Naskah Berkualiti Ke Layar Adaptasi

ADAPTASI novel ke layar perak (filem) atau kaca televisyen (drama) bukan lagi fenomena baru dalam industri tempatan. Pada tahun 1958 karya Harun Aminurashid, Cinta Gadis Rimba (Virgin of Borneo) diadaptasikan ke layar perak. Antara novel di Malaysia yang pernah diadaptasi ke filem adalah :  Ianya termasuk Rumah Itu Duniaku (1964) karya Hamzah Hussein, Bukan Salah Ibu Mengandung (1969) judul asal Memang Nasib Celaka Badan, Kalau Berpaut Di Dahan Rapuh (1971) (Harun Hassan), Langit Petang (1982) (A Samad Said), Ranjau Sepanjang Jalan (1983) (Shahnon Ahmad), Mira Edora (1990) (Khadijah Hashim), Black Widow Wajah Ayu (1994) (Raja Azmi) dan Jogho (1997) (S Othman Kelantan).

Tiba-tiba kerancakan adaptasi muncul kembali dalam industri seni tanah air sama ada ke layar perak atau drama televisyen. Pada  2010, Sharad Sharan  mengangkat karya Ahadiat Akashah, Lagenda Budak Setan, ke layar besar.  Kisah cinta antara Kasyah dan Ayu ini menghasilkan kutipan sehingga RM4.3 juta sepanjang tempoh tayangan

Osman Ali memilih novel Fauziah Ashaari, Ombak Rindu, ke layar perak sehingga berjaya menempatkan filem ini sebagai filem box office dan mengutip hampir RM11 juta. Selain itu, filem hebat gandingan Aaron Aziz dan Maya Karin ini turut diberi pengiktirafan oleh Astro menerusi Anugerah Blockbuster dalam kategori Anugerah Astro First Terhebat.

Adaptasi novel ke filem semakin rancak antaranya  Adam dan Hawa, Setia Hujung Nyawa, Bicara Hati, Sehangat Asmara, Gemersik Kalbu, Jauh, Jendela Hati, Trilogi Cinta, Kasih Yang Suci, Tangisan Bulan Madu, Teduhan Kasih dan Stanza Cinta. Ada pula yang dijadikan drama bersiri seperti Kampung Girl, Jodoh Itu Milik Kita dan Love You Mr Arrogant.

Senarai yang semakin panjang ini ditambah dengan karya-karya seperti : Suami Aku Ustaz, Suami Yang Ku Benci, Manisnya Cinta, Perempuan Lindungan Kaabah, Lelaki Eksklusif, Projek Memikat Suami, One Day You'll Be Mine, Suamiku Encik Perfect 10 dan The Wedding Breaker, Dulu Benci Sekarang Suka, Aku Benci Kau, Saya Tetap Nak Awak, Ops! Zulaikha, I Love You Cikgu, Pengantin Express, Pudina Cinta, Kata Tak Rindu, Dia Tunang Aku, Suamiku Encik Sotong.





Adaptasi ini sebenarnya berjaya melebarkan karya sastera  ke dalam media baru yang lebih menarik. Ia juga memberi peluang kepada karyawan dan penggerak seni untuk bergiat aktif dalam produksi. Ia juga membawa kepada beberapa aktiviti seni yang dapat membantu penghasilan filem atau drama televisyen yang lebih baik seperti Pertandingan Menulis Skrip Adaptasi sehingga  ke aktiviti yang terbaru Seminar Hak Cipta 2014 bertemakan Dari Novel ke Skrin yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka

Amat menarik dalam kerancakan karya-karya adaptasi ini muncul menemui khalayak, banyak pandangan berguna dibincangkan bukan sahaja untuk kepentingan kualiti dan mutu filem atau drama tetapi genre karya sastera yang akan diadaptasi. Pengerusi Media Prima Berhad (MPB), Tan Sri Johan Jaaffar, berkata negara memiliki banyak karya sastera yang berpotensi difilemkan, seperti Tulang-tulang Berserakan karya Sasterawan Negara (SN), Datuk Usman Awang dan Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (SN, Datuk Dr Anwar Ridhwan) Masalahnya masih ada ‘ketakutan’ dalam kalangan penggiat seni, yang menganggap karya sastera membawa isu berat hingga boleh memberi kesan kepada jumlah penonton. Jalan penyelesaiannya ialah kerjasama erat antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan karyawan seni untuk menganjurkan bengkel adaptasi.

