Hutang Pada Usia Muda

Desakan apakah yang menjadikan seseorang itu berhutang pada usia masih muda - alam persekolahan? Apakah hutang itu untuk membeli buku-buku dan keperluan sekolah? Atau berhutang kerana semata-mata mahu mengejar arus gaya hidup masa kini seperti memiliki telefon bimbit yang cangih? 

Berhutang pada usia muda. Sesuatu yang mengejutkan dan membimbangkan. Amalan menabung dan menyimpan seringkali diajarkan agar kanak-kanak memahami maksud berjimat cermat, bijak berbelanja, dan berdikari. Tapi masih ada yang sudah memilih untuk berhutang pada usia yang masih muda. Inilah titik renungan kita bersama. Buruan hidup yang membimbangkan sedang mengejar genrasi muda kita ....


Tabiat kanak-kanak berhutang membimbangkan


Memiliki telefon bimbit boleh menyumbang sikap boros dalam kalangan pelajar sekolah. – Gambar hiasan

Sesuatu yang mengejutkan apabila Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2013 mendapati nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi paras 86.8 peratus.

Peratusan itu secara tidak langsung menjadikan Malaysia antara negara yang mempunyai kadar hutang isi rumah tertinggi di rantau Asia Pasifik bagi tahun tersebut.

Biar apapun tujuannya, tidak dinafikan bahawa berhutang bukan menjadi satu kesalahan. Dalam konteks kehidupan hari ini, sesuatu yang mustahil bagi seseorang individu membeli barang tertentu secara tunai.

“Bagaimanapun, masalahnya apabila ada yang terlupa mengukur baju di badan sendiri sehingga berbelanja me­lebihi kemampuan,” kata Ketua Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohamad Fazli Sabri.

Akibat tersalah percaturan, boleh dikatakan hampir separuh daripada pendapatan isi rumah digunakan untuk membayar hutang sehingga ada yang akhirnya diisytihar muflis.

Lebih membimbangkan, hasil kajian Mohamad Fazli mendapati tabiat itu kini merebak dalam kalangan kanak-kanak.

Kajian yang mengambil masa selama dua tahun itu mendapati 80 peratus kanak-kanak berusia bawah 12 tahun terjebak dengan budaya memberi hutang dan berhutang.

Meminjam

Kajian yang dijalankan pada Ogos 2012 itu membabitkan 800 responden dalam kalangan pelajar tahun empat dan lima meliputi lima buah negeri.

Dipilih mengikut zon, kajian itu melibatkan dua buah sekolah di setiap negeri iaitu Kedah, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah bertujuan mengkaji tahap literasi, kompetensi dan sosialisasi murid sekolah rendah mengenai kewangan.

“Jumlah 80 peratus itu termasuk mereka yang pernah meminjamkan wang kepada rakan ataupun meminjam wang daripada rakan.

“Menjadi persoalan, bagaimana kanak-kanak ini sudah pandai berhutang? Saya rasa, ini membimbangkan dan perlu diambil perhatian,” katanya.

Situasi itu dianggap sebagai satu keadaan yang serius sekiranya tidak dibendung segera kerana ia akan menyebabkan kanak-kanak itu membesar dan mengadaptasikan budaya hutang dalam kehidupan seharian.

Ada kemungkinan besar, ia menyumbang kepada peningkatan jumlah golongan diisytiharkan muflis.

Rakyat Malaysia yang diisytiharkan muflis bagi tahun 2007 hingga tahun lepas berdasarkan kepada rekod Jabatan Insolvensi Malaysia ialah 122,169 orang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri baru-baru ini menyuarakan kebimbangannya berhubung pe­ningkatan dalam bilangan belia yang diisytiharkan muflis. Seramai 579 daripada 12,381 orang yang diisytiharkan muflis dalam enam bulan pertama 2014 terdiri daripada golongan belia.

“Ini baru sekolah rendah. Jika mereka hendak meminjam, sepatutnya timbul rasa malu tetapi mereka sudah tidak rasa apa-apa pun. Jadi, saya rasa ada sesuatu tidak kena di sini.

“Kita tidak menganggap ia sebagai satu kesalahan tetapi mereka masih muda. Pada usia seperti itu, mereka sepatutnya memperbanyakkan simpanan,” katanya.

Biarpun kajian itu mendapati majoriti kanak-kanak itu mempunyai akaun simpanan, amalan menyimpan dalam kalangan responden adalah tidak memuaskan. Ini kerana, hanya 11.7 peratus didedahkan dengan kebaikan menyimpan pada usia bawah tiga tahun.

Kebanyakannya, mula diberi pendedahan menyimpan pada usia lebih tujuh tahun selain tidak mempunyai tabiat simpanan yang tetap.

Mengapa mereka berhutang? Apakah puncanya? Apakah yang menarik perhatian mereka sehingga perlu berhutang? Mengulas persoalan ini, beliau berkata, semuanya berpunca daripada sikap ‘boros berbelanja’.

Telefon bimbit

Tahap pengetahuan kewangan kanak-kanak yang rendah menyebabkan mereka tidak dapat membezakan antara ke­perluan dan kehendak.

Kajian itu mendapati lebih satu pertiga responden mengklasifikasi telefon bimbit sebagai satu daripada keperluan yang wajib mereka miliki.

Malahan, hampir 60 peratus responden sudah memiliki telefon bimbit. Walhal, dalam umur sedemikian, telefon bimbit bukanlah satu keperluan.

“Disebabkan mereka tidak dapat membezakan keperluan dan kehendak, ada yang mempunyai matlamat me­nyimpan untuk membeli telefon bimbit dan pelbagai jenis gajet.

“Memiliki gajet seperti ini boleh menyumbang kepada sikap boros kerana dia mungkin menghabiskan wang sakunya untuk menambah nilai kad prabayar,” katanya.

Mereka sanggup meminjam wang rakan untuk tambah nilai kerana takut meminta daripada ibu bapa.

Keseronokan mengakses internet selain terpengaruh mengundi talian, pemberian gajet adalah sesuatu bahaya sekiranya tidak dikawal, kata beliau.

Selain itu, beliau melihat penjualan makanan dan minuman di luar perkarangan sekolah antara punca kanak-kanak ini boros berbelanja. Mereka cenderung membeli aiskrim, jeruk, makanan ringan, nuget goreng dan burger yang mudah didapati di luar sekolah.

Ada juga yang tertarik membeli sesuatu makanan ringan itu semata-mata ingin memiliki permainan.

“Menyedihkan, apabila kanak-kanak sanggup tidak makan masa rehat kerana ingin berbelanja di luar pagar sekolah. Makanan seperti nuget, aiskrim bukannya murah. Jadi, tidak mustahil ada berhutang kawan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menyalahkan ibu bapa dalam permasalahan ini tetapi adalah sewajarnya mereka mula mendidik anak dengan pengetahuan kewangan yang mudah.

Ibu bapa juga, seharusnya menyelidiki ke mana wang saku anak mereka dan sekiranya ada lebihan budaya menyimpan perlu digalakkan.

“Tidak ramai ibu bapa yang bertanya kepada anak mereka ke mana perginya wang saku sekolah. Sedangkan ia sangat mudah dan paling asas tetapi tidak diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

“Ini kerana, dari situ kita dapat menilai apa yang dilakukan anak. Jika membeli sesuatu peralatan sekolah, suruh mereka tunjukkan. Ini bagi mengelakkan mereka daripada berbohong dan berhutang,” katanya. – Bernama

kosmo online

Comments