Dari Sri Perdana Ke Galeria Sri Perdana

Galeria Sri Perdana tumpuan pengunjung
Oleh NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR


KESEMPATAN berkunjung ke Galeria Sri Perdana yang terletak di Jalan Terengganu Off Jalan Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini memberikan pengalaman berbeza buat kru Jurnal kerana berpeluang melihat sendiri kediaman rasmi bekas Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara dekat.

Beliau yang juga dikenali sebagai ‘Bapa Pemodenan’ dan mentadbir negara selama 22 tahun mula mendiami kediaman setinggi dua setengah tingkat itu bersama isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali serta keluarga selama 16 tahun iaitu pada 1983 hingga 1999 sebelum Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan berpindah ke Putrajaya.

Menurut Pengurus Galeria Sri Perdana, Mariatul Zaihan Md. Taib, 50, kediaman itu kemudiannya diserahkan kepada Arkib Negara Malaysia pada tahun 2000 untuk dijadikan sebagai galeri pameran.

“Galeria Sri Perdana ini pada asalnya dikenali sebagai Sri Perdana. Sebelum ini, ia dikenali sebagai Sri Timah dan merupakan kediaman rasmi kepada Pengerusi Syarikat Malaysia Mining Corporation. Bangunan kediaman yang berkeluasan 1.8 hektar itu kemudiannya dibeli oleh kerajaan dan diubah suai menjadi kediaman rasmi Dr. Mahathir.

“Sri Timah dibina selepas zaman kolonial di mana ia mempunyai gabungan reka bentuk semasa dan pengaruh zaman kolonial tetapi ia telah dirobohkan kerana struktur asalnya mengalami kerosakan ketika proses pengubahsuaian dilakukan.

“Ciri-ciri asal struktur bangunan Sri Timah masih dikekalkan dalam pembinaan Sri Perdana sebagai sebuah kediaman rasmi,” jelasnya yang sudah empat tahun menjadi pengurus bagi galeri itu.

Mariatul Zaihan memberitahu, kediaman yang mempunyai pemandangan sekitar Kuala Lumpur itu juga pernah dikunjungi pemimpin-pemimpin dunia yang mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia.

“Galeri ini mula dibuka kepada orang ramai pada tahun 2003 dan ia diwujudkan bagi memperingati dan mengenang khidmat Dr. Mahathir yang telah banyak berjasa kepada negara.

“Galeria Sri Perdana menampilkan konsep residensi dengan sebahagian besar struktur bangunan dan hiasan dalaman dikekalkan seperti asal. Ada beberapa ruang yang diubah suai menjadi ruang pameran dan ada juga ruang asal yang kita kekalkan seperti ruang tamu utama, dewan jamuan, bilik pertukangan, bilik tidur utama dan bilik bacaan.

“Ia terbahagi kepada ruang pameran di aras satu dan dua serta tingkat bawah yang menempatkan dapur utama dan bilik cucian,” katanya.


BILIK bacaan ini menempatkan pelbagai bahan bacaan dari dalam dan luar negara seperti buku, jurnal, kamus, buletin dan akhbar.

Geometrikal Asia Barat

Jelasnya, pameran luar bangunan juga dikekalkan dengan landskap-landskap seperti ketika Perdana Menteri ke-4 itu mendiami kediaman tersebut.

“Jika dilihat, kesemua ruang di galeri ini dipisahkan dengan kewujudan pintu kaca bagi mengekalkan kedudukan asal setiap ruang yang dipamerkan,” tambahnya sambil memberitahu, seramai 153,792 orang pengunjung dari dalam dan luar negara telah mengunjungi Galeria Sri Perdana dari Januari hingga September tahun ini.

Kru Jurnal dibawa meninjau ruang di aras satu yang menempatkan ruang tamu utama, bilik mesyuarat, ruang tamu kedua, dewan jamuan, sudut gunting rambut, bilik pertukangan, dapur bankuet, bilik tayangan serta ruang pameran.

Ruang tamu utama merupakan ruang paling penting di kediaman itu kerana beberapa acara rasmi serta majlis kekeluargaan pernah diadakan di ruang tersebut.

“Antara acara yang pernah diadakan di ruang tamu utama ini ialah kunjungan hormat tetamu dari dalam dan luar negara, majlis doa selamat dan sesi sidang akhbar,” jelasnya sambil memberitahu, pelancong dari Thailand, Korea Selatan, China dan Hong Kong merupakan pelancong paling ramai mengunjungi kediaman rasmi itu.

Ruang tamu kedua pula dijadikan sebagai tempat istirahat dan ruang menyambut tetamu sebelum menikmati jamuan.

“Keunikan ruang tamu ini terletak kepada bahagian siling yang dilukis menggunakan tangan oleh pelukis dari Uzbekistan bercorakkan motif geometrikal Asia Barat.

“Ruang tamu ini juga digunakan untuk meraikan kunjungan hormat tetamu yang berurusan dengan Dr. Mahathir selain digunakan untuk beberapa aktiviti seperti sesi latihan nyanyian oleh ahli-ahli Badan Amal Kebajikan Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti),” katanya sambil memberitahu, dewan jamuan di aras satu itu turut menjadi lokasi berlangsungnya mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO (Baru) untuk kali pertama pada tahun 1988.