Tambah Johan lagi amat wajar bagi karyawan seni mengenal pasti karya terbaik yang sesuai diangkat ke layar perak. Karyawan seni perlu mempersiapkan diri untuk bekerja lebih masa dan jangan ambil mudah pengisian filem kerana era membuat filem syok sendiri sudah berakhir. Beliau mengambil contoh filem Indonesia sering mengangkat karya sastera untuk difilemkan, antaranya Soegija, Laskar Pelangi dan Ayat-ayat Cinta, yang menerima sambutan hangat di negara itu.

Tiba masanya kita dapat menyaksikan buah karya yang berimpak tinggi dari segi mutu dan mengandungi nilai seni yang berkualiti yang boleh dibawa jauh dari batas sempadan negara.

Kita menunggu detik itu tiba, agar karya adaptasi bukan lagi bersandar pada novel picisan semata-mata tetapi turut membawa karya-karya bermutu yang dapat mengembalikan sinar seni yang gemilang


Sastera sebagai sumber filem
Oleh RASDAN AHMAD
 09 November 2014

Ranjau Sepanjang Jalan novel karya Shahnon Ahmad diadaptasi ke filem


SASTERA dan filem saling berkait antara satu dengan lain walaupun sastera pada relatifnya jauh lebih awal berbanding filem yang dicipta pada 1896 oleh Lumiere di Paris, Perancis. Kedua-dua seni ini saling memerlukan dan sastera ternyata telah dimanfaatkan untuk mengangkat filem menjadi satu genre seni yang berpengaruh.

Kewujudan sastera dalam filem bukanlah perkara baharu malah menjadi satu prasyarat bahawa sebahagian besar filem yang hebat diadaptasi daripada karya sastera yang juga hebat. Salah sebuah karya teater oleh Shakespeare, misalnya Othello telah difilemkan oleh Moskwa, kemudian diikuti dengan naskhah-naskhah Shakespeare yang lain seperti Hamlet.

Hamlet adalah naskhah teater Shakespeare yang paling lama dan paling banyak diadaptasi ke filem dan siri televisyen. Naskhah yang berpengaruh dalam kesusasteraan Inggeris terus menjadi sumber bagi filem-filem Hollywood, antaranya pengarah Laurence Olivier menghasilkan filem Hamlet pada 1946, filem pertama adaptasi daripada karya agung ini.

Pada 1996 naskhah Hamlet menjadi pilihan pengarah Kenneth Branagh untuk difilemkan tetapi tidak berlatarkan zaman klasik seperti karya asal oleh Shakespeare. Filem Lord of the Ring juga diadaptasikan dari karya sastera.

Walaupun buku itu mendapat perhatian luar biasa tetapi kandungannya dianggap antara yang paling sukar untuk difilemkan. Pembikin filem, Ralph Bakshi cuba menggunakan animasi dan lakonan pada tahun 1978 tetapi hasilnya tidak begitu memuaskan. Peter Jackson mempunyai teknologi dan kemahiran secukupnya untuk menjadikan filem adaptasinya pada tahun 2001 hingga 2003, sebuah filem yang hebat.

Antara tahun 1935 dan 1945, sebanyak 976 filem atau 17.2 peratus filem di Hollywood di adaptasi daripada novel. Dua filem yang paling diingati sepanjang zaman dalam sejarah perfileman dunia ialah Birth of a Nation dan Gone With the Wind. Filem Appocalypse Now arahan Francis Ford Coppola diadaptasi daripada novel Heart of Darkness karya Joseph Conrad. Novel tersebut menceritakan pengalaman Conrad sendiri mengenai masalah penghambaan orang kulit hitam yang berlaku di Congo pada awal abad ke-19.

Pengarah tersohor Malaysia, U-Wei Haji Saari pula mengadaptasi sebuah lagi novel hebat Conrad berjudul Almayer’s Folly menjadi filem Hanyut yang kini sedang ditayangkan di Indonesia.

