Anwar Ridhwan : Sasterawan Negara Ke Sepuluh


Anwar Ridhwan
Sasterawan Negara Ke-10 (2009)

Anwar Ridhwan

KEHADIRAN Anwar Ridhwan dalam dunia penulisan kreatif mula dirasakan pada tahun 1970, ketika dalam tahun pertama Universiti Malaya. Sajak dan cerpen adalah dua bidang sumbangannya yang agak prolifik dan diikuti kemudiannya dengan esei dan kritikan. Sekitar pertengahan tahun 1970-an, sumbangannya dalam genre puisi dan esei/ kritikan dikesampingkan buat sementara, lalu beliau menumpukan sepenuh perhatian terhadap penulisan cerpen. Dalam bidang inilah Anwar dianggap oleh peneliti sastera sebagai memiliki kekuatan sebelum melangkah ke arena penulisan novel.

Anwar adalah anak bongsu daripada enam orang adik-beradik yang lahir pada 5 Ogos 1949 di Parit Satu Timur, Sungai Besar, Selangor Darul Ehsan. Bapanya petani yang berasal dari Bagan Serai, Perak. Ibunya, Habsah @ Mariam seorang bidan berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Setelah berumah tangga, kedua-dua orang tuanya menetap di Sungai Besar, Selangor.

Anwar menerima pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan Sungai Besar (1956-1962) selama tujuh tahun. Persekolahan rendahnya lebih setahun kerana sewaktu dalam darjah tiga, beliau kembali mengulang belajar dalam darjah dua. Hal ini terjadi kerana sikap dan tindakan Anwar sendiri yang tidak menyenangi guru darjahnya yang garang.

Seterusnya Anwar belajar di Sekolah Ungku Aziz, Sabak Bernam (1963-1967) dari Tingkatan I-V dan Tingkatan Enam di Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur (1968-1969). Pada tahun 1970, beliau diterima masuk ke Universiti Malaya dan belajar di Jabatan Pengajian Melayu. Semasa menuntut di Universiti Malaya, beliau turut mengasaskan Ikatan Sastera Universiti Malaya (ISUM). Anwar pernah mengasuh ruangan kebudayaan akhbar kampus Mahasiswa Negara dan menyertai program lawatan sambil belajar ke Indonesia, Hong Kong dan Thailand. Pada tahun 1973, beliau lulus Ijazah Sarjana Muda Sastera (kepujian). Pengalaman pahit secara dekat Tragedi 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur turut memberi kesan dalam hidupnya dan sebahagian pengalaman itu dituang ke dalam beberapa karyanya.

Beberapa hari selepas meninggalkan universiti dalam tahun 1973, beliau diterima bertugas sebagai pegawai sementara di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selama 3 bulan. Mulai 1 Mei 1973, beliau diterima sebagai Pegawai Penyelidik Sastera (tetap). Selama bertugas dengan DBP, beliau pernah menjadi anggota sidang editor majalah Dewan Bahasa, Dewan Sastera dan Dewan Budaya. Sewaktu semester musim rontok 1982, beliau berkesempatan mengikuti kursus penerbitan buku di New York University, Amerika Syarikat, dan pada tahun 1983, menerima Ijazah Sarjana Sastera (M.A.) daripada Universiti Malaya berdasarkan tesisnya yang diusahakan beberapa tahun sebelumnya. Pada tahun 1982, Anwar berpeluang mengikuti kursus penerbit selama empat bulan di New York University, Manhattan, Amerika Syarikat.

Kemudian pada bulan September tahun 1986, Anwar berpeluang mengikuti International Writing Program di Universiti Iowa, Amerika Syarikat, selama empat bulan. Beliau juga pernah menyertai Pertemuan Puisi Dunia di Struga, Yugoslavia, pada bulan Ogos 1988, kemudian berkunjung ke Soviet Rusia sebagai tetamu Persatuan Penulis Soviet pada bulan September/Oktober 1988. Seterusnya Anwar menjadi Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera, DBP, dan buat beberapa waktu, Anwar pernah memangku jawatan Timbalan Ketua Pengarah. Anwar pernah berkhidmat sebagai Profesor Pelawat di Tokyo University of Foreign Studies mulai 1997-2000. Pada tahun 1998, Anwar menerima Ijazah Kedoktoran daripada Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Pada tahun 2001, Anwar menjadi Pengarah Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Anwar mempunyai latar belakang kegiatan sastera dan bahasa yang agak luas. Dari tahun 1974-1976, beliau pernah menjadi Setiausaha Satu GAPENA; Pengarah “Pertemuan Sasterawan Nusantara III” yang berlangsung di Kuala Lumpur dari 5-6 Disember 1981 dan Setiausaha “Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu IV” yang diadakan di Kuala Lumpur dari 7-10 Disember 1984.

