Anak-Anak Yang Luka

 Kisah ibu dan anak-anaknya di bawah ini adalah hamparan realiti. Yang tersepit dalam alur hidup ini adalah anak-anak yang masih kecil. Ibunya dibicarakan kerana memiliki dadah. Akibat ketiadaan wang anak-anak hanya diberi minum air kosong bercampur gula.  Mereka bertiga juga ditemui mengemis.

Untuk kita renungkan bersama akan liku dan pahit yang tiba membelit hidup anak-anak ini. Anak-anak yang luka. Bagaimana ia terjadi? Jawabnya di bawah ini...


Ibu, anak terpaksa pisah
Wartawan Sinar Harian
14 November 2014


Sebelum ditahan, tiga beranak ini ditemui sedang meminta sedekah di kawasan sekitar.


KOTA BHARU - Demi memastikan kebajikan lebih terjamin, dua kanak-kanak yang kisahnya mendapat perhatian ramai kerana hanya diberi minum air kosong bercampur gula terpaksa 'dipisahkan' dengan ibu mereka buat sementara waktu.

Misi Sinar Harian bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk menyelamatkan dua kanak-kanak itu berjaya selepas ibu tunggal berusia 35 tahun, disyaki penagih dadah ditahan dalam satu serbuan di hadapan mahkamah, di sini, jam 7 petang kelmarin.

Susulan tangkapan tersebut, dua anak perempuannya, masing-masing berusia 3 dan 5 tahun diserahkan kepada JKM Kelantan untuk diberikan perlindungan sementara.

Pengarah JKM negeri, Nik Omar Ab Rahman berkata, pihaknya akan merujuk adik-beradik itu ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh berikutan kanak-kanak berusia 5 tahun itu juga dikatakan menghidap penyakit usus.

“Pihak kami akan menjalankan prosedur seperti biasa untuk melihat tahap kesihatan mereka. Secara fizikal, tiada ada kesan penderaan ditemui, namun mungkin berlaku pengabaian atau ketidakupayaan ibu menjalankan tugas menjaga kedua-dua anaknya,” katanya.

Ditempatkan sementara di Rumah Kanak-kanak Mini

Menurutnya, dua kanak-kanak itu akan ditempatkan sementara di Rumah Kanak-kanak Mini, di sini, sebelum mendapatkan perintah selanjutnya daripada pihak mahkamah.

“Mereka akan berada dalam jagaan sementara JKM, maksima selama tempoh sebulan dan JKM akan tunggu perintah serta proses di mahkamah selepas ini.

"Laporan pegawai pelindung juga akan dirujuk untuk mempertimbangkan langkah sesuai yang akan diambil bagi kes ini,” katanya.

Ketika ditemu bual Sinar Harian sebelum ini, w anita terbabit mengaku sudah 'bersih' daripada najis dadah, namun semasa ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Bharu, kelmarin, mendapati dia memiliki pil kuda.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati, wanita terbabit positif dadah jenis metamphetamine atau pil kuda.

“Suspek ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) dan 12(2) kerana menagih dan memiliki dadah,” katanya.

Banyak terima bantuan

Sementara itu, Ketua Cawangan Pas Sri Cemerlang, Nordin Abdul Rahman berkata, ibu tunggal yang hidup bergelandangan bersama dua anaknya itu bukan tidak pernah dibantu, malah mendapat banyak sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk wakil rakyat di kawasan terbabit.

"Keadaan mereka sentiasa berada di bawah pemerhatian pihak berkenaan di kawasan tersebut.

"Malah, mereka juga pernah dibantu oleh ahli perniagaan yang menyampaikan pelbagai sumbangan, antaranya menyediakan bekalan elektrik dan air di rumah sewa mereka sebelum ini, serta menerima pelbagai barangan keperluan asas," katanya.

Malangnya, dakwa Nordin, bantuan yang diberikan sebelum ini dipercayai dijual semula dan digunakan untuk membeli dadah.

“Perkara itu yang mendukacitakan kami sebagai pemberi sumbangan dan sebab itu anak-anaknya patut dibantu, dan diserahkan kepada JKM supaya kebajikan mereka lebih terjaga.
"Ibunya pula boleh dihantar ke mana-mana pusat pemulihan untuk memulihkan ketagihan dadah yang dialami,” katanya.

Sinar Harian juga difahamkan, sewa rumah yang didiami tiga beranak itu tertunggak sejak dua tahun lalu dan pemiliknya terpaksa merobohkan rumah tersebut berikutan lokasinya menjadi port penagih dadah.

Beri makanan berkhasiat

Kisah tiga beranak itu juga turut menarik perhatian pakar pemakanan dan perubatan yang memberi saranan perlunya kanak-kanak diberi makanan lebih berkhasiat bagi mendapatkan tenaga berbanding hanya susu formula.