Ternyata karya sastera terus mendapat perhatian daripada pengarah filem. Novel klasik karya Jane Austen, Sense and Sensibility difilemkan oleh pengarah berasal Taiwan, Ang Lee. Banyak pengkritik memuji adaptasi oleh Ang Lee walaupun dia dari Asia tetapi berjaya menghasilkan filem yang berlatarkan zaman Victoria di Eropah pada kurun ke-18.

Perkata kali Sense and Sensibility diadaptasi sebagai siri televisyen pada 1971 arahan Rodney Bennet, kemudiannya pada 1995 oleh Ang Lee yang dianggap sebuah karya adaptasi sastera yang berjaya. Sense and Sensibility juga turut diadaptasi dalam versi Tamil yang diberi judul, Kandukondain Kandukondain yang diterbitkan pada 2000 dan dilakonkan oleh Aishwarya Rai Bachchan.

Naskhah

Mengambil sumber daripada karya sastera juga bukan perkara baru dalam industri filem tempatan. Misalnya filem Istana Berdarah arahan Hussein Hanif diadaptasi daripada naskhah Macbeth oleh penulis skrip Ali Aziz. Filem Kalung Kenangan juga arahan Hussein diadaptasi naskhah teater klasik Greek berjudul Oedipus. Hussein juga mengadaptasi Hikayat Hang Tuah menjadi filem Jebat yang dilihat jauh lebih hebat berbanding filem Hang Tuah arahan pengarah India, Phandi Majundar.

Hussein memberikan tafsiran baharu terhadap watak Jebat kerana dalam sejarah Melayu, Jebat adalah penderhaka tanpa dipersoalkan lurus bendul Hang Tuah. Hussein memberikan watak wira kepada Jebat kerana menuntut keadilan untuk saudaranya Hang Tuah yang dihukum mati oleh Sultan Melaka.

Filem-filem awal seperti Batu Belah Batu Bertangkup, Megat Terawis, Panji Semerang, Si Tanggang, Hang Jebat, Seri Mersing, Puteri Gunung Ledang, Badang dan Raja Bersiong diambil daripada cerita rakyat Melayu.

Filem semasa, Magika terbitan KRU Studio juga berani mengambil beberapa kisah sastera rakyat Melayu antaranya Hikayat Pak Pandir dengan bantuan peralatan serta teknologi moden seperti CGI dan pelbagai lagi.


Dalam Sejarah Melayu misalnya terdapat puluhan cerita yang sesuai difilemkan, daripada kisah perjalanan Raja Suran, Tun Jana Khatib, Singapura Dilanggar Todak, Sultan Muzafar Syah, Puteri Gunung Ledang, Hang Tuah, Bendahara Tun Perak, Tun Ali, Tun Kudu dan banyak lagi.

Kita juga perlu melihat karya-karya penting dalam sastera Melayu seperti Panglima Awang (Harun Aminurashid), Salina (A. Samad Said), Tulang-tulang Berserakan (Usman Awang), Sandera (Arenawati) dan banyak lagi sebagai sumber filem Melayu. Tidak perlu mengambil sastera Barat seperti Vikingdom yang diarahkan oleh Yusri Abdul Halim.

Pujian boleh diberikan kepada Sabri Yunus yang mengambil novel karya Hari-hari Terakhir Seorang Seniman karya Anwar Ridhwan ke dalam bentuk telefilem.

Karya sastera telah teruji dan melalui proses pencerahan dan penilaian yang luar biasa. Maka dengan sendirinya, karya-karya ini menunjukkan kekuatan yang khusus daripada aspek jalan cerita, perwatakan atau sudut pandangan.

Apa yang diperlukan ialah menafsirkan semula untuk medium filem. Proses ini sukar dan menyulitkan. Tetapi ini adalah salah satu cara untuk mengatasi filem-filem Melayu yang kosong wacana dilambak ke panggung kita.

utusan online


Sri Diah: Jumlah adaptasi novel meningkat
AKMALIAH RAZAK
6 Julai 2014




PEMILIHAN adaptasi novel ke layar perak (filem) atau kaca televisyen (drama) bukan lagi fenomena baru dalam industri tempatan.

Gaya kerja adaptasi ini sudah mula dipraktikkan sejak 1958 lagi, namun ianya dilihat tidak begitu meluas seperti kini.

