sepanjang hayat. Ia menawarkan program-program ijazah secara fleksibel dan mudah diikuti, khususnya untuk golongan yang sudah bekerja dan berkeluarga.


Kami mengalu-alukan penyertaan golongan akademik dan orang awam di dalam seminar ini, yang akanmengetengahkan pelbagai isu PSH dengan melibatkan pelbagai agensi serta industri yang akan bersama-sama mendukung hasrat negara ini, khususnya untuk merealisasikan PSH sebagai Tonggak Ketiga di dalam Sistem Pembangunan Modal Insan Negara. Gunakanlah ruang yang disediakan ini untuk berdiskusi mengenai isu-isu serta cabaran yang dihadapi dalam proses pembudayaan PSH.


Marilah kita bersama-sama menjayakan usaha ini demi mempertingkatkan lagi tahap pengetahuan di kalangan penduduknegara kita.


YB Dato' Seri Haji Idris Jusoh
Menteri Pendidikan II


Prof Emeritus Tan Sri Anuwar Ali
Presiden/Naib Canselor OUM


Pendahuluan

Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) merupakan agenda negara dalam usaha mempersiapkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. PSH adalah teras keenam dalam Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara.


Manakala Pelan Induk Pembudayaan PSH Peringkat Nasional 2011-2020 telah dirasmikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri pada 14 November 2011.


Seminar ini mengetengahkan pelbagai isu PSH dengan melibatkan pelbagai agensi serta industry yang akan bersama-sama mendukung hasrat negara ini.

Seminar ini merupakan lanjutan dari usaha membudayakan PSH dalam kalangan masyarakat di negara ini sehingga mencapai objektif utamanya iaitu meningkatkan modal insan yang berpengetahuan yang bakal memberi sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi negara.


Ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran di kalangan akademik dan orang awam mengenai peluang dan ruang pendidikan yang disediakan oleh Kerajaan bagi rakyat jelata tanpa mengira usia dan latar belakang peserta PSH.


Tema

PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT MERUPAKAN TONGGAK KETIGA PEMBANGUNAN MODAL INSAN: ISU DAN CABARAN


Sub-Tema

Pengiktirafan pembelajaran secara formal dan tidak formal

Golongan dewasa mendapat ilmu dan kemahiran menerusi pengalaman hidup dan bekerja. Pembelajaran secara non-formal dan tidak formal yang berlaku seiring dengan sistem pendidikan formal mungkin dinilai dan diberikan pengiktirafan setimpal kepada individu yang berkelayakan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Di Malaysia, Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (Accreditation of Prior Experiential Learning/ APEL) di dalam Kerangka Kelayakan Kebangsaan telah memberikan peluang kepada individu untuk memperolehi pelbagai tahap kelayakan dan program pembelajaran sepanjang hayat. Langkah strategik ini menyokong usaha Negara untuk mewujudkan tenaga kerja yang lebih berilmu dan membangunkan modal insan. Bagaimanapun, APEL belum lagi mendapat perhatian dan penerimaan yang sepatutnya. Di bawah sub-tema ini, para penulis diundang untuk mengemukakan kertas berkaitan isu berikut:
Pengiktirafan, Penilaian dan Akreditasi Pembelajaran Terdahulu
Polisi, Amalan dan Sokongan Institusi untuk APEL
Isu dan Cabaran dalam Pembangunan dan Implementasi APEL
Alat untuk Mengukur Pembelajaran secara Tidak Formal dan Non-formal
Jaminan Kualiti bagi Amalan APEL
Kajian Kes dan Amalan Terbaik APEL


Kualiti program pembelajaran sepanjang hayat

Untuk memastikan kualiti dalam sistem pembelajaran sepanjang hayat (PSH), kerjasama pelbagai pihak amat diperlukan. Ia boleh dilakukan di peringkat polisi, institusi ataupun proses pembelajaran serta boleh menyelesaikan isu-isu berkaitan pendidikan, pengurusan ataupun pentadbiran. Ia adalah hal yang membabitkan pembuat dasar, pendidik, pelatih dan semua pihak yang berkepentingan. Semua komponen sistem PSH mestilah berkualiti, termasuk kandungan program, kurikulum, mod penyampaian, bahan pembelajaran, infrastruktur dan penilaian. Proses mengukur kualiti adalah mencabar dan harus dilakukan secara objektif sama ada dalaman ataupun luaran. Dengan memastikan kualiti, produk PSH akan dikenali dan diterima baik oleh masyarakat.

Apakah faktor kunci keberhasilan dalam mencapai kualiti dalam PSH? Apakah faktor penyumbang utama untuk kualiti di dalam sistem PSH? Inilah isu utama di bawah sub tema ini.


