patah

Terkilan piala anugerah patah!
Oleh Adam Salleh


Di sebalik rasa terharu, seniwati Datuk Rosnani Jamil terkejut kerana piala Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman (Wanita) yang diterimanya patah sebelum tiba ke tangannya!

Ketika ditemui di kediamannya di Kampung Janda Baik, Pahang, Rosnani juga sutradara dan produser tersohor ini mempersoalkan kualiti pembikinan piala sempena Festival Filem Malaysia Ke-26 (FFM26) itu seperti tidak bermutu walhal FFM sudah 26 kali diadakan.

"Ketika menerima piala anugerah itu dengan logonya tertanggal, rasa nak tergelak pun ada tetapi terkilan juga kerana mengapalah begitu murah piala itu? Tidak sampai 24 jam pun selepas malam anugerah FFM26, lainlah sekiranya logo di hujung piala itu tertanggal selepas setahun, " katanya.

Rosnani terkenal dengan watak Seri Mersing menerima anugerah itu bagi menghargai sumbangan dan pencapaiannya dalam bidang perfileman tanah air. Lebih setengah abad mengabdikan diri, Rosnani yang dilahirkan pada 20 Januari 1936 masih terus aktif sebagai insan seni.

Bagi anugerah sama untuk kategori lelaki diterima oleh Datuk Rahim Razali. Kedua-dua anugerah itu disampaikan oleh AR Badul dan Intan Ladyana. Bagaimanapun, Rosnani yang pernah menerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik FFM5 (1984) tidak dapat menghadiri malam anugerah FFM26 yang bersiaran secara langsung dari Auditorium Tunku Puan Chik Kompleks Penyiaran Tunku Muhammad, Sungai Gadut, Negeri Sembilan.

"Ikutkan jika ada majlis begini, saya tidak mahu ketinggalan walau duduk jauh di Janda Baik ini, sebagai tanda sokongan kepada penggiat filem kita. Cuma keadaan tidak mengizinkan, saya masih dalam edah baru kematian suami (Allahyarham Datuk Jamil Sulong), tidak sewajar keluar dari rumah.

"Saya dimaklum untuk menerima anugerah itu lima hari sebelum majlis. Saya sudah maklumkan mengenai keuzuran saya pada penganjur lalu menamakan anak saya (Anwardi Jamil) sebagai wakil. Saya berterima kasih di atas penghargaan cuma tidak seronoklah keadaan pialanya itu," katanya.

Suatu hal lagi tidak menyeronokkan Rosnani, ketika sesi deklamasi sajak oleh Fauziah (Ogy) Datuk Ahmad Daud, slide gambar seniman dan seniwati tanah air yang sudah kembali ke rahmatullah dipaparkan namun fakta mengenai beberapa artis terutama Jamil Sulong tidak tepat.

"Terkejut juga apabila catatan kematian arwah suami dipaparkan 1928-2013, sedangkan dia dilahirkan pada 1926 dan meninggal dunia pada 25 Oktober 2014. Begitu juga ketika gambar Latiffah Omar dipaparkan tercatat di situ Datuk Latiffah Omar, setahu saya Latiffah tiada gelaran Datuk.

"Bukan niat mahu rungut apa-apa nanti orang kata saya banyak cakap. Cuma apa yang saya tegur itu satu pandangan sebagai ibu kini sudah menjadi nenek pun, agar berhati-hati dengan apa jua catatan yang kita paparkan kerana ia menjadi bahan kajian generasi akan datang," katanya.

Mengenai kerosakan pada piala anugerah kata Rosnani, hal itu sudah dimaklumkan kepada Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) dan salah seorang pegawainya berjanji mengambil kembali piala itu dan menampal gam pada logo FFM26 yang patah dan tertanggal itu.

Sejak kematian suami, Rosnani banyak menghabiskan masa di Janda Baik, apatah lagi pusara Jamil tidak jauh dari kediaman mereka. Lebih setengah abad hidup bersama sejak 12 November 1953, Rosnani sukar menidakkan bukan mudah untuk melupakan Jamil Sulong begitu saja.

"Suasana di sini cukup mendamaikan, sesuai dengan nama kediaman ini iaitu Harmoni. Jika teringat dan ada masa lapang, saya akan menziarahi pusara suami. Jika semuanya sudah OK dan ada urusan di Kuala Lumpur, baru saya kembali ke apartmen anak di Bandar Utama itu," katanya.


myMetro


SENARAI PENUH KEPUTUSAN MALAM KEMUNCAK FFM26, 2014
1 November 2014


FILEM BOX OFFICE FFM 26
- Filem Husin, Mon & Jin Pakai Toncit, arahan Mamat Khalid
- Terbitan Tayangan Unggul.

ANUGERAH KESAN KHAS
Tanda Putera

PELAKON HARAPAN WANITA
Christina Suzanne ; KIL

PELAKON HARAPAN LELAKI
Zul Ariffin ; Penanggal

ANUGERAH KARYAWAN SEPANJANG ZAMAN WANITA
Datin Rosnani Jamil

ANUGERAH KARYAWAN SEPANJANG ZAMAN LELAKI
Dato' Hj. Rahim Razali

ANUGERAH PENYUNTING TERBAIK
Syamsul Yusof & Hisham Jupri ; KL Gangster 2

ANUGERAH LAKON LAYAR TERBAIK
Nik Amir Mustapha ; KIL

ANUGERAH SINEMATOGRAFI TERBAIK
Raja Mukhriz ; Penanggal

ANUGERAH CERITA ASAL TERBAIK
Mamat Khalid ; Rock Oo

ANUGERAH PELAKON PEMBANTU WANITA TERBAIK
Datin Paduka Ummie Aida ; Sembunyi Amukan Azazil

ANUGERAH PELAKON PEMBANTU LELAKI TERBAIK
Dato' Rosyam Nor ; KL Gangster 2

ANUGERAH PELAKON WANITA TERBAIK
Lisa Surihani ; Istanbul Aku Datang

ANUGERAH PELAKON LELAKI TERBAIK
Rusdi Ramli ; Tanda Putera

ANUGERAH FILEM BUKAN BERBAHASA MELAYU TERBAIK
Filem Paper Moon

ANUGERAH PENGARAH TERBAIK
Nik Amir Mustapha ; KIL

FILEM TERBAIK
Filem KIL : Primeworks Studios : Nik Amir Mustapha


SENARAI PEMENANG DI MALAM PERASMIAN FFM26
29 OKTOBER 2014

Poster Terbaik
1. KIL

Pereka Kostum/Busana Terbaik
1. Tanda Putera

Pelakon Kanak-Kanak Terbaik
1. Rykarl Iskandar: Ajiboy (pemenang)

Lagu Tema Terbaik
1. Istanbul Aku Datang

Penataan Bunyi Terbaik
1. KL Gangster 2

Penataan Seni Terbaik
1. Penanggal

Pengarah Harapan
1. Ellie Suriaty: Penanggal

Filem Pendek Terbaik
1. Reservoir Production

Filem Animasi Terbaik
1. Fakulti Teknologi Kreatif Dan Warisam (UMK)
2. Thumbs Up Team
3. El Videographics
Juri memutuskan tiada pemenang dalam kategori ini.

Skor Muzik Asal Terbaik
1. Tanda Putera (pemenang)

Penggiat Belakang Tabir
1. Encik Ali Hussein (Ali Kong)

Comments