Namun, kejayaan pengarah, Osman Ali dalam mempertaruhkan novel nukilan, Fauziah Ashaari, Ombak Rindu, ke bentuk layar perak berjaya menempatkan filem ini sebagai filem boxoffice dan mengutip hampir RM11 juta.

Menjadikan Ombak Rindu sebagai pembakar semangat, kini ramai dalam kalangan produksi mula berhempas pulas memilih karya hebat untuk dijadikan bahan adaptasi.

Antara karya yang telah dipilih untuk diangkat sebagai drama bersiri termasuk Adam dan Hawa, Setia Hujung Nyawa, Bicara Hati, Sehangat Asmara, Gemersik Kalbu, Jauh, Jendela Hati, Trilogi Cinta, Kasih Yang Suci, Tangisan Bulan Madu, Teduhan Kasih dan Stanza Cinta.

Melihat kepada sambutan penonton terhadap drama-drama adaptasi, novel terbitan Kumpulan Media Karangkraf (Alaf 21), nukilan Liyana Zahim, Rindu Awak 200%, bakal dibawa ke layar.

Drama adaptasi 28 episod ini bakal disiarkan bermula 14 Julai ini, selepas berakhirnya drama bersiri, Kerana Terpaksa Aku Relakan.
Menurut Pengurus Besar Penerbitan, Grup Buku Karangkraf, Sri Diah Shaharuddin, yakin drama adaptasi ini bakal mengumpul peminat yang tersendiri.

"Sehingga kini, banyak drama-drama adaptasi daripada novel terbitan Alaf 21 yang berjaya memikat selera penonton.

"Malah, diharapkan drama ini juga berjaya seperti drama yang lain," katanya.

Drama ini merupakan terbitan, Creative Skill Solution, yang menampilkan Zul Ariffin dan pendatang baharu, Ayda Jebat.

Selain itu, drama ini juga turut dijayakan barisan pelakon termasuk, Mimi Ernida, Zuhairi, Jonathan Putra, Adeline Tsen, Karl Shafek Ibrahim, Afzan A.Rahman, Fazahmaddaud dan Fathildani.

Perubahan syarat

Bertanya mengenai proses bayaran, Sri Diah memberitahu, terdapat sedikit perubahan dalam perjanjian dengan setiap produksi.

Katanya, pada sebelum ini, syarikat menetapkan jumlah bayaran, RM10,000 bagi setiap karya yang diberi mandat.

"Kini, kami tidak menetapkan sebarang bayaran tetap. Ianya bergantung kepada proses perbincangan antara syarikat dan penerbit.

"Namun, perjanjian bersama syarikat dan penulis masih kekal seperti dulu iaitu 60 peratus untuk syarikat sebagai tujuan promosi, iklan serta majlis ramah mesra bersama penulis dan pelakon.

"Selebihnya, 40 peratus adalah untuk penulis karya itu sendiri sebagai imbuhan sampingan," katanya lagi.

Selain nilai itu, penulis juga akan meraih keuntungan apabila novel itu dicari pembaca apabila karya berkenaan diulang cetak.

Tambah Sri Diah, syarikat akan memainkan peranan utama dalam merangka promosi menerusi beberapa platform.

"Kami akan bertanggungjawab dalam membuat hebahan secara 'all out'. Beberapa platform akan digunakan termasuk majalah terbitan, akhbar Sinar Harian, laman sosial (Facebook) dan (Twitter)," jelasnya.

Makin banyak buku diadaptasi

Sejak fenomena adaptasi ini mula diperluaskan, Karangkraf menjadi salah satu syarikat penerbitan yang sering kali dipilih pihak produksi.

Melihat kepada kejayaan drama-drama adaptasi terdahulu termasuk Sehangat Asmara, Bicara Hati, Setia Hujung Nyawa dan Nora Elena, pihak produksi tidak lagi ragu-ragu akan kemampuan karya-karya terbitan Karangkraf.

Menurut Sri Diah, sehingga kini sebanyak 92 karya novel telah dilamar pihak produksi untuk diangkat sebagai filem, telemovie dan drama bersiri.

"Selepas Rindu Awak 200%, beberapa drama lain akan diterbitkan iaitu Bila Hati Berbicara, Adam & Hawa 2 dan Manisnya Cinta.