Impak dan pembelajaran sepanjang hayat sebagai pelengkap

Pembelajaran sepanjang hayat merupakan pembelajaran yang berterusan seumur hidup atas sebab-sebab peribadi mahupun profesional. Kebanyakan pelajar sepanjang hayat mahu membina ilmu dan kemahiran tambahan untuk mencapai peningkatan kerjaya. Program PSH kini diiktiraf sebagai salah satu bentuk pengajian formal dan ditawarkan oleh kolej serta universiti tradisional. Namun bagaimanakah ini memberi kesan dan memenuhi keperluan modal insan Negara? Bagaimanakah ia mengubah masyarakat berpengetahuan, kesejahteraan ekonomi individu dan masyarakat umum? Apakah perubahan asas di dalam pendidikan tinggi dari segi polisi PSH? Apakah yang diamalkan dalam realiti? Perkara-perkara ini merupakan tumpuan sub-tema ini.


Kreativiti dan inovasi dalam pembelajaran sepanjang hayat

PSH merujuk kepada masyarakat di mana peluang belajar terbuka untuk mereka yang mahu belajar. Dalam PSH, ilmu tidak dilihat sebagai komoditi untuk diperoleh atau disampaikan tetapi sebagai perjuangan bagi memahami dan menangani masalah-masalah yang bermakna untuk diri sendiri. Kreativiti dan inovasi adalah penting dalam PSH, kerana masyarakat berpengetahuan memerlukan individu yang lebih berpendidikan dan berkebolehan untuk bekerja secara kreatif. Apakah yang perlu dilakukan agar PSH berkembang maju? Adakah media dan teknologi baru menjadi rintangan dalam menimba ilmu? Adakah terdapat alat untuk meningkat dan menggalakkan pertumbuhan PSH?


Mengembangkan kemahiran pembelajaran sepanjang hayat

Keinginan untuk mengecapi sebuah kehidupan yang lebih baik telah mendorong sebahagian besar masyarakat untuk mengikuti PSH dan menyertai aktiviti-aktiviti PSH.

Permintaan yang sentiasa berubah-ubah dalam kehidupan dan di tempat kerja memerlukan seseorang untuk memperoleh kemahiran menerusi PSH demi menyesuaikan diri dengan permintaan serta perubahan tersebut. Apakah kemahiran yang mereka perlukan untuk menjadi pelajar sepanjang hayat yang berjaya? Bagaimanakah mereka boleh mengembangkan kemahiran ini? Apakah yang boleh dilakukan untuk membantu pelajar membina dan mengukuhkan kemahiran berfikir secara kritikal, menyelesaikan masalah, kecelikan digital, pembelajaran, kerjaya dan kehidupan?


Insentif dan sokongan untuk program pembelajaran sepanjang hayat

Cabaran utama yang dihadapi oleh pelajar sepanjang hayat adalah kewangan. Keinginan untuk meneruskan pembelajaran mesti disokong dengan pelbagai pembiayaan dan insentif-insentif lain. Insentif dan sokongan jenis apakah yang diperlukan untuk memberikan motivasi yang berkesan kepada pelajar sepanjang hayat? Siapakah yang bertanggungjawab untuk menyediakan insentif serta sokongan ini? Adakah masyarakat mempunyai sumber yang mencukupi bagi usaha ini? Adakah polisi kewangan dan pencukaian kita sekarang mampu memberikan insentif serta sokongan untuk PSH? Akhir sekali, apa lagi yang perlu dilakukan di dalam bentuk pelaburan sosial untuk menyokong proses pembudayaaan PSH di Negara ini?

Jadual Seminar 

HARI PERTAMA: Isnin, 1 Disember 2014

8.00 – 9.00 pagi Pendaftaran
9.00 – 10.00 pagi  Majlis Perasmian (Timbalan Perdana Menteri/Menteri Pendidikan)
10.00 – 10.30 pagi Minum Pagi
10.30 – 11.30 pagi Ucaptama 1 (Menteri Pendidikan II)
11.30 pagi – 12.30 petang Sesi Parallel 1
12.30 – 2.00 petang Makan Tengah Hari
2.00 – 3.00 petang Ucaptama 2 (Menteri Belia dan Sukan)
3.00 – 4.00 petang Sesi Parallel 2
4.00 petang Minum petang


HARI KEDUA: Selasa, 2 Disember 2014)

9.00 – 10.00 pagi Ucaptama 3 (Presiden/Naib Canselor OUM)
10.00 – 10.30 pagi Minum Pagi
10.30 – 11.30 pagi Sesi Parallel 3
11.30 pagi – 12.00 t/hari Majlis Penutupan (KSU, KPM)
12.00 – 1.00 petang Makan Tengah Hari

sumber :  nslll 2014

Comments