Teater Mek Mulung Seni Warisan Kedah

Kerajaan Kedah isytihar teater tradisional Mek Mulung sebagai Seni Warisan Kedah


.ZINITULNIZA Abdul Kadir menunjukkan buku Mek Mulung hasil tulisannya di majlis perasmian sidang kemuncak penulis Malaysia dan pelancaran buku Mek Mulung di Kelab Golf Darulaman. - Foto Amran Hamid

JITRA: Kerajaan Kedah mengisytiharkan teater tradisional Mek Mulung sebagai Seni Warisan Kedah yang diharap bakal membuka jalan kepada pengiktirafan Warisan Dunia oleh UNESCO.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata susulan pengiktirafan itu, pelbagai usaha akan digerakkan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama pelbagai pihak khususnya Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Bina Darulaman Berhad (BDB).

"Ia mengambil kira fakta bahawa Kedah sebagai satu-satunya negeri yang Mek Mulung dimainkan dari satu generasi ke generasi selama 400 tahun.

"Susulan pengiktirafan ini, pelbagai usaha akan digerakkan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama pelbagai pihak khususnya dengan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Bina Darulaman Berhad (BDB)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan buku Mek Mulung pada Majlis Pelancaran Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) di Darulaman Golf & Resort di sini, sebentar tadi.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan BDB, Datuk Izham Yusoff; Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron; dan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad.

Mukhriz turut mengumumkan penubuhan Yayasan Penulis Malaysia yang bertujuan menggerakkan sastera dan industri serta menjaga kebajikan penulis.

SKPM dianjurkan oleh ITBM, BDB dan PENA, disertai lebih 300 sasterawan, pengarang, budayawan dan penggiat sastera seluruh tanah air.



berita harian


Mek Mulung diisytihar Seni Warisan Kedah
Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
25 Oktober 2014



Mukhriz TUN MAHATHIR melancarkan buku Mek Mulung selepas merasmikan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 di Darul Aman, Jitra, Kedah, malam tadi. Turut sama, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad (kanan) dan Mohd. Khair Ngadiron (dua dari kiri ) serta penulis Mek Mulung, Zinitulniza Abdul Kadir. – UTUSAN/ismail kamadin

KUBANG PASU 24 Okt. - Kesenian Mek Mulung yang wujud sejak lebih 400 tahun lalu diisytiharkan sebagai Seni Warisan Kedah yang akan dipelihara dan diangkat ke peringkat antarabangsa bagi memastikannya tidak luput ditelan zaman.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, pengiktirafan itu dibuat setelah mengambil kira fakta bahawa Kedah merupakan satu-satunya ne­geri di mana Mek Mulung sudah dimainkan dari generasi ke generasi sejak sekian lama.

“Susulan pengiktirafan ini, pelbagai usaha akan digerakkan Kerajaan Negeri dengan kerjasama pihak tertentu khususnya, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Kumpulan Bina Darulaman Bhd. (BDB) untuk membawa Mek Mulung ke peringkat nasional dan antarabangsa.

“Usaha tersebut diharap mampu membuka jalan untuk membolehkan Mek Mulung dipertimbangkan sebagai warisan dunia oleh Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Penulis Malaysia dan Pelancaran Buku Mek Mulung di Darulaman Golf & Country Club, Jitra, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan BDB, Datuk Izham Yusoff; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Mohd. Khair Ngadiron, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad serta Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Hassan Mohd. Noor.

Persidangan selama tiga hari bermula hari ini mengumpulkan kira-kira 200 peserta terdiri daripada kalangan penulis dan saste­rawan tempatan.

Mukhriz dalam pada itu turut mengumumkan penubuhan Yayasan Penulis Malaysia yang bertujuan menyatupadukan rakyat berbilang bangsa menerusi penulisan selain membantu Malaysia mencapai matlamat sebagai negara maju bertamadun besar.

“Penubuhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini merupakan penghargaan serta tanda sokongan kepada industri penulisan negara. Diharapkan semoga yayasan ini dapat menggerakkan industri penulisan negara menjadi lebih aktif,” ujarnya.

Mengulas mengenai persidangan tersebut, Mukhriz meng­anggap penganjurannya sebagai rahmat bagi negeri ini kerana ia secara tidak langsung membawa masyarakat untuk turut serta dalam perjuangan membentuk gagasan baharu sastera negara yang sememangnya diketahui umum menjadi antara kayu ukur tamadun sesebuah bangsa.

“Sedar atau tidak, sastera adalah bidang seni kreatif yang mempunyai keupayaan besar untuk membangunkan nilai kemanusiaan tinggi pada setiap individu dan menuntut penulis mencari jalan untuk merawat dan memulih jiwa masyarakat majmuk di negara ini menerusi penulisan.

“Hakikatnya, penulis tidak hanya perlu kreatif malah perlu memiliki semangat sebagai seorang pejuang, jiwa patriotik, azam, kesungguhan dan kemahuan besar untuk melahirkan karya yang mampu menyatukan masyarakat,” katanya.

utusan online

Comments