"Alhamdulillah tahun ini, lamaran daripada pihak produksi meningkat berbanding tahun sebelum ini.

"Diharapkan agar bilangan ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa," jelasnya lagi.

sinar harian


Seminar Hak Cipta: Dari Novel ke Skrin


Tan Sri Johan Jaaffar menyampaikan Ucap Utama dalam Majlis Perasmian Seminar Hak Cipta: Dari Novel ke Skrin

BERSEMPENA dengan sambutan ulang tahun DBP ke-58, pelbagai kegiatan telah diatur sepanjang bulan Jun, antaranya Seminar Hak Cipta: Dari Novel ke Skrin yang telah diadakan pada 10-11 Jun 2014 yang lalu.

Seminar Hak Cipta: Dari Novel ke Skrin yang dianjurkan oleh DBP dengan kerjasama Media Prima Berhad bertujuan untuk memberi kesedaran kepada penulis karya, penulis skrip dan penerbit tentang hak dan tanggungjawab masing-masing dalam pengurusan harta intelek dan undang-undang berkaitan. Selain itu, objektif program adalah untuk membincangkan potensi karya tempatan untuk dikembangkan melalui urus dagang hak cipta serta membincangkan isu-isu semasa dan cabaran yang dihadapi penulis atau penerbit dalam penerbitan karya bercetak ke skrin.



Sebahagian peserta Seminar Hak Cipta

Seminar yang berlangsung selama dua hari ini dirasmikan oleh YBhg. Datuk Dr. Awang bin Sariyan, Ketua Pengarah DBP. Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Profesor Dr. Zaharani Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Encik Kamarul Zaman bin Shaharudin serta Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Seelan Paul. Dalam ucapan perasmian, YBhg. Datuk Dr. Awang menyatakan kerjasama DBP-Media Prima amat penting bagi mengangkat karya sastera supaya tidak hanya dibaca oleh golongan tertentu.


Sesi pembentangan kertas kerja

Majlis perasmian disempurnakan dengan penyampaian Ucap Utama oleh YBhg. Tan Sri Johan bin Jaaffar, Pengerusi Media Prima Berhad. Beliau menyatakan bahawa negara mempunyai banyak karya sastera yang berpotensi untuk dibawa ke layar perak. Sastera klasik seperti Hikayat Hang Tuah serta novel atau cerpen seperti Rumah Itu Duniaku, Langit Petang dan Ombak Rindu merupakan contoh karya sastera yang telah diadaptasi ke skrin. Beliau juga menyatakan para penggiat seni seharusnya tidak merasa terbeban atau sukar mengadaptasi karya sebegini kerana menganggap karya sastera mempunyai tema yang berat dan tidak akan mendapat sambutan daripada khalayak umum.


Sesi Forum “Pengurusan Harta Intelek”

Sebanyak enam kertas kerja telah dibentangkan serta tiga sesi forum telah berlangsung sepanjang dua hari seminar diadakan. Antara isu dan topik yang dibincangkan adalah berkaitan hak cipta dan perundangan, senario dan cabaran masa depan karya bercetak, pengurusan harta intelek, kaedah dan potensi industri kreatif dalam drama adaptasi serta hala tuju industri drama di Malaysia. Para pembentang dan ahli panel terdiri daripada pensyarah, penerbit filem, pelakon, penulis skrip dan juga pihak yang terlibat secara langsung dalam industri penerbitan.

Seminar diakhiri dengan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara DBP dengan Primeworks Studios Sdn. Bhd. untuk mengadaptasi karya sastera negara yang berkualiti ke layar filem atau drama. Usaha ini dilihat sebagai salah satu kaedah untuk mendekatkan masyarakat dengan karya sastera tanah air, sekali gus dapat mengembangkan sastera ke peringkat yang lebih tinggi.
Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara DBP dengan Primeworks Studios Sdn. Bhd.

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara DBP dengan Primeworks Studios Sdn. Bhd.

