kerelaan jiwa

Kumpul pakaian bantu orang miskin
Wartawan Sinar Harian
6 November 2014


Abd Aziz dan Aminah memilih pakaian yang boleh disumbangkan kepada orang ramai. Abd Aziz dan Aminah memilih pakaian yang boleh disumbangkan kepada orang ramai.



KUALA NERANG - Seorang pesara kerajaan sanggup mengumpul pakaian terpakai bagi membantu penduduk miskin di sekitar Padang Terap.

Abd Aziz A Lateh, 60, berkata, jiwanya masih ingin berbakti kepada masyarakat dengan cara mewujudkan stesen pakaian terpakai Bundle Free di hadapan rumahnya, di Kampung Barokas.

“Saya berbuat demikian kerana kedudukan rumah terletak di tepi jalan utama dan mudah untuk mereka singgah dan mengambilnya," katanya yang juga bekas Ketua Sektor Jabatan Pelajaran Negeri Kedah.

Abd Aziz berkata, orang ramai boleh mengambil pakaian sebanyak mungkin di Bundle Free.

“Ada juga yang hantar pakaian terpakai mereka ke Bundle Free. Setiap kali ada pihak hantar pakaian, saya dan isteri, Aminah Musa, 58, akan memilihnya terlebih dahulu untuk pastikan ia boleh dipakai.

"Pakaian tersebut akan dicuci terlebih dahulu sebelum digantung bagi memudahkan orang ramai memilihnya," katanya yang mula membuka Bundle Free sejak tahun lalu.

Menurutnya, tiada had untuk mengambil pakaian kerana semuanya itu adalah sumbangan orang ramai.

Kata Abd Aziz, hatinya pernah tersentuh apabila sebuah keluarga datang memilih pakaian hari raya Ramadan lalu.

“Bapa keluarga itu bertanya sama ada pakaian ini dikenakan bayaran. Saya maklumkan, ia adalah percuma dan mereka boleh mengambilnya.

"Selepas itu, dia terus memeluk anaknya dan menyatakan tahun itu mereka ada pakaian baharu untuk Aidilfitri,” katanya.

Bundle Free itu dibuka dari jam 7 pagi hingga 7 malam dan purata yang datang mengambil pakaian itu ialah antara 10 hingga 15 orang sehari.

Abd Aziz berkata, pada masa hadapan dia bercadang membuka tempat air bertapis secara percuma kepada sesiapa mahukan air yang lebih bersih dan baik.

Mereka boleh singgah untuk minum atau membawa pulang air yang sudah ditapis itu.

“Saya mengalu-alukan jika ada pihak yang ingin menghulurkan pakaian terpakai bolehlah emel kepada aziz_lateh54@yahoo.com atau hubungi talian 019-4440079,” katanya.

sinar harian

Comments