Teater Muzikal P. Ramlee




Menghidupkan nostalgia P. Ramlee The Musical

Oleh IZWAN MOHD. ISA
izwan.mohdisa@kosmo.com.my


Sewaktu belum mendaki tangga populariti, P. Ramlee digambarkan sebagai seorang yang berbakat dan mempunyai kelompok peminat yang tersendiri.

KETIKA jarum jam tepat menunjukkan angka 8 malam, orang ramai sudah mula membanjiri kawasan ruang legar yang bertentangan dengan pintu masuk Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur bagi menyaksikan pementasan musim ketiga teater P. Ramlee The Musical yang telah mula menemui penonton pada 3 Oktober lalu.

Walaupun menampilkan barisan pelakon baharu seperti Tony Eusoff, Lisa Surihani, Datin Seri Tiara Jacquelina dan Nadia Aqilah Bajuri, namun teater yang mendapat sentuhan pengarah Pat Ibrahim itu ternyata masih lagi mendapat sambutan yang hangat dalam kalangan peminat.

Mengekalkan plot dan jalan cerita yang sama, pementasan yang berdurasi selama dua jam 45 minit itu dibuka penuh gah menerusi babak Pesta Bukit Mertajam yang menyaksikan pelakon Tony Eusoff merealisasikan watak Tan Sri P. Ramlee sebelum beliau dikenali sebagai pelakon, penyanyi dan pengarah filem.

Babak tersebut juga menceritakan bagaimana P. Ramlee berkenalan dengan pengarah keturunan India, B.S Rajhans yang bekerja di syarikat penerbitan Malay Film Production (MFP) milik adik-beradik Shaw di Singapura.

Diamanahkan membawa karakter tersebut buat kali kedua, Tony kelihatan begitu yakin melontarkan dialog serta menyanyi mengikut gaya P. Ramlee.
Dapatkan Toyota Pilihan Anda Dengan Lebih Kepuasan

Menerusi babak MFP Studio, Jalan Ampas, watak isteri pertama P. Ramlee iaitu Junaidah diperkenalkan. Digalas oleh pelakon genit Lisa Surihani, karakter gadis Melayu yang dibawakannya begitu jelas kelihatan.

Sejujurnya, pujian harus diberikan kepada Lisa kerana berani menyahut cabaran untuk membawakan watak tersebut. Selain perlu menari dan menyanyi secara langsung, karakter Junaidah yang dilakonkan cukup berbeza dengan perwatakan asalnya.

Langsung tidak menunjukkan rasa canggung, Lisa menjiwai watak Junaidah yang dahulunya dipegang oleh Atilia Haron dengan kemas terutamanya menerusi babak Look At Him.

Bagaimanapun, ketika melakonkan adegan sedih, vokal nyanyian Lisa dilontarkan tidak sekata dan sesekali kedengaran seperti sedang meraung, namun penghayatan keseluruhan Lisa membantu menyelamatkan karakter Junaidah yang dimainkannya.

Norizan, Saloma

Kisah rumah tangga P. Ramlee diteruskan dengan pengenalan watak Norizan, seorang kerabat diraja negeri Perak yang juga merupakan peminat setianya.

Karakter Norizan yang digambarkan sebagai seorang wanita urban dibawa Datin Seri Tiara Jacquelina dengan ‘bahasanya’ yang tersendiri. Mahu membandingkan permainan yang dibawa oleh Tiara dan aktres Melisa Saila yang sebelum ini terlebih dahulu menyelami jiwa Norizan pada pementasan kedua adalah tidak adil kerana kedua-dua figura ini mempunyai kredibiliti tersendiri.

Antara babak lakonannya yang paling terkesan ialah apabila Tiara melontarkan emosi dan rasa amarah Norizan ketika dia tidak lagi mampu bertahan dan mengakui berlaku curang kerana sering ditinggalkan oleh P. Ramlee keseorangan.

Setelah mengambil keputusan untuk berpisah, P. Ramlee mula rapat dengan Saloma lakonan Nadia Aqilah Bajuri setelah dia terpilih untuk berlakon dalam filem arahannya.

Walaupun karakter Saloma pernah diterajui oleh penyanyi Liza Hanim tetapi percubaan Nadia untuk menjadi Saloma harus diakui berjaya.

Tidak seperti Tony yang kelihatan sedikit meniru mimik gaya percakapan dan nyanyian P. Ramlee, Nadia menyanyikan lagu-lagu dalam teater muzikal ini mengikut caranya yang tersendiri.

Jika mahu dibandingkan dengan persembahan pentasnya sebelum ini, karakter Saloma yang digalas Nadia benar-benar menyerlahkan sisi lakonan serta nyanyiannya.

Pujian juga harus diberikan kerana pelakon dan penyanyi yang mula dikenali menerusi rancangan GangStarz itu kerana mampu mengekalkan stamina sepanjang pementasan tersebut dijalankan.