Seminar yang menghimpunkan para ilmuwan serta pihak yang terlibat secara langsung dalam industri penerbitan buku dan penyiaran ini diharapkan dapat menjadi wahana untuk meningkatkan kesedaran serta mengemukakan pandangan berkaitan isu hak cipta, khususnya daripada naskhah bercetak ke skrin.


klikweb dbp 



Sayembara 2012 Dewan Bahasa Dan Pustaka

Penulis : Ida Sofea Mohamed
Foto: Zaharah Md Jaferi


KUALA LUMPUR, 15 Mei 2012 - Bertempat di Dewan Bankuet, Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama FINAS dan FDAM telah diadakan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Menulis Karya Adaptasi Novel ke Filem dan Pelancaran Sayembara DBP 2012. Majlis gilang gemilang ini telah dirasmikan oleh YB Senator Datuk Maglin Dennis D’Cruz, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi, Dan Kebudayaan Malaysia.


Pertandingan Menulis Karya Adaptasi Novel ke Filem ini bertujuan untuk memilih skrip lakon layar terbaik yang diadaptasi daripada novel tempatan disamping menggalakkan penghasilan lebih banyak skrip adaptasi dalam seni perfileman negara yang mempunyai kualiti cerita yang baik dan menarik. Skrip yang diadaptasi daripada novel merupakan antara kaedah yang digunakan oleh penerbit filem untuk mendapatkan cerita filem yang baik dan bermutu kerana sesebuah novel itu telah teruji dari aspek kekuatan penceritaannya.


Dalam pertandingan ini, tempat pertama dimenangi oleh Siti Jasmina Ibrahim yang mengadaptasi novel bejudul Bedar Sukma Bisu karya Faisal Tehrani yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM15,000.00. Tempat kedua pula dimenangi oleh Anwar Idris dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM8,000.00 hasil dari adaptasi novel berjudul Interlok karya Abdullah Hussain. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Nornasyiha Hamid atad adaptasi novel yang sama iaitu, Interlok, dan membawa pulang wang tunani berjumlah RM5,000.00.

Dalam majlis ini, turut diadakan penyampaian hadiah untuk Sayembara Menulis Skrip Drama Pentas 2011 yang mana dianjurkan bagi membina citra penulisan profesional penulis skrip drama pentas yang berkualiti untuk tujuan penerbitan dan pementasan. Selain bermatlamat untuk menyemarakkan seni teater tanah air melalui pementasan drama yang bermutu, sayembara ini juga merupakan medium bagi melahirkan lebih ramai pelapis bagi mewarnai persada teater tanah air.

Untuk pertandingan ini pula, tiga pemenang telah dipilih berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Pemenang pertama untuk Sayembara Menulis Skrip Drama Pentas 2011 ini dimenangi oleh Aina Nabila Ahmad dengan hasil karya bertajuk, Ini Rumah Kita dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM8,000.00. Hasil karya dari Ismail Kassan yang bertajuk Jambatan Merah memenangi tempat kedua dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000.00. Manakala tempat ketiga disandang oleh Siti Jasmina Ibrahim dengan hasil karyanya yang bertajuk Lelaki-lelaki di dalam Kawah dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000.00.

YB Senator Datuk Maglin Dennis D’Cruz dalam ucapannya mengucapkan setinggi tahniah kepada para pemenang pertandingan ini. “Semoga kemenangan ini akan menjadi pendorong kepada anda semua untuk terus menghasilkan karya yang hebat kepada masyarakat,” tambah beliau.

Selain itu turut diadakan Pelancaran Sayembara 2011.Antara yang dipertandingkan adalah seperti Sayembara Menulis Skrip Citra Malaysia, Sayembara Menulis Karya Adaptasi Novel ke Drama TV, Sayembara Menulis Skrip Drama Pentas Berunsur Islam, Sayembara Menulis Skrip Drama Pendek, Pertandingan Pidato (Youtube) dalam Kalangan Remaja Negara Anggota MABBIM, Pertandingan Penulisan Artikel dalam Kalangan Remaja Negara Anggota MABBIM, dan Pertandingan Lagu Puisi (Youtube) dalam Kalangan Remaja Negara Anggota MABBIM.


Majlis ini berakhir dengan jayanya dan membuka mata semua pihak khususnya golongan karyawan untuk terus berusaha menghasilkan karya bermutu dan kreatif disamping memberi sumbangan dan idea-idea baru kepada industri pada masa akan datang.

finas




Comments