Perunding Laktasi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Dr Zaharah Sulaiman berkata, ibu kanak-kanak tersebut tidak perlu membeli susu formula untuk memberikan makanan yang boleh membekalkan tenaga kepada anaknya, sebaliknya banyak lagi sumber makanan yang boleh membekalkan tenaga.

Katanya, buah-buahan segar, sayur-sayuran, sumber protein yang boleh didapati daripada ikan, kekacang serta makanan ruji iaitu nasi dan roti mempunyai kekayaan nutrisi, berbanding susu formula.

“Terdapat juga sumber makanan berkhasiat yang jarang diberikan kepada kanak-kanak kerana tanggapan boleh menyebabkan perut masuk angin seperti labu dan keledek,
sedangkan makanan itu sangat kaya dengan kadar karbohidrat yang tinggi serta vitamin A untuk kesihatan mata,” katanya.

Tambahnya, kepercayaan perlunya memberikan susu formula kepada kanak-kanak adalah satu salah faham dalam masyarakat yang perlu diperbetulkan.

“Amat merunsingkan jika masyarakat kita merasakan kanak-kanak hanya akan cukup keperluan nutrisi apabila diberikan susu formula.

“Kefahaman ini sepatutnya diperbetulkan. Keperluan pemakanan kanak-kanak boleh diperoleh daripada sumber semula jadi yang segar dan lebih berkhasiat,” katanya.

sinar harian

Kesempitan hidup, susukan anak air gula
ADILA SHARINNI WAHID
4 November 2014


Anak-anak Norazlina masing-masing bersama botol susu yang diisi air gula buat minuman mereka.

KOTA BHARU - Akibat kesempitan hidup, seorang ibu tunggal terpaksa memberi dua anaknya yang berusia lima dan tiga tahun minum air kosong dicampur dengan gula.

Ibu tunggal terbabit, Norazlina Razid, 35, berkata, dia sudah tiada pilihan lain kerana tidak mempunyai wang untuk membeli susu dua anaknya itu dan terpaksa memberi mereka minum air gula bagi mendapatkan tenaga.

Wanita berkenaan baru kematian suami April lalu dan menjaga dua anaknya itu bersendirian selepas keluar dari rumah sewanya sejak dua minggu lalu. Norazlina turut mempunyai seorang lagi anak yang berusia 11 tahun dan masih bersekolah.

Katanya, selepas kematian suami, hidupnya dirundung malang apabila tidak mempunyai wang untuk menjelaskan sewa bulanan sehingga terpaksa keluar dari rumah tinggal yang disewa selepas pemiliknya datang merobohkan rumah itu.

Sejak itu, dia bersama tiga anaknya itu hidup merempat dan tidur di mana sahaja yang difikirkan boleh dijadikan tempat tidur.

Norazlina berkata, dia mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, namun jumlah RM300 tersebut tidak mencukupi bagi menampung perberlanjaan seharian mereka sekeluarga.

“Bulan ini saya sudah ambil duit itu dan digunakan untuk belanja makan anak-anak serta semuanya sudah habis. Sekarang hanya ada RM5 di dalam poket dan saya perlu mengemis selepas ini untuk dapatkan duit bagi membeli makanan anak-anak," katanya.

sinar harian



'Saya minta maaf tuan, saya salah'
ADILA SHARINNI WAHID
18 November 2014


Tertuduh akan ditahan sehingga kesnya disebut semula bulan depan.


KOTA BHARU - “Saya minta maaf.” Hanya itu mampu dikatakan ibu tunggal yang kisahnya mendapat perhatian kerana memberi dua anaknya minum air kosong bercampur gula, ketika dihadapkan ke mahkamah majistret, di sini, semalam.

Nor Azlina Razid, 35, didakwa memiliki 0.1 gram dadah jenis metamphetamine di hadapan sebuah bangunan di Jalan Hospital, di sini, jam 6.30 petang, Khamis lalu.

Tertuduh mengaku salah dan memohon maaf atas kesilapannya memiliki dadah tersebut. Hukuman terhadapnya bagaimanapun ditangguhkan pada 31 Disember depan dan Nor Azlina dibenarkan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Pada prosiding semalam, Nor Azlina mengaku terbabit dengan najis dadah berikutan terpengaruh dengan arwah suaminya yang juga penagih dadah.

Majistret, Nik Habri Muhamad menasihatkan tertuduh supaya berhenti daripada tabiat merugikannya itu menyebabkan tertuduh tiba-tiba meminta maaf dan memohon jaminannya dikurangkan.

“Saya minta maaf tuan. Saya mengaku salah, saya mohon hukuman diringankan kerana saya mempunyai tiga anak yang masih kecil. Tidak ada siapa akan menjamin saya hari ini (semalam),” katanya.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Kisah Nor Azlina mendapat perhatian kerana memberi dua anaknya yang berusia 3 dan 5 tahun minum air kosong yang dicampur gula atas faktor kemiskinan.


Seminggu selepas ceritanya disiarkan, ibu tunggal tiga anak itu ditahan polis kerana memiliki dadah.

sinar harian



Comments