Dalam dunia penulisan kreatif, antologi cerpennya yang pertama Parasit (1976), memperlihatkan corak penulisannya dengan gaya baharu melalui bahasa yang puitis. Dalam antologi cerpennya yang kedua, Sesudah Perang (1978), Anwar menggarap tema tentang “nasib” watak-watak dalam kebudayaan tradisi di ambang kebudayaan baharu yang agresif, materialistik dan individualistik. Inilah tema yang banyak diungkap oleh Anwar, sebagaimana terbukti dalam kebanyakan karyanya, termasuk sebilangan besar karya dalam antologi cerpen ketiganya Sangkar. Selama menghasilkan cerpen, sudah empat kali Anwar memenangi Hadiah Karya Sastera Malaysia: “Perjalanan Terakhir” (1971), “Dunia Adalah Sebuah Apartmen” (1973), “Sesudah Perang” (1976), “Sasaran”, “Sahabat” dan “Menjadi Tua” (1982/83).

Novel pertama Anwar, Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (1979) memenangi Hadiah Pertama Peraduan Mengarang Novel anjuran Yayasan Sabah – GAPENA II. Novel ini pada keseluruhannya melukiskan konflik jiwa tokoh penglipur lara kerana ancaman terhadap seni dan idealnya. Di samping itu digambarkan juga kehidupan orang kampung yang terpencil dan bimbang akan akibat perang. Novel ini memperlihatkan penguasaan yang seimbang antara isi, teknik dan adunan bahasa. Karyanya mendapat tanggapan dan sorotan yang baik daripada para sarjana.


Anwar menerima anugerah daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Hari-hari Terakhir Seorang Seniman sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Harry Aveling (dalam judul The Last Days of an Artist, DBP, 1982); juga sudah diterjemahkan ke bahasa Jepun oleh Tatuo Hoshino dan juga ke dalam bahasa Perancis. Novel ini juga telah diadaptasikan ke teater oleh dramatis Johan Jaaffar dan sudah dipentaskan sebanyak 14 kali di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Kuching dan Singapura.

Novel keduanya berjudul Arus menyusul enam tahun kemudian, iaitu dalam tahun 1985. Arus lebih kepada pemaparan persoalan semasa yang berlaku dalam masyarakat.

Novel ini menggambarkan konflik skandal bank dan isu kafir-mengkafir di kalangan umat Islam di negara ini dan terpilih memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1984/85 bersama-sama novel Daerah Zeni karya A. Samad Said. Novel Arus juga telah diterjemahkan ke bahasa Perancis pada tahun 1989 dan kemudiannya ke dalam bahasa Thai.

Sungguhpun penulisan kreatif Anwar lebih mengarah kepada cerpen dan novel, beliau juga berusaha untuk kembali menulis puisi, iaitu genre yang agak lama dikesampingkan; serta ingin mencuba menulis skrip drama. “Jika ini terjadi”, menurut Anwar, “rangsangannya bermula dalam musim rontok di Manhanttan pada tahun 1982. Latar, suasana dan keadaan di sana, seperti meminta saya untuk membuka jendela kreatif saya lebih luas.” Tidak lama selepas itu lahir kumpulan puisinya berjudul Tercipta dari Tanah, iaitu kumpulan puisinya yang pertama dan diterbitkan dalam tahun 1985. Beliau juga memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1992/1993 untuk dramanya Yang Menjelma dan Menghilang. Tahun sebelum (1991), kumpulan cerpen Sesudah Perang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dengan judul After the War and Other Stories. Pada tahun 1992, cerpennya “Dari Kiev ke Moskova” telah memenangi hadiah pertama peraduan cerpen DBP-Maybank. Dalam bidang penulisan drama pentas, Anwar telah menghasilkan Orang-orang Kecil (1990) dan Yang Menjelma dan Menghilang (1990) – drama ini memenangi Hadiah Utama, Peraduan Menulis Drama Yayasan Seni – Berita Harian 1990. Anwar bukan setakat menghasilkan skrip malah melangkah lebih jauh dengan mengarahkan drama, setakat ini Anwar telah mengarah tiga drama pentas, iaitu Penghuni Paya – The Swamp Dwellers – Karya Wole Soyinka, 16-18 Disember 1991, Pulang (dramanya sendiri yang belum diterbitkan) 5-8 Disember 1995, dan Yang Menjelma dan Menghilang, (dramanya sendiri) 8-13 Jun 2001.