Secara keseluruhan, pementasan P. Ramlee The Musical pada kali ini boleh disifatkan sebagai berjaya. Dengan bantuan props dan band pengiring, suasana era kegemilangan seniman P. Ramlee dapat dihidupkan secara langsung di hadapan penonton.


SELAIN props, iringan muzik pengiring menyemarakkan untaian lagu di dalam teater P. Ramlee The Musical.

Sejujurnya, rekaan set yang ditampilkan dapat memberi gambaran menyeluruh mengenai kualiti persembahan yang cuba ditampilkan oleh syarikat penerbitanya, Enfiniti Vision Media Sdn. Bhd. Paling memberikan kesan adalah set gerabak kereta api yang membawa P. Ramlee dan Sukardi menuju ke Singapura.

Selain itu, nilai-nilai murni dan pengajaran juga turut diselitkan sepanjang pementasan tersebut berlangsung. Antaranya ialah keikhlasan dan nilai persahabatan yang ditonjolkan oleh watak Sukardi (lakonan Iedil Putra). Walaupun P. Ramlee telah berjaya menempa nama di Singapura, Sukardi masih setia menemaninya sehingga beliau mendapat pekerjaan lain di Pulau Pinang.

Menerusi watak Norizan, pengajaran untuk mengambil tahu apa yang dilakukan ketika berada di tempat kerja juga turut diketengahkan. Ini merujuk kepada hak cipta karya-karya P. Ramlee yang dipegang sepenuhnya oleh syarikat penerbitan yang mencungkil bakatnya ketika itu iaitu MFP.

Tidak menyerupai P. Ramlee – Tony

Ketika berpeluang bertemu dengan teraju utamanya, Tony, usai pementasan teater berkenaan, pelakon yang berasal dari Serian, Sarawak itu mengakui agak sukar untuk membawa dan menjiwai watak seniman P. Ramlee secara lebih mendalam.

Akui Tony, selain raut wajahnya yang langsung tidak mirip seniman agung itu, dia juga kurang mendapat pendedahan mengenai muzik tradisional Melayu sebelum ini.

“Watak P. Ramlee merupakan watak paling penting yang pernah saya lakonkan. Cabaran mula timbul apabila saya hanya mengenali beliau menerusi filem-filem serta lagunya sahaja.

“Selain itu, saya juga kurang mendalami lagu-lagu berentak asli. Justeru, saya harus meletakkan jiwa saya ke dalam lagu-lagu beliau sehingga berjaya mendapatkan gaya P. Ramlee yang betul,” ujar Tony yang menjadikan rakaman temu bual P. Ramlee yang ditemuinya di YouTube sebagai salah satu bahan rujukannya.

Biopik Saloma sebagai rujukan – Nadia

Sementara itu, Nadia yang memegang watak Saloma berkata, dia menggunakan semua platform yang ada sebagai rujukan untuk menjiwai watak biduanita tersohor itu.

“Saya sangat berhati-hati dan cuba membawakan watak Saloma sebaik mungkin. Maklumlah, walaupun kita tidak mengenali beliau secara peribadi, namun kebanyakan orang tahu Saloma menerusi filem dan lagu yang pernah dinyanyikan.

“Bagi mendapatkan rasa yang betul, saya banyak merujuk kepada filem-filem lakonannya serta bertanya kepada Melisa Saila.

“Saya turut menonton filem biopiknya itu bagi mendekati jiwa Saloma yang akan saya bawakan menerusi teater ini,” jelas Nadia yang juga menggemari gaya lakonan Liza Hanim yang memegang watak sama pada pementasan sebelum ini.

Sampaikan emosi menerusi nyanyian

– Lisa

Bagi Lisa Surihani, dia mempunyai sebab yang tersendiri mengapa suaranya kedengaran garau dan meraung ketika menjayakan watak-watak sedih dalam P. Ramlee The Musical.

“Saya telah diajar oleh Pat Ibrahim untuk membezakan cara nyanyian biasa dengan cara nyanyian di atas pentas teater. Menerusi teater, saya harus menyampaikan emosi dan bercakap supaya penonton dapat mengikut jalan cerita yang ingin disampaikan.

“Bagaimanapun, saya berasa sangat bertuah kerana dikelilingi oleh rakan-rakan dan kumpulan produksi yang sangat membantu. Sedikit sebanyak ia dapat membangkitkan rasa ingin terus berlakon dan memberikan persembahan yang terbaik,” jelasnya sambil tersenyum.

Teater P. Ramlee The Musical mula dipentaskan pada 3 hingga 12 Oktober ini di Panggung Sari, Istana Budaya Kuala Lumpur.

Tiket-tiket berharga RM33 hingga RM303 boleh didapati di www.tickethotline.com.my, ticket2u.biz dan Istana Budaya Box Office.

kosmo online








P Ramlee The Musical
Istana Budaya
3 - 12 Oktober 2014

Comments