RUANG tamu utama merupakan ruang penting di Galeria Sri Perdana.

Model kapal terbang

Ruang di bilik mesyuarat pula sering digunakan untuk beberapa aktiviti serta perbincangan bagi pertubuhan dan persatuan yang membabitkan Dr. Mahathir dan isteri.

“Bilik mesyuarat ini juga pernah digunakan sebagai tempat lintas langsung keputusan pilihan raya di mana Dr. Mahathir dan isteri serta menteri-menteri yang lain turut serta dalam menunggu keputusan terkini pilihan raya itu.

“Sebagai seorang insan yang mempunyai minat tersendiri dalam bidang pertukangan, Dr. Mahathir telah menghasilkan sendiri pelbagai jenis kerja kayu dan beliau biasanya akan menghabiskan masa yang panjang bagi mengisi masa lapang dengan melakukan kerja-kerja bertukang di bilik pertukangan yang lengkap dengan peralatan khas.

“Model kapal terbang dan lambang kerajaan antara hasil kerja kayu yang dibuat sendiri oleh Dr. Mahathir,” ­­­­ katanya.

Mariatul Zaihan memberitahu, sebanyak sembilan buah kereta turut dipamerkan di galeri tersebut antaranya, Daihatsu Gpox tahun 1995, Mercedes Benz 600 SEL (1990), Mitsubishi FTO (1995) dan Mitsubishi Pajero Mini serta sebuah motosikal berkuasa tinggi jenama Kawasaki termasuk kenderaan rasmi jenis Proton Perdana V6 Executive yang pernah digunakan Dr. Mahathir.

Menjenguk ke ruang di aras dua pula, ia menempatkan sudut koleksi topi dan kasut, bilik tidur utama, bilik persalinan, bilik bacaan, dapur keluarga, balkoni, ruang pameran, bilik Marina dan Maizura serta bilik tidur tetamu.

“Bilik tidur tetamu pernah digunakan sebagai bilik pengantin untuk majlis perkahwinan anak-anak Dr. Mahathir, malah bilik ini juga pernah digunakan oleh Raja Permaisuri Agong sebagai bilik istirahat ketika membuat kunjungan ke Sri Perdana.

“Kita mengekalkan bilik Marina dan Maizura beserta koleksi barangan yang dimiliki mereka untuk tujuan pameran. Selain itu, terdapat juga ruang pameran yang menempatkan koleksi-koleksi seperti patung, model, perak, plak, tembaga, kristal dan piuter,” jelasnya sambil memberitahu, kediaman rasmi itu pernah digunakan untuk melangsungkan perkahwinan anak keempat Dr. Mahathir, Tan Sri Mokhzani.

Tambahnya, bilik bacaan pula menempatkan pelbagai jenis bahan bacaan dari dalam dan luar negara meliputi buku, majalah, akhbar, jurnal, buletin serta kamus dan Dr. Mahathir serta isteri akan berada di dalam bilik bacaan ini selepas menonton berita utama atau makan malam.


kosmo online


Kenyataan akhbar pembukaan Galeria Sri Perdana kepada umum 20013

MEDIA RELEASE FOR IMMEDIATE RELEASE
December 2003

GALERIA SRI PERDANA DIBUKA KEPADA UMUM

Sri Perdana yang kini dikenali sebagai Galeria Sri Perdana mula dibuka kepada masyarakat umum buat pertama kalinya pada 21 Disember 2003. Bekas kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia keempat , YAB Tun Dr Mahathir Mohammad kini terletak di bawah pengurusan Jabatan Arkib egara berikutan keputusan kerajaan untuk mewujudkan Galeria tersebut sempena memperingati danmengenang jasa dan sumbangan Tun Dr Mahathir sepanjang 22 tahun sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Perasmian Galeria Sri Perdana telah dilaksanakan oleh Perdana Menteri YAB Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi pada 20 Disember 2003, sehari sebelum Galeria itu dibuka kepada orang ramai. Galeria Sri Perdana merupakan kediaman Tun Dr Mahathir dari 23 Ogos 1983 hingga 18 Oktober 1999.

Terletak di Jalan Damansara, Galeria ini terbahagi kepada dua aras dan satu tingkat bawah. Aras 1 memuatkan ruang tamu, bilik mesyuarat, dapur bankuet, sudut tayangan dan sebuah ruang pameran. Terdapat satu sudut koleksi topi dan kasut, bilik tidur utama, bilik persalinan, bilik bacaan, ruang makan keluarga, balkoni dan sebuah ruang pameran di Aras 2. Manakala, tingkat bawah pula memuatkan dapur utama, bilik cucian, teater perdana, sudut pameran kereta, rumah hijau dan taman burung. Galeria ini di buka kepada orang ramai setiap hari (10 pagi -5 petang), kecuali pada hari Isnin. Galeria ini juga dibuka pada hari cuti umum dan sepanjang cuti sekolah. Untuk maklumat lanjut mengenai Galeria Sri Perdana, sila hubungi Galeria Sri Perdana di talian 032072 2663 atau layari www.arkib.gov.my.

Dikeluarkan oleh: Bahagian Komunikasi, Tourism Malaysia
Tarikh: 15 Dis 2003


tourism malaysia








foto-foto dari mercu impian



Comments