Anwar Ridhwan mula menulis cerpen pada awal tahun 1970-an. Apabila salah satu cerpennya pada peringkat awal itu memenangi Hadiah Sastera Malaysia (1971), melalui cerpen “Perjalanan Terakhir”, beliau bukan sahaja merupakan antara penulis termuda memenangi hadiah tersebut, tetapi juga memperlihatkan keupayaan meneroka gaya pengucapan fiksi yang membaharui konvensi, serta lebih mengungkapkan psikologi watak-wataknya. Daripada “Perjalanan Terakhir” bakat beliau selalu dikesan dan diperhatikan.

Kecenderungan beliau untuk membaharui konvensi, mempersembahkan cerpen dalam gaya yang agak berbeza berbanding pengarang Malaysia sezaman dan memberi penekanan aspek psikologi watak, terus terserlah dalam kebanyakan cerpen-cerpennya seperti “Dunia Adalah Sebuah Apartmen”, “Sahabat”, “Menjadi Tua”, dari Kiev ke Moskova” dan “Tik! Tik! Tik!”.

Ketika kebanyakan penulis cerpen sezamannya masih berlegar dalam latar Malaysia, Anwar melihat latar sebagai unsur yang sekunder. Bagi, mesej dan persoalan kemanusiaan, tanpa batas geografi, adalah lebih utama. Dengan demikian, apabila pembaca mengikuti cerpen-cerpen Anwar, mereka tidak sahaja akan menerima pengalaman seni yang segar, malah meluaskan pengalaman yang mengangkat pelbagai latar internasional.

SN Muhammad Hj. Salleh berpendapat bahawa cerpen-cerpen Anwar dicipta dengan begitu teliti dan bersih. Barangkali pengalaman Anwar sebagai editor sastera selama bertahun-tahun, telah membentuk peribadinya untuk menghasilkan karya yang teliti, indah dan berkesan.

Persoalan dalam semua cerpen Anwar dapat dibahagikan kepada dua, iaitu pertama, watak yang bergelut dengan budaya serta nilai baru. Budaya dan nilai baru itu, walaupun usianya muda, kelihatan lebih gagah, berkuasa, dan bergelombang global melanda budaya serta nilai yang lama. Cerpen “Sahabat” dan “Menjadi Tua” hanyalah sekadar dua contoh cerpen Anwar. Kedua, nilai kemanusiaan dan konsep demokrasi menjadi amat relatif dalam kehidupan pasca moden. Cerpen “Dunia Adalah Sebuah Apartmen” dan cerpen-cerpen dalam kumpulan Naratif Ogonshoto adalah contoh persoalan sedemikian. Dalam Naratif Ogonshoto, kedua-dua persoalan utama itu, yang sifatnya sangat universal, mengatasi unsur latar dan nama watak yang konkrit dan real.

Sebuah cerpen dalam Naratif Ogonshoto begitu unik olahannya. Konflik nilai, makna demokrasi dan ancaman budaya baru begitu terasa keuniversalannya walaupun diletakkan pada latar sebuah republik fiktif di Pasifik. Kumpulan cerpen ini, seperti juga cerpen-cerpen Anwar yang lain, membenarkan pandangan seorang sarjana Australia, Harry Aveling bahawa “Anwar’s world is more that of the urban intellectual: more precise, more restrained, at once Malay and international”.

klikweb dbp




Karya juara Anwar
Oleh NIZHA PERIASWAMY


ANWAR menunjukkan novel-novel yang pernah mendapat sentuhannya.

BERKECIMPUNG lebih 40 tahun dalam bidang kesusasteraan, Datuk Dr. Mohd. Anwar Ridhwan mengakui penulis-penulis tempatan mendukung kualiti persembahan sastera yang sama hebat dengan negara asing khususnya Barat.

Apabila bercakap mengenai dunia kesusasteraan, hampir semua elemen sastera seperti menulis puisi, cerpen, novel, skrip drama, esei dan kritikan sastera sudah pun menerima sentuhan Anwar atau nama sebenarnya Anuar Rethwan. Pengalaman tebal dalam bidang sastera negara dan selaku Sasterawan Negara, Anwar menjadikan kualiti persembahan sebagai nadi utama sesuatu hasil karya beliau.

"Mutu penyampaian karya sastera tempatan sebenarnya setanding dengan negara Barat khususnya negara yang mengagungkan karya sastera mereka seperti Amerika Latin, China, India dan Jepun. Tetapi kerana psikologi pembaca yang masih skeptikal membesarkan karya luar negara, ia menyukarkan sasterawan tempatan menonjol," kata bekas Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Anak jati Selangor yang dilahirkan di Sungai Besar pada tahun 1949 itu pernah melawat Amerika Syarikat untuk kursus penulisan pada tahun 1982 dan 1986 berpeluang menilai serta membuat perbandingan karya tempatan dan asing.

Hasilnya, beliau yang pernah bertugas sebagai Profesor Lawatan di Universiti Tokyo pada tahun 1997 hingga 2000, mendapati karya Barat mempunyai elemen kebebasan menulis seperti berkenaan seks, berkesedudukan, anak luar nikah, homoseksualisme dan sebagainya.

"Sebaliknya penulis kita terikat dengan tanggungjawab sosial, moral, etika dan agama. Penulis kita tidak boleh mengabaikan semua ini semata-mata untuk menghangatkan jalan cerita," kata beliau.


PENYEBERANG SEMPADAN mendapat tempat pertama dalam Hadiah Sako 3 baru-baru ini.

Sambil menghirup minuman Milo, Anwar yang kini selaku Dekan Fakulti Penulisan Kreatif, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) mengakui, negara-negara Timur seperti Thai, Vietnam, Indonesia turut menawarkan kualiti sastera yang tinggi tetapi kurang dipopularkan kerana psikologi pembaca itu sendiri.

Bagi Anwar sendiri karya-karya seperti Hari Terakhir Seorang Seniman, Sahabat, Naratf Ogonshoto dan yang terbaharu, Penyeberang Sempadan telah membawa ganjaran yang pelbagai buat dirinya.

Novel juara

Misalnya, novel pertama beliau yang paling popular pernah dialih bahasa dalam pelbagai bahasa seperti Urdu, Inggeris, Jepun dan Perancis, manakala Naratif Ogonshoto, sebuah fiksyen moden pula membawa pelbagai gelaran, anugerah dan hadiah.

"Tarikan terbaharu saya ialah Penyeberang Sempadan yang diusahakan sejak setahun lalu dengan bantuan beberapa orang. Ini kerana ia bukan sahaja melibatkan sejarah dan budaya sesuatu kawasan tetapi, sebahagian kisahnya berkisar kepada kisah benar yang pernah berlaku semasa zaman penjajahan namun, tidak didokumentasikan."

"Ia sebuah novel yang kompleks kerana menyelitkan zaman sebelum kemerdekaan. Tetapi ia mengenai pencarian jiwa yang benar dan mutlak. Ia satu proses yang sulit, mencampur aduk soal psikologi, carian ketuhanan dan latar belakang sejarah negara. Namun, saya mahu memberikan satu keanehan yang tidak terdapat dalam novel lain," kata beliau mengenai novel terbaharunya itu.

Dalam karya yang sama Anwar memberitahu, beliau menyelitkan pelbagai teknik penyampaian baharu misalnya ciri magis realisme, elemen sinematografi bagi setiap adegan dan kepekatan budaya si pembawa kisah itu.

Sudah diterbitkan bersama Utusan Publications & Distributors (UP&D), Anwar turut memenangi tempat pertama Hadiah Sako 3 bagi novel itu.

kosmo online


Biografi Anwar Ridhwan

Dato' Dr. Mohd Anwar Ridhwan (5 Ogos 1949 - ) merupakan Sasterawan Negara Malaysia ke-10 dan juga merupakan seorang penulis novel Malaysia. Beliau dilahirkan pada 5 Ogos 1949 dalam keluarga petani yang berasal dari Perak yang kemudiannya menetap di Sungai Besar, Selangor. Pada 11 Ogos 2009, beliau diumumkan sebagai Sasterawan Negara Malaysia ke-10 oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di pejabatnya di Putrajaya

Anwar Ridhwan adalah seorang sasterawan yang terkemuka dari Malaysia. Nama sebenarnya Dato' Dr. Anuar bin Haji Rethwan dilahirkan di Sabak Bernam, Selangor pada 5 Ogos 1949. Lulusan Sarjana Muda Sastera (1973)dari Universiti Malaya, beliau kemudiannya memperolehi ijazah Sarjana Sastera (1983) dan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D)(1998) kesemuanya dari Universiti Malaya. Beliau menumpukan kerjayanya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sehinggalah bersara pada tahun 2005 dengan jawatan terakhirnya Pengarah Penerbitan DBP.

Dalam dunia penulisan beliau terkenal sebagai seorang novelis dan penulis cerpen. Novelnya yang pertama ialah Hari-hari Terakhir Seorang Seniman yang memenangi Hadiah Novel Gapena-Yayasan Sabah, 1979. Sebuah lagi novelnya Arus (1985) memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985.Antara cerpen karyanya ialah Perjalanan Terakhir (1971), Dunia adalah Sebuah Apartmen (1973), Sesudah Perang (1976) (edisi bahasa Rusia oleh Victor Pogadaev, 1996) dan Dari Kiev ke Moskova (1992). Karya beliau yang diilham dan disiapkan di Jepun pada tahun 2001 berjudul Naratif Ogonshoto memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001. Novel itu dengan judul "Bili i Nebili Ostrovov Ogonsoto" diterbitkan dalam bahasa Rusia (penterjemah Victor Pogadaev) pada tahun 2006 di Sanct-Petersburg (penerbit Paideia))


Pencapaian

Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen "Perjalanan Terakhir (1971)
Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Dunia Adalah Sebuah Apartmen (1973)
Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Sesudah Perang (1976)
Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Sasaran,
Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Sahabat (1982)
Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Menjadi Tua (1983)
Hadiah Pertama peraduan mengarang novel anjuran Yayasan Sabah dan GAPENA 1 Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (1979)
Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985 dengan novel Arus
Anugerah Sasterawan Negara ke-10 pada 20 Ogos 2009 oleh Tengku Mizan.







Hasil penulisan

Minda Melayu / penyelenggara Anwar Ridhwan. : DBP, 2005.
Dunia adalah sebuah apartmen : DBP ; 2005.
Tales of Ogonshoto/ Anwar Ridhwan.: terjemahan oleh Solehah Ishak : DBP, 2004
Haji Murat / Leo Tolstoy ; penterjemah Victor Pogadaev ; Suntingan, Anwar Ridhwan. : DBP, 2001.
Jati diri pasca Asas 50 : DBP, 1999.
Hari-hari terakhir seorang seniman ; bacaan Baharuddin Hj. Omar : DBP, 1996.
Sinaran permata / diselenggarakan oleh Anwar Ridhwan ; Rahman Shaari: DBP, 1995.
Suara kemanusian = the voice of humanity / diselenggarakan oleh Ahmad Sebi Bakar, Anwar Ridhwan ; diterjemahkan ke Bahasa Inggeris oleh S. Jaafar Husin : DBP, 1994
After the war and other stories / Anwar Ridhwan , Terjemahan,Adibah Amin.: DBP, 1991.
Kurik kundi merah saga : kumpulan pantun lisan Melayu / penasihat Anwar Ridhwan, Safian Hussin ; Mohd. Thani Ahmad dll,: DBP, 1990.
Sangkar : Kumpulan 22 buah cerpen. : DBP, 1986.
Sudut pandangan dalam cereka : DBP, 1985.
The last days of an artist / Anwar Ridhwan ; Terjemahan oleh Harry Aveling,: DBP, 1982.
Utara : antologi cerpen pilihan penulis. : DBP, 1982.
Kuntum pertiwi / Anwar Ridhwan & Rahman Shaari.: DBP, 1982.
Di sekitar pemikiran kesusasteraan Malaysia, 1957-1972 / diselenggarakan oleh Anwar Ridhwan. : DBP, 1981.
Kamus nama samaran dan nama pena / disusun oleh Anwar Ridhwan dan Sarah Sadon. : DBP, 1979.
Parasit : kumpulan cerpen 1971-74 : DBP, 1976.
Kuntum pertiwi buku 3.
Penasihat editorial. Victor Pogadaev. Kamus Rusia-Melayu, Melayu-Rusia. Seri Kembangan: Minda, 2013, 778 hlm. ISBN 978-967-0544-00-7.

wikipedia


Comments